Orang kampung mati keracunan makan ubi gadung, mahasiswa anjur protes

UPDATE 17/10/2019: Pada 15 Oktober 2019, salah satu Majlis Konvokesyen UM menjadi perhatian ramai apabila ada seorang pelajar bernama Wong Yan Ke melakukan protes di atas pentas. Pelbagai reaksi yang diterima termasuk pihak UM membuat laporan polis.

Manakala, Tun Mahathir memberi respon bahawa protes boleh dilakukan, tetapi bukanlah di majlis konvo. Ini mengingatkan balik sejarah mahasiswa negara kita dengan aktiviti protes yang pernah berlaku.


Bagi sesiapa yang pernah jadi mahasiswa, mesti korang setuju kalau kami kata zaman mahasiswa ni zaman paling santai. Yalah, kelas pun tak banyak, kadang-kadang kelas cancel. Kalau korang dah kerja, mesti korang tak pernah dengar kerja cancel sebab pejabat tutupkan? Kalau zaman mahasiswa tu korang tengah bujang, bukan main banyak lagi pilihan calon pasangan yang ada dekat universiti.

Antara cerita paling legend dekat universiti bila korang tengah pusing-pusing cari buku dekat perpustakaan, tiba-tiba terjumpa jodoh. Takkan korang boleh lupa scene filem Melayu, terlanggar bahu, buku terjatuh dan akhirnya mata bertemu mata. Apa lagi, bercintalah lepas tu!

Jumpa jodoh dekat library tak apa, jangan buat macam mamat ni. Imej dari Giphy

Jadi kalau kami sebut mahasiswa pernah buat aksi-aksi diluar kebiasaan macam buat demo, tawan universiti atau nak pegawai penting kerajaan ditangkap, mesti banyak soalan yang timbul di kepala korangkan? Hari ini kami akan kongsikan tiga demonstrasi yang pernah diaturkan oleh mahasiswa kita.

1. Demonstrasi Tasek Utara: Kisah rumah rakyat yang dirobohkan

Untuk demonstrasi Tasek Utara, kami merujuk catatan yang yang ditulis oleh Hishamuddin Rais, mantan setiausaha Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya(PMUM). Pada 14 September 1974, Hishamudin Rais tengah lepak dengan aktivis mahasiswa yang lain dekat pejabat Naib Presiden PMUM masa tu. Masa tengah borak-borak tu, mereka terima satu telegram yang berbunyi;

“Kampung kami di Tasek Utara akan dirobohkan. Tolong bantu kami. Penduduk Kampung Tasek Utara Johor Bahru.”

Pada awalnya telegram ni tak bernama, kemudian telegram kedua sampai dengan mesej Syed Hamid Ali sedang berada di Tasek Utara, Johor Bahru. Masa mereka dapat telegram tu ahli-ahli penting PMUM tak ada, jadi mereka tak boleh putuskan apa-apa. Hishamuddin Rais bersama seorang kawan dia pun pergilah menumpang haram pada sebuah van akhbar yang nak ke Johor.

Mereka dibekalkan RM10 je untuk sampai Johor. Padahal Hishamuddin Rais kata masa tu PMUM ni persatuan pelajar paling kaya di Asia Tenggara. Korang jangan ingat telegram tu macam apps Telegram, mesin telegram tu macam video dekat bawah ni.

Apabila Hishamuddin Rais dan member dia tiba dekat Tasek Utara, Hisham membayangkan apa yang dia lihat dengan ayat;

 “Saya tidak akan dapat melupakan imejan pertama apabila saya memasuki Tasek Utara. Seorang kakak yang memakai baju kurung berwarna putih dan berkain batik coklat yang lusuh warnanya berdiri di muka pintu, memanggil saya masuk ke dalam rumahnya.

