Zaman dulu, pakai hijab dan tutup muka pun boleh kecoh satu Malaysia!

Pada bulan ni, isu tudung tiba-tiba jadi perhatian luas media. Pada mulanya, pasal tindakan hotel-hotel yang larang wanita Islam bertudung bekerja sebagai receptionist kat hotel. Tindakan ni dah tentulah dapat banyak kritikan. Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz kata tindakan tu ‘kurang ajar’.

Dalam waktu yang sama, muncul pulak berita pasal kenapa Tun Siti Hasmah tak bertudung. Dalam satu video, Siti Hasmah kata yang dia tak bertudung sebab dilarang oleh suaminya, Tun Dr Mahathir. Maka, banyaklah komen-komen, sama ada positif atau negatif yang muncul mengulas kenyataannya ini.

Sapa kata Dr M marah? Imej dari minaq-jinggo.

Kalau tengok secara luas, polemik pasal tudung ni memang dah lama jadi. Kalau kat Malaysia ni pun, kita dah boleh tengok macam-macam stail dan fesyen tudung. Ada yang murah dan ada jugak yang mahal. Tapi sebenarnya, kalau kita berpatah balik ke 30 atau 40 tahun dulu, memakai tudung bukan satu perkara yang biasa.

Terkejut tengok orang pakai hijab dan penutup muka, sampai jadi gambar muka depan surat khabar

Macam yang diceritakan tadi, pemakaian tudung di Malaysia ni sebenarnya berkembang dari zaman berzaman. Pada hari ni, kita boleh nampak yang hampir setiap wanita Melayu/Islam pakai tudung. Tapi macam mana pula dengan keadaannya pada masa dulu? Itulah satu perkara menarik yang boleh kita bincangkan.

Sebabnya, menurut Penasihat Editorial Sinar Harian, Datuk Jalil Ali – pada tahun 1970-an dulu, agak jarang untuk kita nampak anak-anak gadis Islam-Melayu bertudung. Kecuali bila ada kematian atau kenduri. Selebihnya, ramai wanita Islam lebih selesa dengan cara tak bertudung. Malah ada jugak tempat-tempat tertentu yang larang wanita bertudung masuk masa tu.

Ada pejabat dan bank meletakkan notis, melarang wanita bertudung seperti itu. Macamlah yang bertudung itu penjenayah. Menutup kepala dianggap kolot, ekstremis.” –  Datuk Jalil Ali. Dipetik dari Sinar Harian.

Itali sekarang ni pun haramkan niqab. Imej dari BBC.

Apa yang buat lagi terkejut, masa tu orang yang pakai tudung dianggap luar biasa, kalau pakai purdah lagilah pelik. Diorang ni juga selalunya dipinggirkan.

“Sekali peristiwa, saya diminta membuat berita mengenai dua gadis adik-beradik yang baru tiba dari luar negara. Mereka membuat kejutan sebaik mendarat di lapangan terbang Subang.

Kedua mereka, anak seorang kenamaan, memakai hijab dengan menutup wajah. Itulah kejutannya! Gambar kedua mereka disiarkan di muka depan akhbar keesokan harinya.” – Datuk Jalil Ali. Dipetik dari Sinar Harian.

Macam ni kot reaksinya…Imej dari Giphy.

Itulah keadaan Malaysia ketika itu, tapi nampaknya keadaan tu mula berubah sekarang.

Dulu pernah jadi konflik antara orang Arab dan Melayu, sampaikan kita menolak budaya Arab

Tanah Melayu menyimpan begitu banyak sejarah budaya dan seni. Sebabnya, negara ni ada pelbagi kaum. Bagaimanapun, selepas berlakunya kebangkitan nasionalisme, bangsa Melayu mula bangkit dan berlaku konflik tentang takrif Melayu.

Seorang nasionalis Melayu – Rahim Kajai dah memperkenalkan istilah yang agak kasar iaitu Darah Keturunan Arab (DKA) dan Darah Keturunan Keling (DKK). Hal ni jadi bila ada perasaan anti kepada keturunan Arab dan Jawi Peranakan (Melayu keturunan Arab atau India) yang dikatakan dah mengekploitasi ekonomi orang Melayu. 

Rahim Kajai -Bapa Kewartawan Melayu. Imej dari ukm.my

Kat Singapura, bila tertubuhnya Kesatuan Melayu Singapura pada 1927, India Muslim dan orang Arab tidak dibenarkan jadi ahli. Dalam waktu yang sama, perkara ni dikaitkan juga dengan fesyen.

“Dalam tahun 1930-an, konflik yang terjadi di antara masyarakat Melayu dan Arab menyebabkan masyarakat Melayu terdorong untuk menggantikan nilai yang dianggap mewakili budaya Arab dengan sesuatu yang ‘baru’.” – Dipetik dari jurnal tulisan Nazirah bte Lee.

Pengantin perempuan sedang membaca al-Quran pada tahun 1930. Imej dari blogtoexpress.blogspot

Menurut pensyarah Fakulti Teater dan Animasi UITM, En. Nur Afifi Mohamed Taib, budaya bertudung kat Malaysia ini dah wujud sejak sekian lama tapi bukanlah tudung seperti yang kita kenal sekarang ni. Contohnya, bila wanita Melayu keluar rumah, mereka selalunya akan berkelubung dengan kain sarung kat atas kepala.

“Tradisi bertudung, orang Melayu bila bertudung ia tidaklah seperti Arab dan seperti sekarang ini. Salah satu tradisinya, kalau ke kenduri kahwin, wanita bila keluar rumah akan pakai kain kelubung dan di bahu akan dilampaikan selendang kelingkam, keringkan ataupun tudung manto.

Lalu bila sudah sampai ke rumah kenduri, kain kelubung itu akan dilipat dan disimpankan sementara. Wanita-wanita di dalam rumah ini akan menggantikan tudung kepala mereka dengan tudung manto atau tudung keringkam itu yang hanya diletakkan sahaja di atas kepala. Itu dikira sebagai high culture yang masih boleh dilihat di Melaka pada tahun 1950-an.” – En. Nur Afifi Mohamed Taib, katanya kepada SOSCILI.

Contoh kain kelubung (kanan) & tudung manto (kiri). Imej dari sayangmelaka.blogspot & riautelevisi.com

Malah, menurut budayawan Prof Siti Zainon Ismail wanita Melayu di Sarawak dah pun berkelubung sejak abad ke-17 lagi. 

“Perempuan bertudung, kelubung lebih awal dipakai terutama kalau keluar rumah. Terutama sebagai melindung cuaca panas. Setelah kemasukan Islam konsep aurat diamalkan. Sehinggalah kedatangan penjajah, mengenalkan pendidikan, berbagai gaya hidup… 1940-an wanita Melayu kota terpengaruh dan puncaknya dengan kemunculan filem.” – Prof Siti Zainon Ismail, budayawan & pelukis. Katanya kepada SOSCILI.

Contoh pemakaian kelubung. Sebelahnya tu – Puisi karya Prof Siti Zainon. Imej dari Prof Siti Zainon Ismail.

 

Seperti yang dikatakan, budaya Barat kemudiannya mempengaruhi orang Melayu. Cara pakaian Barat juga mula menjadi norma dalam masyarakat.

“Penularan fesyen pakaian Barat dalam kalangan wanita merupakan isu yang diperdebatkan dalam masyarakat Muslim pada penghujung 1930-an sehingga 1940.” – Dipetik dari jurnal tulisan Nazirah bte Lee.

Cuba teka ni dari filem apa? Imej dari straitstimes.com

Maka dengan itu, sehingga tahun 1960-an ke 1970-an amat jarang untuk kita tengok orang bertudung. Seperti yang diceritakan tadi, ada kadang-kadangnya, pakai tudung ni dipandang asing dalam masyarakat.

Munculnya gerakan Islam dan pengaruh Revolusi Iran

Walaupun macam tu, cara pemakaian wanita Melayu-Islam kat Malaysia ni mula berubah pada tahun-tahun 1970-an dan seterusnya. Sebabnya, masa tu mula muncul gerakan-gerakan Islam/dakwah yang aktif kat universiti, antara yang popular adalah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). 

ABIM masa tu dapat perhatian sebab kelantangan dan keberanian pemimpin diorang. Slogan ABIM masa tu ‘Islam is a way of life’ berjaya mendekatkan masyarakat dengan penghayatan Islam.

“Keadaan ini menyerlah dengan munculnya kecenderungan pemakaian tudung bagi wanita-wanita Islam dan kesedaran menutup aurat dalam kalangan lelaki sekitar tahun-tahun tersebut.” – Dipetik dari jurnal tulisan Mashitah Sulaiman.

