Pemimpin MCA pernah kena tumbuk sebab jawapannya pasal hudud dan 6 lagi kes serangan fizikal yang lain

Baru-baru ni, satu kejadian yang tak diingini dah berlaku dalam program Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam. Program yang pada mulanya nak menempatkan Dr Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sepentas nampaknya bertukar kecoh. Perdana Menteri pun nampaknya tak datang ke program tersebut.

Dari pemerhatian penulis yang berada di program itu, suasana pada mulanya terkawal dan tak ada apa-apa masalah. Sekitar jam 4 petang program dimulakan dengan kemasukan Dr Mahathir dan para pemimpin Pakatan Harapan (PH) ke dalam dewan. Selepas nyanyian lagu Negaraku, program diteruskan dengan ucapan Dr Mahathir.

Korang ada apa-apa nak sembunyi? Imej dari The Sun Daily.

Bagaimanapun, keadaan jadi sedikit kecoh bila tibanya sesi soal jawab di antara Tun Mahathir dan para peserta. Soalan yang agak panas juga mula diajukan peserta seperti soalan tentang kedudukan Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) sebagai Pengarah Pilihanraya Pakatan Harapan. Tapi, soalan lain yang lebih menambah kecoh dalam dewan adalah apabila ada yang bertanyakan soalan Datuk Seri Anwar sebagai peliwat atau tidak dan soalan berkaitan dengan peristiwa Memali.

Ketika Dr Mahathir sedang menjawab soalan tentang Memali, secara tiba-tiba kerusi dan kasut dibaling ke arah Tun Dr Mahathir (tapi tak sampai ke pentas). Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah dan para pemimpin PH kemudiannya dibawa keluar dari dewan. Keadaan mula menjadi panik dan kecoh selepas itu, apabila suar (bukan seluar) juga turut dilemparkan.

Kerusi terbang di program Nothing to Hide 2.0. Imej dari Malaysiakini.

Begitulah kisahnya…Tapi sebenarnya, kes ni bukanlah kali pertama seorang ahli politik diserang, diganggu atau diancam. Dr Mahathir sendiri pernah disembur dengan gas pemedih mata.

1. Sebab rasa tak puas hati, Dr Mahathir disembur gas pemedih mata

Pada tahun 2006, Dr Mahathir sampai di Lapangan Terbang Pangkalan Chepa, Kelantan untuk datang satu majlis di Kelantan. Tapi, ketika Dr Mahathir cuba memulakan ucapannya menggunakan alat pembesar suara dari dalam sebuah Pajero, tiba-tiba Dr Mahathir terbatuk-batuk.

“Apabila melihatkan keadaan Dr Mahathir yang terbatuk-batuk dengan teruk, beberapa pembantunya terus membawa beliau keluar dari kenderaan itu untuk menaiki sebuah kenderaan lain dan meninggalkan lapangan terbang itu. Beberapa orang wartawan, jurukamera dan jurugambar dari media tempatan dan luar negeri yang berada berdekatan Dr Mahathir masing-masing mengadu mata mereka pedih akibat kejadian itu.” – Dipetik dari Malaysiakini.

Keadaan Dr Mahathir ketika disembur gas pemedih mata. Imej dari Malaysiakini.

Perkara yang terjadi ni dah menjadi tajuk hangat media ketika itu, apa taknya seorang bekas Perdana Menteri disembur dengan gas pemedih mata! Antara mereka yang turut terkena dengan gas tu adalah Dato’ Ibrahim Ali yang juga adalah Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK).

Kita juga tertanya-tanya tentang apakah punca sebenar perkara ini berlaku. Dikatakan telah berlaku perselisihan tentang siapa yang nak bawa Dr Mahathir selepas saja beliau turun. Perbalahan itu dikatakan berlaku di antara Dato’ Ibrahim Ali (Presiden MTRK) dengan Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff (pemimpin Umno Kuala Krai). 

“Selepas beberapa ketika berlaku perundingan antara Nik Sapeia dan Ibrahim di bilik menunggu airport. Suasana kelihatannya agak tegang, dapat dikawal selepas kedua-dua pihak difahamkan sudah bersetuju Mahathir akan terus ke Pajero yang disediakan Ibrahim, untuk berucap dan dibawa keluar menaiki Mercedes Benz disediakan oleh Nik Sapeia.” – Dipetik dari Harakah Daily.

Datuk Ibrahim Ali pun kena sekali. Imej asal dari The Malay Mail Online.

