Sukan & Hiburan

Sewaktu ranking bola Malaysia jatuh, pasukan remaja Malaysia jadi juara dunia

Baru-baru ni kita dengar ranking pasukan bola sepak Malaysia jatuh empat lagi anak tangga dari 170 kepada 174. Malah, kedudukan ni lebih rendah berbanding negara Kemboja dan Filipina. Kejatuhan ni jadi sebab pasukan senior Harimau Malaya tak menang mana-mana lagi perlawanan peringkat antarabangsa. Maskot Rimau Sukan SEA lagi menyerlah nampaknya.

Walaupun macam tu, kita masih ada berita-berita yang sangat membanggakan mengenai pasukan bola sepak dari anak-anak remaja Malaysia. Berita ni termasuklah kejayaan pasukan bawah 14 tahun dari SMK Zaaba, Negeri Sembilan yang meraih tempat ketiga dalam kejohanan bola sepak remaja dunia, Piala Gothia di Sweden.

Tahniah adik-adik abang SOSCILI. Imej dari Berita Harian.

Sebelum ni juga, ada beberapa berita kejayaan pasukan remaja Malaysia di peringkat dunia. Antaranya…

Skuad remaja Malaysia sangat cemerlang

Di China, Kerajaan Perbandaran Shenyang juga mengendalikan sebuah kejohanan bola sepak dunia dikenali sebagai Piala Gothia China. Pada Ogos 2017, pasukan bawah 14 tahun dari SMK Mutiara Impian, Pulau Pinang berjaya menjadi naib juara kejohanan selepas kalah pada perlawanan akhir.

Meriah betul kejohanan ni. Imej dari Gothia Cup Cina.

Selain China, negara Asia lain yang merupakan gergasi bola sepak Asia adalah Jepun. Negara ni juga ada mengadakan kejohanan bola sepak remaja, Piala Bari. Pada tahun 2016, skuad bawah 15 tahun negara kendalian Dato’ Richard Scully mendapat kejayaan luar biasa. Pasukan ni berjaya melangkah ke perlawanan akhir sebeum tewas tipis kepada Ehime FC dari Jepun. Kalah kat final maknanya naib juaralah!

Naruto pun terkejut tengok adik-adik kita sehebat ni. Imej dari FAM.

Bagi peminat tegar bola sepak, nama Christiano Ronaldo adalah antara yang terbaik setakat ni. Christiano ni sebelum jadi sensasi, dia main untuk kelab Sporting Lisbon di Portugal sejak remaja lagi. Apa yang membanggakan, pada tahun 2015, pasukan Harimau Malaya bawah 13 tahun berjaya menewaskan pasukan bawah 13 tahun Sporting Lisbon di perlawanan akhir. Ini menjadikan diorang juara Piala Iber. Takde kaitan dengan Uber.

Ni kalau Christiano tahu ni, mahu dia ambil jadi adik angkat. Imej dari Utusan.

Piala Iber, Piala Gothia dan Piala Bari. Bersusun kita baca kejayaan pasukan remaja dari negara kita ni di peringkat antarabangsa. Tapi, bukan setakat pasukan, kita juga ada dengar berita mengenai remaja-remaja yang luar biasa bermain di kelab antarabangsa. Contohnya…

Pemain remaja Malaysia menyerlah di peringkat antarabangsa

Pada tahun 2012, seorang pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, Sean Gan Giannelli berjaya menawan hati jurulatih kelab Atletico Arrezo, Itali. Jurulatih tu pulak bukan calang-calang sebab dulu dia pernah sepasukan dengan legenda bola sepak Argentina, Maradona. Sean yang berkuturunan darah campuran Itali-Malaysia tu dah terpilih menjadi pemain bawah 17 tahun kelab itu ketika berumur 15 tahun. 

Hatiku ditimbang-timbang.

Kini, Sean Gan Giannelli bersama pasukan JDT III. Tahun ni, ada berita mengenai Ketua Jurulatih Negara mahukan khidmat pemain muda dari kelab Amerika Syarikat. Pemain tu adalah Wan Kuzain Wan Kamal yang kini bermain dengan kelab Swope Park Rangers walaupun baru berusia 18 tahun. Selain tu, Wan Kuzain juga dilaporkan antara pemain terbaik yang pernah dihasilkan akademi bola sepak di sana.

Wan Kuzain. Imej dari Top Drawer Scorer.

Bukan setakat pemain remaja je yang hebat. Kanak-kanak Malaysia juga berjaya menawan hati jurulatih kelab bola sepak antarabangsa. Contohnya macam Ehsan Rasidin Amri (6 tahun) pada tahun 2016 yang dah terpilih untuk menyertai akademi bola sepak Manchester City. Ibu bapa Ehsan adalah orang Malaysia yang sudah 10 tahun menetap di sana.


Jangan berhenti belajar adik Ehsan yang awesome. Imej dari Malaysia Kini.

Walaupun terserlah kehebatan pemain remaja dari Malaysia, tapi ada juga yang tidak lama bermain di kelab luar negara yang mereka sertai.

Ada pemain remaja yang berjaya dipilih kelab antarabangsa, tapi balik awal

Jepun adalah pasukan bola sepak terbaik yang ada di Asia. Kalau nak ikut, ramai dah pemain Jepun yang bermain sebagai pemain utama di kelab Eropah. Bukan setakat pemain, Jepun juga ada liga bola sepak tempatan paling kompetitif di Asia dikenali sebagai J-League. Baru-baru ni, seorang pemain bertaraf kelab di Kuala Lumpur (Victoria Institution FC) iaitu Kavishkumar dah dijemput untuk pemilihan bermain dengan kelab ternama Jepun, Gamba Osaka.

Kavishkumar pernah join Sekolah Bola Sepak Manchester United. Imej dari Semuanyabola.

Dia ni memang dah lama dipantau oleh pencari bakat dari kelab Jepun tu. Kalau berjaya, dia berpeluang untuk jadi pasukan kelab remaja. Tapi, kalau Kavishkumar terpilih, adakah dia akan bertahan lama tak seperti pemain-pemain remaja sebelum ni?

Kalau korang nak tahu, pada tahun 2013, ada dua pemain remaja Malaysia yang dah terpilih bermain di Kelab Jepun, Ryukyu FC. Dua pemain tu adalah Wan Zack Haykal dan juga Nazirul Naim Che Hisham. Wan Zack dapat kontrak selama dua tahun manakala Nazirul Naim pula setahun bersama kelab tu. Kontrak Nazirul Naim tamat, manakala Wan Zack pula balik awal sebelum sempat habis kontrak. Sebab utama dia balik awal kerana kecederaan di peha kanannya.

Siap ada banner khas kot kat Jepun. Imej dari Youtube Astro Awani.

Walaupun dilaporkan bahawa kelab itu sanggup bayar kos rawatan tapi dia memilih untuk balik dan bersama pasukan Kelantan. Ini bukanlah berita pertama pemain remaja kita balik awal sebelum habis kontrak. Sebelum ni ada dua pemain remaja negara yang terplih bermain di Kelab Eropah balik awal sebelum habis kontrak. Berita yang paling mengejutkan adalah bila Nazmi Faiz balik awal dari Kelab Portugal, Beira-Mar. Sebab utamanya adalah kerana krisis kewangan yang dihadapi oleh kelab tersebut.

Selain Nazmi Faiz, seorang pemain muda Malaysia dulu iaitu Fakri Saarani pernah terpilih untuk bermain dengan kelab Portugal, Atletico S.C pada tahun 2012. Tapi, nampaknya, dia juga balik awal atas sebab liga sana dah pun tamat dan ada waktu rehat yang panjang. Dia juga fikirkan masa depannya, lalu memilih balik ke Malaysia serta menyertai pasukan Kelantan.

Apasal semua balik ni? Sedihnya.

Memang mengejutkan berita-berita ni. Jadi adakah pemain remaja Malaysia masih ada masa depan?

