Ayatollah Khomeini: Imam Syiah yang memimpin Revolusi Iran dan menggulingkan diktator sekular

UPDATE 18/9/2019: Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim ada mengeluarkan kenyataan agar sekolah dijadikan tempat awal untuk hilangkan Syiah fobia dalam kalangan masyarakat Malaysia. Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik meraikan cadangan tapi hanya melalui perbincangan dahulu.

Namun, tahu tak korang, macam mana unsur-unsur Syiah ni masuk ke dalam negara kita? Dalam artikel ni ada terangkan dan ianya bermula dengan…

______________________________________________________________________

Pada 29 tahun yang lalu, pada tarikh 6 Jun telah berlakunya himpunan manusia besar-besaran (dianggarkan 10 juta orang) di Tehran, Iran. Tujuan kedatangan mereka adalah untuk memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin Revolusi Iran dan Imam Besar Syiah, Imam Ayatollah Rahullah Khomeini.

Pada setiap tahun juga, rakyat Iran akan menyambut hari memperingati ulang tahun kematian tokoh revolusi Iran itu. Tapi baru-baru ni, Iran dikejutkan dengan serangan bersenjata di bangunan parlimen dan makam Khomeini. Kesan dari serangan itu menyebabkan 17 orang terbunuh. Buat masa sekarang, pihak berkuasa Iran dah membunuh 4 orang suspek pengganas dan menahan lebih kurang 60 orang suspek yang dikaitkan dengan Daesh.

Pemimpin Revolusi Iran dan Imam besar Syiah, Ayatollah Khomeini. Imej dari rferl.org

Walaupun begitu, sehingga ke hari ini, Khomeini tetap dikenang sebagai seorang pemimpin agung di Iran. Kejayaannya dalam membangkitkan revolusi yang digelar sebagai ‘revolusi Islam’ menyaksikan kebangkitan besar-besaran pengaruh Syiah di dunia.

Pada mulanya, ramai juga di antara umat Islam yang memandang tinggi dengan kejayaan Khomeini. Tapi sesuai dengan peredaran zaman, perasaan kagum itu tak lagi dikongsi oleh seluruh umat Islam di dunia ini. Hal ni kerana seperti yang kita tahu, akidah Khomeini sangat bertentangan dengan apa yang dipegang oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Oleh itu, SOSCILI kali ini ingin berkongsi kisah hidup Khomeini dan bagaimana dia pernah diangkat sebagai seorang pemimpin agung di Iran.

Berjuang menentang pemerintahan diktator

Rahullah Mousavi Khomeini dilahirkan di Khomein, Iran pada tahun 1902 dalam keluarga yang kuat berpegang dengan ajaran Syiah. Masa berumur 5 bulan, Khomeini jadi anak yatim bila ayahnya meninggal dunia. Seperti mereka yang datang dari keluarga tradisional dan keagamaan di Iran, Khomeini mulakan pendidikannya dengan menghafal al-Quran.

Lepas itu, dia berpindah ke Qom, sebuah kota suci untuk penganut Syiah. Kat sana dia mula belajar dengan Ayatollah Heari-ye Yazdi, seorang ulama Syiah yang berpengaruh. Ayatollah adalah gelaran yang dibagi kepada ulama besar Syiah. Lepas Ayatollah Heari-ye Yazdi meninggal dunia, Ayatollah Boroujerdi pulak diangkat sebagai ulama Syiah yang terpenting di Qom. Khomeini mula menjadi pengikut setia kepada Boroujerdi.

Khomeini (tengah) masa zaman muda. Imej dari Iran Chamber Society.

Bagaimanapun, ada perbezaan di antara Khomeini dengan dua Ayatollah tadi. Ini kerana, kedua-dua Ayatollah tadi tu tak berapa kritikal kepada pemerintah Iran ketika itu, Reza Shah (bapa Shah Mohammad Reza Pahlavi). Mereka percaya yang agama tak patut campur tangan dalam urusan kerajaan.

