Wanita ini berjaya menukarkan wajah bekas tentera yang telah musnah hampir kepada asal

Kalau korang pernah tengok filem Wonder Woman yang baru je keluar beberapa bulan lepas, korang mungkin perasan ada satu watak antagonis dalam cerita tu iaitu Dr Poison. Dr Poison merupakan seorang saintis genius dalam bidang kimia dan biologi. Dia berkhidmat untuk tentera Jerman untuk mencipta racun, toksin, dan pelbagai senjata yang berasaskan kimia bagi melemahkan pihak lawan.

Dr Poison, watak protagonis dalam Wonder Woman 2017. Imej daripada comicbookmovie.com

Dalam filem yang berlatar belakangkan zaman Perang Dunia Pertama tu, korang boleh nampak Dr Poison pakai topeng atau plat prostetik yang menutupi hampir separuh daripada muka dia (macam kat gambar atas).

Kalau korang nak tahu, kisah tu diinspirasikan daripada topeng prostetik Anna Coleman Ladd, juga pada zaman Perang Dunia Pertama. Dia reka untuk tentera perang Perancis yang rosak bentuk muka diorang disebabkan bahan letupan dan senjata kimia.

Berasal daripada Amerika, tapi berbakti untuk Perancis

Anna Coleman Ladd, penyelamat jiwa perang. Imej dari theyalsofought.com

Anna Coleman Ladd pada mulanya lahir di Philadelphia, Amerika Syarikat pada tahun 1878. Dia kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Eropah di mana dia belajar seni arca di Paris dan Rom.

Dia kemudiannya berkahwin dengan Maynard Ladd, seorang doktor dan berpindah ke Boston. Anna bekerja di studionya sendiri di Clarendon Street, dan merupakan salah satu pengukir terhebat di tempatnya. Dengan seni ukirannya, dia berjaya menghasilkan arca untuk air pancut, patung potret, tugu peringatan, dan sempat mengarang dua novel, iaitu Hieronymus Rides pada tahun 1912, dan The Candid Adventurer pada tahun 1913.

Antara salah satu penulisan Anna yang masih dijual. Imej dari amazon.com

Semasa berlakunya Perang Dunia Pertama, dia rasa terpanggil untuk berbakti kepada negara yang dia pernah menuntut ilmu dulu. Walaupun dah hidup selesa dengan suaminya di Boston, dia merasakan yang dia perlu berkhidmat untuk negara yang dah banyak mengajar dia ilmu kesenian. Tapi macam mana pulak dia boleh tolong?

Satu hari, dia ada terbaca pasal The Tin Noses Shop, sebuah kedai yang menawarkan pembuatan muka tiruan. Topeng muka tu diperbuat daripada tembaga yang sangat nipis dan senang terbentuk. Dia pun dapat idea daripada situ.

Dia kembali ke Paris semasa berumur 39 tahun. Dengan bantuan American Red Cross, dia berjaya mendirikan sebuah studio, iaitu Studio for Portrait Masks di Paris pada Januari tahun 1918. Studio ni ditubuhkan untuk membantu tentera perang yang hilang bentuk muka asal diorang sebelum dirosakkan oleh peperangan.

Studio for Portrait Masks di Paris. Imej dari tumblr

Gueules cassée, atau ‘muka rosak’ bukti peperangan yang mengerikan

Kalau korang nak tahu, uniform perang yang digunakan tentera Perancis masa Perang Dunia Pertama ni kebanyakannya tutup seluruh badan, kecuali muka. Disebabkan ni lah muka diorang lebih terdedah dengan bahan letupan dan kimia, menyebabkan kecacatan kekal.

Antara salah satu uniform perang tentera Perancis yang menutupi seluruh badan, kecuali muka. Imej dari theatlantic.com

Kecacatan pada muka diorang juga terlampau teruk sebab ada yang bukan saja berparut ngeri, tapi juga dah hilang hidung, mata, patah rahang, dan pelbagai kecacatan lain. Kebanyakan daripada kecacatan tu terlampau teruk sampai tak boleh nak kembalikan muka diorang pada bentuk asal. Pembedahan plastik dah pun wujud pada zaman tu, tapi takde la advance macam sekarang sampai nak tukar apa-apa pun boleh.

Daripada lapan juta tentera Perancis, separuh daripadanya mengalami cedera parah yang membuatkan diorang terlantar selama beberapa bulan di hospital. Tak kurang juga 300,000 orang tentera lagi mengalami kecacatan, dan 15,000 orang tentera lagi dipanggil gueules cassées (muka rosak).

Antara salah seorang tentera perang yang mengalami nasib buruk. Imej dari pinterest

Gueules cassées adalah satu nama khas bagi tentera Perancis yang mengalami kecacatan teruk pada muka, berdasarkan Perang Dunia Pertama. Nama panggilan tersebut dicipta oleh Kolonel Yves Picot bila dia dinafikan hak untuk masuk ke sebuah parti disebabkan muka dia yang dah tak cukup sifat. Kolonel merupakan salah seorang tentera Perancis yang berkhidmat dalam perang tersebut.

Mentang-mentanglah diorang dah takde muka, hak diorang juga dinafikan. Jadi sesiapa yang dalam kalangan gueules cassées ni takkan dianggap sebagai veteran perang. Ini bermakna diorang tak layak untuk terima pencen atau faedah sebagai veteran perang. Dah la berperang untuk negara sampai kurang upaya, lepas tu tak dihargai pulak tu. Lagilah tentera perang ni rasa down.

Anna Coleman Ladd kemudiannya bercadang untuk menolong tentera Perancis dengan kepakaran yang dia ada.

Tapi…masih ramai yang skeptikal dengan idea Anna

Lakaran dibuat sebelum memulakan projek.

Disebabkan pembedahan plastik pada zaman tu pun tak berjaya kembalikan wajah tentera perang kepada yang asal, Anna muncul dengan satu plan. Dia ketengahkan idea untuk cipta topeng prostetik yang diukir ikut bentuk muka dan kemudian diwarnakan dengan warna kulit mangsa peperangan tu.

Tapi, nak mulakan sesuatu bukannya mudah. Kalau kita tengok pencipta-pencipta hebat macam Nikola Tesla, Alexander Graham Bell dan adik-beradik Wright, diorang semua ada masalah yang sama.

Idea asal Anna Coleman pada mulanya dipandang ringan dan orang sangat skeptik dengan apa yang dia cuba lakukan. Kalau doktor tak dapat pulihkan muka diorang dengan pembedahan plastik, macam mana pula seorang pengukir arca boleh mengubahnya? Mungkin macam tu la kot diorang fikir.

Antara topeng muka yang diukir oleh Anna, bergantung kepada kecacatan individu. Imej dari rarehistorical photos.com

Tapi bila Anna dapat siapkan tiga buah topeng muka prostetik yang nampak hampir serupa dengan wajah mangsa, pakar bedah jadi sangat kagum dengan kebolehan dia. Malah bila dia bentangkan projeknya kepada Service de Sante (Perkhidmatan Perubatan Ketenteraan Perancis), diorang nampaknya sangat berminat dan menyokong perkara tersebut. Malah dia juga mendapat sokongan daripada pakar bedah Perancis terkenal, Dr. Paul Desfosses.

“Hasil yang diperolehi sangat mengagumkan: ia adalah ilusi nyata daripada realiti. Saya menasihati rakan-rakan pembedahan yang lain untuk melawat studionya”-Dr. Paul Desfosses.

Atas saranan Dr. Paul Desfosses juga, tentera Perancis yang mengalami kemalangan peperangan yang teruk cuba untuk mengubah nasib diorang. Malah Menteri Perkhidmatan Perancis de Sante juga berterima kasih dengan ideanya,

“Topeng muka ni bukan saja boleh dijadikan penutup sementara bagi tentera yang menunggu masa untuk pembedahan, tapi juga membolehkan mereka keluar tanpa menarik perhatian orang awam atau dijadikan bahan jenaka atau ditakuti.”

Diorang lebih berkeyakinan dengan topeng prostetik yang diukir khas untuk masing-masing, Imej dari rarehistoricalphotos.com

Disebabkan kerja-kerja prostetiknya, dia dia berjaya kurangkan kes bunuh diri

Sebelum Anna memperkenalkan ideanya, ramai tentera perang hilang keyakinan diri dengan kemalangan yang berlaku. Diorang mengelakkan diri daripada berada di tempat awam, malah ada juga yang terlampau malu untuk balik ke rumah berjumpa keluarga dengan wajah yang mengerikan, tak pasti kalau keluarga diorang boleh terima perkara tu.

Disebabkan itu, kebanyakan daripada diorang tak nak tinggalkan hospital. Kesan yang dialami tentera ni bukan setakat fizikal je, tapi juga mental yang akhirnya menyebabkan sesetengah daripada tentera perang ni membunuh diri.

