Politik Antarabangsa

TG Hadi Awang: Pernah dijemput Saddam ke Iraq dan perintis rundingan damai Aceh

Seperti mana yang kita sedia maklum, Presiden PAS, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang baru-baru ni dah dilantik sebagai Duta Khas bertaraf menteri ke Timur Tengah. Ada pihak yang beranggapan, pelantikannya itu akan membuka peluang untuk memperkukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara di rantau berkenaan.

Bagaimanapun, tak kurang juga yang mempersoalkan pelantikannya itu kerana sebelum ni – Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pernah mempertikaikan tindakan kerajaan BN dan PH melantik duta khas yang dianggap sebagai boleh memberikan impak kepada kewangan negara.

TG Hadi Awang & Muhyiddin Yassin ketika di majlis angkat sumpah jawatan. Imej dari Malaysiakini.

Akan tetapi, apa yang SOSCILI nak bincangkan kali ni bukan pasal patut atau tak TG Hadi Awang dilantik sebagai Duta Khas, sebaliknya tentang latar belakangnya sebagai seorang ahli politik, ulama dan perunding damai. Mungkin kita boleh mula dulu dengan sejarah hidupnya…

Berasal dari keluarga agamawan dan mendapat pendidikan di Arab Saudi serta Mesir

Cuba teka mana satu TG Hadi? Clue: yang tak pakai songkok. Imej dari jomkitabaca.wordpress

Tuan Guru Abdul Hadi Awang dilahirkan pada tanggal 20 Oktober 1947 di Rusila, Terengganu dan memang berasal dari keluarga agamawan. Bapanya, TG Hj Awang Mohamad cukup terkenal di Rusila sebagai agamawan dan menjadi antara tempat rujukan masyarakat tentang hal ehwal agama. Hal ini jugalah yang diperturunkan kepada Hadi yang kemudiannya turut terlibat sama dalam bidang keilmuan Islam.

Pengajiannya dalam ilmu Islam bertambah serius selepas Hadi melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah dalam jurusan Syariah Islam (1969-1973). Kemudiannya, Hadi menyambung lagi pengajian ke Universiti al-Azhar dalam jurusan Sains Politik dari tahun 1974 sampai 1976. Walaupun pernah belajar di Arab Saudi, Hadi pernah beritahu yang perkara tu tak menjadikannya taksub dengan fahaman Wahabi.

“Saya kalau nak jadi Wahabi, saya lebih lagi dari orang lain, kerana saya belajar di Madinah, yang biasiswanya dari Wahabi, universitinya Wahabi. Tapi, kita ada sikap kita sendiri iaitu kena faham secara adil dan istiqamah. Jangan kita main-main dengan isu kepentingan umat Islam.” – TG Haji Hadi, dipetik dari TV PAS.

Pemimpin PAS masa muda-muda dulu, dari kiri: Mustafa Ali, Ustaz Fadzil Noor dan Hadi Awang (hujung sekali). Imej dari daulahrakyat.com

Sekembalinya ke Malaysia, Hadi meneruskan legasi bapanya sebagai imam dan memberi ceramah di Masjid Rusila. Dalam masa sama, dia mula aktif dalam pertubuhan Islam seperti PAS dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sehingga dilantik sebagai Ketua ABIM Terengganu. Ketika dalam ABIM lah dia berkenalan rapat dengan ramai tokoh-tokoh PAS seperti Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Nakhaie Ahmad, Ustaz Daud Iraqi dan sebagainya.

Tapi seperti mana yang dicatatkan dalam sejarah, Pengerusi ABIM, Anwar Ibrahim kemudiannya masuk UMNO pada tahun 1982. Bagaimanapun, hal tu tak membuatkan Hadi meninggalkan PAS, sebaliknya dia tetap kekal bersama PAS sehingga memegang jawatan Naib Presiden PAS bermula pada tahun 1980. Kemudiannya, apabila Presiden PAS, Ustaz Fadzil Noor meninggal dunia pada 2002Hadi memangku jawatan itu sebelum dilantik secara penuh pada tahun 2005.

Pada tahun 2015, jawatan Hadi sebagai Presiden PAS dah dicabar oleh Ustaz Ahmad Awang, tapi Hadi berjaya mengekalkan jawatannya itu. Ahmad Awang kemudiannya dilantik sebagai Penasihat Umum AMANAH. Kejayaan Hadi dalam politik mungkin boleh dilihat bila dia dilantik sebagai…

Menjadi Menteri Besar Terengganu dan Ketua Pembangkang di Parlimen

Ketika menjadi MB Terengganu. Imej dari bulanhijau.tripod

Pada tahun 1978, Hadi dah dipilih sebagai calon PAS di DUN Marang, tapi kalah. Pada tahun 1982, Hadi sekali lagi bertanding di kerusi tu dan rezekinya baik apabila diumumkan menang. Kemudiannya, Hadi bertanding pula di DUN Rhu Rendang pada PRU-1986 dan berjaya mengekalkan kerusi tu sampai tahun 2018.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Kerjaya politik Hadi di Terengganu mencapai kemuncaknya apabila dia dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu pada 1999. Ketika memegang jawatan itu, Hadi dah buat beberapa pembaharuan antaranya seperti –

  • Mengurangkan premium tanah
  • Memansuhkan tol Jambatan Sultan Mahmud
  • Memperkenalkan cuti bersalin 90 hari dan 7 hari cuti menjadi bapa
  • Memperkenalkan hari bekerja 5 hari
  • Mengukuhkan institusi zakat yang lebih adil (pungutan zakat lebih tinggi antara tahun 2000-2004)

Bagaimanapun, jawatan MB tu kemudiannya diambil alih oleh Idris Jusoh pada 2004 selepas PAS gagal mempertahankan negeri berkenaan. Hadi kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pembangkang dari tahun 2003 sampai 2004 kerana menggantikan Ustaz Fadzil Noor yang meninggal dunia.

Sebenarnya, selain aktif dalam negara, Hadi juga aktif di peringkat antarabangsa apabila banyak terlibat dalam urusan perdamaian dan pertubuhan.

Berkenalan dengan Erbakan dan menjadi perunding damai Timur Tengah dan Acheh

Erbakan terkenal sebagai seorang yang genius dalam bidang kejuruteraan. Imej dari Dirilis Postasi.

Selepas kejatuhan Uthmaniyah dan naiknya Kamal Atartuk sebagai pemerintah Turki – negara tu dah mengubah sistemnya kepada sekular. Hal ni sekaligus dah mengharamkan politik Islam di negara berkenaan. Tapi, sinar Islam mula kelihatan kembali apabila munculnya seorang sosok berkarisma – Dr Najmuddin Erbakan seorang jurutera yang sangat dihormati di Turki. Erbakan masuk ke dunia politik melalui Parti Kebangsaan Turki yang ingin membawa Islam kembali ke dalam sistem Turki. Tapi parti tu tak lama, sebab ia kemudiannya diharamkan.

Selepas itu, Erbakan bangkit semula dengan menubuhkan Parti Refah dan parti ni berjaya mendapat kemenangan besar pada tahun 1996. Hal ni membuatkan, Erbakan kembali aktif berpolitik dan dilantik sebagai Perdana Menteri dari tahun 1996 hingga 1997.

Sebenarnya, tokoh yang kita ceritakan ni adalah antara rakan baik dan guru kepada Hadi. Ini kerana, sepanjang hayat Erbakan, dia selalu mengajak Hadi untuk mengiringnya dalam lawatan-lawatan antarabangsa. Antaranya adalah apabila Erbakan, Hadi dan ahli-ahli Parlimen Islam pergi ke Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1990. Misi mereka adalah untuk ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyelesaikan krisis Bosnia dan Herzegovina.

“Kami mengadakan pertemuan dengan Boutros Ghali, Setiausaha Agung PBB, seterusnya bertemu dengan anggota Kongres Amerika dan Kedutaan Luar Amerika Syarikat. Sewaktu di sana, kami dilayan secara tidak beradab, namun Erbakan mengingatkan kami agar bersabar dan teguh dalam mendepani pihak musuh.” – TG Haji Hadi, dipetik dari laman Facebook-nya.

Erbakan, TG Hadi dan beberapa ahli Parlimen Islam di AS pada 1990. Imej dari Abdul Hadi Awang.

Selain tu, Hadi juga pernah ke Afghanistan pada tahun 1989 sebaik saja Rusia meninggalkan negara berkenaan. Misi Hadi dan pasukannya adalah untuk menyeru pihak mujahiddin pelbagai jalur di sana supaya menguruskan perbezaan yang ada dan bekerjasama membina Afghanistan baru.

Pada tahun 1990, Hadi berjumpa pula dengan Presiden Iraq, Saddam Hussein bagi menyampaikan aspirasi gerakan Islam dunia terhadap sikap dan peranan Iraq dalam konflik Timur Tengah yang mengheret kepada Perang Teluk.

“Beliau juga pernah bersama pemimpin gerakan Islam yang lain dijemput oleh Saddam Hussein ke Baghdad semasa krisis Teluk berlaku. Saddam ingin memperoleh sokongan umat Islam dalam krisis Teluk yang dicampuri oleh Amerika Syarikat.” – Dipetik dari Dewan Pemuda PAS.

Ketika bertemu dengan Saddam Hussein. Imej dari Minda Rakyat.

Malah, Hadi turut menjadi perintis perdamaian Aceh, Indonesia – sehingga Gerakan Aceh Merdeka bersetuju untuk memilih jalan damai. Dan yang terbaru pada 2010, Hadi dah diberikan kepercayaan oleh Kesatuan Ulama Dunia untuk ke Yaman yang ketika itu melalui bibit permulaan krisis. 

Menurut Hadi, masalah di Yaman adalah kerana isu peperangan antara kerajaan Yaman dengan Syiah Zaidiyah (lain dari Syiah Iran) dan Al-Qaeda yang dibelakangnya kemungkinan ada AS. Jadinya, Presiden Kesatuan Ulama Dunia ketika itu, Dr Yusuf al-Qaradawi dah mewakilkan Hadi ke Yaman untuk berjumpa dengan kerajaan di sana.

Selepas itu, Hadi pun menghantar laporan ke kesatuan ulama tentang apa yang berlaku. Keadaan bertambah baik masa tu, bila ulama-ulama Yaman kebanyakannya mula sedar dan mahu membetulkan keadaan. Tapi masalah datang lagi bila Houthi pula bertindak meyerang Saudi. Bagi Hadi, krisis di Yaman sebenarnya bukan kerana mazhab antara Sunni dan Syiah. Sebaliknya kesalahan kerajaan Yaman sendiri yang meminggirkan kawasan Syiah sehingga membuatkan mereka memberontak.

“Ia berlaku kerana rakyat tak dilayan dengan adil, adanya diskriminasi antara kabilah. Inilah yang menyebabkan berlakunya pertembungan.” – TG Haji Hadi, dipetik dari ucapannnya di Bicara Asia Barat.

Hadi dah menghasilkan ratusan buah karya

Menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, setiap Jumaat. Imej dari FB Abdul Hadi Awang.

Selain melihat Hadi sebagai seorang ahli politik, kita tak terlepas dari memandangnya sebagai seorang ulama dan ilmuan. Kepercayaan yang diberikan oleh Kesatuan Ulama Dunia dengan melantiknya sebagai salah seorang Timbalan Presiden pertubuhan itu adalah satu pengiktirafan besar terhadap keilmuan beliau.

Ini kerana, kalau korang nak tahu – Hadi juga dah menulis hampir 146 judul penulisan termasuk dalam bahasa Arab yang meliputi pelbagai topik seperti – akidah, fiqh, tafsir, siyasah syar’iyah dan politik semasa. Hadi turut pernah menjawat beberapa jawatan lain antaranya seperti Ahli Jawatankuasa Gabungan Parti-Parti Politik Islam, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Muassasah al-Quds, Turki dan Ahli Lembagai Majma’ Taqrib Mazahib, Iran.

Beliau juga adalah satu-satunya tokoh luar yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Alim Rabbani oleh Universiti Islam Yala, Pattani dan tersenarai antara 500 Muslim berpengaruh di dunia bagi kategori Pendakwah dan Pembimbing Rohani oleh ‘The Royal Islamic Strategic Studies’ yang berpusat di Jordan pada 2016.

Memetik satu kisah tentang ilmuan Islam Maghribi, Dr Farid al-Ansari yang menanyakan pelbagai soalan kepada Hadi secara bertubi-tubi dalam satu pertemuan pada sekitar tahun 2001. Lalu ditanya kepada Dr Farid, kenapa dia berbuat demikian. Dr Farid menjawab:

“…aku ingin mengujinya setelah aku dengar bahawa beliau alim. Aku telah menemui ramai orang ajam (bukan Arab) yang alim tetapi tidak sefaqih ini. Beruntunglah bangsamu…” – Dipetik dari video terbitan Abdul Hadi Awang Official.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend