Kes-kes Menteri Besar yang dipecat sebab perbalahan dengan istana

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 15 April 2019 dan dikemaskini sesuai dengan berita semasa.*

____________________________________________________________________________________

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)

Kalau korang perasan, negara-negara yang ada sistem beraja ni biasanya ada satu je Raja dan Permaisuri. Tapi di Malaysia pula, kita ada sampai 9 orang raja yang ada peranan tersendiri di negeri-negeri taklukan mereka, yang salah satunya adalah kuasa ke atas institusi agama di negeri mereka. Manakala pentadbiran negara pula, mereka tak boleh senang-senang masuk campur.

Sebab tu la ada ahli-ahli politik yang pernah menyuarakan hal ni macam Annuar Musa, Muhyiddin Yassin, malah Tun Mahathir, dan ramai lagi. Malah, ada juga yang pernah berbalah dengan istana sampai dipecat jadi Menteri Besar, antaranya…

1. MB Pahang yang dilucut jawatan sebab masuk campur pasal sistem pembalakan

Mungkin ada antara korang yang tak pernah dengar pasal Datuk Abdul Rahim Bakar, MB Pahang yang terpaksa  berundur dari jawatan enam bulan sebelum PRU pada tahun 1982. (Dipetik dari  Hari Itu Sudah Berlalu, Zainuddin Maidin)

Datuk Abdul Rahim Bakar. Imej dari buku penulisan Zainuddin Maidin, ‘Hari itu sudah berlalu’.

Jawatan MB Pahang tu kemudiannya dipangku oleh Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman sebelum diambil alih oleh bekas Perdana Menteri, Najib Razak menerusi PRU tahun yang sama.

Puncanya, Datuk Abdul Rahim Bakar ni dikatakan membetulkan pentadbiran negeri mengenai sistem pembalakan. Tindakannya yang memperkenalkan sistem tender terbuka untuk syarikat dapatkan kawasan pembalakan di Pahang, terutamanya yang menawarkan dengan harga tertinggi tak disukai Sultan Pahang pada masa tu.

Dah lama dah sebenarnya istana kurang suka kat dia, sebab dua tahun sebelum tu, dia tak dibenarkan berucap pada upacara keputeraan Sultan Pahang pada 1980 semasa dijemput ke istana. Tahun depannya pulak lagilah, dia langsung tak dijemput lagi sehingga dia dipecat tahun seterusnya, 1983. Mahathir yang baru je dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun yang sama masih lagi baru dan memerlukan kestabilan politik bagi mengukuhkan kedudukannya.

Penduduk kampung keluar beramai-ramai untuk menyaksikan Majlis Sambutan Kedatangan MB mereka, Abdul Rahim Abu Bakar di mana ia merupakan tugas terakhirnya Menteri Besar Pahang.

Walaupun dia dianggap MB yang kontroversi, tapi berkredibiliti kerana berjaya membangunkan banda-bandar kecil, dan mempunyai visi yang jelas. Dia juga banyak merujuk kepada PM sebelum tu, Tun Hussein Onn dalam tindakannya untuk mentransformasi sosial dan politik Pahang.

Ini bukanlah kali pertama seumpamanya perbalahan antara Sultan dengan Menteri Besar berlaku. Dah banyak kali, dan ia adalah seawal tahun 1920-an lagi, iaitu:

2. Kritikan Dato Onn Jaafar terhadap Sultan Johor yang melelong harta ayahnya

Bagi korang yang tak tahu, Dato’ Onn yang merupakan golongan bangsawan, tapi dia sendiri adalah seorang yang anti-feudal. Malah, perkara ni sedikit sebanyak menyebabkan dia tak terpilih semasa persaingan politiknya dengan Tunku Abdul Rahman yang dilihat lebih cenderung kepada nasionalisme tradisional semasa isu pelantikan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Inggeris di Malaya.

Atas sikap yang sama, dia juga memegang penuh prinsip kebebasan bersuara dalam mengkritik sesuatu dasar dan pemerintahan. Salah satunya apabila dia lantang mengkritik Sultan Ibrahim mengenai isu pemilikan harta secara terbuka ketika bekerja di Pejabat Penasihat Johor.

Antara krisis terawal pentadbir vs istana.

Malah, dia juga mempersoalkan Sultan Johor yang melelong harta ayahnya, Dato’ Jaafar yang dikatakan berhutang dengan kerajaan negeri Johor. Disebabkan hal ni jugalah, Dato’ Onn dibuang kerja pada Jun 1920, dan dibuang negeri ke Singapura. 

Dia hanya diterima kembali pada tahun 1922 bila Tunku Ismail berjaya pujuk Sultan Ibrahim.

Dari kiri: Permaisuri, Sultan johor, dan Dato’ Onn pada 1940-an. Imej dari Arkib Negara.

Perkara ni juga pernah disebut oleh Tun Mahathir (masa tu Dr Mahathir), waktu pertama kali dia nak pinda akta inda Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan kekebalan Raja-Raja yang mengakibatkan kontroversi besar zaman tu.

“Allahyarham Tun Hussein Onn, semasa menjadi Perdana Menteri, pernah dalam ucapan bertulis di suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja, yang dihadiri hanya oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia atau wakil-wakil mereka sahaja, menegur dengan kerasnya perbuatan Raja-Raja yang tidak harus dilakukan. Tetapi semua teguran ini tidak berkesan.” – Dr Mahathir Mohammad, dipetik dari ucapannya di Parlimen (18/01/1993).

Mana taknya, sebelum perbahasan tu, raja kebal daripada apa-apa prosiding mahkamah. Tapi disebabkan tu jugalah wujudnya Mahkamah Khas Raja-raja kalau berlakunya khilaf antara mereka.

Raja-raja sebagai penimbangtara. Imej dari harakahdaily.net

3. Tak puas hati dengan Menteri Besar Perak yang menyebabkan Sultan bernazar tak nak cukur jambang

Dalam kes kat Perak pulak, terjadinya krisis antara Menteri Besar Tan Sri Ghazali Jawi (Allahyarham) dengan Sultan Perak. Mulanya, Ghazali letak jawatan pada tahun 1959 bila jadinya perselisihan faham dengan Almarhum Sultan Yusof pasal isu pelantikan Raja Bendahara kepada Datuk Bendahara.

Tapi pada tahun 1974, Ghazali sekali lagi jadi MB Perak bila Tun Razak memohon Baginda Sultan melantik Ghazali Jawi. Tapi dengan syarat, lantikan bertempoh hanya dua tahun je dan lepas tu, barulah Sultan boleh lantik ADUN lain sebagai MB.

Ghazali Jawi (kanan), masa Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Tetap ASEAN . Imej dari 1foto.penerangan

Apa jadi lepas tu? Lepas tempoh dua tahun tu tamat, Ghazali Jawi nampaknya tak nak lepaskan jawatan. Kali ni, Sultan Perak – Sultan Idris (Almarhum) pula berkrisis dengan Ghazali dan membuatkan Sultan Perak memprotes, tak nak hadir di mana-mana majlis yang ada Ghazali dan…

“Sultan mengambil tindakan bernazar dengan menyimpan janggut, misai dan jambang, iaitu selagi Haji Ghazali Jawi menduduki kerusi Menteri Besar, Baginda tidak bercukur.” – Mokhtar Petah, dipetik dari buku: Siapa Bakal Menteri Besar Perak.

Bila masalah tu berjaya je diselesaikan dan Ghazali akhirnya letak jawatan, barulah Sultan Perak berkenan nak cukur janggut dalam satu upacara.

Sebelum wujudnya No Shave November. Imej dari orangperak.com

Pada tahun 2009, sejarah berulang sekali lagi bila empat ADUN Pakatan Rakyat (PR) dah keluar parti dan jadi wakil bebas. Mereka ni kemudiannya isytihar sokong BN. Bila jadi macam ni, MB Perak masa tu – Nizar Jamaluddin minta supaya Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Rupa-rupanya, MB Perak ni tak disenangi istana, malah Sultan Perak pada masa tu, Sultan Azlan Shah sendiri mengarahkan Nizar supaya meletak jawatan. Nizar pada masa tu juga baru je menjawat jawatan MB Perak selama 11 bulan (sama tempohnya dengan kes MB Johor sekarang).

Bagaimanapun, mengikut undang-undang negeri Perak, seorang Menteri Besar tak boleh dipecat Sultan Perak kalau alasannya cuma tak dapat perkenan sultan. Sebabnya, pemecatan Menteri Besar oleh Sultan Perak tak disokong oleh Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak. Maksudnya kat sini, ia tertakluk bawah undang-undang sesebuah negeri tu sama ada Sultan boleh lantik atau tak seseorang Menteri Besar tu.