Sebelum dan selepas topeng prostetik Anna. Gambar dari Rare Historical Photos.
Gambar dari Rare Historical Photos.
Gambar dari Rare Historical Photos.
Gambar dari Rare Historical Photos.

Tapi bila topeng prostetik hasil tangannya muncul, dia berjaya kembalikan harapan tentera Perancis untuk meneruskan kehidupan. Setiap topeng yang dilakar dan dibentukkan dalam studionya bukan saja mencantikkan muka mangsa perang, tapi dalam masa yang sama menambahkan keyakinan diri diorang.

‘Wajah baru’ tentera perang ni juga memberikan diorang personaliti yang membuatkan mereka yakin untuk keluar dan berjumpa keluarga, kawan-kawan, mencari kerja, malah ada juga yang berjaya menemui cinta dan berkahwin. Ada di antara diorang yang mengutuskan surat semata-mata untuk mengucapkan terima kasih di atas apa yang dah dilakukan ke atas tentera mangsa peperangan pada zaman tersebut.

Imej dari wordpress.com

Disebabkan sumbangannya terhadap negara Perancis, Anna Coleman Ladd kemudiannya dianugerahkan pingat Cross of the Chevalier of the Legion of Honor oleh kerajaan negara tu sebagai tanda ingatan.

Kalau korang nak tahu, pingat tersebut merupakan penghormatan tertinggi yang diberikan kepada orang awam yang berjasa. Kalau kat Malaysia, lebih kurang macam darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk, macam apa yang Jackie Chan dapat beberapa tahun lepas.

Lebih kurang macam ni la Cross of the Chevalier of the Legion of Honor yang Anna dapat. Imej dari usmilitariaforum.com

Sepanjang kehidupannya di Paris, dia dah buat hampir 100 topeng prostetik. Sebelum dia tinggalkan negara tersebut untuk balik ke kampung halamannya pada Disember 1918, dia juga mempersiapkan penolong studionya dengan memberi tunjuk ajar bagi meneruskan projek tu.

Kerja-kerja ukiran pasca-perangnya bukan saja menunjukkan yang peperangan ni adalah satu simbolik kesedihan. Malah ukiran seninya menjadi bukti yang kemanusiaan, kekuatan dan harapan yang masih wujud walaupun dunia di ambang peperangan.

“Saya mampu berikan semula harapan, cita-cita dan personaliti seseorang”- Anna Coleman Ladd

Anna dan klien dia. http://rarehistoricalphotos.com/anna-coleman-ladd-masks-1918/

Sebagai orang seni, ciptaan topeng prostetik yang dia buat adalah sebagai refleksi bagi semangat seseorang individu tu. Sebelum dia buat satu-satu topeng tu, dia ambil inisiatif untuk berjumpa keluarga mangsa dan betul-betul kaji gambar asal tentera tu sebelum peperangan.

Hasil kerja Anna Coleman Ladd bukanlah semata-mata menonjolkan hasil seni dia je. Tapi, dia nak setiap topeng prostetik hasil tangannya menjadi pendorong semangat baru bagi setiap pemakainya.

Seni yang menutup luka lama

Bentuk muka tentera yang pecah (baris atas), dan muka baru yang diukir untuk topeng (baris bawah), dan topeng akhir (di atas meja) yang ada di studio Anna Coleman Ladd pada tahun 1918. Imej dari npr.org

Walaupun dia merupakan seorang yang terpelajar dan berada, seorang pengukir arca berjaya, penulis buku, isteri dan ibu kepada anak-anaknya, dia sanggup meninggalkan negara dan kehidupannya yang selesa untuk membantu tentera mangsa perang di tempat dia menimba ilmu. Malah dalam salah satu surat yang diterima daripada tentera yang pernah pakai topeng prostetik yang dia reka,

“Tuhan menghidupkan Adam dengan memberikannya nafas, kamu (Anna) memberikan kehidupan kepada mereka yang pernah mengharapkan mati”-ditandatangani H.M.B. 1918.

Kitorang sendiri pun rasa terharu bila baca surat ni. Tak sangka dalam kekejaman perang pun ada juga insan berhati mulia yang boleh menyelami hati tentera yang yang kesedihan.

Walaupun dah 100 tahun berlalu, dia masih lagi hidup terutamanya dalam hasil seni buatannya yang halus. Korang boleh tengok pelbagai hasil seni Anna lagi dekat sini. Banyak lagi arca-arca seni yang dah dihasilkannya selain daripada topeng arca masa era peperangan.

Imej dari marsaabrarf.blogspot.my