Makanya, tak lama selepas itu, seorang lelaki ditahan sebagai orang yang disyaki buat benda tu. Orang itu adalah Datuk Nik Sapeia. Pada Januari 2010, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara 6 bulan terhadap Nik Sapeia, atas kesalahan menyerang sampai menyebabkan kecederaan ke atas Dr Mahathir.

Bagaimanapun, pada Januari 2012 Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan Nik Sapeia dan membebaskannya dari hukuman tersebut. Akhirnya tiga tahun kemudian, Mahkamah Rayuan menolak rayuan pihak pendakwaan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi serta membebaskan Nik Sapeia dari tuduhan tersebut.

Reaksi Nik Sapeia selepas mahkamah ketepikan hukuman penjara 6 bulan ke atasnya. Imej dari Utusan Malaysia.

2. Masa tengah berucap, mikrofon Rafizi dirampas

Lebih kurang 2 tahun lepas, telah diadakan satu perdebatan tentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Mereka yang terlibat dalam perdebatan tu adalah Panel Pemikir, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Lokman Noor Adam dan Setiausaha Agung PKR (sekarang Naib Presiden), Rafizi Ramli.

Tapi perdebatan tu tak berjalan seperti mana yang dirancang, ini kerana ketika Rafizi tengah berucap, tiba-tiba mikrofonnya dirampas oleh ketua keselamatan. Dikatakan Rafizi rasa tak puas hati, bila Lokman dibenarkan berucap selama kira-kira 15 minit sebelum Rafizi mula berucap. Disebabkan rampasan mikrofon tu jugak, ia menyebabkan forum tu jadi tak adil dan terpaksa dihentikan.

https://www.youtube.com/watch?v=CoL98wOo0kU

Tindakan merampas mikrofon tu dah menyebabkan ramai pihak, terutamanya pelajar UIA rasa tak berpuas hati dan menyifatkannya sebagai tak professional serta memalukan. Tapi nampaknya, ada penjelasan dari pihak Lokman Adam tentang perkara ini.

Menurutnya, dia dah dapat jemputan ke program itu seminggu sebelumnya. Tapi dua hari sebelum program tu bermula, dia dimaklumkan yang debat tu dibatalkan sebab pihak Rektor UIA tak luluskan. Tapi disebabkan nak jaga nama baik JASA, Lokman tetap datang ke program itu.

“Selepas lebih kurang 10 minit berucap, pihak keselamatan UIA telah meminta saya berhenti cara baik dan saya berhenti berucap…Pihak Pengawal juga bersetuju membenarkan Rafizi berucap selama 10 minit untuk berlaku adil…Malangnya selepas 10 minit berucap bila pihak keselamatan meminta Rafizi berhenti beliau enggan dan mengakibatkan pihak keselamatan menghentikan program secara paksa.” – Lokman Noor Adam, Panel Pemikir, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA). Dipetik dari Agenda Daily.

Dato’ Lokman Noor bin Adam. Imej dari dosm.gov.my

Menurutnya lagi, Rafizi selepas tu dah bertindak keluarkan kata-kata kesat kepada pengawai keselamatan UIA. Lokman juga dakwa yang Rafizi kemudiannya menghalau pegawal keselamatan yang bertugas dari bilik makan.

Tapi lain pulak dengan apa yang diceritakan oleh siswa yang ada di situ. Ini kerana menurut mereka, ketika Lokman berucap, seorang pegawai keselamatan UIA kata yang program tu boleh diteruskan, tapi hanya penceramah kerajaan saja yang dibenarkan berucap. Perkara tu dah disambut dengan ‘boo’ oleh para hadirin.

“Lalu saudara Lokman (of kos la kerajaan) memberi cadangan bahawa kedua-dua mereka tidak bercakap supaya adil…Lalu saudara rafizi mengambil mikrofon dan berkata: ‘Hai..Orang kerajaan dah bercakap 15 minit.. tak akan saya tak boleh bercakap langsung?’. Disambut sorakan orang ramai.

Lalu pihak SRC (Majlis Perwakilan Pelajar) meminta security membenarkan Saudara Rafizi berucap sebentar…Selang 8-9minit berucap.. Kelihatan seorang yang saya percaya security UIA datang ke tengah dengan wajah garang..mendekati saudara Rafizi…Dan!! Beliau merampas mikrofon dipegang Rafizi dengan kasar..lalu bermulalah rusuhan orang ramai…Bersorak membantah tindakan kebudak budakan security tersebut sebelum saudara Rafizi sempat berkata dengan lantang ‘mana adab di depan pelajar-pelajar!” – Satu catatan siswa tentang peristiwa ini.

Ni terlebih mikrofon pulak. Imej dari Giphy.

