- 3.4KShare sekarang!
- Email113
- Facebook3.3K
- Share
*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 31 Ogos 2017.
KEMAS KINI 4 Januari 2021: Pihak polis telah bertindak merampas pelbagai gambar dan cawan mempamerkan karikatur berunsurkan wajah pemimpin komunis di sebuah restoran di Jalan Icon City, Juru, Pulau Pinang baru-baru ini. Antara gambar pemimpin komunis itu termasuklah pemimpin komunis China, Mao Zedong.
__________________________
Lebih 20 tahun yang lalu, pada 2 Disember 1989 telah berlakunya perjanjian damai di antara kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM). Maka ketika itu juga berakhirnya gerakan bersenjata PKM buat sekian lamanya. Antara mereka yang menandatangani perjanjian itu adalah Chin Peng (Setiausaha Agung PKM), Abdullah C.D. (Pengerusi PKM) dan Rashid Maidin (Anggota Jawatankuasa Pusat PKM).
Bagaimanapun, kisah mengenai gerakan komunis di negara ni tak akan dapat pernah dilupakan dalam sejarah. Nama-nama seperti di atas, termasuk juga Shamsiah Fakeh, Kamarulzaman Teh, Suriani Abdullah, Wahi Anuar dan lain-lain yang akan terus diperdebatkan perjuangan mereka. Mereka ini juga dipanggil sebagai orang yang berhaluan kiri.
Apa itu golongan kiri dan kanan? Secara ringkasnya terdapat dua golongan yang menuntut kemerdekaan:
- Pejuang berhaluan kanan – Pejuangan kemerdekaan yang dipelopori oleh persatuan atau parti yang lebih mesra British dan menolak fahaman komunis dan sosialis. Contohnya UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn Jaafar dan diteruskan oleh Tunku Abdul Rahman.
- Pejuang berhaluan kiri – Pejuang kemerdekaan yang anti-British dan secara amnya merujuk pada kelompok yang bertentangan dengan parti utama Melayu iaitu UMNO. Contohnya Partai/Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Ishak Hj Muhammad (Pak Sako). (rujuk Fail PDF)
Jika dilihat berhaluan kiri, maka hal ini jugalah yang berlaku terhadap ahli-ahli PKM, yang digelarkan sebagai radikal. Salah seorang daripada mereka adalah Rashid Maidin. Seorang Melayu-Islam yang memilih untuk berjuang bersama-sama dengan parti yang berideologikan komunis.
Berkenalan dengan politik ketika bekerja di lombong dan akhirnya masuk PKM
Rashid Maidin dilahirkan di Kampung Gunung Mesah, Gopeng, Perak pada Oktober 1917. Dia bukanlah berasal dari keluarga yang senang, bapanya dah bercerai dengan ibunya sehingga memaksa ibunya berkerja di lombong timah untuk menyara anak-anak. Disebabkan kerana kemiskinan, Rashid hanya dapat bersekolah sampai darjah 5 dan seterusnya dia terpaksa berkerja.
Selepas berlakunya krisis ekonomi pada 1930-an, Rashid mula berkerja di ladang teh, Cameron Highlands milik orang British dengan upah 30 sen sehari. Lepas tu, Rashid berkerja pula di syarikat elektrik sebelum berpindah ke sebuah syarikat lombong bjih timah yang juga milik British. Dekat sinilah kesedaran politiknya terbit, bila dia berkenalan dengan Lai Raifel atau nama sebenarnya Toh Lung Shan dari PKM.
“…Raifel tak jemu menyelitkan bahan-bahan pemikiran untuk saya. Mula-mula saya diterangkan keadaan Malaya yang kaya raya, dengan rakyat Melayu sebagai peribumi. Tapi, sayangnya, kekayaan itu bukan milik rakyat. Kekayaan itu dikaut oleh pemodal Inggeris balik ke negerinya… Raifel benar-benar merupakan guru politik saya. Setelah mendengar penerangannya, fikiran saya terbuka luas.” – Rashid Maidin: Daripada Perjuangan Bersenjata Kepada Perdamaian.
