Selain Aung San Suu Kyi, ada beberapa anugerah orang Malaysia yang pernah ditarik balik

UPDATE 26/10/2018: Nampaknya Istana Negeri Sembilan hari ni menarik balik darjah kebesaran yang diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor berkuat kuasa serta merta. Najib Razak pernah dapat gelaran Darjah Seri Utama Negeri Sembilan, manakala Rosmah Mansor pula Darjah Seri Paduka Tuanku Ja’afar Yang Amat Terpuji.

___________________________________________________________________________

Kita semua tahu yang Anugerah Nobel Keamanan ni, bukan calang-calang orang boleh dapat. Salah sorang penerimanya adalah Aung San Suu Kyi, pada 1997.

Tapi sejak beberapa tahun lepas, ramai yang berpendapat anugerah tu tak relevan lagi untuk pemimpin Myanmar tu, dan perlu ditarik balik.

Imej dari the guardian

Keputusan tu dibuat oleh Majlis Bandaraya Oxford melalui keputusan pengundian, dan akhirnya membuat keputusan untuk menarik balik anugerah ‘Freedom of the City Oxford’ yang diberikan kepada pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi. Semuanya gara-gara kegagalannya menangani krisis kemanusiaan Rohingya- atau lebih tepat lagi, tak ambil sebarang tindakan untuk menangani penindasan terhadap penduduk minoriti Rohingya.

Selain Suu Kyi, ada juga anugerah lain yang pernah ditarik balik. Kitorang tak cakap pasal korang kena pecat daripada jadi pengawas sebab kena tangkap dengan cikgu pasal hisap rokok dengan budak-budak nakal, tapi…

1. Anugerah “Lead By Example” oleh Unesco kepada Rosmah Mansor

Tahun lepas, isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor dipilih untuk menerima anugerah “Lead By Example” oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau Unesco. Biar betul?

Imej dari says

Apa ciri-ciri yang Unesco tengok untuk seseorang ni layak untuk dapat anugerah ni?  Anugerah tu dikatakan diberikan atas usaha dan sumbangan Rosmah Mansor dalam membangunkan potensi kanak-kanak, terutama di bawah Program Permata.

Selain Rosmah, antara individu lain yang terima anugerah dalam masa yang sama adalah Sara Bloomfield, pengarah Muzium Memorial Holocaust Amerika Syarikat; Duta Muhibah UNESCO Esther Coopersmith, Meera Gandhi, (Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Giving Back); Francine Lefrak (Lembaga Kepimpinan Wanita Harvard); Deborah Lehr (Pengerusi Bersama Antiquities) dan Catherine Reynolds (Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Catherine Reynolds).

Tapi, kegembiraan Rosmah tak lama sebab lepas tu, ada sebuah laporan daripada New York Times menyebut yang Unesco dah umumkan penarikan balik gelaran yang pada mulanya nak diberikan kepada Rosmah tu.

Anugerah siapa kena tarik balik tu? Imej dari giphy

Laporan tu menyebut, punca anugerah tu ditarik balik adalah sebab  dana Program Permata (dan juga PERMATA PINK harga RM128 juta) didakwa meragukan. Mulanya, pihak penganjur tidak menyedari wujud sebarang salah laku, mereka juga tidak cukup masa untuk membuat pemeriksaan.

Imej dari the coverage

“Bertentangan dengan laporan yang salah, acara itu bukanlah acara UNESCO, dan juga UNESCO tidak memberi anugerah,” kata Andy Beck, jurucakap Antiquities Coalition.

Tapi, janganlah sedih sangat. Rosmah Mansor ada banyak lagi anugerah lain yang dia dapat. Selain daripada anugerah “Lead By Example” daripada Unesco, Rosmah juga pernah terima beberapa anugerah lain, iaitu Anugerah Tokoh WanitaAnugerah Ekonomi China, dan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat oleh Sidang Kemuncak Ekonomi China Sedunia (WCES).

2. Gelaran ‘Datuk Seri’ Anwar Ibrahim ditarik balik Sultan Selangor

Sultan vs Anwar. Imej dari celahgelegar.blogspot.my

Pada tahun 2014, ada pergelutan politik yang terjadi di Selangor apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang pada masa tu Menteri Besar Selangor disuruh letak jawatan, dan dipecat oleh Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Salah satu sebab pemecatan Khalid Ibrahim tu adalah dia dikatakan mengingkari keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR, di mana dorang dah sebulat suara memilih Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang bakal menggantikannya.

Jadi bila menteri besar nak digantikan, Sultan Selangor pun kemudiannya arahkan PAS, PKR dan DAP mengemukakan beberapa nama untuk dipilih sebagai Menteri Besar Selangor yang baru. Tapi, cuma PAS je yang bagi lebih daripada satu nama. Manakala parti DAP dan PKR pula sama-sama mengemukakan hanya satu nama iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Nampaknya, kelakuan PKR tu dah menimbulkan rasa murka Sultan Selangor terhadap diorang. Walaupun diorang konfiden dengan siapa yang diorang nak sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, tapi Sultan nak lebih daripada satu nama untuk baginda pilih sendiri.

Sultan murka dengan DAP dan PKR. Imej dari FMT

Jadi, benda ni la yang menimbulkan ketegangan antara Parti Pakatan Rakyat (PKR) dengan istana, sebab diorang masih lagi bertegas dengan pendirian diorang.

Disebabkan murka dengan perkara tu, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kemudiannya bertindak menarik balik gelaran Datuk Seri yang pernah diberikan kepada Anwar pada tahun 1992. Pembatalan darjah kebesaran tu dibuat atas alasan Anwar mempersoal kewibawaan dan kuasa sultan serta institusi raja ketika krisis Menteri Besar Selangor tu.

Pulangkan. Imej dari dukacitata.blogspot

Selepas 22 tahun memegang gelaran Datuk Seri dari Darjah Kebesaran Selangor, gelaran tersebut kemudiannya dilucutkan oleh Sultan Selangor.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah berunding dengan Dewan di-Raja Selangor telah memutuskan bahawa Darjah Kebesaran Dato’ Seri yang dikurniakan kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah ditarik balik berkuatkuasa 3 November 2014.

Selaras dengan kuasa Baginda sebagai sumber bagi segala Penghormatan dan Kebesaran dan negeri Selangor serta kuasa untuk menurunkan Darjah Kebesaran sepertimana yang diperuntukkan di bahawa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959.” kata Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan.

Apa la agaknya Anwar frust sangat tu ye? Imej dari siemens-melayumaju

Tapi pada tahun 2017 ni, kita tengok Anwar Ibrahim masih lagi ada Datuk Seri. Macam mana pulak tu?

Kalau nak tahu, Sultan Selangor bukanlah satu-satunya raja yang pernah bagi penghormatan Datuk Seri kepada Anwar Ibrahim. Sebabnya, Anwar bukan ada satu, tapi tujuh lagi darjah kebesaran itu yang dianugerahkan padanya, menurut laman web Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri. Antaranya daripada Perlis (1995), Perak (1995), Pahang (1990), Sabah (1994), dan lain-lain, yang kebanyakannya diperoleh masa dia masih bertugas dalam kerajaan.

3. Penarikan darjah kebesaran Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo

Rupa-rupanya, Anwar Ibrahim bukanlah satu-satunya “Datuk Seri” yang ditarik balik darjah kebesarannya oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Sebab setahun selepas penarikan darjah kebesaran Anwar, kali ni Khir Toyo pulak yang hilang title tu.

Dan datuk ada seri sebab makan tempe. Imej dari darisungaiderhaka.blogspot.my

“Penarikan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) Kelas Pertama yang dikurniakan kepada Dr Mohamad Khir pada 2001 diputuskan oleh baginda selepas berunding dengan Dewan Diraja Selangor.”-Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Kalau gelaran Anwar pada tahun sebelumnya ditarik sebab dianggap tak menghormati Sultan Selangor sebab cuma mengemukakan satu nama saja, gelaran “Datuk Seri” Khir Toyo pula ditarik sebab terpalit dalam isu rasuah.

Berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan sebulan sebelumnya, iaitu Khir Toyo dikenakan hukuman penjara 12 bulan atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam, lapan tahun sebelumnya.

Imej dari beritaharian

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi, dalam laporan daripada mstar memberitahu,

“Memandangkan Dr Mohamad Khir Toyo didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman atas kesalahan yang dipertuduhkan, maka beliau adalah seorang yang tidak lagi layak dan sesuai untuk memegang darjah kebesaran ini.”-Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi

Bukan setakat titlenya saja ditarik balik, malah kerajaan negeri Selangor juga menegah pihak lain daripada memanggil Khir Toyo dengan gelaran yang dah ditarik balik tu.

Bila korang terpanggil Datuk Seri. Imej dari giphy

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menambah lagi, Sultan Selangor memandang berat terhadap reputasi penerima Darjah Kebesaran Negeri Selangor terutama dalam kalangan pemimpin negara dan negeri yang terlibat dalam mana-mana salah laku jenayah serta perlakuan tidak berintegriti seperti kesalahan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa. Para penerima Darjah Kebesaran Negeri Selangor hendaklah melindungi martabat darjah kebesaran yang dipakai selain memelihara status penerimanya.

“Sehubungan itu, Duli Yang Maha Mulia menasihatkan semua penjawat awam di semua peringkat dan semua lapisan pemimpin, golongan profesional dan pemimpin korporat secara amnya, supaya tidak mudah terpengaruh dengan amalan penyalahgunaan kuasa ataupun membiasakan diri dengan budaya rasuah dalam kehidupan seharian yang impaknya boleh membawa kepada kemusnahan martabat kaum, bangsa, rakyat, agama dan negara.”- Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor,

4. Perlucutan Datuk Seri dari Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman

Menteri Besar Terengganu yang ke-14, menggantikan Ahmad Said . Imej dari mhonline.com.my

Bermacam-macam kontroversi yang melanda negeri Terengganu. Selain mempunyai statistik masalah mental yang tinggi,  negeri Terengganu juga tak terlepas dengan kontroversi lain. Antaranya ialah masalah-masalah projek yang berlaku dan penukaran Menteri Besar beberapa kali atas pelbagai sebab.

Pada April tahun lepas, kontroversi pasal Menteri Besar negeri ni muncul lagi apabila Ahmad Razif Abd Rahman dilucutkan anugerah darjah kebesaran “Datuk Seri” oleh Sultan Terengganu.

Laporan FMT sebut, antara punca perlucutan anugerah “Datuk Seri” tu adalah disebabkan Sultan Terengganu murka dengan teks ucapan yang dibacakannya, yang telah memperkecilkan sumbangan Yayasan Diraja Sultan Mizan.

Tapi, surat khabar Cina pula buat spekulasi yang krisis tu berpunca daripada Ahmad Razif sendiri yang dikatakan menyokong pendakwah dari India, Dr Zakir Naik dan menawarkan tiga pulau di Tasik Kenyir kepada Zakir, bagi tujuan penubuhan cawangan atau pusat penyelidikan Islam bagi rantau Asia Tenggara di Terengganu. Tapi, kenyataan tu dinafikan Ahmad Razif.

Imej dari giphy

Sebelum permasalahan tu berlaku, Menteri Besar sebelumnya, Ahmad Said mengemukakan cadangan usul tak percaya terhadap Ahmad Razif pada Persidangan Dun pada bulan Mac, dan kemudiannya mengatakan Ahmad Razif cuma menghitung hari sebelum dilucutkan jawatan sebagai menteri besar. Ada juga penganalisis politik yang berpendapat Menteri Besar perlu berhenti supaya krisis tu tak berpanjangan.

Imej dari celahgelegar.blogspot.my

Tapi, kes ni tak lama. Empat bulan selepas tu, Ahmad Razif kemudiannya dapat Darjah Kebesaran Negeri Terengganu tu balik daripada sultan yang sama pernah melucutkan darjatnya.

“Setelah berunding dengan Dewan Pangkuan Diraja Negeri Terengganu adalah dimaklumkan Ke bawah Duli Maha Mulia Sultan telah mengampuni perkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z) kepada Yang Amat Berhormat Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkuat kuasa mulai hari ini.”- Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu

Ada juga orang yang berjasa, tapi tak minta penghargaan

Nak dapat sesebuah anugerah tu bukanlah senang, sebab banyak aspek yang perlu dipandang. Walaupun begitu, korang kena tahu yang sebenarnya ada juga orang lain yang betul-betul layak untuk terima anugerah, tapi tak minta pun sebab diorang buat secara ikhlas.

Imej dari quickmeme.com

Tak lama dulu pun, ada juga beberapa orang yang pernah menolak gelaran dan darjah. Salah seorangnya adalah Tun Ghafar Baba, seorang negarawan dan tokoh politik Malaysia. Walaupun  sampai ke jawatan Timbalan Perdana Menteri, dia masih menggunakan gelaran “Encik Ghafar Baba”.

Tun Ghafar Baba juga pernah beberapa kali menolak daripada menerima sebarang pingat atau darjah kebesaran sepanjang bergerak aktif dalam politik dan kerajaan.

“Bukan berjuang demi kepentingan diri dan mengharap balasan seperti pangkat atau jawatan. Malah beliau seringkali menolak pangkat dan darjat, walaupun telah diberi gelaran Tun, beliau lebih selesa jika disapa dengan panggilan ‘Pak Ghafar’ atau ‘Cikgu Ghafar’ sahaja.”- dipetik dari Sumbangan Tun Ghafar Baba kepada pembangunan sosio-ekonomi Malaysia, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.