Jurulatih dari kelab gergasi Jerman dilantik untuk membangunkan semula akar umbi negara

Walaupun apa jua isu yang melanda FAM  dan pemain sekarang, nampaknya pembangunan bola sepak dari akar umbi juga sedang membangun. Buktinya, setelah prestasi dan kejatuhan skuad senior negara, Khairy Jamaluddin selaku Menteri Belia & Sukan dah memulakan projek NFDP Malaysia. Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) ni dah diluluskan oleh jemaah menteri sebagai pelan jangka masa panjang untuk membentuk pemain masa depan Malaysia. 

Untuk menjalankan program ni, Lim Teong Kim yang merupakan jurulatih bawah 18 tahun kelab gergasi Jerman (Bayern Munich) dah dipanggil balik ke Malaysia. Apa yang menarik, meletakkan syarat supaya kerajaan Malaysia perlu mengikut perancangannya bukan sebaliknya. Menurut laporan Semuanyabola.com, antara perancangannya adalah:

  1. Pemain muda akan dibina bukan untuk menang semata-mata, tapi juga pembangunan sahsiah pemain.
  2. Mahu mengubah mentaliti pemain Malaysia yang selalu merendah diri kepada berani mengambil tanggungjawab.
  3. Latihan kecergasan yang lebih baik dan tidak sama dengan skuad senior yang ada.
  4. Mengubah cara jurulatih akar umbi melatih dari jenis long ball (bola banyak di udara melambung-lambung) kepada build up attack (macam pemain kelab Eropah main).
  5. Memberi kebebasan kepada pemain untuk menjadi kreatif di atas padang

Lim Teong Kim yang menggalas tugas besar. Imej dari Stadium MY.

NFDP dan FAM juga kini sedang bekerjasama supaya setiap negeri menjalankan program akar umbi masing-masing. Mungkin ramai yang akan tertanya-tanya bila nak tengok hasilnya kan? Menurut KJ, hasilnya dimulakan dengan melihat pemain generasi pertama NFDP yang akan bersaing dalam kelayakan Piala Dunia Remaja 2019 (bawah 17 tahun). Dan ini juga adalah sasaran Lim Teong Kim sebagai Ketua Jurulatih NFDP.

Selain misi untuk layak ke Piala Dunia Remaja, sebenarnya, sudah ada pemain remaja kita yang dipanggil kelab Eropah. Tapi, sistem NFDP hanya melepaskan pemain selepas mereka mengambil SPM sebelum memilih haluan masing-masing. Lim Teong Kim juga mengingatkan yang tak semua pelatih NFDP akan menjadi pemain bola sepak profesional, tapi sekurang-kurangnya selepas mereka keluar dari sini mereka boleh jadi manusia berguna dalam karier yang mereka pilih.

Pemain-pemain remaja NFDP. Imej dari Planet Bola.

Pembangunan Bola Sepak negara sedang dibangunkan semula selepas gagal

Walaupun ranking Malaysia tengah jatuh sekarang, tapi dalam diam bola sepak negara sedang dibangunkan melalui akar umbi. Presiden FAM yang baru, Tunku Ismail juga ada sebut yang struktur dalaman FAM sedang dibangunkan semula termasuk mendapatkan hak penyiaran untuk setiap pasukan negeri. Sebab sebelum ni dikatakan FAM pernah mendapat dana dari Astro, namun, tidak sampai kepada kelab-kelab negeri.

Penyokong dah gempak. Tinggal pemain je lagi. Imej dari Tehtarikmemoirs.

Apa yang penting bagi kita sekarang adalah bersatu dan melihat secara positif perkembangan bola sepak negara. Berita cubaan mencantas jawatan dalam FAM juga perlu dihentikan supaya kerja-kerja membangunkan bola sepak negara tidak terbantut. Kerana jika kita tak bangun sekarang, kita pasti akan ketinggalan dengan Asia Tenggara lain yang sedang bangunkan akar umbi bola sepak mereka. Takut-takut kita tak sempat nak kejar pulak nanti!

 

 

To Top

Send this to a friend