Seni & Budaya

Konsert lagenda Sudirman yang mengumpulkan 100,000 rakyat Malaysia berbilang kaum

UPDATE 23/9/2017: FB Sudirman Hj Arshad ada menceritakan tentang konsert Sudirman yang dibantah habis-habisan oleh beberapa pihak seperti Persatuan Kakitangan Akedmik UKM dan Persatuan Anak Kelantan. Menurut status itu lagi, tenaga progresif universiti memang pulun melawan tindakan golongan ‘pelampau agama’ ini. Akhirnya PM waktu itu iaitu Datuk Seri Dr. Mahathir campur tangan untuk menjayakannya.

“Tidak perlu ada ketakutan sama sekali jika seseorang itu percaya kepada Tuhan” – Wartawan NST, dipetik dari status FB Sudirman Haji Arshad.

Konsert-konsert awal terus dapat bantahan daripada ‘puak politik pelampau agama dan perkauman’. Siap ada demonstrasi oleh beberapa pihak kat Istana Kelantan dan UiTM Terengganu lagi.

Agak-agaknya kalau Dr Mahathir tak bantu konsert Sudirman dulu, boleh ke dia anjurkan konsert mega percuma yang berjaya menyatukan satu Malaysia ni?

—– HABIS UPDATE, NAH BACA LA PUAS-PUAS —–

(You can read this article in English by clicking here)

Kalau ditanya hari ini siapakah artis yang paling popular tanah air, besar kemungkinan orang akan jawab Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Tapi korang tau kan ada lagi sorang yang sama hebat macam dia?

Seniman yang kami maksudkan ni adalah Allahyarham Sudirman Arshad atau nama glemer dia, Sudirman. Punyalah taiko Sudirman ni sampaikan pada tahun 1986, konsert dia kat Chow Kit dihadiri lebih 100,00 orang! Tu sama banyak dengan Stadium Bukit Jalil kalau penuh kot.

Sudirman Arshad. Gambar dari kaki.sini.com.my

Sudirman meninggal dunia pada tahun 1992 ketika dia berumur 37 tahun. Walaupun dah lama pergi, kita masih selalu mendengar lagu-lagu arwah setiap tahun terutama sekali sewaktu raya dan merdeka seperti “Balik Kampung” dan “Tanggal 31“. Sempena memperingati pemergian arwah, kami telah lihat balik pencapaian Sudirman dalam bidang seni.

Konsert Chow Kit bukan je sangat besar, malah percuma!

Kerjaya Sudirman sebenarnya bermula pada tahun 1970-an lagi. Jadi pada tahun 1986, nama dia dah cukup besar di kalangan rakyat Malaysia. Masa tu Sudirman nak buat satu benda yang tak pernah dibuat orang, iaitu menganjurkan konsert kat tengah-tengah KL, dan benarkan orang hadir secara percuma. (Kebetulan dia dah ada lagu nama Chow Kit Road.)

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Tapi nak buat konsert percuma ni bukannya senang. Malah kat Chow Kit waktu tu mana ada pentas… jadi Sudirman dan team dia pun pergi bina satu! So apa reaksi rakyat Malaysia tentang konsert ni?

Kami pergi contact beberapa orang yang pernah pergi konsert ni. Kamal (bukan nama sebenar) bagitau kami beberapa hari sebelum konsert tu berlangsung, berita pasal show percuma oleh Sudirman sudah pun jadi perbualan orang ramai. Tambah Kamal lagi, time tu dia dengan kawan-kawannya tengah sangap muzik yang berkualiti jadi konsert Sudirman ni merupakan satu benda yang wajib untuk pergi.

“Tak tahu lah kalau kalau semua orang (bercakap pasal konsert) tapi kebanyakannya memang akan tanya “Kau pergi Chow Kit Road tak?'” – Kamal, interview dengan CILISOS

Masa hari konsert, Kamal kata dia sampai pukul 5 petang dan tempat tu dah pun penuh, walaupun sebenarnya konsert bermula pukul 8 lebih! Malah Sudirman jang memang berjiwa penghibur bukan datang masuk pentas macam biasa, tapi dia turun dengan kren!

Berjalan? Sudirman masuk pentas guna kren okay! Gambar dari nst.

“Penonton ketika tu sangat best! Semua lagu yang dia nyanyi, kami nyanyi sekali. Macam pesta!” – Saedah Ismail, petikan dari dokumentari Sudirman.

Untuk Kamal pula, nasib dia agak berbeza sikit sebab dia jauh di belakang jadi tak nampak pentas Sudirman secara penuh. Tapi Kamal ada bagitau, penonton yang datang bukan je orang Melayu malah Cina dan India pun ramai. Kamal pun kata ia lebih kepada pesta dari konsert.

Sudirman tengah perform kat Jalan Chow Kit. Gambar dari tv14.my

Konsert Sudirman ini memang sangat berjaya, malah sampai sekarang pun takde lagi mana-mana artis Malaysia yang dapat menyainginya.

“Dia pun tak sangka yang seramai ni yang datang. Ia merupakan satu kejayaan yang besar untuk dia, satu pencapaian yang memuaskan di Malaysia” – Bahyah Mahmod, dipetik daripada dokumentari Sudirman.

Selain daripada konsert ni, Sudirman ada satu lagi kejayaan besar yang bukan bukan sahaja bertaraf Malaysia, malah…

Sudirman bertanding dengan artis terbesar Hong Kong, dan menang!

Pada tahun 1989, ada satu pertandingan di peringkat Asia di mana setiap negara akan menghantar penyanyi terbaik mereka dan bertanding untuk tengok siapa yang paling hebat. Jadi daripada idea tersebut terlahirlah Asian Music Awards 1989 di Royal Albert Hall, dan Sudirman telah terpilih untuk mewakili negara kita ketika itu.

Walaupun Sudirman memang femes gila kat Malaysia, dia bertanding dengan nama-nama besar di rantau Asia seperti Anita Sarawak (Singapura) dan Leslie Cheung (CNN pernah namakan dia sebagai top 5 ikon muzik dunia).

Leslie Cheung. Gambarb dari Wikipedia.

Tapi Sudirman Sudirman dan team dia tetap merancang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan persembahan yang terbaik. Tapi sewaktu pertandingan, ternyatalah ada satu faveret orang ramai:

“Ia sangat menakutkan, 90% penonton yang ada kat dalam dewan tu merupakan penyokong Leslie dan sering menjerit ‘Leslie, Leslie!'” – Dharanee Kannan, bekas manager, dipetik dari dokumentari Sudirman.

Tapi ternyata Sudirman jugalah yang merupakan bintang pada malam itu. Persembahan pertamanya diinspirasikan oleh Charlie Chaplin, namun persembahan kedua Sudirman yang telah menawan hati penonton, dan dia menang!

https://www.youtube.com/watch?time_continue=280&v=1I2GWBJilbk

Sudirman bukan je pandai menyanyi

Walaupun Sudirman terkenal sebagai seorang penyanyi, itu bukanlah satu-satunya bakat yang dia ada. Percaya atau tidak, Sudirman sebenarnya seorang graduan undang-undang tapi telah mengambil keputusan untuk mengejar cita-citanya sebagai seorang ahli muzik.

Sudirman yang ditemani dengan dua penari. Gambar dari Star2.

Nama Sudirman meletup pada tahun 1976 apabila dia menang pertandingan bakat yang dianjurkan oleh RTM, dan sejak dari tu nama dia terus melonjak naik. Antara pencapaian awal Sudirman adalah menjadi penyanyi tempatan yang pertama membuat persembahan kat The Hilton Paddock.

“The Paddock merupakan satu pengiktirafan bagi persembahan live artis Malaysia, dan Sudir merupakan ketuanya.” – Cynthia Chen, bekas manager, dipetik dari dokumentari Sudirman.

Selain menjadi penyanyi terunggul, Sudirman juga aktif dalam industri TV. Sudirman pernah host rancangan Puspawarna di mana dia telah memenangi beberapa anugerah sebagai penghibur terbaik di TV.

Siapa lagi cool?

Sepanjang hidupnya, Sudirman telah melibatkan diri dalam bidang lain seperti berlakon, menulis, dan menjual air bikarbonat dia sendiri iaitu, Sudi.

Oh kami hampir lupa, pada tahun sama ketika dia menang Asian Music Award, Sudirman juga telah membuat persembahan penutupan untuk Sukan SEA 1989 di mana Malaysia merupakan tuan rumah. Malah dia telah membuatkan hampir semua atlit termasuk jugalah yang bukan warganegara mengangkat jalur gemilang yang juga merupakan sebahagian dari baju dia.

Hebat betul baju Sudirman ni! Gambar dari forexbrokers.my

Pemergian Sudirman telah memberikan impak kepada semua rakyat Malaysia

Sayangnya setelah dua tahun sejak persembahannya kat Asian Music Award, kesihatan Sudirman kelihatan kian merosot. Berdasarkan dokumentari yang kami tonton, orang yang rapat dengan dia kata Sudirman dah tak bertenaga seperti sebelumnya dan Sudirman dah mula lupa lirik, sehingga pernah jatuh pengsan masa kat atas pentas pada Julai 1991 yang juga merupakan konsert terakhirnya.

Akhirnya Sudirman telah menghembuskan nafas yang terakhir pada bulan Februari 1992. Mula-mulanya ada banyak khabar angin tentang kenapa dia meninggal dunia (termasuklah AIDS), tapi secara rasminya adalah pneumonia (paru-paru berair).

Apa yang special pasal Sudirman ni, kita bukan je mengingatinya sebagai seorang penyanyi yang berbakat malah sebagai seorang insan yang berjaya menyatukan seluruh negara.

“Sudirman tak melihat warna kulit atau pun agama. Dia ikhlas, rendah diri, dan sentiasa peramah. Peminat dia terdiri dari Melayu, Cina, India, Sikh, dan semua jenis bangsa. Mereka semua nak tengok mamat yang ketinggian lima kaki ni – tu je” – Datin Rudiah Arshad, kakak Sudirman, petikan dari Star2.

Gambar dari Star2.

Walaupun hidup dia kat atas bumi ni tak lama, tapi impak yang diberikan olehnya boleh kata sampai ke akhir zaman dan Malaysia sangat bertuah kerana memiliki Sudriman.

Nota: Banyak sumber kami dapat untuk artikel ni datang dari dokumentari yang dibuat khas untuk Sudirman. Kami tak dapat mengenal pasti siapa yang buat video ni (sebab dorang blur kan kredit penutup), tapi kalau korang berminat boleh lah tekan kat sini untuk tonton. Satu dokumentari yang memuaskan, penuh dengan gambar dan interview Sudirman dan orang yang rapat dengannya =)

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend