Kalau dulu Iraq dituduh ada senjata pemusnah besaran, kali ni Syria pula ada senjata kimia

Bila tengok konflik kat Timur Tengah, tak terlepas kita dari bercakap soal perang yang tengah jadi kat Syria sekarang ni. Menurut laporan media antarabangsa, kesan dari konflik ni dah mengorbankan lebih dari 500 ribu nyawa.

Beberapa hari lepas pulak, kita dengar berita yang Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis dah lancarkan serangan ke atas Syria dengan sokongan sekutu-sekutu kuasa besar itu. Macam biasa, sekali lagi sebuah negara menjadi medan pertempuran antara kuasa-kuasa dunia.

Tahun lepas je, lebih 10 ribu orang awam terbunuh kat Syria. Imej dari Syrian Network For Human Rights (SNHR).

Semua ni jadi bila rejim Syria bawah Assad didakwa guna senjata kimia terhadap rakyatnya, terutama sekali kat kawasan dikuasai pemberontak. Tapi, kita nak tahu jugak sejak bila konflik ni bermula dan kenapa? Mungkin kita boleh mula dengan…

Dari kebangkitan ‘Arab Spring’ ke perang saudara

Pada tahun 2010 dulu, dah jadi satu kebangkitan rakyat di beberapa negara Timur Tengah dan Afrika Utara yang dimulakan kat Tunisia. Semua ni jadi bila rakyat rasa marah sangat dengan kerajaan pemerintah yang tak hiraukan masalah dan denyut nadi rakyat. Kesannya, Presiden Tunisia berjaya digulingkan.

Seterusnya, sentimen ni mula merebak ke beberapa negara lain macam – Mesir, Libya dan Syria. Hosni Mubarak yang dah 30 tahun memerintah Mesir berjaya digulingkan dan diganti dengan Mohammad Morsi (yang digulingkan juga lepas tu). Kat Libya pulak, Gaddafi yang dulunya menggulingkan Raja Idris, akhirnya digulingkan pulak oleh rakyatnya sendiri dan dibunuh.

Gaddafi & Yasser Arafat. Gaddafi jadi Presiden Libya, masa umur 27 tahun. Imej dari ABC News.

Untuk maklumat, sejak tahun 1970-an, Syria dah diperintah oleh suku Alawit (Syiah) yang dipimpin oleh Hafez Assad (bapa Bashar Assad). Sejak diorang ni memerintah, banyak kekejaman yang diorang buat khususnya kepada penentang kerajaan. Bila angin Arab Spring mula bertiup kencang kat rantau tu, makanya rakyat Syria pun terkena tempiasnya dan bangkit menentang pemerintahan Bashar Assad.

Tapi kedudukan strategik Syria yang bersempadan dengan Israel, Lebanon, Iraq, Iran dan Turki, dah pasti kuasa-kuasa besar nakkan negara ni berpihak kepada diorang. AS dah tentu nampak potensi besar Syria kalau negara tu pro-Barat. Tapi…

“…kedudukan strategik Syria ini menyebabkan Rusia dan Iran tidak akan membenarkan rejim Assad tumbang. Buat masa ini, Rusia-Iran-Hizbullah ternyata telah menyelamatkan Syria daripada tumbang kepada pemberontak.” – Zin Mahmud, dipetik dari Utusan Malaysia.

Hafez Assad (tengah) bapa Bashar Assad. Saddam pun ada dalam gambar ni. Imej dari quora.com

Maka, jelas kat sini yang kebangkitan Arab Spring kat Syria gagal, apabila pemberontakan tak jadi seperti mana kat Tunisia atau Mesir. Rejim Assad mendapat sokongan Rusia, yang akhirnya membawa kepada wujudnya perang saudara di negara tu.

Banyak pihak yang terlibat, sampai keadaan jadi makin keliru

Inilah yang jadi kat Syria sampai buatkan konflik ni susah nak difaham dan payah nak diselesaikan. Kalau ada negara yang berkonflik dan kita tahu yang konflik tu antara dua pihak – macam pihak rejim dengan pihak pemberontak, mungkin mudah untuk kita faham situasinya. Tapi dalam hal Syria, keadaannya berbeza bila ramai pihak yang terlibat.

Jangan keliru dulu! Imej dari Giphy.

Mari kita tengok satu-satu siapa diorang ni, dan apa yang jadi sebenarnya.

1. Rejim Syria – dapat sokongan Iran, Lebanon Hezbollah dan Rusia

Seperti yang diceritakan tadi, rejim Syria masih lagi dipimpin oleh Bashar Assad. Kalau tak kerana sokongan-bantuan dari Iran, Hezbollah dan Rusia, dah lama rasanya rejim ni lingkup. Tapi disebabkan persaingan kuasa antara Rusia dan AS, nampaknya masing-masing cuba untuk mainkan peranan kat Syria.

Gambar Bashar & Putin. Imej dari New Statesman.

Selain tu, hubungan baik Rusia jugak boleh kita nampak masa zaman Gaddafi berkuasa dekat Libya dulu. Tapi bila Gaddafi jatuh disebabkan Arab Spring, makanya Rusia sekarang kena pastikan yang diorang masih ada pengaruh dekat Timur Tengah dan salah satunya mestilah dengan negara-negara macam – Syria dan Iran.

“Moscow mahu melindungi kemudahan laut utama yang disewanya di pelabuhan Tartous, Syria, yang berfungsi sebagai pangkalan Mediterranean asas untuk armada Black Sea Rusia, dan juga mempunyai pasukan di pangkalan udara di Latikia, milik Assad.” – Dipetik dari BBC.

2. Pemberontak – dapat sokongan AS, Turki, Britain, Perancis dan Arab Saudi 

Bila jadinya Arab Spring, kebanyakan masyarakat Syria (khususnya Sunni) mula menentang Bashar Assad. Keadaan bertambah tegang bila ramai yang terlibat dalam protes anti-kerajaan ditangkap dan diseksa.

Kekejaman ni bertambah parah bila seorang budak 15 tahun dah ditangkap dan diseksa dengan teruk. Semuanya jadi bila budak ni buat grafiti menyokong Arab Spring.

Dalam kes lain – Hamza al-Khateeb kanak-kanak 13 tahun yang mati dibunuh kejam oleh rejim Assad. Imej dari Daily Mail.

Seterusnya, rejim Assad buat lagi pelbagai tindakan termasuklah membunuh beratus orang penunjuk perasaan. Maka, jadilah perang saudara kat Syria – di antara pihak yang sokong rejim dengan pihak menyokong pemberontak.

“Apa yang disebut pemberontak adalah kumpulan-kumpulan Islamis dan pro-demokrasi yang mahu menjatuhkan rejim Damsyik itu.” – Zin Mahmud, dipetik dari Utusan Malaysia.

Pemberontak Syria. Imej dari syrianews.media

Tapi keadaan jadi makin celaru bila ada campur tangan luar. Rusia bertindak bantu rejim Bashar memerangi kumpulan-kumpulan penentang ni. Untuk lawan balik, AS dan sekutunya pun tolong pihak-pihak penentang dengan bagi senjata dan sebagainya. Maka jadilah Syria sebagai medan pertempuran dua kuasa dunia.

3. Muncul pulak kumpulan-kumpulan ekstrem lain macam – Daesh dan al-Qaeda

Kalau tadi kita nampak ada dua pihak yang saling berperang, tapi kali ni kita akan nampak pulak kumpulan-kumpulan lain yang juga menyibuk masuk dalam konflik Syria. Diorang adalah kumpulan ekstrem – Daesh dan al-Qaeda. Kedatangan diorang ni dah buatkan keadaan jadi bertambah rumit dan juga jadi antara penyebab gagalnya pemberontakan kat Syria.

Siapa pula kat belakang Daesh dan al-Qaeda? Imej dari intelligencebriefs.com

Sebabnya, Rusia gunakan isu ni untuk masuk campur, yang sebenarnya bertujuan untuk tolong rejim Assad. Kat pihak Assad pulak, semua pemberontak diisytiharkan sebagai pengganas, sedangkan yang mengganas ni cuma Daesh dan al-Qaeda je. Kesannya, rakyat Syrialah yang menanggung derita.

“Sebahagiannya telah menanggung kezaliman daripada kerajaan mereka sendiri, iaitu rejim Assad. Sebahagian pula menanggung penderitaan ketika di bawah pemerintahan Daesh dan kumpulan pemberontak Islamis.” – Zin Mahmud, dipetik dari Utusan Malaysia.

4. Turki pulak berperang dengan puak Kurdish kat Syria

Inilah punca kenapa konflik kat Syria ni celaru. Tak habis lagi perang tiga penjuru, tiba-tiba Turki berperang pulak dengan puak Kurdish kat Syria. Perang ni jadi kat Syria utara yang bersempadan dengan Turki.

Untuk maklumat, puak Kurdish kat Syria dah buat satu pasukan bersenjata, dikenali sebagai People’s Protection Units (YPG) yang bagi sokongan kuat kepada pemberontak Kurdish Turki (Kurdistan Workers’ Party-PKK). Kerajaan Turki pulak isytiharkan PKK ni sebagai pengganas.

Kemasukan tentera Turki itu pula bukan mengejar PKK tetapi YPG. Walaupun kedua-dua PKK dan YPG adalah Kurdish tetapi mereka adalah rakyat negara berbeza, iaitu Syria dan Turki.” – Zin Mahmud, dipetik dari Utusan Malaysia.

Dari kiri: Hassan Rouhani (Iran), Putin (Rusia) & Erdogan (Turki). Imej dari Hurriyet Daily News.

Walaupun YPG ni kumpulan Kurdish, tapi tak semua ahlinya orang Kurdish, sebab ada juga kaum-kaum minoriti lain yang masuk dalam kumpulan ni. Apa yang lagi menarik, ideologi diorang ni sekular, walaupun majoriti ahlinya Islam Sunni. YPG ni juga dapat sokongan AS dalam memerangi Daesh.

Dalam masa sama, Turki juga adalah sekutu AS dalam NATO yang sokong pemberontak menentang rejim Assad. Sebab itulah, kita akan rasa pening bila nak fahamkan apa sebenarnya yang jadi kat Syria ni.

“Tetapi kehadiran al-Qaeda dan Daesh menjadikan perang saudara Syria pelbagai dimensi. Al-Qaeda dan Daesh yang juga menentang Damsyik turut bertempur dengan kumpulan pemberontak lain termasuk YPG.” – Zin Mahmud, dipetik dari Utusan Malaysia.

Kalau nak tengok jelas klik sini.

AS tuduh Assad guna senjata kimia, tapi dulu diorang jugak yang tuduh Saddam ada senjata pemusnah besar-besaran

Menurut laporan media dan dakwaan beberapa pihak, rejim Assad dikatakan dah guna senjata kimia dalam usaha menghapuskan pemberontakan. Pada April tahun lepas, dilaporkan lebih dari 80 terbunuh akibat dari serangan senjata kimia kat bandar Khan Sheikhoun, Syria.

“Serangan pertama senjata kimia direkodkan di Syria adalah pada Mac 2013 berdekatan dengan Aleppo. Sejak itu, 17 lokasi telah diserang dengan senjata kimia.” – Dipetik dari al-Jazeera.

Bila sebut pasal senjata kimia ni, kita juga mungkin teringat dengan apa yang jadi kat Iraq masa Saddam Hussein berkuasa dulu. Saddam yang berideologikan Ba’athism dengan kejam dah bertindak membunuh rakyatnya sendiri dengan gunakan senjata kimia, terutamanya apa yang jadi terhadap etnik Kurdish kat Halabja masa Perang Iran-Iraq.

Walaupun begitu, kita juga masih lagi kena tahu yang penaklukan ke atas Iraq dibuat lepas AS dan sekutunya tuduh negara tu ada senjata pemusnah besar-besaran (WMD). Tapi sampai ke hari ni, dakwaan tu tak dibuktikan dan rupanya-rupanya WMD tu tak wujud pun.

Nyawa orang yang pernah dianggap sebagai antara paling berkuasa di Arab ni, akhirnya berakhir di tali gantung. Imej dari alaraby.co.uk

Kalau macam tu, adakah benar Syria menggunakan senjata kimia seperti mana yang dituduh? Menurut beberapa pandangan, hal tu tak mustahil sebab rejim Assad (juga Ba’athism) sama je kejamnya dengan rejim Saddam dulu. Tapi, bagi pihak Syria dah pasti diorang nafikan dan di pihak AS pulak Rusia dipersalahkan sebagai dalang utama.

Buat masa sekarang kumpulan bebas dah pun dikerahkan ke Syria untuk menyiasat penggunaan senjata kimia ni. Mereka sekarang dah pun masuk ke bandar Douma yang dikatakan berlakunya serangan pada 7 April lepas.

Syria bukan pentas perang antara Sunni – Syiah

Memang tak dapat dinafikan bahawa adanya persaingan pengaruh politik kat Timur Tengah, terutama sekali antara Arab Saudi dan Iran. Hal ni dengan jelas berlaku kat Yemen dan Syria sekarang ni. Tapi, ada juga kaitkan hal yang jadi ni dengan konflik agama antara Sunni dan Syiah.

Sebenarnya, konflik agama ni bukanlah punca sebenar dan bukanlah satu masalah besar kat Timur Tengah. Tapi isu ni selalu dibangkitkan untuk tutup agenda campur tangan pihak ketiga.

“Israel umpamanya sudah banyak kali berselindung di sebalik strategi pertembungan Sunni dan Syiah demi melangsungkan kepentingan geopolitik rejim Zionis. Iran dianggap Israel sebagai musuh utama mereka dan lazimnya AS dipergunakan sebagai proksi dan sering juga negara Arab diperalatkan demi untuk menekan Iran.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Jenama kereta kami Mitsubishi. Imej dari No Fracking Way.

Sebenarnya, isu yang lebih utama adalah hal penguasaan pengaruh di rantau Timur Tengah itu sendiri. Saudi dan sekutunya dah lama dikenali sebagai pendokong kuat AS, manakala Iran pulak condong ke Rusia dan China.

“Mengapa mazhab Syiah di dalam masyarakat Sunni yang sudah wujud lebih daripada 1,000 tahun itu tidak pernah menghalang kemajuan Islam di seluruh pelusuk dunia, tiba-tiba kini ditiupkan api permusuhan untuk menumpahkan darah dalam umat yang satu kiblatnya?” – Datuk Seri Hadi Awang, Presiden PAS. Dipetik dari Pas.org.

Imej dari mfundamentalist.blogspot

Jadinya, isu yang melanda dunia Islam hari ni bukan hanya terhad kepada konflik mazhab/aliran semata-mata, tapi ia sebenarnya lebih besar dari tu. Memang tak dapat dinafikan bahawa adanya perselisihan antara dua fahaman ini, tapi ia taklah sebahaya ancaman luar yang sentiasa cuba merobek dan mengaut keuntungan.

Mencari cahaya keamanan Syria dari kegelapan gua penuh berduri

Sejak berlakunya perang saudara kat Syria, dah beberapa kali rundingan damai cuba diusahakan. Tapi nampaknya, ia tak berapa berjaya sebab rundingan ni selalunya jadi antara pihak pemberontak dengan pihak kerajaan, tanpa penyertaan kumpulan Daesh, al-Qaeda, mahupun Kurdish. 

Dalam masa sama, keadaan rantau dan pimpinan Arab tu sendiri tak mengizinkan adanya kedamaian. Sebagai contoh, bila AS dan sekutunya mengancam menyerang Syria, negara macam – Saudi, Bahrain dan Qatar menyokong tindakan tu, manakala Iraq, Lebanon dan Mesir pula lahirkan kebimbangan.

Keadaan kota Damsyik akibat serangan AS terhadap Syria, baru-baru ni. Imej dari NBC News.

Liga Arab pula nampaknya hanya bermesyuarat dan buat keputusan untuk condemn Iran dan minta supaya siasatan dilakukan terhadap tuduhan penggunaan senjata kimia. Jika dulu Bush menjanjikan keamanan dan demokrasi kepada Iraq melalui serangan ke atas negara itu. Kali ni, serangan ke atas Syria pula dilakukan.

“Adalah mudah bagi Trump atau tenteranya berkira-kira untuk melakukan serangan…Tidak ada askar AS yang akan mati. Tetapi apabila ia meletup di bumi Syria, yang kena sasaran bukan tentera semata-mata tetapi rakyat yang mencari perlindungan.” – Zin Mahmud, dipetik dari Utusan Malaysia.

Dunia Islam terus dirobek. Imej dari makeagif.com

Kehancuran yang jadi di Iraq, Libya dan Yemen cukup menyedihkan dunia Islam. Kemana dunia Islam akan pergi selepas ini? Masih adakah cahaya keamanan, di hujung kegelapan sebuah gua?

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.