Disebabkan dengan kesedaran politik tu, Rashid jadi semakin anti-penjajah, sampaikan dia tak sebut lagi ‘Sir’, ‘Good Morning’ atau buat tanda hormat lain kepada pegawai-pegawai British. Kesatuan buruh di tempat Rashid pun berkembang dan Rashid sendiri bertanggungjawab menyusun kaum buruh Melayu dan memperbanyakkan lagi cawangan-cawangan kesatuan buruh. Dalam waktu sama, Rashid diterima masuk sebagai ahli PKM. Boleh dikatakan yang Rashid adalah orang Melayu pertama yang masuk PKM, sebab sebelum kedatangan Jepun tak ada rekod orang Melayu yang masuk PKM.
“Kajian-kajian yang ada tidak dapat memberi gambaran terperinci berhubung keanggotaan orang Melayu dalam pertubuhan komunis ini sehingga Rashid Maidin menjadi anggota sejurus sebelum pendudukan Jepun. Hanya selepas 1945 lebih ramai orang Melayu yang diketahui memasuki PKM khususnya dari kalangan anggota Melayu MPAJA dan selepas 1948, dari kalangan bekas anggota API dan PKMM.” – Dipetik dari jurnal tulisan Abu Talib Ahmad.
Tapi keadaan negara semakin bergelora bila Jepun pula berjaya mengalahkan British dan mula menjajah negara ini pada 1941. Dalam satu sisi lain, nampaknya pihak PKM telah berkerjasama dengan British untuk menentang Jepun. Maka tertubuhlah Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA). Tapi Rashid tak masuk MPAJA sebab dia masa tu ditugaskan untuk menjalankan tugas-tugas politik, organisasi dan publisiti di sekitar Perak.
Apabila Jepun menyerah kalah, pihak MPAJA masuk ke pekan-pekan dan meraikan kemenangan menentang Jepun. Masalah juga mula timbul bila berlakunya kekeruhan hubungan kaum antara Melayu dan Cina. Ini kerana, MPAJA telah menunjukkan sikap angkuh mereka.
“Mereka keluar dari hutan dan melakukan penganiayaan di sana sini, dengan alasan untuk menghukum orang yang melakukan kesalahan jenayah kepada penduduk dan yang bersubahat dengan Jepun. Mereka mengadakan perbicaraan sendiri, melakukan kezaliman, membunuh ramai orang Melayu dan Cina dan mengancam seluruh penduduk.
_____
Dianggarkan MPAJA telah membunuh lebih kurang 2,542 orang Cina, Melayu, India dan lain-lain yang dianggap sebagai tali barut Jepun. Kezaliman tersebut memuncak kepada pergaduhan yang besar apabila orang Melayu mengambil tindak balas terhadap orang Cina di kawasan luar bandar.” – Dipetik dari jurnal tulisan Ho Hui Ling.
Malah, salah seorang tokoh kiri, Ishak Hj Muhammad (Pak Sako) juga berhadapan dengan gelagat keangkuhan MPAJA.
“Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) turut berhadapan dengan gelagat gerombolan MPAJA yang angkuh di Temerloh sekitar Ogos-September 1945 apabila 20 orang daripada mereka yang lengkap bersenjata cuba menunjukkan cauvinisme Cina dengan menangkap orang Melayu dan India atas kesalahan yang kecil yang kemudiannya disumbat di balai polis Temerloh.” – Dipetik dari jurnal tulisan Abu Talib Ahmad.
Bagaimanapun, Rashid ada pandangannya sendiri dalam hal ni. Menurutnya, kekeruhan hubungan kaum ini berlaku disebabkan hasutan fasis Jepun dan British. Dengan itu muncullah sengketa antara orang Melayu dan orang Cina. Pada masa tu juga, Rashid dah beberapa kali masuk campur dalam mesyuarat khas Melayu (khusunya golongan buruh) supaya bertenang dan jangan timbulkan permusuhan. Tapi, Rashid tak menafikan masih ada berlakunya pergaduhan kaum di tempat-tempat tertentu.
