Mesej-mesej tersirat berunsurkan politik dalam filem-filem Melayu

Sebelum masuk ke topik utama artikel ini, mari kami explain dulu apakah definisi mesej tersirat. Baiklah, mesej tersirat ialah satu mesej tersembunyi yang diletakkan dalam sesuatu platform supaya orang boleh berfikir apakah maksud disebaliknya. Ia sama seperti dengan mesej subliminal tetapi subliminal lebih kepada simbol atau tanda yang mempunyai makna tersembunyi.

Kenapa kami terangkan maksud mesej tersirat ini? Kerana kami ingin membawa korang ke kancah filem Melayu yang selalu kita tonton, tetapi sebenarnya ada mesej tersirat diletakkan. Sebagaimana yang kita tahu, kita disajikan dengan pelbagai filem hasil karya Orang Malaysia yang menarik tapi apakah korang tahu atau jumpa mesej tersirat dalam filem-filem kita?

Amacam? GIF dari Imgflip.

Kita mulakan dengan filem legend dulu iaitu…

Pendekar Bujang Lapok (1959): ‘Alif Mim Nun Wau, alif tendang wau sarkis’

Poster filem Pendekar Bujang Lapok. Imej dari IMDb.

Pendekar Bujang Lapok merupakan sebuah filem arahan P.Ramlee yang diterbitkan pada 1959. Filem ini mengisahkan tiga orang sahabat (Ramlee, Sudin, Aziz) yang menyaksikan perlawanan hebat antara Pendekar Mustar dengan dua orang samseng di Penambang Sampan Sungai Kemunting.

Selepas itu, mereka berhasrat untuk belajar silat dengan Pendekar Mustar, lalu pergi mencari pendekar di Kampung Pinang Sebatang. Semasa tiba di kampung itu, mereka dapat berjumpa dengan Pendekar Mustar apabila mereka mengejar seorang guru bernama Rosnah (anak Pendekar Mustar) dari Sekolah Umum Buta Huruf ke rumah Pendekar. Semasa berada di situ untuk belajar silat, pelbagai perkara pahit manis yang berlaku kepada mereka.

Kemungkinan ramai dah tahu dengan mesej tersembunyi dalam filem ini, tetapi kami bagitahu je la, mana tahu ada yang tak tahu lagi.

Ingat tak babak di mana mereka berada di depan papan tanda ‘ SEKOLAH UMUM BUTA HURUF‘, lepastu Ramlee bertanya kepada Sudin “Hey Sudin, ini bacanya apa macam?” . Lalu Sudin menjawab “Alif Mim Nun Wau, Alif tendang Wau sarkis“.

Kami letakkan babak video itu di bawah:

Dalam ulasan filem oleh Muhaimin Sulam, beliau ada memetik sebuah buku berjudul ‘Seniman Agung P Ramlee’ terbitan Karangkraf (1984) oleh Datuk Abdullah Hussain yang menghuraikan peristiwa dialog itu. Beliau juga ada memetik dialog antara P.Ramlee dengan Tan Sri Ghazali Shafie, Menteri Kebudayaan pada masa tu:

Ghazali: Tahulah, tapi macam mana you boleh menang dan macam mana juri dari Hong Kong, Jepun dan dua orang juri jemputan dari Australia boleh pilih filem you sedangkan mereka tak faham bahasa kita?

P Ramlee: Filem dan lagu tidak memerlukan bahasa yang khusus. Seni adalah bahasa universal.. Gua (saya) hasilkan seni dari gua untuk masyarakat dan daripada masyarakat untuk gua. Ada nasihat ada sindiran dan teguran agar masyarakat boleh berfikir… Gua pun kutuk lu punya geng juga.. (sambil ketawa).

Ghazali: You kutuk apa? I tak nampak pun..

P. Ramlee: Alif mim nun wau tu lu punya geng la…

Ghazali: Hah.. I tak faham la..

P Ramlee: Alif itu akal, wau itu ugama. Alif tendang wau – sarkis, bermakna akal tendang (tolak) agama maka manusia akan menjadi seperti binatang-binatang sarkis, hidup tanpa agama ini hanya layak untuk (makhluk) bukan manusia saja. Alif min nun wau, kan bunyinya Umno.

Kami pun sama! Imej dari Reddit.

Pelik juga kenapa P.Ramlee menyindir UMNO dengan sebegitu rupa, sedangkan pada masa itu UMNO dianggap parti yang berjaya membawa kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada ketika itu. Mungkin ada persitiwa hitam yang membuatkan P.Ramlee menyindir parti politik itu?

Kembara Seniman Jalanan (1986): Surat khabar memaparkan berita tentang Muhyiddin

Kembara Seniman Jalanan adalah sebuah filem drama muzikal pada 1986 arahan Nasir Jani. Skrip filem ini ditulis oleh M. Nasir dan diterbitkan oleh ZSA Holdings Sdn. Bhd. Filem ini juga dibintangi oleh M. Nasir, Khatijah Ibrahim, Pyan Habib dan Imuda.

Ia mengisahkan perjalanan seorang pemuda bernama Bujang dalam menjadi seorang pemuzik berjaya di ibu kota. Akan tetapi, pelbagai masalah yang dihadapi semasa berkecimpung dalam dunia muzik seperti lagunya dicetak rompak dan dipenjara akibat membuat kecoh di majlis pelancaran album oleh seorang penyanyi bernama Fareez.

Pahit akan manis akhirnya kerana Bujang telah diambil menjadi penyanyi di bawah syarikat rakaman drSam bersama artis lain seperti Search, Blues Gang dan Sweet Charity.

Dalam filem ini juga mempunyai mesej tersirat iaitu di mana Khaty sedang membaca senaskah surat khabar. Pada masa yang sama akhbar itu menunjukkan berita bertajuk “Saya tidak berniat untuk menderhaka – Muhyiddin“.

Nampak tak? Imej dari Reddit.

Kalau tak nampak kami…cuba tengok yang ini:

Amacam? Imej dari Reddit.

Apakah ini semua secara sengaja atau tidak sengaja? Itu masih belum dapat jawapan lagi tetapi kemungkinan ia secara tidak sengaja surat khabar itu memaparkan berita mengenai Muhyiddin Yassin.

Namun, ramai netizen mengaitkan babak filem ini dengan apa yang berlaku sekarang. Ingat lagi tak semasa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 29 Julai 2021, di mana Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim membacakan kenyataan mengenai tarikh ordinan darurat yang tak menerima keizinan dari Yang di-Pertuan Agong. Hal ini ramai menganggap bahawa Muhyiddin telah menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Rentetan daripada itu, SIAR mengambil peluang untuk terbitkan babak yang kami cakap tu di laman Facebook mereka, boleh tengok FB post itu di bawah:

Yang last ni memang yak yak yeay! iaitu filem…

18 Puasa di Kampung Pisang: Akhbar berita mengenai DS Najib?

Kalau siapa yang layan arahan filem Mamat Khalid ni mesti korang gelak terbahak-bahak dengan siri filem 15 puasa hingga 18 puasa. Kepada yang tak tahu lagi, siri filem ini mengisahkan sekumpulan lelaki yang selalu cuba untuk ponteng puasa, pada masa yang sama pelbagai ragam, insiden dan perkara yang berlaku kepada mereka.

Kali ni, 18 Puasa di Kampung Pisang adalah sambungan cerita Kampung Pisang Bersiri-siri. Plot ceritanya lebih kurang je iaitu mengisahkan sekumpulan penduduk Kampung Pisang yang ponteng puasa dan membuat perkara tidak baik pada bulan Ramadhan.

Watak Barkoba didatangi oleh setan bernama Tyson selepas dia tercekik dan buah durian jatuh atas kepala dia. Tyson juga menunjukkan perkara-perkara jahat yang dia telah buat sepanjang hidupnya iaitu tak bayar zakat, menganaiyai orang lain, membakar mercun roket kena imam dan banyak lagi.

Kalau sesiapa dah tengok filem ni mesti tahu babak di mana Tyson Jaafar Onn membawa Barkoba ke neraka. Lepastu, Barkoba dibawa oleh Tyson Namron dan menunjukkan suasana di neraka. Pada masa yang sama, mereka berdua berjumpa dengan Penjaga Pintu dan kumpulan muzik rock sedang berbincang.

Penjaga Pintu tersebut telah menunjukkan surat khabar bertulis “Ada unsur syaitan dalam muzik rock” kepada kumpulan rock tersebut. Lepastu, Barkoba berkata tanpa suara “Najib!“.

Dari DS Najib ke?
Naajiiib!

Nak lebih jelas tengok yang ni…

Kalau nak tengok lebih jelas mengenai berita tu. Imej dari Cerita Dunia.

Kalau nak tahu isi berita itu ialah semasa Dato’ Seri Najib menjadi Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), beliau mengharamkan muzik heavy metal atas sebab mempunyai unsur-unsur syaitan. Beliau juga mengatakan persembahan heavy metal membawa unsur syaitan dan boleh meruntuhkan nilai agama.

Jadi, boleh dikatakan filem 18 Puasa di Kampung Pisang ini sengaja atau tidak sengaja ingin mengata DS Najib.

Adakah mesej tersembunyi dalam filem tidak dibenarkan?

Sebagaimana kita tahu, mesej tersembunyi dalam filem akan membuatkan penonton membuat anggapan sendiri mengenai apakah yang ingin cuba disampaikan. Jadi, adakah ia tidak dibenarkan?

GIF dari Imgflip.

Jika mesej tersembunyi itu berunsurkan hasutan — maksudnya mesej tersembunyi tu membuatkan orang menghina dan membuat jenaka kepada seseorang maka ia jatuh di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun, kadangkala ada yang secara tidak sengaja mesej tersembunyi itu boleh muncul seperti filem Kembara Seni Jalanan tu. Jadi, apa pendapat korang mengenai mesej tersembunyi dalam filem serta Akta Hasutan?