Sejarah & Politik

Komunis bertanya “di mana Tuhan?”, ini jawapan Dr. Burhanuddin Al-Helmy

Baru-baru ni, penulis kami menyertai Majlis 50 Tahun Mengenang Dr. Burhanuddin Al-Helmy di Universiti Malaya.

Jadi, apa yang SOSCILI berminat untuk ceritakan dalam artikel ini adalah mengenai cara kepimpinan Dr Burhanuddin al-Helmy, presiden PAS yang ketiga. Walaupun dia bukanlah orang pertama yang menubuhkan parti tersebut, Dr. Burhanuddin merupakan pemimpin PAS terawal yang menetapkan hala tuju parti sehingga mendapat sokongan yang kuat.

Tapi sebelum cerita pasal Dr. Burhanuddin, kita kena cerita pasal sejarah PAS dulu. Bagi yang tak tahu, PAS sebenarnya berasal daripada UMNO. Dan ini sebabnya kenapa mereka keluar UMNO untuk buat parti sendiri…

PAS ditubuhkan sebab UMNO dilihat gagal dalam memperjuangkan Islam

Logo lama Parti Perikatan yang berlambangkan kapal layar. Gambar dari Malaysia Design Archive.

UMNO ditubuhkan pada tahun 1946 dan MCA pulak pada tahun 1949, dan tak lama lepas tu kedua-dua parti ini bergabung menjadi Parti Perikatan. Dato’ Onn selaku presiden UMNO cuba nak dapatkan sokongan para ulama, jadi dia pun melantik Tuan Haji Ahmad Fuad sebagai ketua Bahagian Agama dan pelajaran UMNO.

Tapi Ahmad Fuad tak berkenan sangat dengan cara UMNO yang dilihat sebagai sekular, contohnya buat cabutan loteri dan meluluskan penjualan alkohol. Dah la waktu tu negara kita tengah kecoh dengan Kes Natrah yang telah membangkitkan rasa marah masyarakat Melayu-Muslim (antara tokoh yang mengetuai protes Natrah waktu itu adalah Dr Burhanuddin sendiri).

Bila Dato’ Onn letak jawatan, dia diganti oleh Tunku Abdul Rahman. Tapi golongan ulama masih tak boleh ngam dengan Tunku yang tak segan-silu dengan hobi dia dalam lumba kuda, minum alkohol dan sebagainya.

Tunku dan Chryslernya. Klik untuk baca macam mana Tunku jaga negara bila baru lepas merdeka.

Pada 24 November 1951, gerakan ulama ini keluar daripada UMNO dengan nama Pan-Malayan Islamic Organisation (kemudiannya dikenali sebagai PAS) dengan presiden pertamanya, Tuan Haji Ahmad Fuad.

Ahmad Fuad kemudiannya oleh diganti Dr. Abbas Elias. Selepas kekalahan teruk PAS dalam pilihan raya tahun 1955, Dr. Abbas pergi menjemput Dr Burhanuddin al-Helmy untuk jadi presiden PAS yang ketiga pada 25 Disember 1956. Siapakah Dr. Burhanuddin ni, dan kenapa dia dijemput mengetuai PAS? Sebleum pergi ke situ, kami nak korang bayangkan kehebatan beliau melalui kisah di bawah ni…

Perdebatan mengenai Tuhan dengan Mokhtaruddin Lasso yang tidak percaya Tuhan

Mokhtaruddin Lasso dengan gaya rambutnya yang tersendiri. Imej dari Arie Widodo

Dalam buku tulisan Ahmad Boestamam bertajuk Putera Setia Melayu Raya ada mencatatkan satu peristiwa penting yang ramai tak tahu. Ketika tu Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah Naib Yang Di-Pertua Agung Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), manakala Yang Di-Petua Agung adalah Mokhtaruddin Lasso seorang komunis.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Pada suatu hari ketika di Pejabat Suara Rakyat, akhbar rasmi PKMM, Mohtaruddin Lasso secara tiba-tiba bertanya kepada Dr. Burhanuddin.

“Apakah benar Tuhan itu ada, Tuan doktor?”

Waktu tu, Ahmad Boestamam yang ada di tempat kejadian pun terkejut. Tapi dengan tenang, Dr. Burhanuddin menjawab ‘benar”.