Pergi ke Persidangan Parti Komunis Komanwel di London dan dipenjarakan
Selepas Perang Dunia Kedua (WW2), UMNO pun ditubuhkan apabila orang Melayu ketika itu menentang penubuhan Malayan Union. Selain UMNO, ada sebuah lagi parti Melayu yang berpengaruh iaitu Partai/Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diasaskan oleh Mokhtaruddin Lasso, Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ishak Hj Muhammad (Pak Sako). Rashid dan seorang lagi pemimpin PKM, Abdullah C.D menyokong kuat perjuangan parti ini.
Jadinya, mereka terbitkan ahkbar Suara Rakyat yang jadi lidah rasmi PKMM. Tapi Rashid tak jadi ahli PKMM secara rasmi.
“Masa itu merdeka hanya lahir dari mulut golongan kiri sahaja. Masih ada lagi golongan United Malay National Organisation (UMNO), mereka bukan saja tidak mahu kemerdekaan, tapi menentang gerakan kami pula. Masa itu UMNO dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar. Mereka berkata kami berjuang, tapi ‘buat jarum sebatang pun tak pandai, nak merdeka konon’.” – Rashid Maidin: Daripada Perjuangan Bersenjata Kepada Perdamaian.
Bagaimanapun, lepas WWII kesedaran menuntut kemerdekaan mula membara khususnya di negara-negara Asia. Ketika itu jugalah, Rashid dipilih jadi wakil PKM ke Persidangan Parti-Parti Komunis Komanwel, 1947 di London. Masa di sana, Rashid dah berjumpa dengan ramai wakil-wakil parti komunis dunia seperti dari Burma, Ceylon (Sri Lanka), India, Kanada, Australia dan negara-negara Timur Tengah.
Lepas kembali ke Tanah Air, Rashid meneruskan perjuangannya bersama-sama dengan PKM dan PKMM. Bagaimanapun, perjuangan ni terbantut bila Undang-undang Darurat diisytiharkan pada Jun 1948. PKM dan PKMM telah diharamkan oleh British. Selain itu, sayap-sayap gerakan kiri lain juga diharamkan seperti Angkatan Wanita Sedar (AWAS) pimpinan Shamsiah Fakeh dan Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam.
Ramai pemimpin pertubuhan-pertubuhan ni ditangkap seperti Dr Burhanuddin, Pak Sako, Ahmad Boestamam, termasuk juga Rashid sendiri. Dia dituduh sebagai komunis, kemudiannya dipenjarakan di pejara Taiping dan selepas itu ke Kem Tahanan Pulau Jerejak. Setelah setahun setengah, Rashid dipindahkan pula ke penjara Tanjung Beruas, Melaka.
“Saya dituduh sebagai komunis. Ramai pak haji, ustaz, guru dan lain-lain semuanya dituduh sebagai komunis. Ketua Intelijen British yang menyoal siasat saya mengatakan saya akan ditahan bertahun-tahun. Saya tanya: ‘Sebab apa dan apa buktinya?’
____
Dia membuka fail catatannya dan memetik ucapan-ucapan saya dalam rapat umum di mana saya pernah berkata: ‘Selagi ada penjajah British di Malaya, kita akan berjuang terus’.” – Rashid Maidin, jawapan dalam wawancara Suluh Rakyat pada tahun 1989.
Melepaskan diri dari tahanan dan berunding dengan Tunku Abdul Rahman
Sepanjang tiga tahun meringkuk di Pusat Tahanan Tanjung Beruas, banyak perkembangan negara yang dah terjadi. Walaupun, dihalang dari berhubung dengan dunia luar, tapi Rashid masih dapat berita dari dengar perbualan pegawai polis dan pegawai penjara. Tak lama lepas tu, Rashid dengar yang British nak 12 orang tahanan untuk buat balai polis di Jasin, Melaka. Disebabkan Rashid agak rapat dengan pegawai-pegawai kat penjara tu, makanya dia pun diterima. Masa inilah dia rancang nak lepaskan diri.
“Pada hari yang telah ditentukan, ketika kami, Sarjan Pak Mi dan anak buahnya (pegawai penjara) seperti biasa sedang makan tengah hari bersama, saya berpura-pura sakit perut dan mengadu kepadanya lalu minta izin pergi ke tandas. Demikian juga halnya dengan Yusof tadi (yang juga nak lepaskan diri)…Saya minta Pak Mi iring kawal kami. Tetapi dia menjawab ‘Tak payahlah’. Saya katakan pula, ‘Nanti salah Pak Mi’. Pak Mi menjawab lagi, ‘Ah, kerbau balau (orang British) tak ada’.
_____
…Kami berpura-pura ke tandas kemudian melencong ke arah kedai kopi Cina dan memutuskan talian telefon di situ. Kami bergegas lari ke dalam kebun getah… Dari situ kami berjalan beberapa langkah dan ternampak satu bendera merah yang sedang berkibar ditiup angin. Kami pun berlari ke arah bendera itu. Ada satu seksyen gerila. Mungkin dari Rejimen ke-4 Tentera Pembebasan Nasional Malaya, kira-kira 12 orang semuanya, sedang menunggu di situ.” – Rashid Maidin: Daripada Perjuangan Bersenjata Kepada Perdamaian.
Dengan itu, berjayalah Rashid melepaskan diri dari tahanan pihak British. Setahun kemudian, barulah Rashid sampai ke Kerdau, Pahang dan bergabung dengan Rejimen ke-10. Selepas itu, mesyuarat PKM memutuskan yang mereka perlu berundur ke utara. Mereka akhirnya sampai ke Selatan Thailand dan buka penempatan di sana.
Pada tahun 1955 pula, Rashid telah dilantik menjadi salah seorang wakil PKM untuk berunding dengan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu di Baling. Selain Rashid, mereka yang lain adalah Chin Peng dan Chen Tien. Di pihak kerajaan pula, ia diketuai oleh Tunku Abdul Rahman dan disertai oleh Tun Tan Cheng Lock (dari MCA) dan David Marshall (Ketua Menteri Singapura).
Dalam rundingan tu Chin Peng dah menuntut supaya PKM diiktiraf sebagai parti politik yang sah. Tapi perkara tu ditolak oleh Tunku Abdul Rahman. Akhirnya, rundingan ini menghasilkan kegagalan.
“Tunku bercakap dan mengemukakan usul supaya kami meletakkan senjata dan menyerahkan diri. Parti Komunis Malaya tetap diharamkan selama-lamanya, sementara ahli parti serta anggota gerila Tentera Pembebasan Nasional Malaya akan diproses, maknanya disoal siasat oleh Cawangan Khas (British) serta pastinya akan ditahan di dalam kem-kem tahanan. Sudah pasti syarat sebegini tidak dapat kami terima.” – Rashid Maidin: Daripada Perjuangan Bersenjata Kepada Perdamaian.
Selepas je kegagalan rundingan tu, PKM telah berjanji untuk berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Perjuangan PKM tetap diteruskan walaupun setelah Tanah Melayu merdeka pada 1957 dan Malaysia ditubuhkan pada 1963. Walaupun darurat diisytiharkan tamat pada 31 Julai 1960, tapi pengaruh PKM masih belum dapat dihapuskan sepenuhnya.
Kesannya berlaku sekali lagi pemberontakan bersenjata di Malaysia, maka berlakulah darurat kedua di Malaysia dari tahun 1968 sampai 1978. Pangkalan Rejimen ke-10 dan PKM sepanjang masa itu adalah di sempadan Thailand.
Termetrainya perjanjian damai dan peletakkan senjata PKM
Walaupun Malaysia telah mengalami kepesatan pembangunan dan pertukaran beberapa orang Perdana Menterinya dari Tunku Abdul Rahman sampai ke Dr Mahathir, tapi perjuangan komunis masih lagi berterusan. Pertempuran masih lagi berlaku di antara pasukan keselamatan dengan pihak komunis. Sampailah, pada tahun 1980-an apabila semua pihak melihat adanya keperluan untuk negara dan rakyat hidup dalam suasana aman.
