Gaji cukup-cukup makan? Ni 4 cara kreatif buat duit zaman sekarang

Siapa kat sini yang ada simpan lebih dari RM1,000 untuk kecemasan, angkat tangan~!

Dalam KWSP tak aci ye.

Kalau ikutkan statistik yang dilaporkan, cuma separuh je rakyat Malaysia yang ada duit simpanan sebanyak tu, jadi jangan segan kalau korang tak angkat tangan. Kami pasti, ramai yang sedar pentingnya ada duit kecemasan, tapi masih ramai juga belum mula menyimpan. Kenapa eh?

Menurut laporan ini, ia disebabkan kurangnya pendidikan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Realitinya, kalau gaji pun cukup-cukup makan, celah mana nak ambil duit buat simpanan?

Kalau korang macam kami yang air separas hidung tiap kali tengah bulan, kurangkan perbelanjaan mungkin agak susah, jadi hari ini, mari kita teroka pilihan kedua: cara-cara tingkatkan pendapatan yang tak terlalu mustahil.

Bermula dengan cara yang paling mudah…

Minta bos naikkan gaji

Wah, begitu mudah! Kenapa tak terfikir sebelum ni?

1. Kumpulkan duit syiling korang yang bersepah tu

Macam kata pepatah, sikit sikit lama-lama jadi bukit. Baki duit syiling yang biasanya terabai kat dalam beg tangan atau celah sofa tu, kalau dikumpul, banyak jadinya. Adik-adik sekolah rendah pun boleh menabung sampai berpuluh-puluh ringgit sebulan, kenapa kita tak boleh?

Kami kutip duit kat meja bos pun dah dapat RM13.20

Tapi janganlah bawak tabung korang pergi kedai mamak. Banyak je tempat yang korang boleh tukar duit syiling untuk wang kertas, macam kaunter bank ataupun mesin deposit syiling (coin deposit machine) di sesetengah cawangan.

Kalau korang dah beralih ke era cashless dan sudah tak pakai duit syiling pula, ada juga aplikasi yang boleh bundarkan segala pembayaran yang korang buat melalui e-wallet, lepas tu boleh tolong korang simpan duit-duit kecil tu. Senang kan?

Ni duit yang bos kami simpan sejak April. Mudah betul nak simpan.

2. Jual barang-barang yang korang dah tak nak

Kalau korang ada masalah suka membeli belah tanpa berfikir panjang (macam kami jugak), mesti banyak barang-barang kat rumah korang yang terbiar atau jadi “penyangkut baju”.

Bench angkat berat boleh juga dibuat meja kopi.

Dah lah semak, setiap kali tengok mesti rasa bersalah. Untuk hilangkan perasaan tu, apa kata korang kumpulkan barang-barang ni dan jual melalui car boot sale. Tapi periksa dulu, sebab sesetengah car boot sale perlukan korang bayar sewa tapak.

Contoh rupa car boot sale. Imej dari The Star

Tapi kalau korang jenis introvert dan malas nak menyidai diri tunggu pelanggan, ada juga aplikasi-aplikasi online yang membolehkan korang jual barang terpakai. Sesetengah media sosial pun dah ada fungsi pasar (marketplace) yang menghubungkan korang dengan pembeli dari seluruh Malaysia. Asal rajin pos, macam-macam barang boleh dijual.

Belum sempat PM dah kena rembat.

Mungkin barang-barang ni dah tak bernilai di mata korang, tapi ramai je yang nak, lagi-lagi kalau lebih murah dari yang baru.

Selain dari jual barang terpakai, korang juga boleh…

3. Buat duit melalui kepakaran korang

Kebanyakan orang ada bakat atau kemahiran sendiri, tapi tak semua gunakan kemahiran tu untuk buat duit. Contohnya, korang pandai buat biskut atau cipta lagu, tapi sekadar hobi je sebab kerja korang analisis data.

Bila kau yang tulis lagu department tapi takde siapa kisah.