Perkara tu sempat dibawa ke Mahkamah Tinggi, dan nampaknya, keputusan mahkamah lebih menyebelahi Nizar berdasarkan Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Tapi Sultan tak memperkenankan permintaan tu dan DUN Perak tak dibubarkan. Bila jadi macam tu, Nizar tak nak lepas jawatan sebagai MB. Maka, jadilah banyak kekecohan kat Perak macam persidangan DUN bawah pokok, demonstrasi, malah ada cubaan menghalang kereta yang membawa Raja Muda Perak.

Demonstrasi tak puas hati pasal lompat parti yang berlaku masa tu.

Isu yang pada mulanya dibawa ke mahkamah, tapi lama-lama jadi sejuk sampailah BN pula yang diberi mandat untuk mentadbir Perak pada PRU-13.

4. Mat Taib yang dimurkai sebab kahwin lari dengan anak Sultan Selangor

Kerusi MB yang panas ni selalunya Selangorlah. Mana taknya, ada je kontroversinya. Beberapa tahun memegang jawatan MB, Mat Taib buat kontroversi bila dia kahwin lagi. Nak nak pula bila Mat Taib berkahwin secara sulit dengan Tengku Zahariah, yang juga adalah puteri Sultan Selangor pada masa tu.

Mat Taib. Imej dari mysuara.net

Perkara ni menarik perhatian media dan menggemparkan masyarakat pada zaman tu,

“Kisah perkahwinan ini berlarutan di akhbar-akhbar hingga berbulan-bulan dan puncaknya ialah Sultan Selangor memaafkan Muhammad Taib dan puterinya. Perdana Menteri, Dr Mahathir menganggap laporan mengenainya telah berlebihan.” – Hari Itu Sudah Berlalu, Zainuddin Maidin, m/s 221.

Bagaimanapun, perkahwinan kontroversi ni tak kekal lama, Mat Taib dan Tengku Zahariah bercerai setelah 4 tahun berumah tangga. Tapi bukan sebab ni lah dia dilucutkan jawatan MB Selangor ni.

Kontroversi melibatkan Mat Taib masih tak selesai lagi. Pada tahun 1996, Mat Taib ditahan oleh pihak berkuasa Australia ketika membawa wang seberat 19kg masa naik sebuah pesawat di negara. Dia gagal isytihar duit bernilai lebih dari AS$ 1.26 juta bila berlepas ke New Zealand dari Australia tu.

Luggage yang besar jangan disangka tiada duit

Akhirnya pada 14 April 1997, Mat taib terpaksa lepaskan jawatannya sebagai MB apabila dia didakwa di Mahkamah Australia. (Kisah ni dipetik dari Hari Itu Sudah Berlalu, Zainuddin Maidin)

5. Idris Jusoh, Menteri Besar yang tak disenangi pihak istana Terengganu

Selain daripada kerusi Menteri Besar yang panas di Selangor, di Terengganu pun bolah tahan juga tahap kepanasan, macam keropok losongnya. Mana taknya, dalam tempoh 10 tahun je, berapa kali Menteri Besar Terengganu ditukar ganti.

Isunya bermula apabila Idris Jusoh tak disenangi oleh Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang seterusnya suruh dia letakkan jawatan. Tapi, Idris Jusoh yang berasal dari Besut, Terengganu ni ada pengikutnya yang tersendiri yang suka dengan cara pentadbirannya bila BN ambil alih Terengganu pada masa tu.

Idris Jusoh. Imej dari Malaysian News

Disebabkan rasa tak puas hati terhadap titah Sultan tu, nampaknya beberapa kain rentang tiba-tiba muncul di beberapa kawasan di negeri tu yang berbunyi Kami nak Idris, natang”, yang bermaksud “kami hendak Idris, binatang” dalam loghat Terengganu.

Imej dari mindarakyat

Tapi, sampai sekarang takde siapa pun yang mengaku pasang kain rentang tu. Insiden tu dalam masa yang sama juga dah menimbulkan persepsi di mana berlakunya penderhakaan kepada institusi beraja di negara ini.

