Ketua NGO ni kata orang bukan Melayu tak berjuang untuk kemerdekaan Malaysia. Jadi kami senaraikan satu-persatu…

(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)

Pada 13 Januari, Ismail Mina Ahmad, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (juga dikenali sebagai UMMAH) telah membuat ucapan yang agak konteroversi jugak la. Dia kata hanya orang Melayu je yang menentang penjajah British dan Jepun masa pendudukan mereka di negara ni.

“Saya ingin memberitahu anda sekarang, walaupun bangsa lain telah berada di negara ni, hanya orang Melayu yang berperang melawan Siam, Inggeris, Jepun. Dan yang paling penting – hanya orang Melayu yang disasarkan oleh Bintang Tiga”- Ismail Mina Ahmad.

Bintang Tiga yang disebutkan merujuk kepada Parti Komunis Malaya. Imej dari khaikerr.blogspot.my

Korang boleh tengok sendiri video ucapan dia:

Macam mana dengan tentera bukan Melayu yang berjuang dan mati untuk negara?

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), iaitu sebuah organisasi untuk tentera yang bersara kemudian menyatakan, ucapan Ismail tu adalah penyelewengan fakta.

“Alangkah baik kalau Menteri Pertahanan, Ketua Angkatan Bersenjata, dan IGP dapat membetulkan Ismail dan pengetahuan sejarahnya” – Mohd Arshad, Free Malaysia Today

Brigadier-Jeneral Mohd Arshad Raji yang dah bersara. Imej dari Malaysiakini

Presiden Patriot, Brigadier-General Mohd Arshad Raji mengingatkan seluruh rakyat Malaysia yang orang Cina, India, Sikh, Orang Asli, Iban, Dayak, Kadazan dan lain-lain juga berjuang berhabis-habisan bersama tentera Melayu sebelum zaman kemerdekaan lagi.

“Dalam Angkatan Tentera Udara, ramai juruterbang bukan Melayu yang menerbangkan helikopter mereka dalam misi berbahaya untuk bekalan dan pemindahan, dan musuh menembak pesawat mereka.” – Mohd Arshad, dipetik dari Free Malaysia Today.

Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera Malaysia. Imej dari The Malaysian Insider

Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera Malaysia (Macva) juga mengecam kenyataan Ketua Ummah sebagai “kesalahan fakta dan sejarah”.

“Dakwaan Ismail tidak tepat secara fakta dan sejarah serta memperkecilkan sumbangan veteran bukan Melayu terutama pesara tentera Cina, Iban, India, Sikh dan ramai lagi,” kata Tan, dipetik dari Malaysian Insight.

Pegawai Waran Patrick Lee ditembak di tangan oleh komunis. Imej dari Malay Mail

Ada antara tentera ni bukan saja tercedera, tapi juga kehilangan anggota badan. Tu tak termasuk lagi rakan-rakan mereka yang gugur di medan perang untuk mempertahankan negara. Salah seorangnya adalah Pegawai Waran Patrick Lee Kai Tong, 71, yang mempunyai luka kesan tembakan di lengannya selepas ditembak komunis.

“Dia tahu ke macam mana rasanya berada di medan perang? Dia boleh kata apa-apa saja tapi jangan lukakan perasaan orang lain. Mungkin parut dari M-16 tak cukup untuk buktikan yang saya juga berjuang demi negara, tapi dia kena tahu yang setiap pengalaman, setiap kematian – termasuklah baunya masih kekal dalam ingatan saya.” – Pegawai Waran Patrick Lee, dipetik dari Malay Mail.

Dalam masa yang sama, MCA juga meminta supaya Ismail disiasat kerana ucapannya yang berunsur hasutan.

Antara tentera bukan Melayu yang bertempur dengan penjajah British, Jepun dan komunis adalah…

Memang betul yang orang Melayu ni bersifat patriotik dan sanggup berjuang demi negara. Tapi, kalau kita nak kata yang orang bukan Melayu ni langsung tak berjuang, ia memang tak berasas. Sebabnya, kita ada ramai pejuang bukan Melayu yang berani menentang penjajah, termasuklah…

1. British

(Dari kiri) Rentap, Antanum dan Liu Shan Bang

Korang mesti banyak baca pasal pahlawan Melayu yang berjuang menentang British masa penjajahan awal mereka pada tahun 1800-an, seperti Dol Said, Tok Janggut, dan Dato Maharaja Lela yang terkenal sebab dia menembak mati Residen British di Perak, iaitu JWW Birch.

Dan siapa yang boleh lupa dengan perjuangan pahlawan Iban-Dayak, iaitu Rentap yang mengetuai pemberontakan selama 10 tahun menentang James Brooke, yang juga dikenali sebagai White Rajahs of Sarawak. Tak pernah sekali pun Rentap mengucapkan perkataan ‘nundok’, yang membawa maksud menyerah diri.

Korang juga mungkin pernah dengar pasal Antanum, pahlawan Murut dari Sabah yang mengetuai Pemberontakan Rundum 1915 terhadap British North Borneo Company. Selain tu, korang juga mungkin pernah dengar pasal seorang lelaki Suluk-Bajau yang terkenal dengan kemahiran taktikalnya, dikenali sebagai Mat Salleh (nama yang ironi untuk zaman kolonialisme British).

Bukan yang ni. Imej dari YouTube

Oh, tak lupa juga pasal Liu Shan Bang, seorang pelombong Cina yang mengetuai 600 orang Cina untuk menyerang kerajaan James Brooke di Kuching, sebuah insiden yang dikenali sebagai Pemberontakan Cina 1857.

Tak cukup lagi?

2. Jepun

Masa Perang Dunia Kedua pulak, sejarah menunjukkan yang tak kiralah lelaki atau perempuan, Melayu dan bukan Melayu semuanya bangkit untuk melawan penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Salah satu nama penting adalah Albert Kwok yang cukup benci dengan tentera Jepun. Albert bertanggungjawab membentuk Gerila Kinabalu, yang terdiri daripada pejuang Cina, Suluk, Bajau, Dusun dan Sikh… Skuad 1Malaysia pertama pernah wujud!

Bila dia dengar pasal Imperial Army nak rekrut budak-budak muda tempatan secara paksa, Albert pun apa lagi, bawa 300 pejuang berparang bersama dia untuk berlawan. Tapi sayangnya, pihak Jepun menang dan penggal kepala Albert :(

Propaganda “Asia untuk Asia” di Kuching, Sarawak. Imej dari wikimedia.com
Pertempuran Kampar. Imej dari dinmerican.wordpress.com

Bukan semua pejuang lawan dengan senjata. Contohnya macam jururawat Sybil Kathigasu yang jadi spy untuk Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) dengan mendengar siaran BBC dari radio tersembunyi, dan bagi maklumat. Malah dia jadikan rumahnya sebagai hospital rahsia untuk mereka yang memerlukan pertolongan. Disebabkan aktivitinya tu, Kempeitai berjaya tangkap dan seksa Sybil. Tahun lepas, ada orang mulakan petisyen untuk masukkan nama dia dalam sukatan pelajaran Sejarah.

Sementara takde dalam buku sejarah, korang juga boleh cari buku ni kat MPH. Imej dari MPH Online

Sebenarnya, ramai lagi wira lain yang kita boleh sembang – contohnya macam Tallala bersaudara – walaupun tak berjuang di Tanah Melayu, tapi mereka ada menyumbang dalam peperangan iaitu dengan mengebom Nazi – panjang ceritanya, tapi cukuplah korang tahu yang kalau dia tak bom Nazi, mungkin artikel ni tak berjaya untuk ditulis. Jadi, terima kasih kepada mereka yang dah berjuang untuk membebaskan Tanah Melayu dari penjajahan Jepun!

3. Komunis

Komunis membakar bandar ini di Simpang Tiga, Perak. Imej dari iwm.org.uk

Walaupun kebanyakan ahli dalam Parti Komunis Malaya terdiri daripada orang Cina, tapi  komunisme ni adalah sebuah ideologi yang juga dianuti oleh kaum lain. Jadi untuk mengatakan yang orang Cina je berideologi komunis adalah tidak benar sebab ada antara orang Melayu yang join PKM ni, macam Abdullah CD (siap jadi pengerusi lagi), Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh. Orang Cina juga  tak terkecuali menerima padah dari PKM sebab tak membantu mereka.

Mereka ni siap hantar orang untuk menembak Ketua Pemeriksa Chin Chin Kooi dan Ketua Polis Perak Khoo Chong Kong. Pengebumian mereka dihadiri oleh 20,000 orang termasuk PM Tun Abdul Razak, timbalannya Tun Hussein Onn dan IGP Tun Hanif Omar.

Nasib baik juga la bukan semua yang menentang komunis ni terbunuh. Sebab korang mesti familiar dengan Kanang Anak Langkau, tentera Iban dari Sarawak yang membuktikan keberaniannya semasa pemberontakan komunis dan konfrontasi dengan Indonesia. Bagi memperingati keberanian Kanang, kisahnya juga telah difilemkan.

Boleh klik kat sini untuk baca pasal cerita Kanang Anak Langkau yang difilemkan. Imej dari Soscili.my

Beberapa percubaan juga pernah dilakukan terhadap Ketua Polis Perak, Yuen Yuet Leng, kerana dia merupakan pengganti Khoo Chong Kong. Tapi, dia terselamat di saat-saat genting tu. Bekas IGP, Khalid Abu Bakar juga selalu berjumpa dengannya untuk mendapatkan nasihat dalam bidang kerja mereka.

Selain tu juga, antara kejayaan pasukan keselamatan melawan Parti Komunis Malaya tu adalah daripada operasi penyamaran sulit oleh Special Branch (SB) dan perisikan tentera, yang kebanyakannya berketurunan Cina.

Kalau korang sukakan cerita pasal pengintipan, korang mungkin suka pasal keberanian yang dilakukan oleh Penolong Pesuruhjaya Senior Leong Chee Woh. Lelaki ni yang membentuk sebuah pasukan polis rahsia, Unit E3F untuk menumpaskan gerakan komunis di Malaysia. Salah satu kejayaan mereka adalah Perjanjian Hadyai pada tahun 1989. Lepas lebih daripada 40 tahun berahsia, mereka akhirnya menerima penghormatan yang tak disangka-sangka di Dataran Merdeka baru-baru ni.

Klik untuk dengar kisah Datuk Leong Chee Woh. Imej dari Star TV

4. Kemerdekaan

Tun Tan Cheng Lock, Tun VT Sambanthan, Tun HS Lee, Tun Fuad Stephens, Tan Sri TH Tan, juga memainkan peranan penting dalam rundingan untuk kemerdekaan negara.

Merdeka #squadgoals! Imej dari Arkib Negara

“Patriotisme orang bukan Melayu, terutamanya orang Cina dan India, dalam tentera tidak pernah menjadi isu. Sebenarnya, sejak tahun-tahun pra-merdeka, mengharungi darurat pertama dan kedua, di awal tahun-tahun Home Guard (Pasukan Kawalan Tempatan), Super 12 (12 pegawai pelopor Rejimen Persekutuan), Rejimen Persekutuan, misi pengaman Congo, Konfrontasi, terorisme komunis bandar, perang hutan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, para pegawai dan anggota bukan Melayu berjuang dengan berani di sisi saudara Melayu seperjuangan.” – Mohd Arshad, dipetik dari FMT.

Bukan ke tokoh-tokoh berbilang kaum ni ada dalam buku teks Sejarah kita juga?

Kebanyakan rakyat Malaysia pastinya tak boleh terima kenyataan yang orang bukan Melayu tak membantu dalam usaha memerangi British, Jepun dan komunis. Lagipun, kita semua belajar pasal Rentap, Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan dan tokoh-tokoh lain dalam kelas Sejarah dulu. Kalau la mereka ni hidup lagi dan dengar statement macam ni, apa yang mereka rasa?

“Kita perlu ingat mereka yang pernah berkhidmat dengan raja dan negara kita dengan penuh keberanian. Mereka berlainan kaum, perbuatan mereka sangat berani, pengorbanan mereka tidak boleh dilupakan. Mendiamkan diri bila fakta diselewengkan bukanlah satu pilihan.  Ia menyangkal tanggungjawab kepimpinan. “- Mohd Arshad, Presiden Patriot, dipetik dari Malay Mail.