Tapi korang tahu tak ada orang yang sanggup bayar untuk benda-benda yang dianggap hobi macam ni? Cumanya kena pandai cari pasaran. Contohnya, kalau korang pandai reka logo, boleh sasarkan kepada perusahaan-perusahaan kecil, dan kalau korang pandai reka lagu, boleh tawarkan khidmat lagu untuk iklan.

Kebiasaannya, ramai yang jual kemahiran melalui media sosial, tapi zaman sekarang dah ada banyak laman web di mana korang boleh tawarkan perkhidmatan korang kepada pelanggan, sama ada dari Malaysia atau antarabangsa. Rakan kerja kami pernah dapat lebih dari RM1,000 sebulan dengan menawarkan bakat melukis beliau kepada pelanggan antarabangsa.

Antara hasil kerja pertama beliau.

Jadi kalau korang ada kemahiran, fikirkanlah cara yang kreatif untuk jual kemahiran korang tu. Mana tahu boleh tampung sedikit sebanyak kos sara hidup. Bercakap pasal jual diri…

4. Jual personaliti anda sebagai influensaaaahhh

Kalau korang membesar di zaman 80-90an, mungkin tak tercapai dek akal yang muat naik video korang kat Internet boleh dapat duit. Tapi zaman sekarang ni, pempengaruh (atau influencer dalam bahasa popular) kian dilihat sebagai pilihan kerjaya oleh anak-anak muda.

Bagi kebanyakan orang, memang tak sesuai dijadikan kerjaya hakiki sebab (1) tak terjamin dan (2) kena berperwatakan menarik atau cantik/hensem. Tapi kalau minat tu ada, tak salah untuk cuba-cuba sebagai pendapatan sampingan. Lagi-lagi kalau korang ada idea yang kreatif.

Influencer TikTok ni biasanya dapat dalam RM1,000 dari setiap sesi livestream ASMR beliau. Imej dari Business Insider.

Selain iklan dan review berbayar, sesetengah platform ada sediakan insentif untuk pembuat konten, manakala platform lain pula membolehkan peminat untuk bagi hadiah kat korang apabila korang buat livestreaming. Yang ni korang kena selidik sendiri, sebab kami tak nak bersubahat. Kalau korang dah terkenal nanti, boleh juga buat produk atau merch sendiri untuk dijual. Duit lagi!

Dapat hadiah dari viewers, boleh buat duit, Imej dari TechJunkie

Berkenaan konten apa yang korang boleh buat, itu pun kena fikir sendiri. Mungkin korang boleh tulis fiksyen dan muat naik di media sosial, atau livestream korang main video game, atau nak dua dalam satu, boleh juga menjual barang masa buat livestream.

Apapun, lepas dah ada duit lebih nanti…

Jangan lupa sediakan payung kewangan!

GIF dari Tenor.

Haa… bila duit dah bertingkek-tingkek nanti, jangan berbelanja tak ingat dunia pula. Hidup bagaikan roda, jadi masa kita di atas buatlah persediaan untuk masa kita di bawah nanti.

Berapa banyak yang korang kena simpan terpulang pada keperluan masing-masing, tapi sebaiknya perlu ada simpanan yang cukup untuk korang bertahan selama enam bulan tanpa pendapatan.

Kalau boleh, simpanlah dekat bank-bank ahli PIDM, sebab simpanan korang lebih selamat kerana ia dilindungi PIDM. Maksudnya, kalau bank tu lingkup sekalipun, simpanan korang akan dilindungi sehingga RM250,000 bagi setiap penyimpan di setiap bank ahli PIDM.

Selain menyimpan, banyak lagi sebenarnya perkara yang kita perlu tahu tentang kewangan. Jadi kalau korang bersedia untuk mula mengurus duit sendiri dengan lebih berilmu, korang boleh layari laman mikro #SediaPayungKewangan oleh PIDM untuk lebih banyak tips kewangan. Semoga murah rezeki!

Klik sini untuk dapatkan lebih banyak tips kewangan.