“Jadi, ketika Reza Shah melemahkan kuasa pemimpin-pemimpin agama dan mempromosikan negara sekular, kebanyakan dari tokoh-tokoh agama di Iran tetap senyap dan menggalakkan pengikut mereka melakukan perkara yang sama.” – Dipetik dari Biography.com

Tapi bila Boroujerdi meninggal dunia pada 1961, Khomeini pula diangkat sebagai Ayatollah yang berpengaruh di Qom. Ketika inilah dia mula aktif dalam gerakan politik dengan mengkritik rejim Shah Mohamad Reza Pahlavi (Shah Iran). Tindakan Shah yang terlalu condong kepada Barat, berfahaman sekular dan cuba memodenkan Iran dengan cara Barat ditentang hebat oleh golongan agama dan Khomeini sendiri.

Wow!! Siapa sangka kat Iran pernah boleh macam ni. Imej dari idiva.com

Pada tahun 1963, Shah melancarkan Revolusi Putih (White Revolution) yang antara tujuannya  adalah untuk melemahkan pengaruh golongan agama. Shah juga masa tu tuduh golongan ulama (Syiah di Iran), yang dianggapnya sebagai golongan kelas iaitu hanya tertumpu kepada satu golongan sahaja.

Khomeini balas balik tuduhan itu dengan tuduh Shah melanggar perlembagaan, membiarkan gejala rasuah berleluasa dan menuduhnya menjadikan Iran sebagai boneka Amerika dan Israel. Selain itu, ada juga tindakan Shah yang ditentang seperti:

  1. Shah memberikan sokongan yang sangat kuat kepada kroninya untuk mengekalkan kuasa.
  2. Menjadikan keluarga Pahlavi sebagai keluarga paling kaya di Iran.
  3. Kekayaan negara tidak dibahagikan secara sama rata dan hanya menguntungkan pihak-pihak tertentu.
  4. Memerintah secara autokratik dan menubuhkan pasukan SAVAK, sebuah pasukan polis rahsia yang menekan pihak penentang.
Banyak cantik dia.

Kelantangan Khomeini menyebabkan dia ditahan dan dipenjara oleh regim Shah. Bagaimanapun, dia dibebaskan pada 1964. Hasilnya pengaruh Khomeini kepada masyarakat Iran semakin bertambah. Shah pulak teruskan polisinya yang pro-Barat.

Hidup dalam buangan dan kembali semula sebagai hero

Bila tekanan Khomeini kepada pemerintah semakin kuat, pihak pemerintah pun ambil keputusan untuk buang dia dari Iran. Ketika inilah, Khomeini mula hidup dalam buangan dan menetap kat beberapa buah negara seperti Turki, Iraq dan Perancis.

“…pada 4 November 1964, sekali lagi pasukan komando mengepung rumah Ayatollah Khomeini di Qom, menahannya dan pada masa itu terus membawanya ke Lapangan Terbang Mehrabad di Tehran untuk dibuang negara ke Turki, dengan harapan Khomeini akan dilupakan.” – Dipetik dari Iran Chamber Society.

Khomeini masa kat Paris. Imej dari awesomestories.com

Pada tahun 1970-an, regim Shah jadi semakin tak popular bila banyak mogok, rusuhan dan demonstrasi besar-besaran berlaku di seluruh Iran. Shah pulak gunakan cara kekerasan untuk berhadapan dengan penentang-penentangnya. Pada 1977, seorang reformis Islam dan pejuang revolusi, Ali Shariati pula ditemui meninggal dunia di England. Kematian Shariati menimbulkan khabar angin yang dia dibunuh oleh SAVAK (polis rahsia Iran). Tak lama selepas itu, anak Kohomeini, Mustapha pula meninggal dunia.

Dengan adanya peristiwa-peristiwa itu, penentangan terhadap pemerintahan Shah semakin memuncak. Kematian Shariati jugak membuatkan Khomeini diangkat sebagai pemimpin revolusi paling berpengaruh dalam menentang regim Shah. Sedar dengan penentangan yang semakin kuat, Shah jadi takut dan ambil keputusan meninggalkan Iran pada Januari 1979. Perginya Shah itu memberikan peluang kepada Khomeini untuk kembali ke Iran.

Ali Shariati dan Mustofa Khomeini. Imej dari Wikipedia.

Tapi lepas tu, muncul pulak kebimbangan dan khabar angin bahawa pesawat yang akan dinaiki Khomeini itu akan diserang. Jadinya 120 orang wartawan dibawa bersama ke dalam pesawat tersebut.

“Kami dengar yang pesawat mungkin akan diserang. Jadi kami bawa wartawan bersama kami ke atas pesawat sebagai insuran.” – Mohsen Sazegara, Pegawai akhbar Khomeini.

Sekembalinya Khomeini ke Iran, dia telah disambut secara besar-besaran. Khomeini kemudiannya laancarkan referendum sama ada rakyat Iran hendakkan Republik Islam di negara itu. Keputusannya, majoriti rakyat menyokong. Maka terbentuklah Republik Islam Iran pada 1 April 1979.

Terbentuknya Republik Islam Iran yang meletakkan Khomeini sebagai pemimpin tertinggi

Apabila Republik Islam Iran berjaya dibentuk, Khomeini dilantik menjadi pemimpin tertinggi negara tersebut. Pembentukan kerajaan yang baru juga ditentukan berdasarkan buku tulisan Khomeini Hokumat-e Islami: Velayat-e faqih yang diterbitkan masa Khomeini hidup dalam buangan.

Walaupun Khomeini memegang jawatan sebagai pemimpin tertinggi Iran, tapi jawatan Presiden masih lagi diwujudkan. Kedua-dua jawatan ini juga mempunyai tugas-tugas mereka yang tersendiri. Berikut adalah perbezaan bidang kuasa pemimpin tertinggi dan Presiden.

Pemimpin tertinggi Iran (Supreme leader)

  1. Dipilih melalui Ahli Majlis (Assembly of Experts).
  2. Kedudukan yang tertinggi dalam kuasa politik dan agama.
  3. Berkuasa melantik jawatan-jawatan tinggi seperti Panglima Angkatan Tentera, Ketua Hakim dan Ahli Majlis Keselamatan.
  4. Pemimpin tertinggi angkatan bersenjata dan berkuasa mengisytiharkan perang.
  5. Berkuasa memecat Presiden jika perlu.

Presiden Iran

  1. Dipilih melalui Pilihanraya Presiden.
  2. Bertanggungjawab menandatangani perjanjian dengan negara-negara lain, organisasi-organisasi antarabangsa dan sebagainya.
  3. Berkuasa melantik menteri, duta dan membentuk kerajaan selepas mendapat persetujuan parlimen.
  4. Bertindak sebagai ketua badan eksekutif dan tidak melebihi kuasa Pemimpin Tertinggi Iran.
Pemimpin Tertinggi Iran sekarang, Ayatollah Ali Khamenei. Imej dari Washington Times.

Ketika Iran terbentuk sebagai sebuah Republik Islam, dasar negara tu berubah sama sekali. Kalau dulu, Iran adalah sekutu Amerika kuat, tapi sekarang tidak lagi. Undang-undang syariah juga mula dijalankan di Iran.

Mengetuai Iran dalam berperang dengan Iraq

Tak lama lepas berlakunya Revolusi Iran, satu perkara yang tak disangka terjadi. Ia adalah bila Iraq di bawah pimpinan Saddam Hussein mula bertindak menyerang negara itu pada 1980. Hal ini terjadi apabila Iraq menuntut hak kedaulatan kawasan yang kaya dengan minyak, Khouzestan di barat daya Iran. Kawasan itu jugak ada jumlah penduduk Arab yang besar.

Sebelum itu, di pihak Iran, Khomeini telah menyeru supaya kerajaan Parti Baath (parti Saddam Hussein) digulingkan. Ini kerana Saddam telah bertindak menghalau 40,000 orang Syiah dan mengarahkan hukuman bunuh kepada Ayatollah Muhammad Baqir al-Sadr (seorang ulama Syiah di Iraq). Seruan Khomeini itu sedikit sebanyak dah membuatkan pimpinan Saddam berasa terancam.

“Perang Iraq dengan secara terbuka dibiayai oleh Arab Saudi, Kuwait dan negara-negara jiran Arab yang lain dan secara diam-diam disokong oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet, manakala sekutu utama Iran adalah Libya dan Syria.” – Dipetik dari Encyclopedia Britannica.

Sila angkat tangan! Imej dari telesurtv.net

Serangan Iraq ini dikatakan bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan negara itu di rantau Arab dan untuk menghalang dominasi Iran sebagai sebuah kuasa baru yang muncul di atas nama revolusi. Saddam jugak melihat Iran masa tu sebagai sebuah negara yang baru je mula bentuk kerajaan, dengan keadaan yang masih tak teratur dan sebuah negara yang mula dipinggirkan dari kuasa dunia.

Jadi Saddam cuba ambil kesempatan dengan keadaan itu. Tapi nampaknya, ia bukan mudah seperti yang disangka. Saddam terlupa yang Iran pernah melalui gerakan revolusi yang terancang dan semangat patriotik yang masih tebal di kalangan rakyatnya pasca revolusi.

Dia ingat kita ni siapa? – Khomeini

Peperangan ini berlanjutan selama 8 tahun dan akhirnya tamat pada 1988. Hal ini terjadi apabila Iran bersetuju menerima Resolusi 598, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membawa kepada gencatan senjata pada 20 Ogos 1988. Dianggarkan jumlah kematian keseluruhan adalah 1 juta untuk Iran dan 250 ribu hingga 500 ribu untuk Iraq.

Revolusi Iran bagi inspirasi pada gerakan politik Islam dunia

Kejayaan Revolusi Iran telah menunjukkan kebangkitan gerakan Syiah di Timur Tengah. Sebagai contoh, munculnya gerakan Hezbollah di Lubnan yang mendapat tajaan dan sokongan kuat dari Iran. Kewujudan Hezbollah juga telah mengubah landskap politik Lubnan.

“Kemunculan Hezbollah di Lubnan merupakan rangsangan moral pasukan Syiah di Iraq, perang dingin melawan Arab Saudi dan Israel, dengan meminjam perasaan Islam untuk membangkitkan sentimen anti-imperialis dan anti-Amerika di Timur Tengah. Dan secara tak sengaja ia meluaskan perpecahan di antara Sunni-Syiah, yang paling penting bagi saya ia adalah produk dari Revolusi Iran.” – Prof Mehrzad Boroujerdi, Syracuse University. Dipetik dari Al-Jazeera.

Seorang budak lelaki membawa bendera Hezbollah. Imej dari nytimes.com

Jenama Revolusi Iran itu juga cukup ampuh dan adakalanya menyusahkan agenda Islam di dunia. Sebagai contoh, Algeria pada sekitar tahun 1992 dah digelarkan sebagai ‘The Little Iran’ hanya kerana kemenangan parti Islam FIS (Front Islamique Salvation). Gelaran tu cukup berjaya melumpuhkan kebangkitan politik Islam apabila kemenangan FIS dibatalkan dan tentera mengambil alih pemerintahan. 

Kesan dari Revolusi Iran juga telah membangkitkan kesedaran Islam yang kuat di kalangan para pelajar. Konsep kekuasaan ulama dan pelaksanaan hukum Islam oleh Khomeini cukup mempesonakan gerakan-gerakan Islam. Kejayaan revolusi itu juga telah membuatkan Malaysia menghantar pelajar-pelajarnya ke Iran. Malah pemuda-pemuda PAS juga beberapa kali pergi melawat Iran untuk belajar dan kaji macam mana golongan ulama dapat berjaya kat sana.

“Rentetan itu PAS telah dituduh cuba membawa masuk semangat revolusi menerusi resolusi Dewan Pemuda PAS untuk menegakkan kepimpinan ulama.

Haji Yusuf Rawa telah menjawab tuduhan tersebut dengan mengatakan bahawa Revolusi Iran memang memberikan inspirasi kepada PAS, tetapi menggerakkan revolusi seperti itu adalah tidak bersesuaian untuk warga Malaysia.” – Dipetik dari jurnal Memahami Hubungan Gerakan Syiah Antarabangsa dengan Syiah di Malaysia: Penilaian di Facebook.

Datuk Ibrahim Ali (Presiden PERKASA) juga pernah jumpa Ayatollah Khomeini. Imej dari ikhwanhafiz.blogspot

Bekas Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu (sekarang Presiden AMANAH) juga mengaku yang dia adalah pengkagum Khomeini dan Hassan Nasrullah (pemimpin Hezbollah). Sebelum ini juga, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) ada bagi 10 bukti untuk kaitkan Mat Sabu dengan Syiah. Tapi dalam hal ni, Mat Sabu nafikan yang dia adalah penganut Syiah.

“Saya memang kagum dengan kepimpinan Khomeini kerana dia seorang pemimpin yang boleh bawa orang Islam berdiri sendiri. Saya juga kagum dengan Hassan Nasrullah.” – Mohamad Sabu, dipetik dari Malaysiakini.

Kagum kepada Khomeini ada batasnya

Akhirnya, Khomeini meninggal dunia pada 1989 pada usia 86 tahun. Dianggarkan 10 juta orang menghadiri upacara pengkebumiannya. Di akhir upacara itu, dilaporkan 8 orang meninggal dunia, lebih dari 440 orang dimasukkan ke hospital dan 10,800 orang tercedera.

Memang tak dinafikan Revolusi Iran yang dipimpin oleh Khomeini adalah satu kejayaan yang besar menentang pemerintahan diktator. Untuk kita mengagumi Khomeini dalam perjuangannya tak salah, tapi pegangan Khomeini sangat bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Khomeini pada hayatnya, dia meruntuhkan patung Shah Iran. Memang padan pun regim itu ditumbangkan. Kerana membazir wang rakyat buat patungnya. Tapi bila Khomeini mati, orang Syiah buat kubur dia berkubah emas lebih mahal dari patung Shah. Saya tak kisah, sebab ada sudut yang bagus (tentang Khomeini).

Rumahnya kecil, hidup dalam keadaan zuhud. Tapi itu bukan menentukan aqidah yang betul. Ghandi kasut lagi tak pakai, lagi kelas. Tapi tak bermakna akidahnya betul.” – Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.

Hal in jelas apabila, banyak dalam buku-buku Khomeini yang mengutuk dan mencaci khalifah Islam seperti Saidina Abu Bakar dan Uthman. Malah Khomeini juga pernah mengatakan yang kedudukan seseorang Imam Syiah itu sangat tinggi dan tak boleh dicapai oleh malaikat dan para nabi.

Almarhum Said Hawwa, ulama dan pejuang gerakan Islam, pernah berjumpa sendiri dengan Khomeini. Imej dari newscenter.news

Al-Marhum Said Hawwa yang memimpin gerakan Islam di Syria pernah bertemu dengan Khomeini untuk tahu siapa dia Khomeini. Lepas je perjumpaan itu, Sa’id Hawwa ada menulis satu bukunya bertajuk al-Khomeiniyyah : Syudzuz fi Al-‘Aqaid wa Al-Mawaqif (Khomeinisme: Keganjilan Aqidah dan Pendirian Politik). Dalam buku itu, Said Hawwa mengatakan:

“Wahai pemuda-pemuda umat ini, hendaklah kamu bercita-cita untuk negara yang hak dan benar. Dan janganlah kamu tertipu dengan Khomeinisme, dia merupakan negara yang batil, merupakan negara yang hancur, dia mengembalikan umat Islam ke belakang…

Sesiapa yang menyokong, apatah lagi menolong dan berkerjasama dengan Khomeini, serta gagasan Khomeini baik dari akidahnya mahupun politiknya adalah pengkhianatan kepada Allah dan Rasul.” – Al-Marhum Said Hawwa.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.