TV zaman dulu bersiaran 44 jam seminggu & terkenal dengan konsep “lagu kena gam”?

Siapa sangka televisyen merupakan sebuah media lama yang masih digunakan sehingga sekarang malah ia telah disesuaikan mengikut teknologi terkini (cth: televisyen pintar). Majoriti orang yang menyukainya kerana mahu menonton berita, siaran televisyen strim (cth: Netflix, Iflix, Hulu, dan Viu) dan rancangan siaran langsung.

Jika kita kembali ke masa lalu (zaman mak bapak kita), menonton TV ini ialah perkara yang paling seronok dan ditunggu-tunggu bahkan siapa yang ada TV pada masa itu dia dianggap orang kaya. Hmmm… kiranya lama jugalah penyiaran TV muncul di Malaysia tetapi korang tahu tak terdapat beberapa perkara yang menarik mengenainya.

Kami bagi ‘clue’ sedikit, ia ada kaitan dengan gam (bukan tonyoh dalam plastik dan hidu, bukan ye).

Sambil baca artikel, boleh dengar lagu tv 60-an dari OAG (lagu 60’s TV versi akustik Melayu):

Tunku Abdul Rahman pengasas dalam penyiaran Televisyen Malaysia

Kamera yang digunakan masa zaman dulu untuk rancangan TV. Imej dari Malay Mail.

Bila bercakap tentang TV di Malaysia, yang pertama sekali ada adalah Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang mula-mula dikenali sebagai Radio Malaya pada 1946. Menjelang 1 Julai 1961, Kementerian Penerangan dan Penyiaran telah ditubuhkan oleh Tunku Abdul Rahman. Tunku juga telah melancarkan Perkhidmatan Televisyen Malaysia pada 28 Disember 1963. Pada awal penubuhan Televisyen Malaysia, siaran televisyen hanya bersiaran selama 44 jam seminggu tapi pada hujung minggu, waktunya dipanjangkan.

Apa yang lebih menarik, rancangan secara langsung banyak dilaksanakan dalam mengisi slot-slot siaran Televisyen Malaysia pada masa itu sebanyak 50 peratus, manakala selebihnya diisi dengan filem-filem dari Filem Negara Malaysia dan luar negara. Televisyen Malaysia juga mendapat bantuan dari Suruhanjaya Penyiaran Kanada dari segi teknikal dalam bidang kejuruteraan, latihan, rancangan dan pentadbiran.

Terima kasih kepada Suruhanjaya Penyiaran Kanada. Imej dari Giphy.

Namun, bukan semua dapat menonton televisyen kerana penerimaan siaran hanya ada di ibu negara dan kawasan-kawasan berdekatan. Oleh itu, pembinaan beberapa buah stesen pemancar telah dilaksanakan bagi meningkatkan liputan kawasan siaran iaitu di Gunung Keledang, Perak, Gunung Tampin, Negeri Sembilan dan Gunung Jerai, Kedah serta diikuti dengan pemancar di Gunung Pulai, Johor dan Bukit Maxwell, Perak.

Kemudian, operasi stesen televisyen berpindah ke Bangunan Angkasapuri dan mula dilaksanakan pada 11 Oktober 1969. Selepas enam hari berlalu, radio dan televisyen bergabung (lebih dikenali Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan diletakkan di bawah Jabatan Penyiaran Malaysia. Perkhidmatan Televisyen seterusnya mengorak langkah apabila rangkaian kedua dilancarkan pada 17 November 1969.

Datuk Sudirman terkenal semasa penyiaran TV bewarna diperkenalkan

Kalau ada ahli keluarga korang dalam ni memang legend doh! Imej dari Remaja.

Selepas penyiaran RTM semakin hebat, Malaysia sekali lagi melakarkan sejarah apabila penyiaran televisyen bewarna mula diperkenalkan pada 28 Disember 1978 dan telah dilancarkan oleh Perdana Menteri ketiga iaitu Tun Hussein Onn.

Pelancaran itu dilaksanakan di Auditorium Besar Angkasapuri dan ia dilangsungkan sempena 15 tahun usia Televisyen Malaysia dengan dihadiri para jemputan termasuk Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Ketua-ketua Perwakilan Asing dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Penerangan. (korang boleh tonton pelancaran itu di sini).

Rancangan pertama popular selepas TV bewarna diperkenalkan ialah “Puspawarna” yang disiarkan ke seantero Malaysia. Untuk pengetahuan korang, rancangan ini sebenarnya memfokuskan nyanyian dan muzik  yang dihiasi oleh ramai penyanyi lagenda seperti, Dato’ Sudirman, Dato’ Sharifah Aini, Noor Kumalasari, dan ramai lagi. (korang boleh tonton Puspawarna di sini).

Siaran televisyen bewarna ini telah mendapat sambutan yang hangat oleh masyarakat, maka kualitinya dipertingkatkan dengan menyediakan lebih banyak lagi rancangan siaran langsung walaupun pada masa yang sama, mereka juga membeli rancangan dari luar negara. Antara rancangan yang ditambah pada masa itu ialah:

  • Juara Kugiran.
  • Bintang RTM.
  • Bakat Televisyen.
  • Tekaria.
Lagu2 yang dipertandingkan di Juara Kugiran akan dipadatkan dalam piring hitam. Imej dari popOK-NET.

Hal ini kerana bukan sahaja dapat meningkatkan jumlah tontonan, malah dapat mengasah bakat orang ramai yang menjadikan mereka sebagai artis yang terkenal. Oleh itu, secara automatiknya ia dapat menyumbangkan banyak manfaat kepada industri hiburan ketika itu.

Bagaimanapun, ada satu perkara lagi yang mungkin memberikan ketakutan kepada semua penyanyi dan kumpulan muzik pada masa itu.

RTM memperkenalkan penapisan lagu sehingga terciptanya konsep “kena gam”

RTM ni kiranya macam polis muziklah. Imej dari Reddit Malaysia.

Sebenarnya RTM bukan sahaja menjadi pelopor utama dalam dunia penyiaran TV malah, mereka juga bertanggungjawab dalam menjaga kualiti muzik di Malaysia. Hal ini kerana mereka sangat terkenal dalam menjadi pengawas muzik kerana mereka akan menapis lagu-lagu yang sesuai untuk hiburan orang ramai.

Punyalah tegas mereka dalam menapis lagu-lagu sehingga terciptanya konsep “kena gam”. Maksudnya, kalau korang hantar lagu tapi tak lepas dengan RTM maka, ia boleh disebut lagu “kena gam”. Bukan lagu metal dan ganas sahaja malah, kalau hantar lagu pop pun boleh kena gam.

Jadi, apa sebenarnya piawaian yang diperkenalkan? Haa pertama sekali, lirik lagu mestilah sopan dan tidak boleh mempunyai unsur lucah kerana lagu itu akan didengarkan oleh masyarakat dari pelbagai lapisan generasi. Jadi, cuba korang bayangkan kalau lagu lucah didendangkan di radio atau televisyen?

Bukan itu saja, kalau lagu sumbang pun kena gam, jadi kalau lagu yang menyakitkan telinga tu kiranya tak lepaslah. Ada juga saja sebab-sebab yang tidak ada kaitan dengan lagu pun boleh “kena gam”. Contohnya, korang datang bawak lagu bagi kepada mereka, tapi korang berambut panjang dan memakai pakaian berimej ganas.

Kesian gak dah siap lagu pastu hantar RTM tapi kena gam. Imej dari Meme Creator.

Pada 1989, sebanyak 71 buah lagu dari 20 album yang pernah diharamkan oleh RTM antaranya:

  1. Laser Ray – Pancaran Laser (kerana nyanyian).
  2. Ababil – Mawar Jingga (kerana unsur pemujaan melampau).
  3. Bahagialah Bersama – Manimala (kerana saduran (cover).
  4. Irama Rinduku – Mellisa Saila (kerana gubahan lagu).
  5. Tanjung Puteri – Loving Born (kerana lirik/senikata).

Senarai lagu selebihnya, korang boleh tengok di sini.

Era lagu kena gam dapat bertahan sampai tahun 90-an sahaja kerana stesen radio dan TV swasta muncul, bahkan pada masa itu juga, genre hip-hop semakin menunjukkan taringnya dan elemen bahasa rojak digunakan dalam lirik lagu. Jadi, banyak lagu akan dihantar ke stesen radio swasta berbanding RTM kerana tiada sebarang peraturan ketat diperkenalkan. Antara stesen radio swasta yang terawal di Malaysia ialah:

  1. Best 104 (sekarang dipanggil Best FM).
  2. Time Highway Radio (THR).
  3. Cats FM.
  4. 988 FM.
  5. Hitz FM.
  6. Mix FM.
  7. Light & Easy FM (sekarang dipanggil Lite FM).

Kemunculan stesen TV swasta yang popular sehingga sekarang

Intro TV3 pada tahun 1984, sangat nostalgik! Imej dari Muhammad Zufar.

Tahun 90-an merupakan kebangkitan stesen televisyen swasta di Malaysia lebih-lebih lagi Sistem Televisyen Malaysia Berhad (sekarang Media Prima) yang ditubuhkan pada 1 Jun 1984. Pada mulanya, terdapat siaran TV3 dan agensi berita New Straits Times sahaja.

Punyalah hebat mereka ni sampai ada Institut Media Integratif Malaysia (MIIM) atau nama lebih dikenali sebagai Akademi TV3. Institut ini menawarkan pengajian diploma dan ijazah sarjana muda penyiaran, kewartawanan, produksi multimedia, dan komunikasi visual.

Astro Malaysia Holdings Berhad juga merupakan stesen televisyen swasta yang paling terkenal sehingga menjadi kayu pengukuran status kekayaan seseorang iaitu kalau siapa di rumahnya ada pasang Astro, kiranya dia ialah orang kaya. Astro ditubuhkan pada 29 September 1996 yang menyediakan lebih dari 100 saluran.

Jika korang mahukan saluran-saluran Astro, korang kena langgan nanti mereka datang pasang antena, lepastu mereka akan bagi modem dan alat kawalan jauh.

Sakit hati woi tengah tengok drama kegemaran tau2 hilang signal. Imej dari Syahril Kadir dan BULLy the BEAR.

Sebenarnya banyak lagi stesen televisyen yang muncul antaranya:

  1. Alhijrah Media Corporation.
  2. Unifi TV
  3. Awesome TV

Jelas sekali kita dapat lihat bahawa penyiaran televisyen kita sangat maju sejak dari dahulu lagi, tidak dinafikan televisyen dijadikan sebagai media lama yang “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.