Zaman mak ayah kita masa muda-mudi. Imej dari hazis.wordpress

Pada tahun 1970-an juga berlakunya kebangkitan semula Islam dengan tercetusnya fenomena untuk mengembalikan bangsa Melayu kepada identiti dan akar Islamnya. Apa yang lebih menarik, Dr Mahathir juga mainkan peranan penting dalam kebangkitan ni. 

“Pembangunan Islam dalam tahun 1970-an juga dikaitkan dengan kembalinya Dato Seri Dr. Mahathir Mohamed (kini bergelar Tun) ke arus perdana politik Malaysia. Di bawah kepimpinan Tun, kerajaan Malaysia dilihat banyak menyokong dasar-dasar berkaitan pembangunan Islam.” – Dipetik dari jurnal tulisan Mashitah Sulaiman.

Muka depan Mastika tahun 1970.

Dalam waktu yang sama, berlaku pulak Revolusi Iran (1979) yang berjaya menjatuhkan pemerintahan sekular Iran. Iran kemudiannya memperkenalkan negara mereka sebagai Republik Islam Iran. Makanya, ada sarjana yang kaitkan pemakaian tudung ni dipengaruhi oleh Revolusi Iran. 

“Sejak revolusi Islam Iran pada 1979,… nampaknya, kebanyakan wanita di Malaysia, malah di seluruh dunia, mulai memakai tudung, yakni menutup kepala mereka, atas alasan rambut wanita itu aurat.

Sebelum itu, adat wanita Melayu memakai selendang, yang dipakai di atas bahu tanpa menutup kepala, tetapi kadang-kadang selendang itu diletak di atas kepala, tanpa menutup semua kepala.” – Dr Kassim Ahmad. Dipetik dari blognya.

Dr Mahathir & allahyarham Tuan Guru Nik Aziz. Imej dari kedahkekl.blogspot

Dalam hal ni, En. Afifi juga mengatakan perkara yang sama. Tapi pengaruh cara pemakaian tu bukan je jadi kat Malaysia, sebaliknya kat seluruh dunia. 

Kebangkitan Iran ketika itu sedikit sebanyak mempengaruhi cara berpakaian, masa itu digelar  ‘fesyen dakwah’. Maka lahirlah mini telekung untuk dipadankan bersama baju kurung….

Maka ketika itulah mulanya trend memakai tudung. Tapi masih tidak semua, hanya golongan muda yang mengikuti pengajian agama yang akan ikut.” – En. Nur Afifi Mohamed Taib, katanya kepada SOSCILI.

Gambar Khomeini diarak menuju ke revolusi. Imej dari owlcation.com

Dengan perkembangan masa, ditambah pula dengan kesedaran dalam masyarakat – akhirnya pemakaian tudung mula diterima dalam masyarakat. Maka sampailah ke hari ni bila ada banyak fesyen tudung yang kita boleh nampak.

Walaupun macam tu, masih ada yang kata ‘rambut bukan aurat’

Walaupun amalan bertudung dah jadi amalan majoriti muslimah pada hari ni, tapi kontroversi masih lagi ada. Sebabnya ada juga sarjana yang kata pakai tudung tak wajib dan rambut wanita bukan aurat. Antaranya adalah Gamal al-Banna, adik bongsu pengasas Ikhwanul Muslimin – Hassan al-Banna. 

Gamal kata yang al-Quran atau hadis yang sahih tak pernah suruh perempuan untuk pakai hijab atau tutup rambut mereka. Dia juga kata – ada sesetengah arahan yang bersifat umum pasal pakaian dan adab dah digunakan untuk memenjarakan wanita dan menjauhkan mereka daripada kehidupan harian. Apa yang di maksudkan adalah menjadikan adat resam sebagai hukum yang tak berpihak kepada wanita.

“Saya telah menghadiri beberapa forum di Amerika Syarikat, Britain, Jerman, Perancis dan Switzerland yang diasingkan wanita daripada lelaki atau diasingkan mereka jauh di satu tempat yang menghubungkan mereka dengan forum melalui litar televisyen.

Sedangkan pada zaman Rasulullah wanita mengerjakan sembahyang di masjid, mereka bercakap dengan Rasulullah dan baginda juga bercakap dengan mereka. Dan wanita juga pernah menyanggah pandangan Umar bin al-Khattab dan Umar pun terpaksa mengalah kepadanya.” – Gamal al-Banna, dipetik dari Utusan Malaysia.