Kes rampas mikrofon ini juga mendapat kecaman dari ramai pihak. Ini kerana, mereka menyifatkan perkara ini sebagai sangat tidak professional dan sangat memalukan.Tindakan Lokman yang menerangkan cerita sebenar (versinya) juga diherdik oleh ramai, dengan alasan, mereka juga tahu hal sebenar yang berlaku, kerana mereka pun ada di tempat kejadian.

3. Lelaki rampas bendera Sang Saka Malaya, depan Sasterawan Negara

Selepas kita menyambut hari merdeka pada 2013, beberapa orang individu telah disiasat polis kerana mereka didakwa mempamerkan bendera Sang Saka Malaya pada malam ambang merdeka di Dataran Merdeka. Mereka adalah A.Samad Said (Sasterawan Negara), Hishamuddin Rais (aktivis politik) dan Adam Adli (aktivis siswa).

Sebelum kitorang cerita apa dia bendera Sang Saka Malaya ni, kitorang nak cerita dulu apa yang berlaku masa diorang tengah pegang bendera ni. Sebabnya, ketika bendera ni dipegang dan Pak Samad tengah mendeklamasikan puisinya, seorang lelaki bertindak merampas bendera tersebut.

Lepas rampas bendera tu, lelaki tersebut pun kata: Ini bukan Malaysia! Itu bendera Malaysia! Sambil menunjukkan ke arah Jalur Gemilang.

Sebenarnya, sebelum itu pada tahun 2012 bendera Sang Saka Malaya juga pernah dikibarkan. Iaitu ketika di Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka. Mereka juga didakwa cuba mengganti bendera tu dengan Jalur Gemilang.

Untuk maklumat, bendera Sang Saka Malaya adalah bendera yang digunakan oleh kumpulan yang menyokong pembentukan Indonesia Raya atau Melayu Raya (Gabungan Malaya dan Indonesia). Sentimen itu pertama kali dibawa pada tahun 1938 oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM), pimpinan Ibrahim Hj Yaakob.

Dari kiri: Ibrahim Hj Yaakob, Dr Burhanuddin al-Helmy & Ishak Hj Muhammad (Pak Sako). Mereka adalah antara nasionalis yang memperjuangkan Melayu Raya. Imej dari tes.com, desatualang.blogspot & Goodreads.

“Perkara yang diperjuangkan kumpulan KMM ini adalah memerdekakan Tanah Melayu, tetapi dengan cara bergabung dengan Republik Indonesia Raya atau Melayu Raya. Namun majoriti orang Melayu di Tanah Melayu ketika itu tidak bersetuju perjuangan mereka kerana  orang Melayu mendukung institusi Raja-Raja Melayu dan Islam, kerana itu majoriti memilih perjuangan Umno.” – Prof Datuk Dr Ramlah Adam, Pakar Sejarah. Dipetik dari Sinar Harian.

‘Kita kibarkan Sang Saka’ – Hishamuddin Rais. Imej dari Rakyat News.

Sementara itu, Prof Datuk Dr Zainal Kling pula berkata, bendera Sang Saka itu memang selalu digunakan oleh negeri-negeri Nusantara sejak dulu lagi. Tapi untuk mendakwa yang ia sebagai bendera asal Tanah Melayu, itu tak dapat diterima. Malah, rupa bentuk bendera rasmi kita sekarang juga turut diakui oleh bekas Menteri Besar Kelantan, allahyarham Tuan Guru Nik Aziz.

“Nak ganti bendera ni bukan senang, kena bincang bertahun-tahun. Tujuan apa kita tukar bendera kita, tujuannya apa? Bendera kita telah diterima oleh masyarakat dunia, tak ada cacatnya. Cacatnya adalah pemikiran manusia yanga buat bendera itu sendiri, bukan bendera.” – Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

4. Timbalan Menteri dari MIC dan pemimpin MCA kena tumbuk

Pada 2014, Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan buat laporan polis selepas mendakwa yang dia ditumbuk oleh seorang lelaki di pejabatnya. Dia juga mengalami kecederaan di bahagian leher.

Pada 2010, Kamalanathan mengalahkan Datuk Zahid Ibrahim di Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor. Imej dari The Star.

Ceritanya bermula bila bapa suspek menemui Kamalanathan di pejabatnya. Bapa suspek dikatakan minta bantuan Kamalanathan untuk memindahkan menantunya yang juga seorang guru di Johor ke Hulu Selangor. Tapi Kamalanathan kata yang dia hanya boleh bagi sokongan kepada permohonan itu.

“…bapa suspek bertindak merayu hingga menyatakan sanggup mencium kaki anggota Parlimen Hulu Selangor itu. Menurut laporan polis, Kamalanathan mendakwa suspek kemudian berjumpanya dengan sekumpulan pemuda lain di pejabatnya dan melepaskan satu tumbukan ke bahagian lehernya.” – Dipetik dari Sinar Harian.

Kamalanathan menunjukkan kesan tumbukan berkenaan. Imej dari Kosmo.

MIC dalam satu kenyataan mendesak lelaki yang menyerang itu supaya didakwaLelaki yang menyerang P. Kamalanathan juga dipercayai sebagai anggota Pemuda UMNO Hulu Selangor. 

Setahun lepas tu, pemimpin MCA pulak ditumbuk dalam satu majlis. Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Pulau Pinang, Gui Guat Lye dah ditumbuk oleh seorang yang tak dikenali selepas dia mengiringi Exco Kedah, Dr. Leong Weng Kuang.

Kejadian tu dikatakan berlaku selepas Weng Kuang selesai bagi ceramah. Mereka selepas tu dihampiri tiga orang lelaki yang tak dikenali. Lelaki-lelaki tersebut pun kemudiannya tanya soalan tentang hudud keapadanya.

“Ketika menjawab soalan yang diajukan dan pendirian BN mengenai isu itu, mereka tidak berpuas hati sebelum berlaku pertengkaran…Saya cuba meleraikan pergaduhan sebelum seorang daripada mereka menumbuk saya menyebabkan saya terjatuh dan mengalami luka di tangan.” – Gui Guat Lye, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Pulau Pinang. Harian Metro.

Gui Guat Lye masa buat sidang media. Imej dari Utusan Malaysia.

Dalam laporan lain pula, Guat Lye juga mendakwa yang dia juga ditolak dan cuba dipukul dengan kayu. Dia kemudiannya membuat laporan polis tentang kejadian tersebut.

5. Sebab kritik Perdana Menteri, pameran seni diserang

Seperti yang kita tahu, seni adalah salah satu wadah untuk meluahkan perasaan dan menyampai mesej kepada masyarakat. Ia termasuk jugalah untuk mengkritik, menyindir atau sebagainya. Maka itulah apa yang dilakukan oleh kartunis kontroversi Malaysia, Zunar.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Sm Anwar Ulhaque. Imej dari independent.co.uk

Pada tahun lepas, pameran kartun di Komtar, Pulau Pinang bertukar kecoh bila ia diserang oleh sekumpulan yang tak berpuas hati. Motif mereka yang menyerang tu pulak dikatakan berpunca dari karya-karya Zunar yang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Zunar juga mendakwa serangan tu dibuat oleh orang UMNO.

“Kes tahun lepas kita memang tak boleh buat apa sebab pada hari itu saya diserang sekumpulan samseng Pemuda Umno Pulau Pinang di mana tindakan itu kita anggap sangat tidak bertamadun, tetapi bukan kerana orang itu saya tidak boleh buat kerja, ia tidak patut dijadikan halangan kerana ia tanggungjawab saya sebagai kartunis.” – Zunar, kartunis satira politik. Dipetik dari The Malaysia Insight.

Sebelum ni pada tahun 2010, buku Zunar pernah dirampas dan dia juga ditangkap oleh polis. Bagaimanapun, dia mempersoalkan asas-asas penangkapan, penahanan dan rampasan terhadap karyanya, serta mengatakannya sebagai salah di sisi undang-undang. Akhirya, keadilan terbukti apabila mahkamah dapati tindakan merampas itu sebagai menyalahi undang-undang. Zunar jugak dapat ganti rugi RM18,000.

6. Ahli Parlimen diserang di perkarangan parlimen

Kalau korang ingat jadi Yang Berhormat ni senang, tak berapa betul jugak sebenarnya. Sebabnya ada jugak Ahli Parlimen yang kena serang walaupun masih berada kat kawasan parlimen. Itulah apa yang menimpa Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam). Serangan itu juga didakwa dilakukan oleh penyokong Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ahli Parlimen bukan selfie je. Imej dari Giphy.

Kenapa diorang nak serang Khalid Samad pulak ni? Sebenarnya sebelum itu, memang ada berlaku kekecohan dalam parlimen. Ia berlaku masa Tajuddin tengah bagi ucapan dan dia rasa bengang bila nampak Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) ketawa. Jadi dia pun kata…

“Yang Seputeh ini kekekek ini kenapa?…Satu-satunya perempuan yang ada ‘Kok’ ini ada di Seputeh.” – Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Pasir Salak. Dipetik dari Malaysiakini.

Bila Tajuddin kata macam tu, kecohlah dewan dengan minta dia tarik balik kata-katanya tu. Tapi Tajuddin tak nak tarik balik kenyataannya. Jadinya, Khalid Samad pun bantah dan kata ‘sial’ pada Tajuddin. Sebab perkara inilah yang dikatakan jadi punca kenapa Khalid diserang, kat perkarangan parlimen. Antara orang yang menyerang tu pulak dikaitkan dengan anak Tajuddin sendiri.

“Khalid ketika ditemui wartawan Astro Awani selepas kejadian mendakwa beliau mendengar seorang daripada individu terbabit berkata, “Kenapa kau panggil ayah aku ‘sial’?…Serangan itu dipercayai susulan tindakan Khalid yang memanggil Tajuddin dengan kata kesat dalam sidang Dewan Rakyat Isnin lalu.” – Dipetik dari Astro Awani.

Khalid Samad dilindungi pengawal keselamatan. Imej dari Malaysiakini.

Disebabkan insiden ni, Khalid ada bawa perkara ni ke peringkat undang-undang. Tapi nampaknya dia kecewa apabila peruntukan yang dikenakan kepada penyerangnya tidak setimpal. Ini kerana, mereka hanya didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100.

https://www.youtube.com/watch?v=Sjqi53GYfuw

7. Mendiang Karpal Singh pernah ditampar

Pada akhir tahun 1980-an, seorang lelaki telah didakwa menampar Karpal Singh (mendiang) yang dituduh menghina raja-raja Melayu. Orang itu adalah, Arshad Mat Gamat atau Kiyai Arshad (allahyarham). Disebabkan tak ada duit nak bayar denda, Kiyai Arshad dipenjarakan.

Karpal Singh (mendiang) dan Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Sardon Jubir (allahyarham). Imej dari The Star.

Bagaimanapun, Kiyai Arshad kemudiannya dibebaskan apabila dermawan Kajang, Allahyarham Datuk Ujang Bagong membayar wang jaminan untuk membebaskannya. Tak ada maklumat lanjut tentang kes ni dan ia hanya sampai di sini sahaja.

Allahyarham Datuk Ujang Bagong memang terkenal sebagai seorang dermawan di Kajang. Imej dari drshafie.blogspot

Pada 2015 pula, Yang Dipertua PAS Kawasan Rantau Panjang, Abdul Fatah Haron cedera kat muka bila dia ditampar oleh ahli PAS sendiri dalam satu Majlis Dialog. Abdul Fatah juga adalah bekas Ahli Parlimen Rantau Panjang.

“Bekas Ahli Parlimen Rantau Panjang itu ditampar dipercayai akibat perselisihan dalam parti. Difahamkan, seorang lelaki secara tiba-tiba meluru ke arah Abdul Fatah lalu menampar mangsa sebelum bermulanya sesi dialog.” – Dipetik dari BH Online.

Fatah Haron menunjukkan kecederaan di wajahnya. Imej dari TV14.

Kejadian tu jugak disahkan oleh pihak polis. Tapi nampaknya takde sebarang berita mengenai kes ini selepas itu.

Sudah tiba masa kita amalkan politik matang

Selain dari peristiwa-peristiwa di atas, sebenarnya banyak lagi serangan yang ditujukan kepada ahli-ahli politik, aktivis dan sebagainya. Tak kiralah dari pihak pembangkang, mahupun kerajaan. Tak kurang jugak insiden penerbit terkenal David Teo yang ditampar oleh artis veteran Mat Over depan Perdana Menteri baru-baru ni.

Oleh itu, disebabkan kita masih lagi menghadapi masalah yang macam ni, adalah penting untuk masyarakat, termasuk juga ahli-ahli politik Malaysia mengamalkan sikap politik matang (PAS kata diorang dah amalkan).

Jangan nak bergaduh je! Imej dari Giphy.

Menurut pemerhati politik, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah menanam politik kebencian adalah sangat mudah kalau dibandingkan dengan menanam politik permuafakatan yang menuju ke arah politik matang. Ini kerana, katanya kalau kita amati matlamat semua parti politik, bukan semuanya untuk dapatkan kuasa.

“Jika diamati kekuasaan sesebuah parti politik adalah dilihat sejauh manakah parti itu mempengaruhi dasar atau hala tuju sesebuah negara dalam membela nasib rakyat…Mahu tidak mahu ahli-ahli politik perlu duduk semeja dan membawa politik matang dalam menyelesaikan permasalahan yang melibatkan sensitiviti agama dan kaum di negara ini.” – Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM. Dipetik dari Sinar Harian.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.