fbpx
March 19, 2024

Membawa ideologi liberal dan langgar tradisi UMNO? Ini punca Anwar dipecat

Kebencian Tun M terhadap Anwar masih membara dalam dirinya dari dahulu hingga sekarang, banyak kali mereka ingin bekerjasama untuk sebuah reformasi tetapi gagal. Sebenarnya kebencian ini boleh dilihat pada 2 September 1998 di mana Tun M telah memecat Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan semasa mereka memegang Kerajaan UMNO.

Mesyuarat pelucutan Anwar Ibrahim yang dilaksanakan di ibu pejabat UMNO itu telah memberikan kejutan kepada rakyat Malaysia. Hal ini kerana Tun M menyatakan bahawa  Anwar Ibrahim tidak layak menggantikan tempat duduknya sebagai Perdana Menteri. Namun, sebab dan mengapa dipecat masih menjadi tanda tanya kepada seluruh rakyat Malaysia. Jadi, mari kami bongkarkan tentang mengapa Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO.

Anwar Ibrahim sangat dibenci oleh majoriti ahli UMNO

Ketawa bersama menangis bersama. Imej dari Mynewshub.

Sebelum Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar merupakan ahli politik yang memegang jawatan itu bahkan beliau juga telah memegang jawatan UMNO dalam tempoh yang lama iaitu 42 tahun. Beliau dan Tun M (pada masa itu Tun M Perdana Menteri) merupakan gabungan kuasa politik yang sangat hebat pada masa itu.

Menurut buku A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad, kuasa politik mereka terjejas apabila Tun Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam telah mencabar mereka untuk  jawatan Timbalan Perdana Menteri. Tun M tidak menerima cabaran itu kerana menganggap ia tidak sesuai untuk mencabar Tun Ghafar dalam jawatan itu. Pada mulanya Anwar Ibrahim mendengar kata-kata Tun M malah, tidak melakukan sebarang kempen.

Namun, selepas Tun M mengkritik ahli politik UMNO Terengganu yang memegang jawatan terlalu lama dan tidak memberi peluang kepada orang muda, Anwar Ibrahim menganggap bahawa Tun M mahukan pemimpin tua untuk meletakkan jawatan. Jadi, tanpa meminta kebenaran dari Tun M, Anwar Ibrahim telah melakukan kempen untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Dia ingat yang saya mahukan pemimpin tua macam Tun Ghafar untuk letak jawatan. Jadi, dia anggap itu satu cabaran jadi, tanpa kebenaran saya, beliau telah melakukan kempen untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri”. – Tun M, bekas Perdana Menteri, dipetik dari buku A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada masa itu, Anwar Ibrahim telah menerima sokongan majoriti termasuk penyokong Tun Ghafar juga dalam mencalonkan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. Secara terangnya kita boleh lihat bahawa Tun Ghafar akan kalah kerana penyokong tegarnya sendiri menyokong Anwar Ibrahim dan akhirnya Anwar Ibrahim telah menang tanpa bertanding. Tun Ghafar telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 30 Oktober 1993 dan digantikan oleh Anwar Ibrahim.

Bila Anwar dengar Tun M kritik pemimpin UMNO Terengganu lama sangat pegang jawatan. Imej dari Imgflip.

Namun, langit tidak selalu cerah kerana Anwar Ibrahim dikatakan telah memecah tradisi serta aspirasi dalam UMNO. Beliau sangat aktif dalam memupuk sokongan untuk dirinya di kalangan bahagian UMNO lantas ia telah menimbulkan kemarahan kepada semua ahli UMNO. Ramai ahli UMNO yang tidak menyukai Anwar Ibrahim kerana beliau bukan sahaja menimbulkan kemarahan malah ancaman dalam UMNO.

“Apabila saya melihat kritikan Anwar mengkritik kerajaan, terutama berkaitan dengan dakwaan kronisme, ia telah tersebar luas. Dia akan bercakap menentang penyalahgunaan kepercayaan masyarakat, dengan membayangkan kata-katanya dengan petunjuk yang terselubung bahawa ia melibatkan saya” – Tun M, bekas Perdana Menteri, dipetik dari buku A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Anwar telah mengkritik kronisme secara berprinsip tetapi kata-katanya mempunyai maksud tersirat bahkan beliau juga dikatakan mengkritik Tun M. Ramai ahli politik UMNO telah memberi amaran kepada Tun M bahawa Anwar Ibrahim tidak berguna dan tidak setia kepada parti.

“Ketika dia berbicara menentang kronisme, kepada siapa dia menyinggung perkara itu kalau bukan saya?” – Tun M, bekas Perdana Menteri, dipetik dari buku A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad

Kepimpinan Anwar Ibrahim tidak serasi dalam UMNO

Tun M dan Anwar semasa mereka berdua berkongsi kuasa dalam UMNO. Imej dari Investing.

Semasa  Anwar Ibrahim memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau tidak serasi dengan ahli-ahli UMNO. Beliau dikatakan tidak serasi dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) kerana semasa Pak Lahmenjadi Penjawat Awam, beliau telah ditugaskan oleh Tun Razak (PM ketika itu) untuk menentang kepemimpinan Anwar Ibrahim terhadap pelajar dan pemuda Muslim.

Dengan peningkatan jawatan Anwar dalam UMNO, dia menjadi ancaman terhadap kepimpinan Pak Lah dari UMNO Negeri Pulau Pinang. Ketakutan Pak Lah membuak-buak apabila jawatan Timbalan Perdana Menteri yang dahulunya dipegang oleh Tun Ghafar, telah diganti oleh Anwar Ibrahim.

Bukan itu sahaja, ideologi yang dipegang oleh Anwar Ibrahim juga dikatakan tidak serasi dalam UMNO. Hal ini kerana beliau dikatakan membawa ideologi liberal kepada wartawan-wartawan dari Amerika Syarikat dan negara-negara barat.

“Anwar akan menguruskan Senator Amerika Syarikat dan ahli kongres untuk datang ke Malaysia setiap tahun, mereka akan dibayar dengan dana yang telah ditubuhkannya. Mereka percaya dia sebagai seorang ahli politik yang liberal, demokratik, dan menyukainya. ” – Tun M, bekas Perdana Menteri, dipetik dari buku A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tun M dan ahli politik melihat prestasi Anwar. Imej dari knowyourmeme.

Semasa Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau juga memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan. Beliau dikatakan tidak bertanggungjawab dalam memegang jawatan Menteri Kewangan kerana pada ketika itu, krisis ekonomi sedang berlaku dan banyak syarikat-syarikat melibatkan UMNO telah tutup. Pada masa ini juga beliau dikatakan mempunyai tuduhan dalam kes liwat.

“Pada tahun 1993, Ketua Polis Negara ketika itu, Tun Mohamad Hanif Omar, datang menemui saya dengan bukti salah laku seksual Anwar. Tuduhan itu pada mulanya saya merasakan tidak benar. Saya tidak menyarankan agar tindakan diambil, tetapi pihak polis, masih meneruskan siasatannya. Tiada laporan yang saya terima sehingga tahun 1998, bukti-bukti yang saya terima membuatkan saya bertindak. – Tun M, bekas Perdana Menteri, dipetik dari buku A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kebencian Tun M terhadap Anwar Ibrahim masih membara sehingga sekarang

Adakah mereka akan berdamai buat selamanya? Imej dari Denyut reformasi, Blogammar dan penulis.

Pada 23 September 2020 lalu, Anwar Ibrahim telah membuat sidang media khas di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. Dalam ucapannya, beliau mendapat sokongan majoriti dari Ahli Parlimen yang terdiri dari kalangan ahli parlimen berbangsa Melayu. Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan bahawa sokongan majoriti ini dapat menjatuhkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walau bagaimanapun, Anwar Ibrahim menyatakan ahli parti baharu Tun M iaitu “Pejuang” tiada dalam senarai majoriti beliau.

“Dia (Dr Mahathir) tiada dalam senarai sokongan majoriti. Dia mungkin akan membuat keputusan kemudian. Buat masa ini, dia tidak termasuk”. – DS Anwar Ibrahim, Presiden PKR, dipetik dari Astro Awani.
Adakah DS Anwar Ibrahim dapat menjatuhkan Kerajaan Tan Sri Muhyiddin? Imej dari Imgflip dan Wikiwand.
Dalam pada itu, Tun M membidas ucapan Anwar Ibrahim yang menyatakan beliau mempunyai sokongan majoriti. Katanya Anwar Ibrahim perlu melampirkan bukti senarai sokongan majoriti yang dikatakan semasa sidang media khas.
“Kalau Datuk Seri Anwar ada (majoriti), buktikan bahawa dia betul cukup bilang dan kita akan putuskan perkara itu.”- Tun M, bekas Perdana Menteri, dipetik dari Astro Awani.
Namun, Anwar Ibrahim mengaku bahawa senarai sokongan majoriti itu telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong. Menurut Pengarah Komunikasi PKR,Fahmi Fadzil berkata, Anwar telah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong dan memaklumkan secara terperinci mengenai sokongan yang diterima beliau.
Pertempuran Anwar Ibrahim dan Tun M masih membuak-buak dari dahulu hingga sekarang. Namun, kadangkala kita ada melihat mereka bekerjasama dalam satu kuasa politik tetapi seringkali gagal contohnya pencalonan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan penubuhan PH Plus. Jadi, apakah yang akan berlaku antara mereka berdua?

Share via
Send this to a friend