Dasar Pandang Ke Timur: Dr Mahathir membebaskan negara dari belenggu Barat

Seperti mana yang kita tahu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohammad dah adakan lawatan kerja ke Jepun untuk menghadiri Persidangan Nikkei ke-24. Dalam masa sama, ini merupakan lawatan pertama beliau ke luar negara sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri buat kali kedua.

Dikatakan, sejak persidangan tu diadakan pada tahun 1998, Dr Mahathir tak pernah miss kecuali 4 kali, iaitu pada tahun 2005, 2007, 2008 dan 2011.

“Dalam dunia diplomasi, destinasi pertama lawatan luar negara seseorang pemimpin selalu diberikan kepada negara yang dianggap paling penting dan paling rapat. Maka lawatan Tun ini ditafsirkan oleh sesetengah media Jepun dan China sebagai “shinnichi” atau pro-Jepun…” – Ayman Rashdan Wong, dipetik dari Facebook-nya.

Ini pulak – Shinichi Kudo, yang jadi Conan. Imej dari noticiasargentinas.info

Selain tu, dunia juga masih ingat macam mana Dr Mahathir memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur dulu, ketika tak sampai 2 tahun memegang jawatan Perdana Menteri. Walaupun begitu, sebenarnya hubungan moden Malaysia – Jepun dah pun terbina sejak awal merdeka lagi. Apabila…

Perdana Menteri Jepun adalah pemimpin luar pertama lawat Malaysia selepas merdeka

Sebenarnya, sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi hubungan antara Malaysia dan Jepun dah terjalin. Buktinya, Perdana Menteri Jepun – Nobusuke Kishi jadi pemimpin luar pertama yang melawat Tanah Melayu lepas je kita merdeka (24 November 1957). Banyak benda yang dibincangkan antara Tunku dan Kishi masa tu, dan ia termasuklah hal – ekonomi, budaya dan pendidikan.

Nobusuke Kishi juga adalah datuk kepada Shinzo Abe – PM Jepun sekarang. Imej dari Wall Street Journal.

Kalau dari segi pendidikan, sebenarnya dah ada rakyat kita yang belajar kat Jepun sebelum merdeka lagi. Antaranya adalah seperti Datuk Abdul Razak Hamid (allahyarham) yang dihantar belajar ke Hiroshima pada tahun 1940-an. Apa yang menakjubkan, Razak adalah antara orang yang terselamat dalam letupan bom atom kat Hiroshima pada tahun 1945.

“Selepas tujuh bulan di sana, Allahyarham yang baru melangkaui usia 20 tahun serta warga universiti itu dikejutkan dengan letupan kuat pada 6 Ogos 1945, berpusat 1.5 kilometer daripada kedudukan mereka.

Apabila sedar daripada pengsan, Abdul Razak yang mengalami luka kecil di kepala terpaksa merangkak keluar antara celah-celah runtuhan serta mayat warga universiti yang bergelimpangan…” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Datuk Abdul Razak Hamid juga dipilih sebagai orang yang mengetuai Dasar Pandang Ke Timur pada tahun 1982. Imej dari Berita Harian.

Selain Razak, Prof Diraja Ungku Aziz pun pernah belajar kat Jepun, bila beliau dapat biasiswa dari keluarga Tokugawa. Ungku Aziz juga dapat PhD dari Universiti Waseda pada tahun 1964.

Dari apa yang kita tahu ni, nampaknya jelas yang hubungan antara Malaysia-Jepun dah pun lama terjalin. Apa yang lagi menarik, hubungan ni bertambah erat, bila Jepun jadi antara negara yang bagi pinjaman kewangan kepada Malaysia sejak tahun 1960-an lagi.

Banyak projek besar kerajaan Malaysia dapat pinjaman kewangan dari Jepun

Menurut rekod, pada tahun 1966 – Jepun dah bagi pinjaman sebanyak 18 bilion Yen kepada Malaysia. Pinjaman tu adalah untuk membina Kilang Gula Perlis dan pelbagai lagi projek Telekom. Pada tahun 1970 pulak, rekod eksport Malaysia ke Jepun mencatatkan nilai sebanyak RM939 juta iaitu 18 peratus dari jumlah keseluruhan eksport Malaysia.