“Kalau benar Dia berkuasa suruhlah Dia membuat sepasang terompah kayu sekarang dan kalau Dia boleh membuatnya saya akan percaya Tuhan itu ada dan Dia berkuasa, tetapi tidak sebaliknya.”- Mokhtaruddin Lasso

Kepimpinan tertinggi PKMM. Imej dari Pusat Sejarah Rakyat

Dikatakan waktu tu, tiada tanda marah pada wajah Dr. Burhanuddin. Dia menjawab dengan penuh tenang

“Kalau banyak orang, banyak manusia yang menjadi makhluk Tuhan sudah boleh membuat terompah kayu belaka kenapakah harus diperlukan juga tenaga Tuhan bagi perkara yang remeh ini? Tidakkah sama saja seperti menyuruh seorang ayah mengesat hingus atau menghisap puting sedangkan bayi kecil pun sudah tahu membuatnya?”

Kemudian, Mokhtaruddin tidak berpuas hati lagi, lalu bertanya mengenai kenapa ada manusia menyembah selain Allah seperti matahari, bulan dan lain-lain. Sedangkan, Tuhan itu Esa. Jawab beliau,

 “Ada orang yang memanggil kasut itu kasut tetapi ada pula yang memanggilnya sepatu. Tetapi bukankah kasut dan sepatu itu benda yang satu itu juga?

Begitu juga dengan Tuhan, ada yang memanggilnya Allah, ada yang memanggilnya God, ada yang memanggilnya tok pekong, ada yang memanggilnya sami, ada yang bertuhankan bulan, matahari dan entah apa lagi. Panggilannya saja yang berbeza tetapi bendanya tetap yang satu itu juga. Ertinya Tuhan itu memang Esa.”

Ketika tu, Mokhtaruddin terdiam dan hanya mengangguk. Hinggalah Mokhtaruddin mengangkat kedua-dua belah tangannya dan berkata,

“Cukuplah ini saja tuan doktor dan kita kira seri – tak kalah, tak menang.”

Angkat bendera putih sebab nak seri…

*(Cerita penuh boleh baca di sini)

Dr. Burhanuddin, tokoh haluan kiri yang banyak dipengaruhi perjuangan Kaum Muda

Dr. Burhanuddin al-Helmy, gambar daripada Kayacipta.

Menurut biografi Dr. Burhanuddin di Harakahdaily, nama asalnya adalah Amir Burhanuddin bin Ungku Mohamad Noor, anak kepada seorang cikgu tasawuff. Dia mendapat gelaran al-Helmy kerana perwatakan yang tenang dan penyabar. Burhanuddin belajar kat sebuah madrasah di Pulau Pinang yang banyak mendapat pengaruh Kaum Muda. Malah Dr. Burhanuddin juga merupakan anak Melayu pertama yang menjadi doktor homeopati.

Dr. Burhanuddin bukan je reti pelat bahasa Arab yang macam-macam, malah boleh bercakap dan menulis dalam Urdu, Belanda, Inggeris, Perancis dan Jerman. Over achiever dia ni.

“Maka saya di India, saya dapat mempelajari bahasa Inggeris dan Perancis, dan dalam mempelajari ilmu-ilmu kedoktoran homeopati asas Belanda, memudahkan saya mempelajari bahasa Jerman. Kemudian masuklah saya ke dalam perguruan psikologi-metafizik, ilmu al-ruhani juga falsafah dan perbezaan-perbezaan agama besar di dunia ini.” – Dipetik oleh HarakahDaily.

Cara nak baca buku dan terus hafal.

Dr. Burhanuddin memang aktif dalam politik. Dia pernah menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM), serta tolong bina Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Hizbul Muslimin. Orang ramai memang kenal Dr Burhanuddin ni sebagai sebagai tokoh berhaluan kiri dan juga sebagai tokoh Islamis, satu gabungan yang memang jarang nak jumpa waktu tu.

Pemikiran Dr Burhanuddin tak terhad kepada apa yang berlaku dalam negara sahaja. Dia pernah hadir perhimpunan untuk menyokong Mahatma Gandhi serta menentang tindakan British menubuhkan negara Israel. Malah awal-awal lagi dia dah kena penjara sebab mengkritik British dalam majalahnya ‘Taman Bahagia’. Dr. Burhanuddin juga sangat menyokong konsep Indonesia/Melayu Raya yang dibawa Soekarno untuk menyatukan negara Indonesia dan Malaysia.

Ketika dia dilantik sebagai presiden PAS, Dr. Burhanuddin menekankan yang dia akan membawa sebuah parti Islam yang progresif di Tanah Melayu. Dan ini merupakan cabaran paling besar PAS pada waktu itu…

Perjuangan awal PAS menentang UMNO yang dianggap sekular

Timbalan bagi Dr. Burhanuddin adalah Dr. Zulkiflee Muhammad yang memang terkenal di seluruh negara sebagai seorang pemikir Islam. Dr. Zulkiflee memang rajin pergi parlimen, dia penah mencatat sejarah apabila berucap selama 4 jam kat Dewan Rakyat!

Malu la korang dengan Dr. Zulkiflee.

Oleh kerana PAS waktu tu kecik lagi, dua-dua tokoh ini fokus dalam meluaskan sokongan ke seluruh negara terutamanya kawasan majoriti Muslim kat Kelantan, Terengganu, dan Kedah. Usaha ini banyak dibantu oleh Asri Muda yang memang sungguh pandai bercakap bila bagi ceramah.

Tak lama lepas tu negara kita pun merdeka. Waktu tu, nampaknya perikatan UMNO-MCA di bawah pimpinan Tunku je yang dilihat mampu memerintah negara dengan baik, walaupun kita ada ancaman komunis dan keadaan ekonomi yang tak menentu.

PAS terus menyerang dasar UMNO yang sekular, pro-Barat dan juga dipenuhi golongan elit. Dan nampaknya strategi ni berkesan bila prestasi PAS dalam pilihanraya 1959 meningkat. Jadi pemimpin konservatif dalam UMNO mula cari idea macam mana nak mengukuhkan imej Islam mereka yang sendiri, dan kat sinilah mulanya ‘perlumbaan Islam’ antara PAS dan UMNO.

Malangnya, waktu itu ada satu peristiwa yang menjadi faktor besar jatuhnya PAS, walaupun ia di luar kawalan mereka sendiri…

PAS tersepit di celah-celah pergaduhan antara Indonesia dan Malaysia

Klik sini untuk baca kisah Konfrontasi Indonesia.

Malaysia ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1963, tapi presiden Indonesia tak puas hati sebab dia nak gabungkan Indonesia dengan Malaysia. Sebab tu la berlakunya konfrontasi, sampaikan tentera Indonesia pergi menyerang Sarawak dan Semenanjung, tapi berjaya dipatahkan dengan bantuan tentera Barat.

Sebenarnyalah kan, Indonesia sendiri yang banyak rugi daripada Konfrontasi ni. Pada tahun 1965, inflasi Indonesia telah meningkat sebanyak 600%!

Gelak besar Soekarno.

Tapi konflik ni juga bawak kesan buruk kepada PAS, sebab mereka tak nak sokong kerajaan pimpinan Tunku. Malah Dr. Burhanuddin telah mengkritik polisi Tunku terhadap Indonesia, serta mengecam kerajaan persekutuan yang sanggup menerima bantuan kuasa luar.

Tokoh seperti Dr. Burhanuddin, Dr. Zulkiflee dan Asri Muda menganggap diri mereka Pan-Islamis di mana mereka selalu bersimpati dengan orang Islam kat negara-negara lain termasuklah Indonesia. Tapi pada masa yang sama, PAS tak boleh jugak sokong Soekarno yang telah membahayakan nyawa rakyat Malaysia. Pendirian inilah yang akhirnya memakan diri PAS sendiri.

Bukan itu je, UMNO cuba pelbagai cara untuk menamatkan perjuangan Dr. Burhanuddin, termasuklah…

Ditahan dan diseksa di bawah ISA walaupun tanpa bukti kukuh

Dari dulu lagi rakyat kita kena penjara sebab kebebasan bersuara. Belajar daripada British jugak.

Pada tahun 1964, Dr. Zulkiflee dan isterinya terbunuh dalam sebuah kemalangan. Ini merupakan kehilangan besar buat PAS. Tahun berikutnya, Dr. Burhanuddin ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan tuduhan yang dia nak buat kerajaan lain kat Karachi, walaupun dakwaan ini takde bukti kukuh. Dr. Burhanuddin dibebaskan dua tahun kemudian tapi tak dibenarkan untuk bergiat dalam bidang politik.

Pilihanraya tahun 1969 berlaku ketika ketegangan semakin meningkat. Pemimpin PAS tak habis-habis menyerang imej Tunku yang dianggap sebagai elit, aristokrat, sekular dan pro-Barat. UMNO bertindak balas dengan mengadakan Konferens Islam Antarabangsa yang didatangani oleh 23 negara untuk menunjukkan yang gomen berjaya dalam mempertahankan imej Islam kat seluruh dunia.

Tapi macam mana pun, Parti Perikatan mengalami kemerosotan dalam pilihanraya 1969. Dr. Mahathir tewas kepada Ustaz Yusof Rawa  di Kedah, malah Tunku sendiri hampir kalah kepada Aziz Abdullah. MCA turut kalah kepada DAP dan Gerakan.

Syed Husin Alatas daripada Gerakan (masih lagi pembangkang) adalah antara yang menang pada tahun 1969.

Ini kali pertama Parti Perikatan kalah teruk. Beberapa hari selepas pilihanraya, rusuhan 13 Mei pun berlaku di kawasan-kawasan bandar Semenanjung sampaikan kita terpaksa isytihar darurat. Waktu ni, kesihatan Dr. Burhanuddin semakin merosot disebabkan layanan dan seksaan fizikal yang dia tempuhi di bawah tahanan ISA dulu. Dia kemudiannya pulang ke rahmatullah pada 25 Oktober 1969 ketika berusia 58 tahun.

Dr. Burhanuddin sememangnya seorang pemimpin yang hebat pada zamannya. Berbeza dengan UMNO yang melihat masalah Melayu berpunca daripada persaingan kaum, Dr. Burhanuddin menganggap ianya berpunca daripada perbezaan kelas (taraf hidup) dan sistem yang ditinggalkan oleh bekas penjajah.

Tambah Ahmad Boestaman lagi, Dr. Burhanuddin merupakan satu-satunya pemimpin Islamis yang tak menggunakan bahasa orang yang “fanatik agama”.

Selepas pemergian Dr. Burhanuddin, macam mana pulak dengan penggantinya?

Zaman Asri Muda, presiden PAS ‘paling bermasalah’

Asri Muda menyambut ketibaan Tun Razak. Klik sini untuk baca macam mana PAS masuk UMNO balik, tapi tak lama lepas tu kena pecat.

Jawatan presiden PAS diambil alih oleh Mohammad Asri Muda dengan cara kepimpinan yang sangat berbeza. Kalau Dr. Burhanuddin dulu sangat arif dengan hal-hal negara luar macam kat Mesir, Palestin, Iran dan Cuba; Asri Muda pulak terhad kepada apa yang berlaku dalam dunia Melayu. Asri juga sangat tak suka dengan komuniti bukan Melayu terutamanya Cina.

Walaupun Asri Muda banyak menyumbang dalam mengembangkan sokongan PAS (terutamanya Kelantan), dia terlibat dalam pelbagai skandal. Asri terpaksa mengaku kat parlimen yang Kelantan berhutang sehingga RM10 juta untuk membiayai Kelantan. Asri pun terpaksa minta RM1.5 juta lagi daripada kerajaan persekutuan untuk bayar gaji pekerja negeri.

Pada 1 Januari 1973, Asri membuat kejutan apabila mengumumkan yang PAS akan bersatu dengan UMNO. Malah menurut Asri Muda, nama Barisan Nasional itu adalah cadangannya sendiri. Ada yang menyokong, ada juga yang menentang.

“Telah sekian lama kita marah kepada Perikatan kerana merugikan perjuangan Islam dan bangsa Melayu, sekarang hendak berunding pula.” – Wakil Kuala Langat, dipetik daripada PAS Dalam Era Mohd Asri Muda, 1965-1982, p251.

