Anak Seremban ni cipta tudung pakai buang pertama dunia untuk pembedahan

Kalau kita perhatikan sekarang ni, banyak jenis tudung yang ada kat pasaran. Dan banyak jugak nama dan jenama tudung yang diberikan. Daripada tudung jenis ikan hinggalah tudung mak cik jual nasi lemak. Memang kreatif betul orang Malaysia ni. Dan setiap fesyen tudung yang digayakan akan sentiasa berevolusi dari semasa ke semasa.

Kalau kita tengok balik dari zaman nenek moyang kita, pemakaian tudung kat Malaysia ni memang dah digunakan secara meluas sejak tahun 1940-an lagi. Dan dulu pun material tudung yang digunakan dalam jenis material yang sama. Tak macam sekarang ni, ia dah jadi universal, daripada jenis kain kapas, ke kain jersi, dan seterusnya ke tudung yang boleh dipakai buang. Hah tudung pakai buang? Macam mana tu?!

Doktor Malaysia cipta penutup kepala bebas daripada bakteria

‘Hai semua rakyat Malaysia’. Imej dari FB Farah Roslan

Sebelum kitaorang pergi lebih lanjut mengenai tudung plastik ni, sebenarnya kitaorang ada jugak tulis artikel pasal tudung. Kalau korang nak tahu lebih lanjut pasal tu, boleh klik kat link-link ni:

Okay, inovasi ciptaan tudung yang boleh pakai buang ni dicipta oleh Doktor Farah Roslan yang berkhidmat kat Royal Derby Hospital. Idea penciptaan tudung atau pun penutup kepala ni terhasil bila dia bimbang dengan serangan jangkitan kuman dan virus menerusi tudung yang dia pakai seharian waktu bertugas dalam dewan bedah.

Manisnya… Imej dari BBC News

Macam yang kita sedia maklum walaupun ada yang tak berpengalaman masuk dalam dewan bedah tu, suasana dewan bedah ni memang sangat kedap. Bila buat operasi pembedahan tentunya bakteria tu akan memenuhi ruang tersebut tanpa kita sedar.

Jadi, disebabkan kebimbangan tu, dia pun terfikir untuk cipta sesuatu yang ideal tapi masih lagi menutup aurat dan menepati syarak. Tercetusnya idea penciptaan tudung tu waktu dia bertugas sebagai pelajar perubatan kat University Hospitals of Derby dan Burton NHS Trust. 

“Saya telah menggunakannya (hijab/tudung yang sama) sepanjang hari yang sudah tentunya ia tidak bersih dan ideal,”

“Saya tidak selesa untuk menanggalkannya dan saya diarahkan keluar daripada dewan bedah atas tujuan kawalan jangkitan.” – Doktor Farah Roslan, sumber dari BBC News. 

Di samping skaf penutup kepala yang dibekalkan dan diwajibkan pakai untuk semua staf kat dewan bedah, Doktor Farah yang bertugas kat dewan bedah tu jugak tak nak mengabaikan aspek tuntutan agama. Selain jaga aurat, dia pun nak pastikan dirinya dan persekitarannya sentiasa bersih.

Tapi dalam dewan bedah nak senyum pun tak boleh. Imej dari BBC News

Sebab tudung yang dipakai tu bukanlah tudung yang boleh kalis bakteria walaupun dia dah pakai skaf penutup kepala tu. Tapi mestilah bakteria pun masih terlekat kat situ jugak sebab kita pun tahu yang pakaian kita yang tak disteril senang diserang bakteria dan virus yang tak boleh nampak dengan mata kasar. 

Pentingkan aspek aurat dan minat dalam kerjaya serta kebersihan

Disebabkan kebimbangan dia dan keprihatinannya mengenai aspek aurat dan minat dalam kerjaya yang dia ada, dia bagitahu yang dia kena cari jalan penyelesaian terhadap hal tu selain menitikberatkan aspek kebersihan waktu dia menjalankan tugas kat dewan bedah tu. Semestinya tudung yang dipakai dalam tempoh yang lama tanpa digantikan kat dewan bedah  akan dijangkiti kuman-kuman kat situ.

Jangan keliru pulak, tudung tu rupa dia bukan yang ni tau. Imej dari Sayangislam.com

Menjadikan Malaysia sebagai contoh, untuk mencari idea bagi selesaikan permasalahan tu sebelum dia meneruskan dengan penghasilan rekaan dan proses pengujian fabrik. Dan hasilnya, dia berjaya mencipta penutup kepala berupa tudung yang mesra digunakan dalam dewan bedah tanpa memerlukan pemakaian tudung bermaterial berat macam tudung-tudung biasa tu.

“Saya berasa sangat gembira dan berharap sekiranya kami boleh mengusulkan penggunaannya di peringkat nasional,” – Doktor Farah Roslan, sumber dari BBC News. 

Mentor yang jadi pembimbing dan menyelia tugasan dia kat hospital tu pun beri kepercayaan kat dia untuk menghasilkan tudung tersebut yang dilihat dapat memudahkan urusannya. Dan hal ni jugak kelihatan tak dihebohkan lagi dan ia dirasakan tak diketahui secara meluas.

“Tudung tersebut tidak melibatkan kos yang banyak dan diharapkan akan memberi kesan yang besar dan memberangsangkan.” – Gill Tierney, perunding pakar bedah, sumber dari BBC News. 

Hati-hati, kadang-kadang ada spy yang menyerupai dr nak bedah korang. GIF dari Giphy

Inovasi tudung tu jugak menepati dengan ketetapan kawalan infeksi kat dewan bedah yang mewajibkan staf dan anggota yang bertugas kat dewan bedah memakai pakaian khas untuk dewan bedah. Jadinya, tudung yang dihasilkan tu memang penggunaannya khas kat dewan bedah yang bebas daripada bakteria sama macam uniform bedah yang digunakan tu. Dan penggunaan tudung tu dilaksanakan kat sana awal Disember hari tu. 

Konsep Islam itu mudah perlu digunakan untuk ciptaan yang bermanfaat

Dalam Islam, konsep Islam itu mudah sangat meluas yang bertujuan untuk tak sukarkan dan hadkan aktiviti seharian manusia. Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:

“…Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…”

Jadinya, dengan akal fikiran dan kewarasan yang diberikan oleh-Nya, manusia boleh menggunakannya sebaik mungkin yang boleh memberi manfaat kepada semua umat sekaligus selaras dengan tuntutan yang ditetapkan. Dan setiap apa yang dituntut tu ada kemudahannya selaras dengan pemberian Allah yang tak ada galang gantinya. Oleh itu, samalah macam inovasi yang Dr Farah cipta ni, ia mempunyai potensi yang tinggi dan boleh dikomersilkan secara meluas.

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)