Makanya, usaha rundingan di antara pihak kerajaan Malaysia dan PKM kembali diusahakan. Bagi Rashid, apa yang dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman dan pengganti-penggantinya (Tun Razak dan Tun Hussein) masih lagi mengikut strategi British dan masih lagi mahukan perang dan bukannya perdamaian dengan pihak PKM.
“Kerajaan Dr Mahathir Mohamad yang berkuasa kemudiannya nampaknya faham bahawa jika meneruskan strategi penjajah itu, pembangunan negara akan terganggu, ekonomi tidak dapat berkembang dan negara tidak mungkin dapat mengisi kemerdekaan dengan sempurna. Di dalam suasana begitu, pintu ke arah penamatan perang dalam negeri dan perdamaian beransur-ansur terbuka.” – Rashid Maidin: Daripada Perjuangan Bersenjata Kepada Perdamaian.
Dalam rundingan kali kedua ni, Rashid sekali lagi dipilih menjadi wakil PKM, selain Chin Peng dan Abdullah C.D. Di pihak Malaysia pula ia diketuai oleh Tan Sri Rahim Noor (Timbalan Ketua Polis Negara).
“Dia (Rahim Noor) ini amat memandang rendah kepada kami, hendak berjabat tangan dengan saya pun enggan sekali, walaupun saya telah menghulurkan tangan kanan kepadanya. Ya Allah, hendak ditarik balik pun rasa tidak sedap, maka bertahan jugalah, barulah dihulurkan tangan dengan jarinya sahaja.” – Rashid Maidin: Daripada Perjuangan Bersenjata Kepada Perdamaian.
Setelah berlaku beberapa pusingan rundingan, akhirnya kedua-dua pihak mencapai kata sepakat. Di mana, PKM bersetuju menamatkan pemberontakan, memusnahkan senjata dan membubarkan pasukan bersenjatanya. Akhirnya pada 2 Disember 1989, terjadilah peristiwa bersejarah Perjanjian Damai Haadyai di antara pihak PKM dan Kerajaan Malaysia.
Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Ho Hui Ling, dia menyenaraikan beberapa faktor mengapa gerakan bersenjata PKM ini gagal, antaranya adalah:
- PKM menggunakan strategi kekerasan dan kegaganasan.
- Melepaskan peluang pada 1945 (lepas Jepun menyerah kalah) untuk membentuk republik komunis, apabila berlakunya kekosongan politik di Tanah Melayu. Tapi PKM nampaknya bertindak membalas dendam dan melakukan keganasan.
- Kelemahan kepimpinan, sebagai contoh: Lai Tek, Setiausaha Agung PKM yang larikan diri dengan tabung parti.
- Struktur organisasi PKM yang sangat kompleks.
- Kegagalan PKM untuk dapatkan sokongan orang Melayu yang juga majoriti penduduk di negara ini. (Boleh baca selanjutnya di fail PDF)
Rashid selepas itu terus menetap di Chulaporn, Wilayah Yala, Selatan Thailand. Pernah juga dia kembali ke Malaysia untuk berjumpa dengan anak-anak dan cucu. Selain itu, Rashid juga pernah di bawa berjumpa dengan Dr Mahathir yang dia sifatkan sebagai Perdana Menteri yang mempunyai sifat anti-imprealisme. Dalam waktu yang sama, Rashid juga terima tawaran dari kerajaan Malaysia untuk menunaikan haji.
“Saya pun terimalah secara rasmi tawaran itu. Semenjak 1941 saya telah berkecimpung dalam pergerakan Parti Komunis Malaya. Namun pegangan agama Islam tidaklah luntur dari jiwa saya. Jadi kini dapat peluang ke Mekah, syukurlah, satu amal ibadat yang tidak termimpikan akan dapat dilakukan ketika bergerila di hutan dahulu.
____
Isteri saya pun seorang mualaf akan berpeluang ikut bersama saya ke Mekah naik haji. Semoga akan mendalam lagi keimanannya kepada Allah.” – Rashid Maidin: Daripada Perjuangan Bersenjata Kepada Perdamaian.
Bagaimanapun,Rashid Maidin dilaporkan meninggal dunia pada 1 September 2006 ketika berusia 88 tahun, sehari selepas Malaysia menyambut hari kebangsaan yang ke-49. Perginya Rashid Maidin, ia meninggalkan kisah perjuangan yang akan terus dibincang dan diperdebatkan.
Tafsiran perjuangan kiri: pejuang atau tidak?
Seperti Shamsiah Fakeh yang meninggalkan banyak persoalan dan perdebatan tentang perjuangannya, perjuangan Rashid Maidin juga menghadapi perkara yang sama. Dalam artikel kami tentang Shamsiah Fakeh, kami ada menemu ramah Sejarawan Negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim. Beliau dalam jawapannya, mengatakan komunis memang tak diterima oleh orang Melayu, selain itu tindakan komunis juga sebenarnya melambatkan perunduran British dan bukan mereka yang berjaya membebaskan Tanah Melayu.
“Ramai orang tak tahu, pada tahun 1943 lagi, British sudah mengumumkan setelah tamatnya Perang Dunia ke-2. Mereka akan kembali sekejap ke Tanah Melayu dan kemudiannya berundur, dengan menamatkan perjanjian dengan Raja-raja Melayu.
____
Tapi bila British balik pada awal September 1945, mereka dapati negara hampir dikuasai Komunis dan mereka sebenarnya ada tanggungjawab dan ada perjanjian dengan Raja-raja Melayu. Mereka kena tewaskan Parti Komunis dan baru boleh keluar dari negara ini. Jadi Parti Komunis melewatkan perunduran British, bukan mereka yang berjaya membebaskan Tanah Melayu.” – Prof Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, jawapannya kepada SOSCILI.
Bagaimanapun, kita masih lagi tak boleh menafikan perjuangan golongan kiri dalam menyemarakkan semangat merdeka dan anti-penjajah di negara ini. Perkara ini pernah diakui sendiri oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr Ismail.
“Bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan” – Tun Dr. Ismail Abdul Rahman
Untuk melabelkan mereka ini sebagai pengganas juga ditolak oleh sebahagian sarjana. Hal ini ada dikatakan oleh Prof Dr Mohamad Salleh Lamry, bekas Pensyarah Antropologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Bagi orang-orang seperti Abdullah CD, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah, mereka menganggap perjuangan senjata yang mereka lancarkan pada asasnya adalah untuk mencapai kemerdekaan, dan kemerdekaan yang tercapai pada 31 Ogos 1957 ialah hasil perjuangan semua pihak, termasuk golongan yang berjuang secara bersenjata seperti mereka.
_____
Mereka penuh yakin, bahawa tanpa adanya perjuangan bersenjata yang mereka lancarkan itu, pihak British tidak akan memberi kemerdekaan pada tarikh tersebut.” – Prof Dr Mohamad Salleh Lamry, dipetik dari Gerakan Melayu Kiri dalam Perjuangan Kemerdekaan.
Begitu juga dengan apa yang diperkatakan oleh Tan Sri Samad Idris (veteran UMNO).
“Pemberontakan yang dilakukan oleh orang Melayu di Jenderam, Selangor dan di Temerloh, Pahang serta lain-lain tempat di mana mereka telah menyekutukan diri dengan pengganas Komunis di dalam hutan janganlah dianggap kerana fahaman Komunis mereka masih tebal. Dari penelitian sejarah amatlah jelas bahawa mereka adalah tokoh-tokoh kebangsaan Melayu yang tulen” – Tan Sri Samad Idris, dipetik dari Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10.
Oleh itu, perjuangan mereka ini akan tetap kekal menjadi kajian sejarah dan pelbagai perdebatan akan tetap berlaku dalam memahami isi sebenar perjuangan mereka.
[Artikel ini banyak merujuk buku – Memoir Rashid Maidin: Daripada Perjuangan Bersenjata Kepada Perdamaian (tulisan Rashid Maidin) & jurnal, Aliran Kiri Dalam Nasionalisme Melayu, 1945-57: Satu Pemerhatian (tulisan Abu Talib Ahmad). Serta buku – Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10 (tulisan Shamsiah Fakeh)]
- 3.4KShare sekarang!
- Email113
- Facebook3.3K
- Share