Bagaimanapun, Idris Jusoh akur dengan keputusan di mana dia tak dapat perkenan istana sebagai menteri besar bagi penggal kedua. Punyalah panas kes tu, sampaikan empat kertas siasatan dibuka daripada 26 aduan sepanjang krisis tu berlaku.

Tempat Idris Jusoh kemudiannya diganti oleh ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar ke-13 selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu.

Datuk Seri Ahmad Said. Imej dari mstar

Tapi, isu tu nampaknya tak disenangi Perdana Menteri masa tu, iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mempertikai hak Sultan melantik Menteri Besar, dan mengatakan pelantikan Ahmad Said “tidak mengikut Perlembagaan”. Tapi setakat tu je la.

Beberapa tahun lepas tu pula, nampaknya ada sesuatu yang tak kena sampaikan Ahmad Said ‘dipaksa meletak’ jawatan Menteri Besar. Pada mulanya dia tak nak letak jawatan, malah siap mengugut untuk mendedahkan rahsia kerajaan. Tapi dia akhirnya lepaskan juga. Ni membawa kepada pelantikan Ahmad Razif pada Mei 2014.

Razif yang pernah dilucutkan darjah kebesaran oleh Sultan Terengganu sebab memperkecilkan sumbangan Yayasan Diraja Sultan Mizan. Imej dari Astro Awani

Selepas beberapa tahun berlalu, Ahmad Said yang lama mendiamkan diri nampaknya mungkin hilang sabar, dan mendedahkan pasal peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar dulu ada kaitan dengan Terengganu Invesment Authority (TIA) yang sekarang dikenali 1MDB. 

Katanya, dia pernah menolak cadangan 1MDB untuk pajak gadai hasil petroleum dan gas di Laut Terengganu yang menyebabkan Perdana Menteri tak puas hati dan mendesaknya meletakkan jawatan.

Ahmad Said bagi statement pasal 1MDB kat SPRM selepas tuymbangnya BN pada PRU14. Imej dari Malaysia Gazette

6. Istana Johor yang tak ‘berkenan’ dengan pelantikan Osman Sapian semasa pentadbiran PH

Nampaknya tak lama lepas pegang negerinya lepas menang di bawah tiket Pakatan Harapan, Menteri Besar Johor, Osman Sapian meletak jawatan berkuat kuasa pada 8 April. Perkara ni disahkan oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir sendiri.

TMJ pulak dalam masa yang sama mendedahkan pasal arahan untuk menukar menteri besar sudah lama diberikan ayahandanya, iaitu sejak beberapa bulan yang lepas lagi. Dia juga sempat mengingatkan semua di mana kuasa memilih menteri besar adalah hak mutlak sultan. Tak cukup dengan tu, TMJ menyindir lagi dengan bagi hint yang lepas ni, dia tak nak lagi MB Johor seterusnya jadi ‘yes man’.

Dari Twitter rasmi TMJ.

Raja dan pentadbir negara perlu bekerjasama

Di Malaysia, kita mengamalkan sistem raja berperlembagaan di mana penguasa tak memegang kuasa mutlak. Raja juga sebenarnya takde kuasa untuk campur tangan dalam pentadbiran kerajaan secara langsung di mana Raja hanya boleh mengulas secara berhati-hati dan bukan di hadapan umum. Ini juga bermakna yang pentadbir juga tak boleh berbuat sesuka hati sebab raja boleh jadi penimbangtara terakhir dalam politik. Ini yang sepatutnya dijadikan contoh buat rakyat.

Sedangkan lidah lagi tergigit. Imej dari The Malaysian Insight

Kesimpulannya juga, tiada siapa pun patut pegang kuasa mutlak sebab bak kata pepatah Inggeris, ‘power corrupts; absolute power corrupts absolutely’. Malah, sejarah dah menunjukkan yang pemerintahan mutlak boleh menyebabkan pelbagai masalah dalam pentadbiran sesebuah empayar tu, contohnya macam kisah Maharaja China terakhir, Ratu Perancis Marie Antoinette yang dipenggal, The Russian Imperial Romanov, dan banyak lagi.

“Sejarah menunjukkan bahawa perbuatan pecah amanah dan rasuah serta nafsu tamak harta dan penggunaan kuasa secara rakus oleh manusia adalah faktor yang menyebabkan kejatuhan banyak kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dipetik oleh Sinar Harian .

(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)