Gamal al-Banna meninggal dunia pada 2013. Imej dari saphirnews.com

Selain Gamal, ada lagi beberapa sarjana yang kata hijab tak wajib, macam –  Khaled Abou El-FadlJaved Ahmad GhamidiSheikh Mustapha Rashid dan beberapa lagi. Malah seorang sarjana kontroversi, Kassim Ahmad (arwah) juga pernah kata rambut wanita bukan aurat. Sebabnya, mereka kata tak ada arahan khusus dalam al-Quran yang suruh wanita tutup rambut mereka. 

Bagaimanapun, pendapat-pendapat mereka ni dah pasti dijawab oleh para ulama Islam. Sebabnya, arahan ni dah pun ada dalam al-Quran:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan dadanya dengan khumur…” – Surah an-Nur: 31.

Tapi bagi Kassim Ahmad, arahan ni sebenarnya tak nyatakan yang wanita kena tutup kepala mereka. Sebabnya, ayat ni tak kata rambut kena tutup, jadinya rambut bukan aurat wanita.

Imej dari syifamk.wordpress

Tapi nampaknya ulama menjawab kata-kata ini. Sebabnya… apa yang dimaksudkan dengan khumur adalah kata jamak bagi khimar iaitu kain yang dipakai di atas kepala wanita. Sebabnya, masa zaman Jahiliyyah wanita masa tu pakai khimar tapi melabuhkannya ke belakang sampai nampak aurat macam – leher, anting-anting dan lurah buah dada. 

Selain tu, ulama juga membentangkan hadis yang perintahkan wanita tutup rambut mereka. Diriwayat daripada Aisyah r.a – berkata bahawa Asma binti Abu Bakar masuk ke tempat Rasulullah SAW dengan memakai pakaian yang nipis, maka Rasulullah SAW berpaling daripadanya dan bersabda:

“Hai Asma! Sesungguhnya perempuan itu apabila ia telah dewasa (sampai umur), maka tidak patut menampakkan sesuatu dari dirinya, melainkan ini dan ini. Sambil Rasulullah menunjukkan muka dan kedua telapak tangan hingga pergelangannya sendiri. -Hadis Riwayat Imam Abu Dawud.

Pakai jubah dan kopiah, ada yang kata kita ke arah ‘Arabisasi’?

Pada masa sekarang ni, kita boleh nampak macam-macam jenis pakaian bercirikan budaya Arab dan Timur Tengah. Antara yang popular adalah jubah, kopiah, purdah, serban dan sebagainya.

Pada tahun lepas, Jaafar Onn lahirkan rasa risaunya dengan trend pakai kurta masa raya, sebab tu dianggap sebagai mementingkan budaya India dari budaya Melayu yang pakai baju Melayu, songkok dan sampin.

Marah betul ni. Imej dari ohbuletin.com

Tu belum lagi trend guna bahasa Arab macam – sanah helwah, iftar, tahaluf siyasi, dan sebagainya. Menurut Prof Syed Farid al-Attas, budaya Arab atau Arabisasi ni yang diambil oleh orang Melayu hari ni akan buat masalah kepada budaya orang Melayu.

“Orang Melayu berjubah, berkopiah putih dan pakaian Melayu diketepikan. Masalah ini juga akan mengenepikan budaya Malayu dan Bahasa Melayu… Tapi pada masa yang sama kita menganggap kebudayaan kita itu terkebelakang… Ini menjadi masalah sebab kalau kita ambil aspek-aspek Arab, adakah kita anggap budaya kita ini tak sama taraf?” – Prof Syed Farid al-Attas, dipetik dari Malaysiakini.

Yang ni nak tiru tak? Imej dari Giphy.

Dalam waktu yang sama, ada juga pihak yang ajak kita untuk bezakan Arabisasi dengan Islamisasi. Ini kerana, kita kena tahu bukan Arab itu bukan Islam dan Islam bukan Arab. Walaupun begitu, selagi sesuatu budaya tu tak bercanggah dengan Islam, ia masih lagi boleh diterima.

Dalam fesyen pula, tak salah kalau kita nak pakai pakaian dari budaya Arab, cumanya kenalah berpada-pada.

“Pada saya ambil yang baik, tapi jangan berlebih-lebih. Kita ini duduk di Nusantara, di kawasan yang beriklim begini, padanan apa yang kita telah pakai di sini itu sudah pun memadai. Baju kurung, baju kebaya sudah memadai. Nak pakai lain itu boleh, tidak salah, tapi jangan berlebih-lebih.” – En. Nur Afifi Mohamed Taib, katanya kepada SOSCILI.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.