Kata Asri, peristiwa 13 Mei adalah sebab kenapa Melayu kena bersatu. Sokongan terhadap Asri mula berkurangan, lebih-lebih lagi bila anak saudaranya yang juga Menteri Besar Kelantan dituduh terlibat dalam skandal yang berkaitan dengan tanah dan kayu balak. Sampaikan penyertaan ahli keluarga Asri dalam parti menyebabkan PAS diejek dengan gelaran ‘Parti Asri Sekeluarga’.

Balak juga yang kena…

Malah cubaan Asri untuk menyingkirkan menteri besar Kelantan yang baru, Mohamad Nasir digagalkan oleh rakannya sendiri iaitu UMNO. Kerajaan BN sekali lagi masuk campur dalam politik negeri dengan mengisytiharkan darurat di Kelantan. PAS kemudiannya dipecat oleh BN manakala Asri disingkirkan oleh ahli partinya sendiri.

Setelah dipecat, golongan ulama yang dipimpin oleh Ustaz Yusof Rawa dan Nik Aziz mula mengambil alih dalam membina semula parti tersebut. Mungkin kerana peristiwa antara PAS dan UMNO inilah yang membawa kepada amaran keras daripada Tuan Guru Nik Aziz tentang sebarang kerjasama:

“Tuk Guru kata siapa-siapa yang mahu ajak Pas nak bersama dengan UMNO dia akan ludah. Tiada sesiapa berani ajak Tuk Guru kalau nak jugak kerjasama dengan UMNO tunggu Nik Aziz mati.” – Wan Abdul Rahim, dipetik oleh Astro Awani.

Tamatnya perjuangan tokoh Islam yang sederhana dan sangat progresif

Gambar daripada Harakah Daily.

Apabila Asri Muda menjadi presiden PAS, dia hampir mengubah semua yang telah dibina oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy. Ada tokoh PAS mengatakan yang kepimpinan Asri Muda telah mengkhianati falsafah yang dibina oleh tokoh-tokoh seperti Dr. Burhanuddin dan Dr. Zulkiflee. Malah bila PAS join Barisan Nasional, ada ahli-ahli yang dilihat semakin selesa dengan ‘kelebihan’ yang dinikmati:

“Setelah mereka berpindah ke ibu negara dan jadi orang berada, ketaatan dan iman mereka mula lemah. Mereka tidak lagi melawat kampung-kampung sekerap dulu; pakaian mereka menjadi moden dan ini tidak dapat diterima orang kampung” – Bachtiar Djamily dalam bukunya Kenapa PAS boleh jadi PAS

Sayang seribu kali sayang, kerana Dr. Burhanuddin al-Helmy sememangnya seorang tokoh yang mendahului zamannya, setaraf dengan Soekarno di Indonesia dan Gammel Abdel Nasser di Mesir. Malah peribadi Dr. Burhanuddin sukar sekali dijumpai sehinggalah sekarang:

Beliau dikenali sebagai tokoh reformis, tetapi sangat disenangi oleh ulama kaum tua. Beliau terkenal sebagai ahli tasawuf, tetapi begitu rapat dengan ulama kaum muda. Beliau menyusun strategi dakwah dengan mendekati golongan sosialis-komunis, memulakan kerjasama dengan parti-parti bukan Melayu tanpa rasa chauvinis, mendukung perjuangan nasionalis, tetapi kekal sebagai tokoh yang Islamis. Pengikut dan pengkagumnya bukan sekadar orang-orang politik, tetapi juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Inilah model pendakwah yang mesti dicontohi oleh Pemuda PAS pada masa akan datang.” – Seminar Pemikiran Dr Burhanuddin al-Helmy, dipetik oleh HarakahDaily.

Dengan keadaan politik yang semakin tak menentu sekarang bila lawan jadi kawan (lepas tu jadi kawan balik), dan ahli politik pulak sentiasa bertukar pendirian, perlulah kita tanya diri sendiri, pemimpin macam mana yang kita nak sokong?

(Nota: Selain daripada sumber yang kami dah link, artikel ini banyak merujuk buku The Malaysian Islamic Party PAS 1951-2013 tulisan Dr. Farish A. Noor.)

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend