Sejarah & Politik

Shamsiah Fakeh: Aku tak menyesal lawan British, tak menyesal masuk hutan

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 6 November 2016

UPDATE 29/11/2019: Dalam satu wawancara, Tun Mahathir diminta bagi komen mengenai abu mayat Chin Peng yang dibawa pulang ke Malaysia. Dia menjawab isu ni dengan mengaitkan dengan kebenaran membawa Shamsiah Fakeh pulang. Kenapa Shamsiah Fakeh dibenarkan kembali ke Malaysia? Korang boleh baca lebih lanjut dalam artikel ni.


Komunis adalah ideologi politik yang diasaskan oleh ahli falsafah Karl Marx dan Friedrich Engels. Ideologi ni mula berkembang ke serata dunia sejak sebelum Perang Dunia Pertama lagi. Fahaman komunis secara idealnya adalah satu tahap dimana kaum pekerja (proletariat) memiliki segala harta dan tidak ada sektor swasta.

Dari kiri: Karl Marx dan Friedrich Engels. Imej dari critical-theory.com

Dari kiri: Karl Marx dan Friedrich Engels. Imej dari critical-theory.com

Kalau kita belajar sejarah, kita akan nampak ada 2 golongan pejuang yang berjuang menuntut kemerdekaan:

  • Pejuang berhaluan kanan – Pejuangan kemerdekaan yang dipelopori oleh persatuan atau parti yang lebih mesra British dan menolak fahaman komunis dan sosialis. Contohnya UMNO yang diasaskan oleh Dato Onn Jaafar dan diteruskan oleh Tunku Abdul Rahman.
  • Pejuang berhaluan kiri – Pejuang kemerdekaan yang anti-British dan secara amnya merujuk pada kelompok yang bertentangan dengan parti utama Melayu iaitu UMNO. Contohnya Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dipimpin oleh Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Hj Muhammad (Pak Sako). (rujuk Fail PDF)

 

Dari kiri: Ishak Hj Muhammd, Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ahmad Boestamam. Imej dari Aliran

Dari kiri: Ishak Hj Muhammad, Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ahmad Boestamam. Imej dari Aliran

Perjuangan komunis kat Malaysia ni boleh dikatakan dah pupus. Tapi sejarah dah catatkan banyak versi cerita mengenai komunis. Walaupun Parti Komunis Malaya (PKM) dianggotai oleh ramai orang Cina tapi ada jugak orang Melayu yang sertai parti ni dan mereka ni dikenali sebagai Ahli Rejimen ke-10.

Kali ni, kami akan ceritakan kisah disebalik perjuangan seorang feminis, nasionalis dan reformis. Dia adalah ‘Ratu Rimba Malaya’ – Shamsiah Fakeh. (Sebelum ni kami ada tulis pasal Shamsiah Fakeh dan tokoh-tokoh wanita lain di sini.)

[Artikel ini akan banyak merujuk buku tulisan Shamsiah Fakeh, Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10. Dipendekkan jadi DAKR10.]

Shamsiah sendiri tak tahu macam mana dia boleh masuk politik

Shamsiah Fakeh dilahirkan di Kampung Gemuruh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada tahun 1924. Dia dilahirkan dalam keluarga yang miskin dan kerana tu jugaklah Shamsiah bercita-cita nak lanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Shamsiah pernah belajar kat Sekolah Agama Rahmah al-Yunisiah, Sumatera. Tapi terpaksa berhenti lepas 2 tahun, sebab masa tu dunia dah dekat dengan Perang Dunia Ke-2.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!
Shamsiah masa berusia 13 tahun, dengan ibu dan adiknya. Imej dari

Shamsiah ketika berusia 13 tahun, dengan ibu dan adiknya. Imej dari Memoir Shamsiah Fakeh:Dari AWAS ke Rejimen ke-10.

Semangat nasionalisme Shamsiah mula berputik bila dia dengar ucapan-ucapan dari pemimpin UMNO dan PKMM. Shamsiah mula terlibat dalam PKMM bila dia mula jumpa dan berbincang dengan Wahi Anuwar seorang pemimpin PKMM pasal perjuangan nasionalisme.