“Apabila dibandingkan dengan eksport Malaysia ke Britain berjumlah RM340 juta iaitu 7 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia. Manakala import Malaysia dari Britain berjumlah RM580 juta iaitu 13 peratus daripada jumlah keseluruhan import Malaysia.” – Dipetik dari jurnal tulisan Mohd Afendi Daud & Junaidi Awang Besar.

Antara produk Jepun yang mesti ada kat dapur kita. Imej asal dari The Myanmar Times.

Untuk masa seterusnya, Jepun tetap bagi pinjaman kepada Malaysia dalam pelbagai projek. Antaranya adalah seperti:

  1. 36 bilion Yen – projek hidroelektrik Temenggor, perkapalan kat Johor Bahru dan projek tangki minyak kelapa sawit (1972).
  2. 36 bilion Yen – projek ‘Crocker Range Road’ kat Sabah, projek perkapalan di Johor Bahru, projek hidroelektrik Temenggor dan projek Stesen Tenaga Termal Prai (1974).
  3. 21 bilion Yen – projek turbin gas, Stesen Tenaga Termal Pasir Gudang, dan stesen hidroelektrik Tenom Pangi, Sabah (1978).
  4. 21 bilion Yen – projek hidroelektrik Terengganu, projek pembinaan pelabuhan Bintulu dan projek hidroelektrik Bersia, Perak (1979).
  5. 33.6 bilion Yen – projek Baja Asean Bintulu yang diusaha sama oleh Jepun dan Malaysia (1982).
Pemandangan kat Empangan Temenggor Grik, Perak. Imej dari penerangan.gov.my

Apa yang menariknya, skim pinjaman Yen ni tawarkan kadar faedah yang rendah dan tempoh bayaran balik yang panjang, macam 30 sampai 40 tahun. Sebab itulah, pinjaman ni tetap berterusan dalam usaha nak meningkatkan ekonomi dan pembangunan Malaysia.

Jepun dalam satu kenyataan pernah kata yang Malaysia diberi keutamaan dalam hal berkaitan pinjaman. Sebabnya, Jepun yakin dengan prestasi bayaran balik Malaysia. Malah masa negara kita berdepan dengan Krisis Kewangan Asia, Jepun jadi satu-satunya negara yang tolong kita, setelah kita menolak campur tangan IMF.

“Tiada sebarang kegagalan membayar hutang, malahan anda (Malaysia) membayar lebih awal.” – Issei Nomura, Duta Jepun ke Malaysia. Dipetik dari Utusan Malaysia (19/12/1998).

Bantahan rakyat Korea Selatan terhadap IMF, masa Krisis Kewangan Asia. Imej dari cityam.com

Tercetusnya Dasar Pandang Ke Timur, untuk membebaskan negara dari belenggu Barat

Sebenarnya, pada tahun 1978 – PM Singapura, Lee Kuan Yew dah pun perkenalkan rancangan belajar dari Jepun – learn from Japan. Hal ni muncul bila Kuan Yew kagum dengan kejayaan ekonomi Jepun. Beberapa tahun lepas tu, Dr Mahathir yang tak sampai satu penggal pegang jawatan PM, memperkenalkan pulak Dasar Pandang Ke Timur (DPT).

“Dasar ini bermakna, pihak kerajaan akan membuat pengkajian, penelitian dan pemilihan terhadap contoh-contoh dan teladan yang terbaik daripada negara Jepun dan Korea (Selatan) dengan mengubahsuaikannya dengan keadaan-keadaan di Malaysia.” Dipetik dari Jabatan Penerangan Malaysia.

Ilustrasi dari Lat.

Menurut kajian ahli akademik, Dr Mahathir berpendapat – walaupun Malaysia dah lama merdeka, tapi pengaruh Britain masih lagi wujud dan mendominasi pemikiran rakyat. Bagi Dr Mahathir, mentaliti ni kena diubah, sebab ia juga jadi penghalang untuk Malaysia dihormati sebagai sebuah negara merdeka.

