Muammar Gaddafi – dibenci Barat, disayangi rakyat Libya sendiri?

UPDATE 22/12/17: Anak kepada Gaddafi, Saif Al-Islam telah pun mendapat keampunan penuh pada tahun 2017 setelah ditangkap lepas kejatuhan bapanya. Dilaporkan, pada tahun depan, dia akan bertanding sebagai calon presiden Libya. Dia juga berjanji akan bentuk semula polisi macam sekolah percuma, elektrik percuma dan lain-lain macam zaman bapanya. Apa yang Gaddafi buat sebelum ni? Jom baca artikel ni.

Mesti korang ingat lagi cerita pasal pemimpin Libya iaitu Muammar Gaddafi yang telah digulingkan oleh rakyatnya sendiri. Muammar Gaddafi dikenali sebagai diktator oleh pemimpin Barat dan rakyatnya sendiri membenci dia.

Tapi betul ke rakyat memang benci dengan Gaddafi, atau hanya segelintir? Sebab memang ada rakyat Libya yang sangat menyayangi Gaddafi dan sanggup berkorban apa saja untuk dia. Untuk tahu lebih lanjut lagi, kami sediakan artikel mengenai kisah hidup Muammar Gaddafi…

(Artikel ini banyak merujuk Major World Leaders: Muammar Gaddafi tulisan Brenda Lange.)

Budak yang pandai sejak kecil dan menjadi kebanggaan keluarga

Gambar Gaddari bersama keluarganya. Imej dari buku Major World Leaders: Muammar Gaddafi

Muammar Gaddafi lahir pada tahun 1942 dalam keadaan dunia sedang mengalami Perang Dunia Kedua. Keluarga Gaddafi merupakan Puak Badwi yang hidup dalam keadaan pindah-randah dan dia dibesarkan dengan ajaran Islam.

Ibu bapa Gaddafi menceritakan keperitan hidup mereka semasa Itali menjajah Libya. Antara kekejaman yang penjajah Itali lakukan ialah mencampak orang Libya hidup-hidup daripada kapal terbang dan haiwan ternakan dorang disembelih tanpa sebab. Selepas kekalahan Itali, negara Libya menjadi negara yang mengamalkan pemerintahan beraja.

Imej dari life with cats and dogs

Kepandaian Gaddafi mula disedari sejak dia berusia 10 tahun, apabila dia menunjukkan kebolehan luar biasa dalam pembelajaran terutama sekali pendidikan Islam. Puak Badwi yang bangga dengan kebolehan Gaddafi sanggup memberi bantuan berupa wang tunai untuk bantuan persekolahan Gaddafi. Apa yang menariknya, Gaddafi dah mula tunjukkan minat dalam kepimpinan dan mempunyai semangat kenegaraan yang membara tak macam budak-budak sebaya dia yang lebih bersemangat untuk dapatkan gula-gula percuma.

Gaddafi masa remaja obses gila dengan Nasser yang merupakan pencetus gerakan anti-kerajaan Mesir. Dia berpegang teguh dengan falsafah Nasser antaranya negara Arab perlu bersatu-padu dan tak perlu ada apa-apa hubungan dengan negara Barat.

Sebab sikap nasionalis Gaddafi, dia sangat bencikan Raja Idris I sebab sikapnya yang suka sangat jalinkan hubungan dengan negara Barat. Malah raja ini dianggap oleh rakyat Libya sebagai boneka negara Barat. Dia siap benarkan British dengan AS bina tapak kem tentera dorang kat Libya sebab nak duit semata-mata.

Menubuhkan kumpulan anti-kerajaan masa di universiti lagi

Menginjak usia remaja, kepandaian Gaddafi semakin terserlah. Dia masuk pra-U kat Fezzan dan di situ dia tubuhkan kumpulan anti-kerajaan yang menyokong Mesir. Disebabkan kelantangan dia bersuara dalam hal-hal politik ni, dia telah dibuang kolej.

Namun Gaddafi tak mudah putus asa. Dia sambung belajar pula kat Universiti Libya dalam jurusan sejarah, sains politik, Marxism dan Komunis. Dia juga join latihan ketenteraan dan terus sebarkan propaganda anti-kerajaan dengan kawan-kawan sekelas dia. Habis belajar, dia tak jadi lawyer tapi masuk Akademi Tentera Benghazi. Di sini dia teruskan lagi dengan agenda penyebaran anti-kerajaan dan terus merekrut ahli baru untuk join team dia.

Gaddafi graduate dengan pangkat Leftenan dan telah dihantar ke England selama enam bulan untuk belajar sistem isyarat maju dan komunikasi. Balik dari England pada tahun 1966, Gaddafi menggelarkan orang-orang kat sana sebagai ‘tidak bertuhan’ dan lebih kurang sama je dengan Amerika. Dalam diam Gaddafi dah rekrut lebih kurang 7 ribu ahli pemuda Libya untuk menggulingkan kerajaan tapi gerakan dia yang semakin membesar tu tak dapat dikesan lagi oleh kerajaan.

Rusuhan berlaku semasa Raja Idris I ada kat Turki. Kumpulan Gaddafi berjaya merampas stesen radio kat Benghazi yang merupakan satu-satunya stesen radio di Libya dan menyeru rakyat Libya untuk menyokong dia. Antara ayat dia ialah:

“Mulai sekarang Libya merupakan negara bebas. Jom kita bersatu dalam melawan musuh Arab, musuh Islam dan musuh kemanusiaan yang telah memusnahkan tempat suci kita dan maruah kita.” – Major World Leaders: Muammar Gaddafi, m/s 42

Gaddafi berucap selepas rusuhan. Imej dari National Post

Gerakan ni pada mulanya mendapat sokongan dari Amerika Syarikat yang siap tawarkan perlindungan CIA sebab sikap Gaddafi yang menunjukkan dia benci komunis. Tapi sokongan ni tak lama sebab Gaddafi mula tunjukkan yang dia benci campur tangan Barat terutama sekali Amerika. Amerika takut juga kalau Gaddafi jual minyak kat Soviet Union, musuh utama dorang.

Gaddafi menerapkan amalan sosialis, nasionalis dan Islam dalam pemerintahannya di mana dia menggelarkan sistem ini sebagai Islam Sosialis. Sistem ini mendapat tentangan hebat dari ulama’ Libya sebab Gaddafi nak campurkan sistem sosialis (serpihan Marxism) dengan undang-undang Syariah.

The Green Book, buku mengenai pemerintahan Gaddafi yang ditulisnya sendiri

Dalam bukunya, Gaddafi memperkenalkan sistem politik dia sendiri yang dinamakan Teori Universal Ketiga. Dia menyatakan teori kapitalis dan komunis menjijikkan dan teori baru dia lebih baik. Dia mendakwa undang-undang Libya mengikut Syariah. Dia juga mengharamkan sebarang penjualan arak dan menutup semua kelab malam. Pernah Gaddafi buat serbuan ke kelab malam dan melepaskan beberapa das tembakan ke udara sambil berkata:

“Budaya tak bermoral Barat ini secara rasminya ditutup!” – Major World Leaders: Muammar Gaddafi, m/s 50

Imej dari The Times

Bila dilihat secara kasar memang nampak pimpinan Gaddafi ni cukup perfect tapi sebenarnya tak. Dia sendiri tak ikut syariah sebab masa nak kahwin, bakal isterinya sudah mengandung selepas itu dia bercerai sebab kantoi ada skandal dengan nurse dan dia kahwin pula dengan nurse tu. Dia juga cuba berlagak seolah-olah memahami keadaan rakyat dengan tinggal di dalam khemah seperti kebanyakan rakyat Libya tapi apa yang orang tak tahu, khemahnya dilengkapi dengan barang-barang mewah dan dia ada khemah asing khas untuk ofis dia.

