‘Budak telur’ dikaitkan dengan Antifa. Apa dia Antifa ni?

Seperti yang kita tahu, masyarakat dunia sampai ke hari ni tak putus-putus menzahirkan takziah dan simpati terhadap peristiwa tembakan di dua buah masjid di New Zealand baru-baru ni. Kejadian kejam dan tak berperikemanusiaan tu dah mengakibatkan 50 orang terkorban dan beberapa lagi cedera.

Tapi di sebalik rasa simpati yang dizahirkan, ada juga yang tak sensitif dan keluarkan kenyataan tak sepatutnya. Macam apa yang dikatakan oleh Senator Australia, Fraser Anning, yang menyalahkan kedatangan imigran Islam ke New Zealand dan Australia.

Kenyataan dia ni dah dapat kecaman dari ramai pihak, termasuklah daripada pemimpin negara kita. Tapi, apa yang paling menarik perhatian adalah pasal tindakan seorang remaja 17 tahun yang pecahkan sebiji telur tepat ke kepala Anning.

Kene setepek. Imej dari Canada.com.

Tindakan William Connolly tu dah dapat pujian ramai, terutamanya daripada yang memang bengang dengan Anning. Will juga dapat gelaran “Budak Telur” (Egg Boy) hasil dari tindakan berani dia tu.

Tapi lepas tu ada pula pulak pihak yang mengaitkan Will dengan kumpulan Antifa. Apa tu Antifa? Biskut kering ke?

Antifa muncul sebab nak menentang kumpulan Nazi – Fasisme

Setelah berlakunya Revolusi Perancis pada tahun 1848, ada dua istilah popular yang muncul di dunia ni. Istilah tu adalah berhaluan kiri (sayap kiri) dan berhaluan kanan (sayap kanan) yang digunakan untuk merujuk ideologi dan pegangan sesuatu pihak.

Secara mudahnya, berhaluan kiri bersifat liberal dan progresif dalam membawa sesuatu isu. Bukan semua yang memilih haluan ni menerima konsep sosialisme secara menyeluruh dan bukan semuanya kita boleh tuduh sebagai komunis. Apa yang pasti, akan ada yang sederhana dan ekstrem.

Manakala, pihak berhaluan kanan – lebih memihak kepada jalan penyelesaian berasaskan pasaran. Mereka ni condong dengan ideologi konservatif dan kapitalisme. Mereka ni juga lebih bersifat nasionalis dan tradisionalis. Seperti mana-mana ideologi, pasti akan ada yang sederhana dan ada juga ekstrem. Sebab Itulah munculnya fasisme.

Perbezaan sayap kanan dan kiri di Amerika Syarikat (AS). Klik sini atau imej kalau nak tengok lebih jelas.

Kalau ikut Dewan Bahasa, fasis ditakrifkan sebagai sistem (pandangan) politik puak pelampau berhaluan kanan yang bersifat diktator. Kalau ikut Oxford English pula, fasisme adalah satu fahaman ketuanan kaum atau bangsa yang membenci demokrasi, taat kepada seseorang pemimpin yang berkuasa dan mahu meluaskan pengaruh melalui hasutan dan propaganda.

Seperti yang diketahui, Hitler dengan Nazinya di Jerman adalah orang yang paling kuat berpegang dengan pandangan ni, dan ia disokong kuat oleh pemimpin Itali dan Jepun. Kerana itu jugalah berlakunya Perang Dunia Kedua (WW2).

Disebabkan fahaman ni menindas, maka muncul kumpulan Anti-Fasis atau Antifa. Lepas WW2, kumpulan ni mula bergerak sebagai kumpulan yang anti-perkauman dan akan menentang serta melawan sebarang aktiviti bersifat neo -Nazi.

Hitler (Jerman) & Mussolini (Itali). Imej dari The Commoner Call.

Berdasarkan buku Antifa: The Antifascist Handbookkumpulan ni buat pelbagai aktiviti, macam – buat kempen pelajaran, bina kesatuan komuniti, pantau gerakan fasis, buat tekanan batalkan program fasis, buat latihan mempertahankan diri dan kadang-kadang berkonfrontasi secara terus dengan kumpulan neo-Nazi.

Selain tu, menurut sumber, kebanyakan ahli Antifa ni adalah anarkis, tapi ada juga yang Maoist dan Marxist. Apa yang menarik, bila berkonfrontasi, diorang kadang-kadang buat benda yang nampak agak kasar.

“Kadangkala mereka menyalakan suar dan bunga api sehingga selalu disalahertikan sebagai tindakan provokasi dan meresahkan peserta demonstrasi yang lain,” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.

Dalam bahasa aktivis antarabangsa, cara aksi macam ni dikenali sebagai Black Bloc.

Black Bloc sebagai cara penentangan

Selalunya, ahli Antifa akan datang secara berkelompok dengan memakai pakaian hitam. Mereka juga kadang-kadang akan guna penutup muka – warna hitam dan kibarkan bendera merah hitam yang menjadi simbol jaringan Anti-Fasis sedunia.

“Black Bloc adalah satu bentuk tindakan secara terus oleh kumpulan Antifa ketika berlakunya protes. Mereka memecahkan pusat-pusat dan objek-objek bersimbol “kapitalisme” seperti bank, kereta terlampau mewah, polis dan ahli politik fasis dan berkiblatkan kepada kapitalisme,” – Khalid Ismath, dipetik dari blognya.

Salah satu perhimpunan Antifa di Virginia, AS. Imej dari redice.tv

Kalau korang nak tahu, kumpulan Antifa ni juga ada kat Malaysia dan antara peristiwa yang kita boleh nampak adalah dalam demonstrasi menentang GST pada Mei 2014. Kehadiran mereka masa tu dah mencetuskan kekecohan dengan kumpulan Unit Amal Pas dan pihak media.

Setahun lepas tu pulak, 29 orang yang dituduh sebagai kumpulan anarkis dan punk dah ditahan lepas habisnya perhimpunan Hari Pekerja. Dalam perhimpunan tu, diorang mengkritik tindakan kerajaan yang pentingkan produk kapitalis berbanding rakyat.

Antifa di KL. Imej dari revolusihabib.blogspot

Di peringkat antarabangsa pula, kes pertembungan antara pihak berhaluan kanan dan Antifa ni selalu je jadi, antaranya:

  1. Ogos 2018 – Berlakunya pertembungan antara kumpulan Anti-Fasis dengan penunjuk perasaan sayap kanan di Oregon, AS.
  2. Oktober 2018 – Berlaku pertembungan antara kumpulan Anti-Fasis dengan kumpulan sayap kanan di Portland, AS.
  3. Oktober 2018 – Sekumpulan anggota Antifa dah menghalang jalan perarakan Democratic Football Lads Alliance (DFLA) yang cuba buat protes menentang kedatangan imigran, kemasukan orang Islam dan sebagainya ke United Kingdom (UK).
  4. September 2018 – Protes kumpulan sayap-kanan dan Anti-Fasis berakhir dengan aman di Jerman.
  5. Disember 2018 – Seorang ahli kumpulan Anti-Fasis dah ditikam oleh individu dari kumpulan sayap kanan di California, AS. Apa yang membuatkan orang marah, bila tiada sebarang tindakan diambil terhadap penyerang berkenaan.

Pilih jalan sederhana dalam semua keadaan

Kalau beragama pun kita diminta untuk bersederhana dan tak melampaui batas, maka apatah lagi dengan pandangan kita terhadap politik, ideologi dan sebagainya.

Dan kita juga kena faham bahawa kepercayaan politik seseorang tu boleh berlaku akibat tindak balas keperibadian dan beberapa pengaruh sosial lain yang menyumbang kepada budaya politik semasa.

Kalau korang free, bacalah buku ni. Imej dari BBC.

Sebab itulah, keganasan dan tindakan ekstrem sesuatu pihak tak boleh sesekali dikaitkan dengan agama atau kaum, kerana ia merentasi semua itu.

“Dalam mana-mana agama ada pengikutnya yang menjadi pengganas, dan kegiatan itu merentasi sempadan agama, bahkan insiden di Christchurch itu menunjukkan bahayanya pengganas berkulit putih.

Kita kena faham, apabila ada insiden membabitkan pengganas yang dikaitkan dengan Islam, Barat akan memaparkannya berulang kali bagi menimbulkan Islamofobia, sedangkan ia agak kecil jika dibandingkan apa dilakukan pengganas bukan Islam.” – Prof Madya Dr Mohd Hizam Hanafiah, Pakar Rujuk Keganasan KDN. Dipetik dari Malaysiakini.

 

 

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.