Dinding rumahnya yang masih kelihatan merah, menandakan papan itu baru dibeli. Anaknya dalam buaian kain batik sedang nyenyak tidur. Suaminya sedang memburuh. Kakak ini menerangkan bagaimana dia telah bergadai untuk mendapatkan 600 ringgit bagi mendirikan rumahnya itu seluas 15 kaki persegi ini. Dua hari dahulu dapurnya telah diruntuhkan.”– Hishamuddin Rais

Kalau korang di tempat aktivis mahasiswa ni, korang rasa korang sedih tak? Imej dari Giphy

Apabila sokongan mahasiswa dari Singapura tiba, mereka pun berbincang untuk bantu orang-orang kampung ni. Tengah mereka syok bincang, tiba-tiba kampung tu riuh rendah kerana Majlis Perbandaran Johor Bahru datang untuk merobohkan rumah, siap panggil FRU sekali. Oleh kerana masa tu Hishamuddin Rais tak ada mandat lagi dari PMUM, dia kena pulang ke kampus untuk bertemu pimpinan PMUM.

Apabila dia ceritakan insiden yang berlaku, PMUM pun putuskan untuk menderma sebanyak RM 250, dan adakan sudut pidato untuk terangkan apa yang sedang berlaku di Tasek Utara. Sudut pidato mereka mendapat sambutan, dan apabila acara itu selesai, sebanyak 50 mahasiswa bertolak ke Tasek Utara.

Hishamuddin Rais tengah berpidato untuk bangkitkan semangat penduduk Tasek Utara. Imej dari blog Pro Mahasiswa USM

Akhirnya pada 18 September 1974, mahasiswa dan penduduk kampung berarak untuk menemui Menteri Besar Johor pada ketika itu, Datuk Othman Saat. Malangnya, pada hari tu Menteri Besar tak masuk pejabat. Mereka pun ambil keputusan untuk berkhemah di hadapan pejabat menteri besar Johor tu. Kehadiran mereka yang memasang khemah membuatkan orang lain tertanya-tanya, apabila ramai yang dah tahu tujuan mereka, bantuan datang mencurah-curah.

Pada malam itu, khemah mereka diserbu polis ketika orang kampung dan mahasiswa sedang asyik tidur. Hishamuddin Rais, beberapa aktivis mahasiswa dan penduduk kampung ditahan polis. Apa lagi, duduk lokaplah jawabnya!

Apa salah saya sampai masuk lokap? Kami nak bantu orang tertindas je kot. Imej dari Giphy

Akibat daripada penangkapan ni, aktivis mahasiswa Universiti Malaya telah merampas universiti selama sehari. Cuba bayangkan mahasiswa rampas universitinya sendiri sebab tak puas hati dengan tindakan polis, dah macam cerita dalam filem kami rasa. Akibat daripada aksi berani ni, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya telah diharamkan pada 21 September 1974.

“Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya petang ini mengambilalih pentadbiran dan kampus Universiti Malaya. Tindakan itu diambil bagi meminta Kerajaan membebaskan dua orang mahasiswa yang ditangkap di Johor Bahru kelmarin bersabit dengan tunjuk perasaan setinggan-setinggan di Tasek Utara.” – PetikanPusat Sejarah Rakyat

Keratan akhbar yang menyiarkan laporan aktivis mahasiswa menawan universiti. Imej dari Pusat Sejarah Rakyat

2. Demonstrasi Baling: Memperjuangkan nasib rakyat yang kelaparan

Demonstrasi Baling ni merupakan demonstrasi yang melibatkan paling ramai mahasiswa, dikatakan sebanyak 10,000 mahasiswa terlibat. Kalau korang nak tahu, oleh kerana demonstrasi ni, sebanyak 2,000 mahasiswa ditangkap. Lepas demo ni, Anwar Ibrahim masuk penjara buat pertama kali. Dia ditahan selama dua tahun melalui undang-undang ISA, manakala Dr Syed Husin Ali yang masa tu jadi pensyarah UM kena tahan 6 tahun.

“Perhimpunan pelajar-pelajar tersebut telah disuraikan oleh FRU dengan tembakan gas pemedih mata. Pelajar-pelajar telah melarikan diri ke Masjid Negara tetapi FRU terus mengejar mereka. FRU telah mengepung 8,000 pelajar yang sedang berlindung di masjid serta melepaskan tembakan-tembakan gas pemedih mata ke arahnya. Ketika berada di dalam masjid pelajar-pelajar tersebut telah melaung-laungkan kalimat ‘Allahuakbar’ dan beberapa kali mereka setelah mengalunkan azan. – Petikan Makalah Ar-Risalah 1975

Kemuncak demonstrasi Baling ni berlaku pada 1 Disember 1974, sebanyak 30,000 penduduk berkumpul di hadapan Pejabat Daerah Baling dan merebak ke seluruh pekan Baling. Tujuan diorang mengadakan demonstrasi ni nak bantah penurunan harga getah masa tu. Harga getah masa tu memang jatuh gila-gila. Biasanya harga getah 25-60 sen sekati, tapi masa tu harga getah jatuh ke 15 sen sekati.

Akibat daripada kejatuhan harga getah ni, penduduk Baling hidup dalam kemiskinan kerana getah merupakan sumber pendapatan utama mereka. Penduduk kampung dikejutkan apabila ada cerita penduduk yang tidak mampu membeli makanan meninggal dunia kerana makan ubi gadung. Cerita ni antara punca kumpulan mahasiswa bersimpati dengan nasib penduduk kampung Baling sehingga mereka aturkan mogok lapar.

Ini bukan perbarisan sekolah, ni demonstrasi mahasiswa dan penduduk Baling. Imej dari Pusat Sejarah Rakyat

Kalau korang terlibat waktu tu, agak-agak macam mana perasaan korang? Menurut seorang penduduk kampung yang masa tu baru berumur 16 tahun, Idris Mat Piah;

“Ketika itu, saya masih remaja dan tidak tahu apa-apa tentang demonstrasi yang diadakan. Apa yang saya tahu, saya nampak setiap penjuru jalan raya yang masuk ke pekan Baling dibanjiri penduduk yang berarak. Mereka keluar seawal subuh, malah ada yang lebih awal sudah mula berjalan.” – Laporan Utusan Malaysia

Agak-agak macam ni kot ramai orang berdemo masa tu. Imej dari Giphy

Kalau korang tak pernah dengar pasal Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), ia merupakan satu undang-undang yang digunakan untuk mahasiswa dan universiti awam. Akta ni telah diperkenalkan pada tahun 1971. Oleh kerana demonstrasi Baling ni diaturkan oleh mahasiswa, maka pada tahun 1975 AUKU dipinda.

“Atas nama “memudahkan urusan pentadbiran dan mewujudkan pengurusan universiti yang efisien”, AUKU 1971 mula menapak dalam usaha mengehadkan gerakan mahasiswa. Namun begitu, impak sebenar wujud pada tahun 1975 apabila Menteri Pelajaran pada ketika itu, membuat pindaan yang drastik dengan memasukkan beberapa seksyen baru yang telah meminimakan peranan mahasiswa di universiti khususnya Seksyen 15 yang dilihat mengongkong pelajar daripada berpolitik.” – Ganeshwaran Kana, Petikan Projek MMO

3. Demonstrasi Tangkap #MO1: Nak tangkap orang paling kebal di Malaysia

Kalau korang dah mula fikir kenapalah kami bawakan cerita-cerita lama je, Demonstrasi Tangkap Malaysian Offical One ni diadakan pada tahun 2016. Kami pernah tulis berkenaan Malaysia Offical One (MO1) ni. Sebenarnya sampai hari ni kita tak tahu siapa MO1. Mahasiswa masa tu tengok macam tak ada je orang nak ambil tindakan terhadap MO1, sebab tu mereka berdemo nak desak MO1 ni ditangkap.

Demonstrasi ni dipimpin oleh Anis Syafiqah yang merupakan mahasiswi Universiti Malaya. Power jugak Anis ni, bukan senang nak pimpin demonstrasi pelajar lebih-lebih lagi dah berapa lama kita tak ada demo mahasiswa.

Kalau korang terfikir nak cuba-cuba mengurat Anis Syafiqah, lupakan. Dia baru je kahwin tahun lepas. Imej dari Astro Awani

“Saya terdorong untuk mengambil bahagian dalam demonstrasi #TangkapMO1 apabila tiada sebarang tindakan diambil atau respons yang terbit selepas seminggu DOJ melakukan pendedahan. Saya melakukan semua ini bagi membuka mata rakyat Malaysia, tidak kira siapa, selagi masyarakat negara kita ini dapat menyedari apa yang sedang berlaku. Kaum wanita mempunyai peranan penting dalam membangkitkan kesedaran ini.” – Ceritalah Asean, Astro Awani

Mengikut anggaran pihak Polis, seramai 2,000 orang hadir dalam demo Tangkap MO1 ni. Menurut Jamal Yunos hanya 35 orang je mahasiswa terlibat dalam demo ni. Korang setuju tak dengan kenyataan Jamal Yunos ni?

“Kita dapati melalui maklumat yang kami pasti hanya 35 orang mahasiswa sahaja selebihnya adalah daripada Bersih itu sendiri. Kita juga maklum Bersih itu siapa pula pengikutnya? LGBT, mereka yang tidak mempunyai haluan dan pendirian ini, masa hadapan dan agama ini yang menjadi penyokong kuat Bersih ini. Jadi saya boleh kata Bersih adalah dayus!” -Laporan MalaysianDigest

Bukan main banyak orang bagi komen tentang demo ni. Imej dari Giphy

Akibat demonstrasi ini, Anis bersama 3 mahasiswa Universiti Malaya telah dibicarakan oleh lembaga tatatertib UM dan didapati bersalah. Tiga mahasiswa digantung dan didenda, manakala sorang lagi kena denda je.

Anis Syafiqah Md Yusof dan dua lagi aktivis mahasiswa digantung pengajian selama satu semester, diberi amaran dan didenda sehingga RM400 selepas didapati bersalah memalukan universiti susulan penglibatan mereka dalam perhimpunan #TangkapMO1 di Kuala Lumpur. Seorang lagi aktivis bagaimanapun hanya dikenakan hukuman denda RM400. -Laporan MalaysiaKini

Mahasiswa ni bukan patutnya belajar ke?

Kata-kata Sukarno tentang 10 orang muda selalu kita dengar, terutamanya masa program-program kepimpinan dekat sekolah dulu. Korang agak-agak, mahasiswa yang hadir dan ketuai demonstrasi ke yang dimaksudkan oleh Sukarno? Atau anak muda yang macam mana yang korang rasa? Jangan lupa beritahu kami.

“Beri aku 1000 orang tua, niscaya akan aku cabut Semeru dari akarnya. Beri aku 10 pemuda, niscaya akan kuguncangkan dunia.” – Sukarno

Siapa sebenarnya punca masalah ni? Imej dari Giphy

Korang jangan pening dengan perkataan semeru, tu bahasa Indonesia yang bermaksud gunung. Yakin betul Sukarno dengan anak muda ni, seribu orang tua dia kata boleh cabut gunung je. Kalau anak muda perlu 10 je untuk gegarkan dunia.

Demonstrasi yang dipimpin oleh mahasiswa ni bukan sesuatu yang asing dekat kebanyakan negara maju. Dekat Malaysia ni kita tak berapa biasa, maklumlah kita bukan hidup zaman 1970an dulu, masa zaman datuk dan nenek kita aktif berdemo sebab AUKU belum ketat macam sekarang. Lagipun sekarang mahasiswa diberi banyak tekanan, macam hutang pendidikan dan kurang peluang pekerjaan, ni buatkan mereka jadi takut nak terlibat dengan aktiviti macam demo ni.

 

 

 

 

 

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka