4 perkara mengejutkan tentang Ibrahim Ali, dikongsi oleh bekas pensyarahnya sendiri

(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)

Kalau nak kata pasal pekerjaan mulia, menjadi seorang pendidik adalah salah satu daripadanya. Tugas sebagai pendidik ni bukan je mengajar pelajar, tapi sebenarnya macam-macam lagi. Itu belum lagi layan kerenah ibu bapa, kementerian, pihak sekolah/universiti dan budak-budak yang makin kurang ajar sekarang ni.

Seorang pendidik juga mesti nak setiap dari pelajarnya berjaya, macam jadi doktor, jurutera, peguam dan sebagainya. Tapi macam mana pulak kalau pelajar diorang tu jadi ahli politik? Dan ahli politik tu pulak adalah Ibrahim Ali!

Dekat Malaysia ni siapa tak kenal dengan Datuk Ibrahim Ali, Presiden PERKASA, sebuah NGO yang memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera kat negara ni. Selain tu, NGO ni juga terkenal dengan kontroversinya macam – kes bakar bible suatu masa dulu. Walaupun selalu dituduh sebagai NGO ekstrem dan rasis, Ibrahim Ali tetap kata yang PERKASA ni satu NGO sederhana

Thank you brother! Imej dari The Malaysian Insight.

Tapi pernah tak kita tertanya-tanya macam mana Ibrahim Ali masa jadi student dulu? Untuk jawab soalan ni, CILISOS dah bertuah sebab berjaya jumpa dengan Professor Institut Teknologi Mara (sekarang Universiti Teknologi Mara atau UITM) kat satu majlis pelancaran buku. Beliau ni bukan Professor yang biasa-biasa tau, sebabnya beliau adalah orang yang dah tengok perjalanan Ibrahim dari zaman belajarnya sampailah ke zaman terlibat dalam politik.

Kami perkenalkan, Prof Sankaran Ramanathan.

Prof Sankaran. Imej dari CILISOS.

Prof Sankaran adalah seorang pendidik tulen, dan kurang bercakap soal politik, tapi lebih tentang disiplin dan pelajaran. Walaupun dah bersara, pengalamannya yang luas dalam Media dan Komunikasi dah buatkan dia terlibat dalam memperkenalkan kursus tertentu untuk kolej-kolej dan universiti-universiti tempatan. Beliau juga menulis banyak buku.

Untuk faham kehidupan Ibrahim Ali masa belajar, rasanya lebih baik kita kenal dulu apa dia UITM. Sebabnya, dengan cara ni kita akan lebih faham tentang Ibrahim Ali.

ITM ditubuhkan untuk bantu dan bangunkan orang Melayu/Bumiputera

“Matlamat asal dan visi ITM adalah untuk menaik taraf Bumiputera yang miskin dan di luar bandar.” – Prof Sankaran.

Tujuan utama MARA atau Majlis Amanah Rakyat ditubuhkan adalah untuk membantu, melatih dan membimbing kaum Bumiputera dalam perniagaan dan industri. Dalam usaha itu, sistem pendidikan juga diwujudkan, bila tertubuhnya Institut Teknologi Mara (ITM), di bawah pimpinan tokoh pendidikan Tan Sri Arsyad Ayub. Masa tu ITM belum lagi jadi universiti dan sijil yang ditawarkan cuma diploma. (klik sini untuk baca sejarah UITM).

Ibrahim Ali & Tan Sri Arsyad Ayub. Imej dari Utusan Malaysia.

Seingat Prof Sankaran, kebanyakan pelajar ITM masa tu sangat lemah dalam bahasa Inggeris, dan ramai pensyarah (termasuk beliau) yang bagi kursus bahasa Inggeris tambahan. Pelajar juga masa tu kena denda (dengan sokongan Arsyad Ayub) kalau diorang cakap Bahasa Melayu. Perkara ni dibuat sebab nak persiapkan diorang supaya boleh cakap Inggeris kalau masuk sektor swasta nanti.

Sebagai seorang bukan Melayu yang mengajar kat Kolej Melayu, Prof Sankaran masa tu percaya dengan misi Mara – yang nak orang Melayu/Bumiputera dibangunkan. Sebagai pengerusi lembaga yang interview pelajar untuk masuk kolej, Prof Sankaran beritahu – kriteria yang ditengok bukan je kemampuan akademik dan personaliti, tapi juga pendapatan keluarga.

Bangunan ITM Shah Alam satu masa dulu. Imej dari Penerangan.gov.my.

Pelajar yang datang dari keluarga berpendapatan rendah diberi keutamaan dari pelajar yang datang dari keluarga berpendapatan tinggi. Senang cakap, ITM akan cuba cari pelajar yang datang dari keluarga miskin, walaupun keputusan akademik pelajar ni tak berapa bagus dari pelajar yang kaya. 

Jadinya pada tahun 1972, seorang pelajar yang sangat istimewa dah datang interview untuk jadi salah seorang pelajar jurusan Komunikasi Massa kat ITM. Orang tu adalah….

Masa ni masih tunjuk aurat lagi. Imej dari thenutgraph.com

1. Ibrahim pelajar yang cukup berkarisma dan lantang bersuara

“Saya tahu dia adalah pemimpin masyarakat. Dia ada karakter itu.”

Walaupun Prof Sankaran tak kata Ibrahim Ali ni pelajar yang baik atau tak, tapi apa yang beliau ingat adalah Ibrahim ni ada kesungguhan nak belajar dan berkarisma. Ibrahim juga suka sangat dengan sejarah sampai dia ambil kelas tu dua kali darinya (bukan sebab dia gagal tau). Dalam kelas tu, diorang bincang macam-macam benda dari demokrasi, kebebasan, Revolusi Perancis dan sampailah ke Revolusi Amerika.

“Ibrahim Ali yang saya kenal adalah seorang liberal yang mahu memperjuangkan hak asasi manusia, kebebasan dan demokrasi. Dia nak pelajar diberikan kebebasan bersuara – untuk terlibat dalam proses politik. Itulah Ibrahim Ali yang saya kenal.” – Prof Sankaran.

Revolusi Perancis 1789 – 1799. Imej dari proprofs.com

Bila ditanya pasal kehidupan Ibrahim masa belajar, Prof Sankaran kata, Ibrahim sama je macam pelajar-pelajar ITM lain masa tu. Ibrahim juga berasal dari keluarga miskin dari kampung dan bergantung dengan biasiswa dari MARA. Katanya lagi, Ibrahim bukan jenis yang suka berparti, tapi dia lebih suka luangkan masa lapang dengan bincang hal politik.

Apa yang lebih menarik, Ibrahim ni seorang yang lantang bersuara dan tak teragak-agak suarakan pandangannya, terutama sekali kepada pensyarah yang dia rasa tak berapa bagus. Selain tu dia juga hebat dalam berpidato sampaikan dia menang mudah dalam pemilihan perwakilan pelajar.

Mungkin ada yang pernah dengar macam mana Ibrahim dulu pernah ketuai 200 ke 300 orang pelajar untuk berarak dari kampus ITM kat Shah Alam ke Parlimen masa protes pelajar tahun 1974. Protes tu juga libatkan pelajar dari Institut Kemahiran Mara dan Universiti Malaya.

Aktivis pelajar Universiti Malaya (UM). Imej dari The Malaysian Insider.

Disebabkan dia terlibat dalam demonstrasi ni, Ibrahim dan Anwar Ibrahim dah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Masa tu dia cuma tinggal dua kertas je, sebelum dia boleh habis belajar.

2. Masuk ISA dengan Anwar Ibrahim yang pernah jadi idolanya

“Mereka buat study group. Warden penjara pun bagi sokongan kepada mereka”

Sebagai ketua Pengajian Kewartawanan, suatu hari Prof Sankaran dah dipanggil ke pejabat bosnya. Rupa-rupanya, Ibrahim ada tulis surat dari Kem Tahanan Kamunting (tempat tahanan ISA). Dalam surat tu, Ibrahim kata yang dia nak siapkan dua kertas yang dia belum ambil tu. Jadinya, para pensyarah masa tu buat undian sama ada nak bagi dia ambil atau tak.

Berdasarkan kedudukan Ibrahim yang tak ditahan kerana kesalahan jenayah, tapi disebabkan faktor politik dan disokong kuat oleh dua orang pensyarah dari Amerika, undian pun lulus. Ibrahim boleh habiskan pengajiannya dalam Kamunting.

Pandangan atas Kem Tahanan Kamunting. Tapi sekarang ISA dah dimansuhkan. Imej dari syahrilkadir.wordpress

Jadinya Prof Sankaran dan beberapa orang lagi pun sediakan bahan-bahan dan nilai hasil kerja Ibrahim. Setiap dua minggu, diorang akan dapat bungkusan yang diberikan sendiri oleh warden Kamunting bersama dengan kenyataannya yang kata dia perhatikan Ibrahim siapkan pengajian. Menurut Prof Sankaran, warden tu sangat sokong usaha Ibrahim. Warden tu juga benarkan Ibrahim, Anwar Ibrahim dan Syed Husin Ali buat study group.

Sebenarnya perkara ni tak mustahil pun, sebabnya Ibrahim sendiri pernah cakap yang Anwar dulu pernah jadi idolanya dan diorang ni kawan baik. Masa nak ditangkap dalam demonstrasi, diorang berjaya lepaskan diri sama-sama – tapi macam biasa diorang tetap kena tangkap juga akhirnya. Sebenarnya, sebab Anwar jugalah Ibrahim kena tahan kat Kamunting selama 2 tahun. Sebabnya Ibrahim masa tu tak nak sain surat akuan, selagi mana Anwar belum sain. (betul-betul setia kawan ni!)

Pernah berkawan baik. Imej dari says.com

Tentang kualiti kerja pengajian Ibrahim masa dalam ISA, Prof Sankaran kata:

” Ia adalah… cukup baik untuk lulus, walaupun dalam peperiksaan akhir. Tapi kita mungkin boleh mengatakan yang dia dihukum, disebabkan dia tak dapat tamatkan pengajian dengan kawan-kawan sekelasnya.”

Sebenarnya, Dr Mahathir yang masa tu jadi Menteri Pelajaran ada persoalkan keputusan pegawai Mara ni, tapi takde apa-apa tindakan diambil. Ibrahim nampaknya tak dapat lupakan jasa-jasa para pensyarahnya masa tu.

3. Ibrahim Ali berubah lepas keluar ISA

“Bila dia keluar, dia agak tak berapa senang dengan Dr M.”

Kalau korang tengok keluarga dan sejarah hidup Ibrahim, korang akan nampak yang Ibrahim ni sepatutnya jadi penentang kerajaan.

Bapanya adalah Ketua Kampung dan penyokong tegar PAS yang pernah tolak tawaran Tunku Abdul Rahman untuk dapat jawatan dalam Pemuda UMNO. Selain tu, bapanya juga pernah kena tangkap kat bawah Akta Ketenteraman Awam sebab fahaman politiknya.

Jadinya, dari pemerhatian Prof Sankaran, Ibrahim lepas keluar ISA, dia agak tak berapa senang dengan Dr Mahathir. Perasaan ni mungkin dapat diperkuatkan lagi masa dia ditahan bawah ISA dalam Ops Lalang, masa Dr Mahathir jadi Perdana Menteri.

Klik imej untuk baca artikel kitorang pasal Ops Lalang.

Tapi kalau korang rasa disebabkan pengalamannya tu Ibrahim akan masuk parti pembangkang korang salah. Sebabnya, Ibrahim mulakan kareer politiknya dengan UMNO, sebelum lompat masuk parti-parti lain macam Semangat 46 (S46), PAS (secara tak rasmi), dan jadi calon bebas. Sampaikan ada orang gelarkan dia dengan satu nama haiwan comel ni.

Apa yang lebih menarik, Ibrahim kemudiannya berkerjasama dengan Dr Mahathir bila PERKASA ditubuhkan dan malah jadi antara penyokong kuat Dr Mahathir lepas Anwar dipecat dulu.

Tak tahu la apa yang diorang borakkan tu. Imej dari sabahkinimirror.blogspot

Mungkin disebabkan kelantangannya, Ibrahim tak kekal lama dalam mana-mana parti politik. Hal ni termasuklah apabila dia mula tak sebulu dengan Anwar Ibrahim yang pernah jadi idolanya dan apabila dia dipecat dari UMNO untuk seumur hidup.

4. Ibrahim Ali ni bukanlah seteruk yang orang kata dan kita sangka

“Dia akan rangkul saya dan beritahu semua orang ‘Ini cikgu saya’.”

Kalau ada sesuatu yang korang tak boleh salahkan Ibrahim Ali, ia adalah penghargaannya terhadap para pensyarah dan kolejnya. Malah, kerana usaha Ibrahim jugalah ITM dapat jadi sebuah universiti (UITM).

Menurut Prof Sankaran, beliau ada jumpa Ibrahim tiga kali sejak dia tamat belajar. Setiap kali itu jugalah Ibrahim akan rangkul saya dan beritahu kepada semua orang yang ada kat situ “Ini cikgu saya!”.

Cuba teka mana satu Ibrahim Ali. Imej dari blogserius.blogspot

Prof Sankaran juga masih ingat satu peristiwa masa dia bawa para pelajar melawat Parlimen. Entah dari mana, Ibrahim (masa tu Ahli Parlimen) datang sambutnya. Ibrahim kemudiannya panggil dua pegawai Parlimen dan bagitau diorang “Jaga cikgu saya”. Diorang lepas tu diberi tempat duduk yang baik untuk dengar perbahasan Parlimen.

Tapi, macam mana Ibrahim boleh jadi liberal?

Mungkin korang ada terlepas satu point penting yang Prof Sankaran ada kata. Katanya, Ibrahim Ali dulu seorang yang liberal. Tak berkerut dahi korang? Macam mana Ibrahim Ali boleh jadi liberal? Mungkin ada yang sanggup potong jari, kalau nak tengok Ibrahim jadi liberal.

Bukan tu je yang Prof Sankaran kata…

“Ibrahim Ali yang saya kenal adalah seorang yang jujur.” – Prof Sankaran.

Imej asal dari thecoverage.my

Tapi sekarang ni, watak Ibrahim nampaknya jauh sangat dengan apa yang Prof Sankaran pernah kata. Apa dah jadi dengan Ibrahim yang Prof Sankaran kenal dulu?

Ini jawapan Prof Sankaran:

“Sekarang, saya tak tahu sama ada dia telah salah atau tidak, memandangkan (ramai yang bercakap menentang kerajaan) telah kembali berpihak pada kerajaan. Ibrahim berada di tengah dan menjadi ultra.

Saya tidak tahu apa yang berlaku kepadanya. Mungkin dia telah hilang bisanya dulu dan terperangkap dalam matlamat materialistik. Mungkin dia bukan berpegang kepada cita-citanya. Sayang sekali. Saya dengar dia bercakap. Ibrahim yang saya kenal adalah seorang yang jujur.” – Prof Sankaran.

Ibrahim Ali confirm akan bertanding kat Pasir Mas PRU-14 nanti. Imej dari Astro Awani.

Kesimpulannya, apa yang boleh kita kata adalah itulah insan yang bernama Ibrahim Ali dari pandangan bekas pensyarahnya. Ibrahim Ali tetap menjadi tokoh politik yang melalui jalan berwarna-warni. Sama ada kita bersetuju atau tak  dengan caranya, hal tu terserah kepada kita semua. Artikel ini dah beri gambaran dan penjelasan yang luas mengenai Ibrahim Ali.

Soalan bonus: Adakah anda menyesal mengajarnya?

“Reaksi pertama bila saya beritahu yang dia adalah pelajar saya adalah: ‘Macam mana dia boleh jadi pelajar awak?’ ‘Apa dah jadi?’ atau ‘Awak patut gagalkan dia’.”

Walau apa pun, Prof Sankaran berkata beliau tetap berpegang kepada prinsip bahawa setiap pelajar ada hak untuk belajar dan jika dia nak tamatkan pengajiannya, beliau perlu ada untuk membantunya.

“Sebagai seorang pendidik, kami tak tahu macam mana pelajar kami akan jadi nanti. Tapi tugas saya adalah memberikan mereka keadilan, jadi inilah yang saya buat.

Saya akan buatnya lagi. Saya akan buat perkara yang sama sekarang.” – Prof Sankaran.

Prof Sankaran – Pendidik sejati. Imej dari CILISOS.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.