Kenapa askar Malaysia yang dapat paling banyak anugerah ni ada filemnya sendiri

(You can the original article in English by clicking here.)

Bila bercakap pasal wira perang negara, nama pertama yang bermain dalam fikiran kita mesti Leftenan Adenan. Tapi sebenarnya ada ramai lagi rakyat Malaysia yang pernah pertahankan negara dalam pelbagai cara, tapi tak didendangkan dan tak ramai yang tahu, lebih-lebih lagi yang berasal daripada Sabah Sarawak.

Jadi bila trailer filem aksi Malaysia yang baru ni keluar, mungkin bagi sesetengah orang ini kali pertama dorang dengar pasal lelaki ni. Melainkan kalau korang pernah baca buku novel untuk PMR, korang mungkin tak pernah dengar nama Kanang Anak Langkau dari Batalion ke-8 Rejimen Renjer Diraja, dan bagaimana dia jadi salah seorang wira perang yang paling berjaya dalam sejarah tentera Malaysia.

Siapa Kanang Anak Langkau ni?

Kanang bersama ahli pasukannya. Imej dari buku Kanang: The Story of a Hero

Kanang Anak Langkau dilahirkan pada 2 Mac 1945 di Julau, Sarawak di mana beliau merupakan cucu seorang ketua Iban. Kanang telah menerima pelbagai jenis pendidikan sebagai kanak-kanak dari datuknya walaupun beliau membesar di sebuah kawasan terpencil di Sarawak di mana pendidikan formal adalah terhad. Kanang selalu ikut datuk dia memburu di dalam hutan dan telah belajar untuk membaca tanda-tanda tumbuh-tumbuhan, bunyi haiwan, bauan dalam angin, dan cara-cara untuk menjadi penjejak.

Pada tahun 1961, Kanang mendaftar untuk menyertai Sarawak Rangers, sebuah angkatan di bawah kuasa tentera British. Pada asalnya angkatan ini dibentuk oleh Brookes, dan kemudiannya menjadi askar sukarela Sarawak dalam Perang Dunia Kedua. Selepas Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, Sarawak Rangers telah diserap sebagai sebahagian daripada tentera Malaysia, membentuk Rejimen Renjer Diraja hari ini di mana Kanang bertugas di Batalion ke-8.

Kanang telah dilatih oleh tentera Gurkha di Singapura dan kemudiannya menghadiri Jungle Warfare School di Ulu Tiram, Johor. Semasa latihan, Kanang telah menyaksikan sendiri Pemberontakan Brunei dan Konfrontasi Indonesia pada tahun 1960, tetapi perjuangan terbesar beliau adalah apabila berperang sendiri dengan pemberontak komunis pada 1980-an.

Eh komunis ada lagi ke pada tahun 80-an?

Dari babak filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior

Mungkin ada kekeliruan sikit kalau kita ingat balik apa yang kita belajar dalam subjek Sejarah kita (atau kalau korang baca artikel SOSCILI ni), di mana Parti Komunis Malaya (PKM) wujud sekitar tahun 1940-an untuk melawan British semasa Darurat Tanah Melayu.

Tapi sebenarnya daripada tahun 1968 sampai 1989, terdapat Darurat Tanah Melayu Kedua apabila PKM telah memulakan pemberontakan baru untuk melawan kerajaan Malaysia yang ditubuhkan.

Walau bagaimanapun, tak macam Darurat Tanah Melayu yang pertama, PKM semakin lemah pada tahun 80-an atas beberapa faktor seperti kekurangan sokongan daripada kerajaan komunis di China selepas hubungan diplomatik dengan Malaysia dibentuk, dan juga Perang Vietnam. Keadaan menjadi lebih teruk apabila terdapat perbalahan dalaman dalam PKM sendiri, jadi keupayaan tempur mereka juga berkurangan.

Hubungan diplomatik Malaysia dan China dibentuk pada 1974. Imej dari TheStar.

Namun begitu, taktik gerila yang digunakan oleh pemberontak PKM masih memberi kesan, dan sangat sukar dilawan apabila mereka berundur kembali ke hutan. Kemudian pada 8 Februari 1980, seorang Private dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja yang baru je selesai tugas berkawal telah diserang pemberontak. Private Abu bin Abd Rahman telah ditembak di kepala dan terbunuh dalam serangan itu.

Bermulanya… ‘Operasi: Dragnet’

Dari babak filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior

Berikutan serangan ke atas batalion ke-25 Askar Melayu Diraja, platun Kanang di bawah perintah Leftenan Muda Johnson Anak Meling telah dikerahkan. Misi mereka adalah untuk mencari dan menghapuskan pemberontak yang telah menyusup ke Tanah Hitam, Perak.

Mereka dijangka untuk memburu kuasa kira-kira sedozen pemberontak. Dah jadi sarjan pada masa tu, Kanang adalah penjejak utama unit bersama platun pasangannya, Koperal Nasir Nordin. Sebagai penjejak utama, Kanang jadi barisan api yang pertama kalau sebarang pertempuran berlaku.

Setibanya platun Kanang di sebah hutan di Tanah Hitam, mereka mula mengesan para pemberontak, dan berhari- hari mereka mengikuti laluan dan mengelak periuk api yang ditinggalkan oleh pemberontak. Walaupun dua orang dalam platun telah dibawa keluar disebabkan periuk api, laluan yang membawa kepada kawasan rehat pemberontak kelihatan ditinggalkan.

Kemudian pada suatu malam, Kanang bermimpi yang beliau dan Koperal Nasir dilontar najis dan tanah liat oleh sekumpulan kanak-kanak di dalam hutan, dan najis tersebut tak dapat dibersihkan. Apabila Kanang terjaga, beliau ambil mimpi tu sebagai petanda yang tak baik dan beri amaran kepada Nasir  supaya lebih berhati-hati pada keesokan harinya.

Pada 19 Februari 1980, Kanang dan Nasir mengetuai platun di sekitar bukit, dan mereka jumpa kabel komunikasi yang biasanya digunakan oleh pengawal pemberontak untuk memberi amaran kepada kem utama mereka.

Kanang tahu yang sasaran mereka berada berhampiran dan meneruskan perjalanan dengan berhati-hati. Hampir pukul tiga petang masa tu, Kanang dan Nasir jumpa lagi  wayar lain yang dihubungkan dengan periuk api. Sebelum Kanang lucutkan senjata itu, tembakan tiba-tiba dilepaskan ke arah mereka.

Nasir tumbang apabila tembakan dilepaskan secara bertubi-tubi. Selepas mendapatkan perlindungan, Kanang menyeru kepada seluruh platun beliau yang mereka diserang dari arah kanan, dan pertempuran berlaku. Tak lama lepas tu, mereka mendapati diri mereka diserang pula di sebelah kiri dengan kuasa utama pemberontak yang telah meningkat sebanyak 20 orang lagi.

“Agi idup agi ngelaban!”

Serangan yang dilakukan kumpulan pemberontak membuatkan Kanang turut menerima beberapa tembakan di tubuhnya sebab beliau berada di barisan hadapan. Walaupun cedera parah, Kanang terus-terusan menjerit ayat ini kepada kumpulannya:

“Agi idup agi ngelaban!”

Merupakan ayat terkenal dalam kalangan orang Iban yang bermaksud “Selagi hidup, selagi itu berjuang”. Ianya dikaitkan dengan pahlawan legenda Iban iaitu Rentap, yang terkenal dengan keberaniannya dalam menentang keluarga Brooke sehingga saat kematiannya. Ayat tersebut juga digunakan sebagai motto Rejimen Renjer Diraja.

Dengan semangat juang yang tinggi, platun Kanang berjaya membuatkan pemberontak berundur. Ketika cuba menarik Nasir dari tembakan, Kanang pula yang menerima tiga tembakan di perut dan mengalami pendarahan teruk. Beliau hampir tak sedarkan diri semasa pegawai perubatan platun sampai untuk bantuan perubatan. Kanang dikeluarkan dari medan perang, dan Operasi Dragnet berakhir beberapa hari kemudian dengan kematian lima orang pemberontak dan pelbagai kelengkapan yang disita.

Kanang dihantar ke Hospital Ipoh dengan helikopter di mana nyawanya ketika itu antara hidup dan mati selama beberapa hari, sebelum akhirnya beransur sembuh selepas setahun. Oleh kerana keberaniannya dalam pertempuran di Tanah Hitam, Kanang telah dicalonkan dan dianugerahkan dengan Pingat Gagah Berani pada 7 Jun 1987 dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa pada 3 Jun 1981; dua anugerah tertinggi untuk keberaniannya yang diberikan oleh kerajaan Malaysia.

Kanang merupakan penerima tunggal yang masih hidup untuk kedua-dua anugerah dalam sejarah tentera Malaysia. Pada 1989, Darurat Tanah Melayu Kedua berakhir dengan Perjanjian Damai di Hat Yai.

Imej dari buku “Kanang: The Story of a Hero”.

Kehidupan beliau seterusnya…

Kanang menerima pelbagai penganugerahan. Imej dari The Borneo Post.

Kanang telah dinaikkan pangkat kepada Pegawai Waran I sebelum bersara pada tahun 1983, selepas 21 tahun perkhidmatannya dalam tentera. Di negeri kelahirannya, Kanang telah diberi gelaran Temenggong oleh masyarakat Iban di daerah Sri Aman, dan kemudiannya gelaran Datuk oleh kerajaan negeri.

Kanang tak dilupakan umum selepas bersara, malah menjadi tajuk utama sekali lagi apabila menyelamatkan bayi Orang Utan pada tahun 2009, dan kemudian menyelia penempatan semula 21 penjejak Iban dan Sarawak Rangers berserta peninggalan mereka yang meninggal dunia semasa Darurat Tanah Melayu Kedua. Mereka dikebumikan di Sabah Sarawak dan dikebumikan semula di Sarawak pada tahun 2011. Kanang meninggal dunia disebabkan serangan jantung pada 3 Januari 2013 di kediamannya pada umur 68 tahun. Beliau diberikan pengkebumian dengan penghormatan ketenteraan penuh dan dikebumikan di Kubur Pahlawan di Kuching.

Kubur Kanang. Imej dari The Borneo Post.

Dan kisahnya kini ditayangkan di pawagam

Tonton “Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior” di pawagam terdekat anda sekarang. Imej dari Tangan Seni.

Sekarang kita tahu serba sedikit jadi boleh la tonton kisah beliau di pawagam, “Kanang Anak Langkau: Iban Warrior”! Kini ditayangkan di pawagam dan merupakan minggu akhir dalam carta Wajib Tayang (kalau nak tahu kenapa penting untuk tengok filem Malaysia dalam dua minggu pertama, baca sini)

Diterbitkan oleh Tangan Seni dan diarahkan oleh Badaruddin Haji Azmi, anak Kanang, Langgi Anak Kanang, yang juga merupakan seorang tentera kini menyambung warisan bapanya.

Kisah Kanang Anak Langkau ni lebih daripada keberanian seorang askar mempertahankan keamanan negara kita. Sama ada dari timur atau barat, Kanang bersedia untuk hidup dan mati untuk Malaysia sebagai rakyat Malaysia, dan itulah semangat yang ditunjukkan yang sepatutnya menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia, dan bukannya dibahagikan dengan bangsa atau agama.

Jadi, daripada kita tengok “Power Rangers”, mungkin lebih baik kita luangkan masa untuk mengetahui lebih lanjut tentang pahlawan perang Malaysia yang hebat ni.

Agi idup agi ngelaban!

Nota Penulis: Maklumat tentang Kanang ditemui dalam The Borneo Post dan New Strait Times. Butiran Operasi Dragnet telah diambil dari buku “Kanang: The Story of a Hero“, bersama-sama dengan penerangan terperinci dalam catatan blog ini.