Buy British Last: Kempen boikot Malaysia yang menggugat kuasa British

Sekarang ni kecoh pasal kempen Buy Muslim Bumiputera First (BMBF). Ada pihak kata yang kempen ni satu usaha nak boikot produk-produk bukan muslim. Mengulas hal ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir ada kata yang tindakan memboikot produk bukan Islam adalah tindakan mereka yang cetek fikirannya.

Tapi, benda ni dah dinafikan ramai dan kata ini cuma kempen yang mengajak pengguna mengutamakan barangan muslim. Malah, Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin pun ada ulas pasal isu ini.

Tapi korang tahu tak, 38 tahun yang lalu Malaysia pernah buat polisi memboikot satu kuasa dunia. Polisi tu tak lain dan tak bukan adalah…

Buy British Last: Boikot yang telah menggugat ekonomi British

“Teropong ke Timur”- Dr Mahathir. Imej dari mtholyoke.edu

Perdana Menteri paling lama berkhidmat di negara ni mesti korang semua tahu kan? Siapa lagi kalau bukan Tun Dr Mahathir Mohamad. Dan polisi Buy British Last (BBL) ni juga datang dari pentadbirannya pada 2 Oktober 1981. Secara umumnya, tujuan polisi dibuat adalah nak menjadikan hampir kesemua barangan dan perkhidmatan dari Britain sebagai pilihan terakhir.

Dengan cara ni, Britain kena bersaing dengan pelabur-pelabur negara lain, bila nak dapatkan kontrak, tender dan pasaran di Malaysia. Jadinya, masa tu Dr Mahathir dah arahkan semua kementerian dan agensi kerajaan/berkanun supaya cari pembekal alternatif selain Britain. Semua kertas cadangan yang ada kaitan dengan Britain kena dirujuk ke Jabatan Perdana Menteri dulu masa tu.

Tindakan Malaysia ni nampak macam nak cari gaduh sangat dengan Britain, sebab sejak lepas merdeka, kita memang jadi sekutu rapat Britain dan bagi keutamaan lebih kepada negara bekas penjajah tu. Walaupun Malaysia cuma negara kecil dan tak ada banyak pengaruh masa tu, tapi nampaknya BBL ni berjaya juga gugat ekonomi Britain.

“… reaksi-reaksi yang telah ditunjukkan oleh Perdana Menteri Britain Margaret Thatcher, pegawai-pegawai British dan ahli-ahli perniagaan British pula telah membuktikan bahawa polisi Buy British Last telah menjejaskan kepentingan British di Malaysia.” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.

Kira-kira sebulan sebelum BBL, Malaysia dah melancarkan Serangan Subuh untuk mengambil alih Guthrie. Imej dari Jom Jalan.

Selain dari reaksi dari pemimpin dan ahli-ahli perniagaan British, akhbar-akhbar Britain juga rasa tak puas hati dengan tindakan Malaysia ni. Mereka tuduh Malaysia buat diskriminasi ke atas firma-firma Britain. Kebimbangan mereka ni ada asasnya juga, sebab polisi Malaysia ni betul-betul dah bagi kesan kepada ekonomi Britain.

Sebagai contoh, ada kajian yang dapati kesan dari BBL dah membuatkan syarikat-syarikat Britain alami kerugian sebanyak £15.5 JUTA dalam tempoh beberapa bulan pertama ia dilaksanakan. Tak percaya? Dengar kenyataan…

“Anthony Kershaw, British House of Common Foreign Affairs Select Committee Chairman, menganggarkan kerugian antara £20 juta hingga £50 juta.” – Dipetik dari jurnal terbitan UM.

Tapi bila dah cerita panjang lebar ni, korang tak terfikir ke kenapa Malaysia buat polisi ni. Sebenarnya puncanya ada banyak, dan antaranya adalah…

Dari isu yuran pengajian sampailah ke isu tuduhan tak tepat terhadap Malaysia

Kalau sebabnya tak berapa kukuh, rasanya Malaysia tak lah sampai nak buat polisi memboikot Britain kan? Tapi rupa-rupanya, banyak sebab kenapa Malaysia ambil tindakan sebegitu. Mungkin kita boleh mula dengan…

1. Kenaikan yuran pengajian

Imej dari gifimgs.com

Sejak dari dulu lagi, kebanyakan negara-negara anggota Komanwel akan menghantar rakyat mereka ke Britain untuk belajar. Sebab tu, tak hairanlah ramai pemimpin dan pegawai tinggi negara lepas merdeka sampailah ke tahun 1980-an yang terima pendidikan dari Britain. Akan tetapi, menjelang tahun 1980-an, Britain dah mula memansuhkan subsidi yuran pengajian tinggi untuk pelajar asing.

Hal ni sekaligus dah menyebabkan yuran pengajian di negara tu melambung tinggi, dan buatkan kerajaan menanggung bajet pendidikan tinggi. Masa tu, ada 17,000 orang pelajar Malaysia yang sedang belajar di Britain di bawah tajaan kerajaan Malaysia. Tapi, Britain pula cuma bagi pengecualian kenaikan yuran kepada pelajar-pelajar dari negara-negara anggota European Economic Community (EEC).

Jadinya, Dr Mahathir pun buat rayuan kepada Britain, supaya layanan sama diberikan kepada Malaysia. Tapi, Britain tak hiraukan langsung rayuan Malaysia, malah suruh Malaysia hantar pelajar ke negara-negara yang lebih murah. Dr Mahathir pun mula naik darah, dan tak puas hati dengan layanan Britain ni.

“Tun Dr. Mahathir telah beranggapan bahawa Britain tidak menghargai segala sumbangan Malaysia untuk ekonomi Britain melalui yuran pengajian dan perbelanjaan pelajar-pelajar Malaysia di Britain.” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.

2. British gugat matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB)

Tun Razak masa melawat Projek Pembangunan Luar Bandar di bawah DEB. Imej dari Utusan.

Seperti yang mana yang kita tahu, DEB adalah satu dasar serampang dua mata bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat di negara ini. Tapi nampaknya, British macam tak sokong dasar ni bila mereka jual Dunlop Estates kepada Multi-Purpose Holding yang dimiliki oleh MCA.

Dr Mahathir rasa tak puas hati, sebab tindakan ni menggalakkan lagi jurang ekonomi antara kaum di Malaysia. Hal ni, dikatakan meningkatkan lagi pendapatan ekonomi kaum Cina berbanding dengan kaum-kaum yang lain.

“…matlamat DEB sukar untuk dicapai sekiranya jurang ekonomi antara kaum masih tidak dapat diselaraskan dengan baik.” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.

3. Pihak media British bagi gambaran negatif pada negara

“Apa aku nak buat dengan British ni?” – Dr Mahathir. Imej dari Straits Times.

Sebenarnya, Dr Mahathir rasa tercabar dan tersinggung dengan banyak laporan negatif tentang Malaysia dari media-media British. Antaranya adalah, media British menuduh Malaysia menindas kaum Cina dan India dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Laporan ni kemudiannya bukan terbit di Britain saja, tapi juga di beberapa negara lain seperti Australia.

4. Keperibadian Dr Mahathir

Dr Mahathir, Rais Yatim (tengah) dan Musa Hitam. Imej dari Utusan.

Salah satu perbezaan antara Dr Mahathir dengan kesemua perdana menteri sebelumnya, dia tak dapat pendidikan di Britain dan tak ada kecenderungan dengan negara tu. Malah, kali pertama Dr Mahathir jejakkan kaki di Britain pada tahun 1983, bila dia adakan pertemuan dengan Margaret Thatcher, sebab nak bincang pasal BBL ni.

Kalau kita baca penulisan Dr Mahathir sebelum dia jadi PM lagi, dia juga sebenarnya ada sikap yang agak anti-British. Sebab baginya, British pandang Malaysia ni sebagai negara yang masih belum merdeka sepenuhnya dan terlalu berharap dengannya.

“Tun Dr. Mahathir telah menolak persepsi Barat yang menganggap mereka sebagai kuasa penyelamat manusia sejagat. Menurut Tun Dr. Mahathir, persepsi tersebut merupakan pemikiran lapuk penjajah dan tidak sesuai lagi diaplikasikan setelah Malaysia merdeka.” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.

Jadinya, bila British pandang rendah pada Malaysia dan buat sesuka hatinya – macam mansuhkan subsidi dan biarkan media kutuk Malaysia. Dr Mahathir pun ambil tindakan drastik dengan lancarkan BBL. Sebenarnya, keputusan buat polisi BBL ni tak dibincangkan langsung dalam kabinet, dan ia keputusan terus daripada Dr Mahathir.

Tapi akhirnya…

Malaysia dan Britain berdamai… lepas adanya beberapa pertemuan

Disebabkan hal ni nampak macam tak berapa jalan dan langkah terus tuduh menuduh antara satu sama lain tak buahkan sebarang hasil. Pihak British mula cari jalan nak berbaik semula dengan Malaysia dan ambil hati Dr Mahathir balik. Pada Februari 1982, Setiausaha Luar Britain, dah datang ke Malaysia dan bertemu dengan Dr Mahathir.

Persuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, David Gillmore pula kata pihak Britain mula belajar lebih lagi tentang Malaysia, terutamanya pasal DEB. Britain juga bersedia bersaing dengan pesaing-pesaing yang lain dan akan peka dalam memenuhi kehendak Malaysia. Selain itu, Britain juga dah luluskan dana sebanyak £5 juta bagi menggalakkan pelajar-pelajar Malaysia lanjutkan pelajaran ke negara itu.

“Pihak Britain juga turut menambahkan bantuan teknik bagi tahun 1982/83 kepada Unit Perancang Ekonomi sebanyak £800,000.00 daripada Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur.” – Dipetik dari jurnal terbitan UM.

Akhirnya, berlaku pertemuan tak rasmi antara Dr Mahathir dengan Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher pada Mac 1983. Lepas balik dari pertemuan tu, Dr Mahathir pun tarik balik polisi BBL secara rasmi pada 31 Mac 1983.

Akhirnya Dr Mahathir dan PM Britain, Margaret Thatcher bertemu. Imej dari Yayasan Kepimpinan Perdana.

Malaysia berjaya buktikan negara kecil tak boleh dibuli

Imej dari gifimgs.com

Apa yang kita boleh nampak, polisi BBL ni cuma bertahan selama 18 bulan je, malah, ia berjaya mengubah sikap Britain terhadap Malaysia. Malah, tindakan Malaysia ni juga dah menyebabkan nilai pound sterling jatuh. Nilai pound sterling masa tu menurun ke kepada $3.40 dan ia juga dah menyebabkan barangan Britain menjadi murah.

Namun begitu, pada tahun 1994, Malaysia sekali lagi memulaukan barang dan perkhidmatan Britain, sama seperti BBL dulu. Puncanya, media Britain tuduh macam-macam dengan kepimpinan Dr Mahathir, terutamanya isu rasuah. Maka, Dr Mahathir sekali lagi buat tindakan drastik dengan seperti yang diberitahu tadi.

Kesannya, dianggarkan banyak syarikat British yang alami kerugian berbilion-bilion pound dan hampir 25,000 orang rakyat Britain dah hilang pekerjaan. Hal ni dah memaksa Menteri Perdagangan Britain, Richard Needham dan 20 orang ahli perniagaan British buat lawatan 4 hari ke Malaysia, sebab nak pujuk Dr Mahathir.

“Needham telah memberitahu pihak media bahawa beliau sanggup berulang-alik sebanyak 40 kali dari Britain ke Malaysia untuk memastikan sekatan kontrak untuk syarikat-syarikat British ditamatkan dengan segera.” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.

British pun pernah buat kempen beli barangan tempatan pada tahun 1931. Imej dari Daily Mail.

Akhirnya, hubungan Malaysia – Britain bertambah baik dan sekatan ditarik balik. Apa yang jadi, akibat dari BBL dan sekatan pada 1994 dah membuka mata dunia tentang kekuatan sebuah negara kecil bernama Malaysia. Tapi, tindakan boikot ini bukanlah satu perkara yang kita boleh dibuat macam itu je, sebab ia dah pasti mempunyai akibat kepada pihak yang memboikot atau diboikot.

 

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.