Ia ditambah lagi bila Dr Mahathir berpendapat yang negara Barat tak boleh lagi jadi model yang baik kepada negara lain. Dr Mahathir menampakkan dasar ‘anti-Baratnya’ apabila beliau memperkenalkan dasar ‘Buy British Last’ lepas 3 bulan pegang jawatan PM.

“Ada sarjana yang berpendapat kenaikan yuran pengajian di Britain telah menyemarakkan lagi hubungan Malaysia dengan Britain. Dr. Mahathir melihat isu kenaikan yuran pengajian di Britain adalah sikap Britain yang tidak menghargai sumbangan terhadap ekonomi Britain melalui yuran dan perbelanjaan pelajar di Britain.” – Dipetik dari jurnal tulisan Mohd Afendi Daud.

Malaysia juga mengejutkan Britain dalam serangan subuhnya. Imej dari froyoplus.com

Selain tu, keperibadian ahli korporat British yang tak peka dengan dasar-dasar kerajaan dan suka campur tangan dalam hal Malaysia juga dah membuatkan Dr Mahathir marah. Ditambah lagi dengan sikap media Britain yang selalu buat laporan bersifat prejudis terhadap dasar ekonomi domestik negara, sampai menyinggung perasaan Malaysia.

Tapi dasar ni akhirnya tamat pada tahun 1983, sebelum lawatan Magerat Thatcher ke negara ini. Walaupun begitu, Malaysia dah pun mengubah pandangannya yang selama ini ke Barat, menuju ke pandangan matahari terbit di Timur.

Matlamat DPT adalah mencontohi budaya Jepun dalam etika kerja, disiplin dan sifat bersungguh-sungguhnya. Bagi Dr Mahathir, mencontohi Barat adalah benda yang tak berapa betul, sebab Barat tak berminat nak bersaing dan perkembangan ekonomi diorang pun tak begitu memberangsangkan.

“Menurut Musa Hitam (bekas Timbalan PM) DPT adalah konsep pro-Malaysia yang tidak anti-Barat dan tidak anti-Timur. Dasar ini juga tidak akan menyebabkan Malaysia berperanan “sebagai negara bawahan” kepada Jepun ataupun Korea Selatan.” – Dipetik dari jurnal tulisan Mohd Afendi Daud & Junaidi Awang Besar.

Dr Mahathir dalam satu majlis kat Jepun. Imej dari urwahsaari.wordpress

Barat tuduh Malaysia lupa diri, dan terlalu condong kepada Jepun & Korea Selatan

Bila DPT diperkenalkan, ia dah menarik perhatian Barat terutama sekali Britain. Rasa tak puas hati Barat mula nampak bila diorang kata – DPT tak akan berjaya. Antara sebabnya, ia dikatakan tak sesuai dengan budaya masyarakat Melayu.

“Majalah-majalah asing memberi perhatian kepada DPT dengan memaparkan cerita menyatakan DPT tidak akan berjaya kerana ianya menumpukan kepada kerajinan bekerja dan kebanyakan penduduk Melayu adalah pemalas dan tidak sesuai.” – Dipetik dari jurnal tulisan Mohd Afendi Daud & Junaidi Awang Besar.

Dunia kembali ingat Mahathir sekarang. Imej dari themuslimtimes.info

Dalam masa sama, Barat juga tuduh Malaysia amalkan sikap berat sebelah dalam memberikan kontrak kepada Jepun, antaranya macam projek kontrak Sabah Gas Grid. Tapi Malaysia nafikan dakwaan ni, dan kata Barat sepatutnya bersaing dengan Jepun dan Korea Selatan. Apa yang pasti, DPT sedikit sebanyak berjaya menggugat pengaruh Barat di Malaysia.

Walaupun DPT merugikan Barat, ia juga dilihat sebagai merugikan Malaysia. Sebabnya, tak ada syarikat Malaysia yang dapat melabur kat dalam syarikat-syarikat perkilangan di Jepun. Sebaliknya, pelaburan Jepun ke negara ni cukup tinggi.

Tapi dalam hubungan antara Malaysia dengan Korea Selatan, Malaysia pulak yang untung:

“…Korea Selatan lebih memerlukan barangan Malaysia berbanding dengan eksport Malaysia ke Korea Selatan. Eksport Malaysia ke Korea Selatan terus meningkat dari tahun 1981 hingga 1990.” – Dipetik dari jurnal tulisan Mohd Afendi Daud & Junaidi Awang Besar.

Termasuklah drama Winter Sonata yang pernah jadi kegilaan wanita – wanita kita dulu. Imej dari tenasia.hankyung.com

Sebab utama kenapa kita rugi dengan Jepun adalah bila negara matahari terbit tu amalkan dasar perlindingan yang ketat. Dengan dasar ni, bukan Malaysia je yang susah masuk pasaran Jepun, tapi AS pun dapat masalah yang sama.

Tapi apa yang pasti, tujuan utama DPT bukanlah untuk hubungan perdagangan je, tapi ia lebih kepada usaha untuk mengajar rakyat negara ni supaya meniru budaya kerja dan etika masyarakat Jepun yang boleh bangkit sebagai gergasi ekonomi dunia. Walaupun pernah dihancurkan dengan letupan bom atom.

Keadaan Hiroshima lepas dibom. Imej dari Time.

Bila sesebuah dasar diperkenalkan, kita mesti nak tahu sama ada ia berjaya atau tak, betul tak? Menurut sebahagian pengkaji, matlamat DPT yang nak rakyat Malaysia ikut nilai positif rakyat Jepun & Korea Selatan nampaknya gagal dan tak sepenuhnya berjaya.

“Pengaruh budaya kerja lebih tertumpu kepada bekas pelajar dari Jepun dalam kerjaya masing-masing, tetapi terdapat masalah dan rintangan bagi menyebarkannya kepada masyarakat umum di Malaysia.” – Dipetik dari buku: Dua Dekat Dasar Pandang Ke Timur.

Masih ada kes kakitangan awam yang curi tulang. Imej dari mps.gov.my

Walaupu begitu, dari segi ekonomi ia tetap menunjukkan keuntungan kepada masyarakat tempatan. Kesan dari pelaburan Jepun ke negara dah meningkatkan banyak peluang pekerjaan. DPT juga dah membuatkan Malaysia berjaya masuk ke dalam bidang pembuatan automotif melalui kerjasama pelaburan. Antaranya adalah seperti kerjasama HICOM dengan Mitsubishi Motors Corporation.

Dasar Dr Mahathir kepada Jepun, tak bermakna kita pro-Barat

Kat awal tadi, kita dah dibagitau yang destinasi pertama lawatan luar negara seseorang pemimpin tu selalunya dianggap sebagai yang paling penting dan paling rapat. Tapi bagi Ayman Rashdan Wong, itu tak bermakna yang Dr Mahathir pro-Jepun atau anti-China. Sebabnya, kalau kita pro-Jepun, itu bermakna kita pro-AS.

Ia juga sama dalam kes DPT apabila ia cuba ditakrifkan sebagai tindakan pro-Jepun atau anti-Barat. Tapi sebenarnya, ia cuma satu dasar mengalihkan pandangan Malaysia yang sebelum tu terlalu bergantung kepada Barat.

“Malaysia bukan hanya mahu belajar daripada kejayaan Jepun, malahan mahu mempelajari kegagalannya.” – Dr Mahathir Mohammad, dipetik dari buku: Dua Dekat Dasar Pandang Ke Timur.

Dr Mahathir bersalam dengan Junichiro Koizumi (bekas PM Jepun). Imej dari Utusan Malaysia.

Walaupun DPT memberi banyak manfaat, tetapi dalam masa sama ia juga ada memberikan kerugian kepada Malaysia (dah diceritakan kat atas tadi). Dalam masa sama, Jepun juga sampai sekarang masih lagi terlalu menjaga kepentingan AS dalam setiap langkahnya.

Sebab itulah bila Dr Mahathir nak perkenalkan Kaukus Ekonomi Asia Timur (EAEC) dan minta Jepun supaya memimpinnya, Jepun tolak sebab dapat bantahan dari AS. EAEC adalah zon perdagangan bebas antara ASEAN dengan China, Jepun dan Korea Selatan. Tapi nampaknya Dr Mahathir masih lagi optimis dengan idea ni.

“Amerika Syarikat kini sudah kembali semula kepada pemencilan. Oleh itu kita perlu menimbang pembentukan EAEC secara lebih serius.” – Katanya di Tokyo, dipetik dari Astro Awani.

Imej asal dari viz.com & Wikipedia.

Ketika China terlalu dominan sekarang, Dr Mahathir menuju ke Jepun

Akhirnya, lawatan Dr Mahathir ni boleh dikatakan sebagai kesinambungan DPT yang diperkenalkannya lebih 30 tahun lalu. Dalam waktu sama, ia juga membuktikan betapa eratnya hubungan Malaysia dan Jepun. Ia juga dapat dilihat sebagai cara mengimbangkan pengaruh China di rantau ini.

“Di era 1980-an, apabila Jepun terlalu dominan, maka China digunakan untuk hedge Jepun. Pada hari ini, apabila China terlalu dominan, maka Jepun digunakan untuk hedge China. Tak kira siapa yang jadi PM, pendekatan hedging inilah petua untuk memelihara kebebasan dan neutrality Malaysia.” – Ayman Rashdan Wong, dipetik dari Facebook-nya.

Dr Mahathir & Jiang Zemin (bekas Presiden China). Zemin muda setahun dari Dr Mahathir. Imej dari Nikkei Asian Review.

Bagi penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian pula, kunjungan Dr Mahthir ke Jepun ni membuka lebaran baru hubungan Malaysia-Jepun, setelah beberapa tahun kebelakangan ini kita memberikan tumpuan kepada China.

“Mungkin akan wujud dua perkara penting, satu adalah untuk mempertahankan nilai sosio-budaya yang telah Dr Mahathir lihat sejak 1980-an dan keduanya adalah bagaimana mewujudkan keserasian kerana berubahan teknologi bukan lagi teknologi pengeluaran, tapi dari sudut jaringan baru dan digital…Dr Mahathir mungkin merasakan kedudukan Jepun perlu diangkat kembali…” – Prof Dr Sivamurugan, katanya kepada Astro Awani.

Tapi dalam masa sama, Dr Mahathir masih lagi berpesan kepada masyarakat Malaysia supaya mencontohi Jepun, kalau nak berjaya. Tambahnya lagi, dia masih ingat bila kali pertama datang ke Jepun pada tahun 1961. Masa tu Jepun bekerja keras untuk bangkit dari kesan peperangan.

“…hasilnya Jepun dengan cepat muncul menjadi sebuah daripada ekonomi terbesar dunia. Dari sebuah negara yang tewas dan musnah, Jepun mampu membangun semula pada kadar yang pantas dan berkesan.” – Dr Mahathir, katanya kepada BERNAMA.

Begitu juga dengan Korea Selatan yang disifatkannya sebagai sebuah negara yang berjaya keluar dari kepompongnya sendiri.

“…Samsung dapat mengatasi Sony dan Apple, kita harus tahu apa yang menyebabkan mereka berjaya, orang Korea very discipline, very loyal, mereka mengejar ilmu dalam bidang sains, engineering supaya mereka boleh kejar dan bersaing dengan Jepun dan bangsa-bangsa lain.” – Dr Mahathir, dipetik dari jurnal tulisan Suhana Saad & Kartini Aboo Talib.

Dr Mahathir masa lawat Korea Selatan pada tahun 1983. Imej dari penerangan.gov.my

Tapi akhirnya, ia terpulang kepada masyarakat Malaysia untuk menyahutnya atau tidak. Apa kata anda semuanya?

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.