Dia juga menghalau rakyat yang beragama Kristian dan Yahudi serta merampas segala harta dorang di mana perbuatan ni bertentangan dengan ajaran Islam. Seperti dalam al-Quran

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” – [Surah al-Mumtahanah : 8] 

Tapi tak lama lepas tu, Gaddafi membina semula rumah-rumah ibadat yang dia telah hancurkan kat Tripoli sebagai tanda toleransi.

Gaddafi sponsor kumpulan ekstremis Islam

Gambar serpihan pesawat Pan Am. Imej dari History.

Disebabkan kebencian Gaddafi terhadap negara Barat terutama Amerika Syarikat, dia sanggup sponsor kumpulan-kumpulan ekstremis Islam untuk lakukan kemusnahan terhadap negara-negara Barat. Antaranya ialah kejadian pengeboman di kelab malam Barat Berlin dan Penerbangan Pan Am 103 di Lockerbie, Scotland. Bukan tu je, Gaddafi juga sediakan tapak kem latihan untuk melatih kumpulan-kumpulan ekstremis. Pengajar dorang pula bukan calang-calang orang, ada pakar dari Jerman Timur, Cuba dan bekas ejen CIA sendiri.

Kebanyakan duit keuntungan minyak Libya digunakan oleh Gaddafi untuk buka kilang senjata dan bina loji nuklear. Dia pun ada buat kilang senjata kimia tapi menyamar sebagai kilang farmasi. Perbuatan dia ni tak disenangi oleh Amerika samalah juga macam Amerika tak suka Korea Utara dan Iraq buat loji nuklear dorang sendiri.

Perbuatan Gaddafi juga kadang-kadang di luar jangkaan. Amerika sangka segala serangan ekstremis dia berdasarkan kebencian dia pada negara Barat dan Israel tapi dia juga pernah upah teroris Carlos the Jackal untuk culik menteri minyak Arab Saudi dan Iran.

Carlos The Jackal. Imej dari World Tribune.

Ekonomi bertambah baik, pendidikan percuma diberikan untuk semua rakyat Libya

Muka happy sebab pendidikan percuma. Imej dari essaydune.

Walaupun presiden AS terdahulu Ronald Reagan menggelarkan Gaddafi sebagai Anjing Gila dari Timur Tengah, ramai rakyat Libya yang sayangkan dia. Ekonomi Libya semakin meningkat selepas Gaddafi jadi pemimpin.

Dia percaya perempuan juga berhak menerima layanan sama rata seperti lelaki, bukan duduk rumah jaga anak je. Pendidikan percuma telah meningkatkan kadar celik huruf sebanyak 87% dan ramai wanita dapat belajar di universiti. Gaddafi siap buat akademi tentera khas untuk wanita dan pekerjaan sebagai pengawal peribadi Gaddafi menjadi rebutan perempuan-perempuan kat sana.

Akademi Tentera Wanita. Imej dari buku Major World Leaders: Muammar Gaddafi.

Ada segelintir yang tak sokong tindakan Gaddafi ni sebab wanita berpendidikan ni mula menunjukkan ciri-ciri Barat dalam diri dorang. Pakai baju fesyen ala-ala Barat, tak pakai purdah, dan mula bekerja di ofis seperti lelaki. Libya ni lebih kurang macam Arab Saudi jugalah, di mana peraturan untuk wanita ketat sangat.

Selain itu, Gaddafi telah membina sistem pengairan terbesar dunia yang digelarnya sebagai Keajaiban Dunia Ke-8. Projek tersebut telah membantu industri pertanian yang kita sedia maklum negara padang pasir susah nak bercucuk tanam. Hasil tani juga dapat dieksport dan dinikmati oleh rakyat Libya.

Lagi best, elektrik dan air adalah percuma. Minyak petrol pun seliter baru 0.14 US Dolar bersamaan dengan RM 0.62 sen! Kesihatan rakyat pun bertambah baik lepas program vaksin dijalankan. Takde lagi penyakit macam rabies dan small pox. Rumah pun dah bertambah moden sebab tandas dan dapur kat dalam rumah siap ada elektrik lagi.

Peluang pekerjaan makin banyak lepas telaga minyak ditemui dan banyak syarikat antaranya dari AS iaitu Exxon Company (kini Esso) datang melabur untuk ambil minyak tu. Semakin banyak juga kilang dibina untuk kilang pembuatan tv, kereta dan peti ais.

Apa yang paling menakutkan Amerika bila Gaddafi umumkan nak guna emas dinar sebagai matawang utama di Afrika. Tindakan ini akan menyebabkan huru-hara dalam matawang ekonomi dunia dan ini punca utama kenapa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) marah gila kat Gaddafi.

Gaddafi digulingkan sebab menyekat kebebasan bersuara

Gaddafi mengecam tindakan rakyat yang ada simpanan peribadi dan menggelar dorang sebagai pencuri. Bagi Gaddafi, simpanan yang melebihi keperluan sepatutnya diguna bersama masyarakat.

Dalam bisnes pula, Gaddafi tak bagi ada bos, yang ada cuma bisnes partner. Hal ni menyebabkan banyak perniagaan tak dapat berkembang maju sebab dah sah-sah susah nak capai kata sepakat. Masing-masing dengan pendapat sendiri so susahlah nak ada keputusan muktamad. Dalam situasi macam ni, sampai bila pun meeting tak akan habis. Mujur hal ini cuma sementara sebab lepas tu Gaddafi longgarkan sikit undang-undang untuk berbisnes.

Muka pening bila tak tahu nak ikut cakap siapa. Imej dari meme super.

Semua media dikawal oleh Gaddafi. Surat khabar dan berita TV tak boleh cerita pasal keburukan kerajaan, kena puji kerajaan je memanjang. Pernah sekali editor surat khabar dipecat sebab dia bagi cadangan supaya Gaddafi patut jadi Presiden bukannya diktator.

Sikap ekstremis Gaddafi juga punca utama kenapa segelintir rakyat jadi benci kat dia. Beberapa siri pengeboman yang Gaddafi dah sponsor menyebabkan sekatan ekonomi ke atas Libya. AS tak benarkan syarikat minyak dari AS terus melabur kat Libya dan penerbangan antarabangsa ke Libya semuanya dibatalkan.

Masa kena sekatan ekonomi, kadar pengangguran kat Libya jadi tinggi sangat sebab banyak syarikat oil and gas yang tutup. Kadar graduan lepasan universiti pulak makin tinggi jadi macam tak stabil pula keadaannya.

NATO dan Amerika Syarikat sponsor kumpulan anti-Gaddafi

Selepas kejatuhan Saddam Hussein, rakyat Libya mula berani untuk memberontak sebab Gaddafi dah mula berlembut dengan AS. Media Barat mendakwa Gaddafi buat macam tu sebab takut lepas tengok Saddam Hussein kena bunuh dengan tentera pemberontak. Terdapat contengan grafiti di dinding iaitu ‘Saddam Hussein dah, lepas ni Gaddafi pula’ yang ditulis oleh rakyat Libya.

Pemberontakan bermula dengan demonstrasi pada tahun 2011 di bandar Benghazi dan semakin merebak luas ke tempat lain. Polis Libya telah membunuh mereka yang berdemo dan Gaddafi telah mengarahkan dua juruterbang jet pejuang untuk mengebom rakyat Libya.

Contengan grafiti semasa pemberontakan sedang berlaku. Imej dari NBC news.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mula masuk campur dan suruh Gaddafi segera hentikan serangan balas terhadap pemberontak Libya. Presiden AS, Obama dan Kesatuan Eropah (EU) bertindak melakukan sekatan ekonomi dan membekukan segala aset Gaddafi sebab kedegilan Gaddafi yang tak nak letak jawatan.

Peperangan antara tentera Libya dan pemberontak Libya berlaku. Amerika melancarkan Operation Odyssey Dawn bertujuan untuk menyerang tentera Libya. Alasan yang digunakan sebab nak suruh Gaddafi hentikan peperangan dengan pemberontak Libya. Jet pejuang NATO yang terdiri dari Itali dan Perancis mula memasuki kawasan udara Libya dan memusnahkan kawasan setempat. PBB juga telah mengiktiraf pasukan pemberontakan iaitu Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) sebagai wakil sah antarabangsa untuk Libya.

Pergolakan yang berlaku hampir 9 bulan ini akhirnya tamat selepas Gaddafi ditangkap dan ditembak mati oleh kumpulan pemberontak. Menteri Pertahanan AS menyatakan sebanyak USD1.1 bilion telah dibelanjakan untuk kos bantuan ketenteraan dan bantuan kemanusiaan.

Selepas jatuhnya Gaddafi, Libya masih dalam keadaan tak menentu

Agaknya macam ni muka rakyat Libya yang menyesal. Imej dari Giphy.

Harapan rakyat Libya yang inginkan pemimpin lebih baik hancur berderai selepas masalah di Libya bertambah teruk. Dahlah takde pemimpin, ada dua kumpulan pula berebut kuasa dengan campur tangan dari AS lagi. ISIS pula ambil peluang masuk Libya untuk jadi tapak kem dorang. Senang cerita, Libya sekarang kucar-kacir sangat. Dari masalah takde kebebasan bersuara jadi masalah perang saudara. Sadis sungguh.

Pada asalnya, selepas kejatuhan Gaddafi pada Oktober 2011, kerajaan NTC yang ambil alih lepas dah buat pilihanraya tapi sekarang NTC bukan lagi parti politik yang menguasa Libya. Sekarang ni muncul watak baru iaitu Haftar, dia ni dulu pernah jadi jeneral tentera dalam kerajaan pimpinan Gaddafi. Dia letak jawatan dan lari ke luar negara dan pulang semula ke Libya selepas Gaddafi tewas.

Jeneral Haftar. Imej dari Al-Jazeera

So sekarang ni tentera Haftar berperang dengan tentera pemberontak yang nakkan Libya jadi sebuah negara yang betul-betul mengamalkan undang-undang syariah. ISIS yang dah bertapak kat Libya telah membunuh 32 pelancong British dan meletakkan pengebom atau pembunuh di kalangan pelarian Libya dalam bot yang sesak untuk dorang masuk ke negara Barat. Macam tulah pengebom berani mati berjaya masuk Paris dan negara lain.

Apa yang orang tak tahu dan kerajaan Amerika sorokkan, sekutu AS iaitu Arab Saudi dan Qatar yang sebenarnya sponsor kumpulan ISIS. Emel rahsia milik Hillary Clinton yang pada masa itu merupakan Setiausaha AS tersebut telah didedahkan oleh media. Antara isi kandungan ialah:

“Kita perlu menggunakan aset perisikan diplomatik dan lebih tradisional untuk memberi tekanan kepada kerajaan Qatar dan Arab Saudi yang menyediakan sokongan kewangan dan logistik haram untuk ISIS dan kumpulan radikal lain di rantau ini.” – Dipetik dari The Independent.

Seorang pelajar perubatan yang pernah menyertai kumpulan pemberontakan Gaddafi dulu menyatakan kekesalan dia. Dorang dulu memberontak sebab nakkan kerajaan yang lebih baik tapi keadaan sekarang bertambah buruk.

“Ada orang cakap dorang nak balik semula masa pemerintahan Gaddafi. Tapi saya tak nak, Saya cuma nak keluar dari negara ni.” – Pelajar Perubatan, Dipetik dari The Guardian.

Melalui kisah kejatuhan Libya ini kita tahu bahawa peperangan dan kekerasan bukanlah jalan yang terbaik untuk menegakkan kebenaran. Pemimpin juga main peranan dalam mendengar suara hati rakyat supaya dua-dua pihak dapat mencapai kata sepakat. Rakyat juga tidak boleh mudah terpengaruh dengan hasutan luar untuk menjatuhkan kerajaan sendiri. Cara terbaik adalah mengikut undang-undang seperti keluar mengundi ketika pilihanraya dijalankan.