Dalam satu pertemuan PKMM di Seremban, Shamsiah dah buat ucapan pertamanya, ucapan tu dapat sambutan dan tersiar kat Utusan Melayu. Lepas Perang Dunia ke-2, boleh kata hanya ada dua parti politik terbesar Melayu iaitu UMNO dan PKMM (rujuk fail PDF).

“Tidaklah aku sangka, bagaimana aku boleh membuat ucapan yang dianggap berapi-api atau menaikkan semangat. Hadirin di dalam pertemuan itu memberikan tepukan yang gemuruh.

“Sungguh secara kebetulan juga agaknya bahawa akhbar Utusan Melayu yang menyiarkan ucapanku itu telah dibeli dan dibaca oleh ayahku. Dengan wajah yang berseri-seri dan secara tersenyum bapaku telah menyerahkan surat khabar itu kepadaku.” – DAKR10, p33

Shamsiah mula aktif dalam PKMM pada tahun 1945 dan pada tahun 1946 dia ambil alih jawatan Ketua Wanita PKMM dari Aisyah Ghani (veteran UMNO & senator wanita pertama). Seterusnya Angkatan Wanita Sedar (AWAS) ditubuhkan dan Shamsiah dipilih sebagai ketuanya.

Aisyah Ghani jadi ketua pertama Gerakan Wanita PKMM. Imej dari Sinar Harian.

Aisyah Ghani jadi ketua pertama Gerakan Wanita PKMM (kemudian AWAS). Imej dari Sinar Harian.

Bermulalah perjuangan Shamsiah dalam arena politik dan gerakan kemerdekaan di Tanah Melayu. Bagaimanapun, Shamsiah sendiri mengaku yang dia tak tau macam mana dia boleh aktif sangat dalam politik.

“Aku tidak ketahui entah bagaimana aku boleh begitu berani bergerak cergas dalam politik. Sebenarnya aku tidak pun mengetahui tentang politik dan tidak pula mempunyai pengalaman dalam soal perjuangan nasionalisme.

Bagaimanapun, aku mempunyai semangat yang tinggi dan berkobar-kobar untuk berjuang melawan penjajah demi kemerdekaan Tanah Air dan bangsa kita. Aku tidak takut apa-apa.” – DAKR10, p37

Shamsiah berucap pada 1947. Imej dari Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10.

Shamsiah berucap pada 1947. Imej dari Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10.

Parti diharamkan dan ramai ditangkap lepas Undang-undang Darurat diisytiharkan

Shamsiah & isteri Pak Sako di Kongres PKMM di Melaka 1946.

Shamsiah & isteri Pak Sako di Kongres PKMM di Melaka 1946. Imej dari Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10.

Gerakan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang dipimpin oleh Shamsiah dan Angkatan Pemuda Insaf (API) yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam adalah dua pertubuhan hasil dari PKMM. Gerakan ni digelar sebagai gerakan kiri kerana mereka tak mesra dengan British dan ramai dari ahlinya memegang falsafah sosialis. Macam API yang memegang slogan “Merdeka dengan darah“.

“Orang-orang dari parti atau pertubuhan kiri ini sentiasa difitnah oleh orang-orang dari parti UMNO. Pihak kerajaan penjajah British pula sentiasa mengawasi dan menakut-nakutkan anggota-anggota daripada pertubuhan kiri.” – DAKR10, p31

Bagi Shamsiah, perjuangan AWAS adalah perjuangan Emansipasi wanita yang ingin melihat wanita bebas dan tidak lagi ditindas.

“Kesedaran tentang perjuangan nasionalisme demi menuntut Kemerdekaan Tanah Air turut menyedarkan aku tentang penindasan terhadap wanita. Tidak ada perjuangan untuk kebebasan laki-laki, melainkan hanya ada perjuangan untuk kebebasan wanita.” – DAKR10, p44

Tapi nampaknya perjuangan PKMM, AWAS dan API terbantut bila Undang-undang Darurat diisytiharkan pada Jun 1948. Pertubuhan-pertubuhan ini dah diharamkan oleh British dan ramai dari pemimpin dan ahlinya ditangkap. Antara yang ditangkap adalah Ishak Hj Muhammad, Dr Burhanuddin, Abdullah CD, Rasyid Maidin dan Ahmad Boestamam.

Rashid Maidin dengan kader-kader Kompeni Ke-23 Rejimen Ke-10. Imej dari Kini dan Silam.

Rashid Maidin dengan kader-kader Kompeni Ke-23 Rejimen Ke-10. Imej dari Kini dan Silam.

Shamsiah dapat larikan diri ke Kampung Lubuk Kawah, Pahang, untuk elak dari ditangkap. Masa kat sana, Shamsiah ada datang latihan ketenteraan dan kursus politik (Kem Se-Malaya) di dalam hutan Lubuk Kawah yang dipimpin oleh seorang anggota Cina PKM yang menggunakan nama Melayu, Hj Hashim (nama sebenarnya Chen Nan). Shamsiah disahkan sebagai anggota PKM pada 1948.

“Apabila aku diumumkan telah disahkan menjadi ahli PKM, aku tidak terkejut dan menyambut baik keputusan itu. Apa yang aku faham bahawa PKM adalah parti yang berani melawan penjajah untuk mencapai kemerdekaan.” – DAKR10, p54

Bermulalah perjuangan gerila Shamsiah di hutan belantara menentang British. Selama perjuangan itu, Shamsiah dah sesat 3 kali seorang diri di hutan.

Terpaksa berjuang dengan senjata kerana jalan damai dah tertutup

Ramai yang menuduh PKM, termasuk Shamsiah sebagai kejam dan pengkhianat kerana mengangkat senjata menentang British dan pihak berkuasa yang majoritinya Melayu. Tapi bagi Shamsiah, perjuangan damai dah tertutup lepas Undang-undang Darurat diisytihar dan PKMM diharamkan.

“Penindasan penjajah ini memberi pukulan yang hebat kepada puak kiri. Begitu ramainya para pejuang yang terkurung tidak boleh bergerak lagi. Bagaimana api perjuangan Kemerdekaan itu tidak padam. Zaman perjuangan secara damai atau berperlembagaan telah ditutup dan bermulalah zaman perjuangan bersenjata.” – DAKR10, p55

Imej dari sejarahk2.

Imej dari sejarahk2.

Bagi Shamsiah, PKM adalah satu-satunya parti yang sanggup berjuang mengangkat senjata melawan British. Walaupun tahu yang British ada kekuatan senjata dan dapat bantuan ketenteraan dari banyak negara.

Penjajah begitu takut dengan pejuang komunis yang hendak menggulingkan mereka. Dalam perang adil dan tak adil memang sukar dielakkan pertumpahan darah. Barang siapa yang berdiri di pihak penjajah dengan bersenjata sudah tentu akan dibalas, itu salah mereka kerana berdiri di pihak penjajah.” – DAKR10, p62

Ketika dalam hutan inilah yang Shamsiah dituduh dah bunuh anaknya sendiri. Ada 2 versi cerita tentang perkara ni:

  • Shamsiah dah hempaskan anaknya dekat batu. Diceritakan oleh Syed Alwi yang kononnya kawan Shamsiah sejak sekolah. Perkara tu tersiar di Utusan Malaysia.
  • Shamsiah campak anaknya kat sungai sebab takut anaknya tu akan ganggu keselamatan gerila komunis. Diceritakan oleh Musa Ahmad (bekas Pengerusi PKM) kat RTM.

Tapi Shamsiah tegas nafikan dua-dua cerita ni. Kata Shamsiah masa tu ada dua orang ahli komunis yang cadangkan anaknya tu dijadikan anak angkat pada sebuah keluarga Cina. Diorang kata keluarga tu akan balik China tak lama lepas tu. Jadi, Shamsiah boleh la cari anaknya tu kat China nanti. Sebab percaya, Shamsiah setuju dengan cadangan tu.

Tapi rupa-rupanya bayi tu dah dibunuh oleh 3 orang ahli komunis. Perkara tu dibagitau sendiri oleh Musa Ahmad tiga tahun lepas tu. Sebab tulah, Shamsiah tak faham kenapa Musa sanggup buat fitnah dengan kata yang Shamsiah bunuh anaknya sendiri.

Musa Ahmad, bekas Pengerusi PKM. Imej dari sokmo.net.

Musa Ahmad, bekas Pengerusi PKM. Imej dari sokmo.net.

Tinggal di China dan dipecat dari PKM

Sepanjang hidup Shamsiah, dia telah berkahwin sebanyak 5 kali:

  1. Yasin Kina – Shamsiah berkahwin dengannya pada 1941 ketika berusia 17 tahun. Tapi 3 tahun lepas tu Shamsiah diceraikan. Mereka ada dua orang anak tapi kedua-duanya meninggal dunia.
  2. J.M. Rusdi – Rusdi berasal dari Sumatera. Tapi Rusdi bukanlah seorang suami yang baik dan Shamsiah diceraikan. Rupa-rupanya, Rusdi ni adalah spy Jepun.
  3. Ahmad Boestamam – Boestamam adalah Ketua API. Berkahwin dengan Boestamam atas dorongan dari Ishak Hj Muhammad (Pak Sako). Tapi Shamsiah sebenarnya bermadu dan bercerai dengan suaminya bila didesak oleh kakak Boestamam.
  4. Wahi Anuar – Berkahwin ketika sama-sama bersembunyi kat Lubuk Kawah, Pahang. Wahi Anuwar ditangkap dengan British. Lepas Wahi ditangkap, itulah kali terakhir Shamsiah berhubung dengannya.
  5. Ibrahim Mohamad – Suami terakhir Shamsiah. Berkahwin pada 1956 ketika kedua-duanya berada di sempadan Thailand.
Wahi Anuar, ketika ditemuramah Radio Malaya. Imej dari sokmo.net

Wahi Anuar, ketika ditemuramah Radio Malaya. Imej dari sokmo.net

Pada 1956, Shamsiah dan Ibrahim diarahkan ke China untuk meningkatkan teori dan ideologi mereka. Ketika di sana mereka suami isteri bekerja di Siaran Melayu Radio Beijing Antarabangsa. Mereka jugak jadi wakil Malaya untuk beberapa persidangan dunia seperti di Indonesia dan Vietnam.

Ketika di Indonesia dia menubuhkan pejabat perwakilan Liga Pembebasan Nasional Malaya. Tapi bila berlaku Gestapo dan Suharto mengambil alih jawatan Presiden , dia dan Ibrahim ditangkap pada 1965 dan dibebaskan pada 1967. Shamsiah balik ke China selepas tu.

Shamsiah dan keluarga pada 1964. Imej dari Wikipedia.

Shamsiah dan keluarga pada 1964. Imej dari Wikipedia.

Tapi bila sampai kat China, keadaan dah makin berubah. PKM sekarang dah mula berpecah dan hampir berperang sesama sendiri. PKM dikatakan berpecah kepada 3 golongan, iaitu Marxist-Leninist, PKM revolusioner dan PKM asal (ortodoks). Tindakan Shamsiah dan suaminya yang mengkritik PKM juga akhirnya menyebabkan mereka dipecat dari PKM.

“Kami berdua dihadapkan di depan anggota PKM di dewan mahkamah PKM, saling tak tumpah cara Revolusi Kebudyaan China. Kami diikat tangan, ditempeleng, dipaksa membongkok dan mengaku salah.

Aku dan Ibrahim akhirnya dipecat dan dihukum dua tahun tahanan rumah. Kalau keluar mesti ada pengawal. Rumah dikawal 24 jam oleh ahli Barisan Pemuda PKM yang nampaknya berlagak sombong dan tak bermoral.” – p118

Setelah dua tahun, Shamsiah dan Ibrahim hidup sebagai rakyat biasa di China. Mereka bekerja sebagai buruh di kilang besi membuat ball bearing.

Shamsiah di China pada 1961. Imej dari

Shamsiah di China pada 1961.

Setelah 37 tahun, akhirnya Shamsiah kembali ke Tanah Air

Melalui hidup yang panjang di negara orang bukanlah sesuatu yang mudah. Shamsiah semakin rindu untuk balik ke Malaysia, tanah yang dia perjuangkan kebebasannya. Pada 2 Disember 1989, perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia dan PKM telah termeterai di Haadyai.

“Ini semua berlaku kerana kebijaksanaan pimpinan Dr Mahathir Mohammad yang jujur, inginkan perdamaian dan berani menyesuaikan diri dengan keadaan sejagat. Kenapakah Almarhum Tunku Abdul Rahman tidak berjaya menamatkan peperangan yang serupa?

Sebabnya memang mudah dimengerti iaitu beliau tidak sama dengan Dr Mahathir. Tunku berpendirian anti-komunis mati-matian. Beliau juga tidak berkuasa kerana masih menjadi Ketua Menteri dalam Kerajaan pemerintahan sendiri ketika itu (tahun 1955).” – DAKR10, p122

(Boleh baca kat sini kalau nak tau kenapa Tunku tak suka sangat dengan komunis.)

Perjanjian ini akhirnya membawa kepada pembubaran dan perletakan senjata PKM. Imej dari Wikipedia.

Perjanjian ini akhirnya membawa kepada pembubaran dan perletakan senjata PKM. Imej dari Wikipedia.

Akhirnya pada 1994, Shamsiah dan keluarganya dibenarkan balik ke Malaysia. Sebenarnya permohonan mereka untuk balik ke Malaysia ambil masa selama 10 tahun sebelum diluluskan.

“Kami tidak mahu mengetahui lebih jauh lagi tentang alasan kerajaan itu (ambil masa 10 tahun untuk luluskan) kerana kami amat bersyukur dan amat gembira setelah dibenarkan pulang.” – DAKR10, p127

“Betapa inginnya kami menghirup udara segar tanah air dan bertemu dengan kaum keluarga yang telah berpisah selama 46 tahun lamanya.” – DAKR10, p127

Pada 20 Oktober 2008, Shamsiah Fakeh menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 84 tahun. Pemergiannya dah meninggal pelbagai sejarah perjuangan yang sehingga kini masih menjadi perdebatan dikalangan masyarakat.

Imej dari Memoir Shamsiah Fakeh:Dari AWAS ke Rejimen ke-10.

Imej dari Memoir Shamsiah Fakeh:Dari AWAS ke Rejimen ke-10.

Majoriti orang Melayu tak terima fahaman Komunis

Kami dapatkan pendapat dari sejarawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim dalam hal ini. Katanya, sejak awal lagi fahaman komunis tak dapat diterima dengan baik di Tanah Melayu khususnya dari orang Melayu dan Islam.

“Tan Malaka (pemimpin Komunis Indonesia) sudah datang ke sini (Tanah Melayu) pada awal 1920an, dan dalam laporannya kepada ketua pihak Komunis di Indonesia, dia kata tak ada harapan nak mempengaruhi orang Melayu. Masa depan gerakan komunis di Tanah Melayu bergantung kepada orang Cina.

Pada 1921, ada gerakan Komunis di Asia Barat, negara Arab dan sebagainya. Memang ada perbincangan dengan Mesir, cuba tengok boleh bekerjasama tak. Tapi akhirnya keputusannya tak boleh, sebab Komunis tak boleh diterima dalam Islam.” –  Prof Khoo Kay Kim, ketika diinterview SOSCILI.

Prof Emeritus Tan Sri Dato Dr Khoo Kay Kim.

Prof Emeritus Tan Sri Dato Dr Khoo Kay Kim.

Selain tu, kalau kita anggap yang majoriti orang Cina masa tu sokong Komunis juga salah. Sebab hanya beberapa golongan Cina saja yang sokong Komunis sebenarnya.

“Orang Cina yang menubuhkan Parti Komunis, tapi bukan semua orang Cina sokong Komunis. Orang Cina Hailam saja yang sokong. Majoriti orang Cina menentang komunis, satu golongan yang sangat kuat menentang komunis ialah orang Cina yang dipanggil Kong Sai. Mereka ni duduk di Lenggong, Perak. Mereka inilah yang masuk Kinta Valley Homeguard” – Prof Khoo Kay Kim, ketika diinterview SOSCILI.

Bagi Khoo Kay Kim lagi, ramai dari mereka yang sertai Komunis tak faham apa sebenarnya komunisme. Hanya Tan Malaka yang dilihat faham dan betul-betul tahu tentang komunis. Sebab katanya,apabila Perang Dunia ke-2 tamat, British dan Amerika dah buat keputusan untuk tinggalkan negara – negara yang mereka naung atau jajah.

“Ramai orang tak tahu, pada tahun 1943 lagi, British sudah mengumumkan setelah tamatnya Perang Dunia ke 2. Mereka akan kembali sekejap ke Tanah Melayu dan kemudian berundur, dengan menamatkan perjanjian dengan Raja-raja Melayu.

Tapi bila British balik pada awal September 1945, mereka dapati negara hampir dikuasai Komunis dan mereka sebenarnya ada tanggungjawab dan ada perjanjian dengan Raja-raja Melayu. Mereka kena tewaskan Parti Komunis dan baru boleh keluar dari negara ini. Jadi Parti Komunis melewatkan perunduran British, bukan mereka yang berjaya membebaskan Tanah Melayu.” – Prof Khoo Kay Kim, ketika diinterview SOSCILI.

Katanya lagi, Amerika sebagai kuasa besar barat sangat bimbang dengan gerakan Komunis dan fikirkan banyak cara untuk lumpuhkan komunis. Antaranya adalah dengan penubuhan Negara Bangsa.

“Mereka (komunis) tak tahu sudah ada perbincangan di England. Amerika sangat bimbang dengan gerakan Komunis dan Amerika perpendapat mungkin cara yang paling baik untuk gagalkan gerakan Komunis dengan menggalakkan penubuhan Negara Bangsa.

“Jadi Amerika beritahu Britain, mesti keluar dari negara yang mereka jalankan pentadbiran. Biar negara itu jadi Negara Bangsa. Mesti keluar dari Tanah Melayu, kalau tidak Amerika tak nak beli bijih timah dan getah. Amerika adalah kuasa barat pertama yang membebaskan tanah jajahannya, Filipina. Filipina dah dibebaskan pada 1946 lebih awal dari India. – Prof Khoo Kay Kim, ketika diinterview SOSCILI.

Tan Malaka adalah aktivis pejuang nasionalis dan pemimpin komunis Indonesia . Imej dari

Tan Malaka adalah aktivis pejuang nasionalis dan pemimpin komunis Indonesia. Imej dari asepsutisnaasus.blogspot

Bagaimanapun, kita tak boleh nafikan yang mereka ini dah mainkan peranan penting dalam membangkitkan semangat nasionalisme di Tanah Melayu. Tun Dr Ismail (bekas Timbalan Perdana Menteri) dan Tan Sri Samad Idris (veteran UMNO) sendiri mengakui perjuangan mereka.

“Bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan” – Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, ucapannya ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang di Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (1973)

“Pemberontakan yang dilakukan oleh orang Melayu di Jenjaram, Selangor dan di Temerloh, Pahang serta lain-lain tempat di mana mereka telah menyekutukan diri dengan pengganas Komunis di dalam hutan janganlah dianggap kerana fahaman Komunis mereka masih tebal.

Dari penelitian sejarah amatlah jelas bahawa mereka adalah tokoh-tokoh kebangsaan Melayu yang tulen” –  Tan Sri Samad Idris, Veteran UMNO, DAKR10, p64.

Shamsiah, Boestamam dan Dr Burhanuddin semasa perasmian cawangan PKMM di Kuala Pilah,1946. Imej dari Memoir Shamsiah Fakeh:Dari AWAS ke Rejimen ke-10.

Shamsiah, Boestamam dan Dr Burhanuddin semasa perasmian cawangan PKMM di Kuala Pilah,1946. Imej dari Memoir Shamsiah Fakeh:Dari AWAS ke Rejimen ke-10.

Ketika ditanya pendapat Shamsiah tentang Aisyah Ghani (veteran UMNO & senator wanita pertama), yang kata Shamsiah masuk PKM kerana tak mengkaji perkara sebenar iaitu AWAS diperalatkan komunis. Ini jawapan Shamsiah:

“Aisyah dengan aku bagai adik-beradik, dia seorang tokoh perjuangan kemerdekaan, aku gembira dan bersyukur dengan kejayaannya! Cakap Aisyah mungkin betul separuh, tapi kalau pada masa itu aku pintar dalam memilih untuk berjuang dimana hidup aku akan senang lenang dan tiada risiko, maka aku bukan Shamsiah!” – jawapan Shamsiah dalam wawancara dengan Mastika (2007), DAKR10, p134

Akhirnya, nama Shamsiah Fakeh akan kekal dalam lipatan sejarah bersama dengan nama-nama besar lain seperti Dr Burhanuddin, Pak Sako, Rasyid Maidin dan Abdullah CD yang akan terus meninggal pelbagai tafsiran terhadap perjuangan mereka.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend