Tengku Mahmud: Harimau Malaya yang terselamat dari serangan ‘Kamikaze’

Bila bercakap soal kemerdekaan, kita mesti akan mengenangkan pejuang-pejuang kemerdekaan seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail, Dr Burhanuddin al-Helmy, Ishak Hj Muhammad dan ramai lagi. Tapi, tak dapat dinafikan juga ada tokoh-tokoh sejarah yang dipandang sepi dan kurang diketahui umum.

Oleh itu, kali ni SOSCILI nak mengingatkan kita semua tentang kisah seorang tokoh Melayu iaitu Tengku Mahmud Mahyideen, seorang tokoh Melayu Patani dan Kelantan yang namanya mungkin kurang dikenali oleh generasi kini.

Anak Raja Patani yang membangunkan sistem pendidikan di Kelantan

Tengku Mahmud Mahyideen. Imej dari Perdana Library.

Seperti yang dikatakan di awal tadi, nama tokoh yang kita nak bincangkan ni bukannya sebarangan orang – sebab beliau adalah anak kedua kepada Raja Patani terakhir, Sultan Adul Kadir Kamaruddin. Dilahirkan pada tahun 1905, Tengku Mahmood mendapat pendidikan awal di Sekolah Majlis Agama Islam di Kota Bharu, sebelum melanjutkan pelajaran ke Royal Assumption College, Bangkok dan Penang Free School, Pulau Pinang.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Inspekter Sekolah Melayu Kelantan, iaitu jawatan tertinggi dalam perkhidmatan pelajaran negeri. Masa tu, beliau dah bertanggungjawab mengembangkan sistem pendidikan di Kelantan dengan penubuhan lebih banyak sekolah Melayu dan Inggeris. Hal itu termasuklah berjaya menubuhkan Sekolah Perempuan pertama di Kelantan pada 1936.

Dalam masa sama, beliau juga meningkatkan mutu guru di Kelantan dengan memperkenalkan kelas-kelas latihan kepada bakal guru dan guru sedia ada. Malah, beberapa mata pelajaran baru turut diperkenalkan seperti ilmu hisab, ilmu tanaman, ilmu sejarah dan ilmu kesihatan.

“…Mahmud Mahyideen juga merupakan Pesuruhjaya Pengakap bagi negeri Kelantan… Pada tahun 1934 Mahmud Mahyideen telah mengetuai rombongan pengakap bagi negeri Kelantan ke Jambori Pengakap di Melbourne, Australia.” – Dipetik dari jurnal terbitan Persatuan Sejarah Malaysia.

Menentang penjajahan Jepun dan terselamat dalam serangan ‘Kamikaze’

Serangan bunuh diri Kamikaze terhadap U.S. Aircraft Carrier USS Essex pada 25 November 1944. Imej dari wearethemighty.com

Bagaimanapun, keadaan mula berubah sama sekali bila pihak Jepun menyerang Kelantan secara mengejut pada 7 Disember 1941. Sebagai sarjan dalam pasukan Sukarela Kelantan (Kelantan Volunteer Forces), Tengku Mahmud dah menjalankan tugasnya menentang kemaraan Jepun di Kelantan, tetapi gagal sehingga membuatkannya dan pihak British berundur ke Singapura.

Untuk ke Singapura, mereka menumpang Kapal S.S Kuala – tapi malang tak berbau bila kapal tu diserang Kamikaze di persisiran pantai Sumatera. Tengku Mahmud nampaknya bernasib baik bila terselamat dan malah berjaya menyelamatkan anak-anak Kapal S.S Kuala. Dari Sumatera, beliau seterusnya bertolak ke India bersama pihak British.

Di sana, Tengku Mahmud dah ditugaskan di Bahagian Propaganda dan Pengambilan serta berkhidmat sebagai pengelola Bahagian Melayu di All India Radio. Di situ, beliau menerbitkan siaran Melayu yang diberi nama ‘Suara Harimau Malaya’ yang terpancar ke Tanah Melayu dan sekitarnya. Beliau menggunakan platform ni untuk membangkit rasa semangat orang Melayu menentang Jepun.

Sebab tu la Jepun tak kasi atok nenek kita dulu dengar radio. Imej dari Sarjan Hassan (1958).

Kemudian, Tengku Mahmud bertolak pula ke Timur Tengah terutamanya Mesir dan Hejaz (Arab Saudi sekarang). Di sana, beliau ditugaskan untuk memperbetulkan pemikiran orang Melayu yang dah dipengaruhi dakyah Pihak Paksi (Axis).

“Di samping itu beliau juga ditugaskan untuk merekrut pemuda-pemuda Melayu Semenanjung dan Patani untuk dilatih sebagai agen·agen rahsia. Agen-agen rahsia itu akan dihantar ke Semenanjung Tanah Melayu atau Selatan Thai untuk menjalankan operasi bawah tanah menentang Jepun.” – Dipetik dari jurnal terbitan Persatuan Sejarah Malaysia.

Menjelang tahun 1943, Tengku Mahmud dah diberikan tanggungjawab mengetuai Bahagian Melayu pasukan Force 136 dan diberikan pangkat Major. Makanya, beliau sekali lagi pergi ke Timur Tengah untuk merekrut pemuda pemuda Melayu dalam pasukan tu. Tapi, mereka sebelum tu dihantar dulu ke India bagi mendapat latihan perang Guerilla.

Mencadangkan masa depan Tanah Melayu dan perjuangan Patani

Tentera British kembali ke Tanah Melayu selepas Jepun berundur. Imej dari National Army Museum.

Sebenarnya pada tahun 1943, Tengku Mahmud dah menulis satu memorandum kepada bekas Pegawai Tadbir British, Sir Richard Winstedt tentang cadangan pembentukan pentadbiran di Tanah Melayu selepas perang. Cadangan tu adalah salah satu cadangan paling awal diterima British tentang masa depan Tanah Melayu. Melalui memorandum tu, Tengku Mahmud mencadangkan supaya negeri-negeri Melayu disatukan dan institusi raja dihapuskan.

Beliau juga mencadangkan supaya buruh-buruh Cina dan India dihalang masuk ke Tanah Melayu, tapi sebaliknya membawa masuk buruh dari Tanah Jawa. Baginya, masyarakat Jawa lebih mudah diasimilasikan dengan budaya Melayu berbanding kaum buruh lain.

Tambahnya, anak-anak Melayu juga sepatutnya diberikan peluang yang sangat luas dalam melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi. Namun, cadangannya ni dipandang sepi oleh British dan kemudiannya dibiarkan begitu saja.

Selepas Perang Dunia Kedua (WWII), beliau kembali memperjuangkan kemerdekaan Patani dari Siam apabila menubuhkan Gabungan Melayu Patani Raya (GEMPAR) dengan cuba mendapatkan simpati British, raja-raja Melayu dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Namun, semua usahanya menemui kegagalan – apabila berlakunya pemberontakan Komunis sehingga membuatkan perhatian British beralih ke isu lain.

Sehingga kini Selatan Thailand masih lagi berdepan konflik. Imej dari The World.

GEMPAR pun tak lama lepas tu diharamkan, sebab British nak kekalkan hubungan diplomatik dengan Siam. British sebaliknya mencadangkan kepada Tengku Mahmud supaya seru orang-orang Melayu yang tak puas hati dengan Siam berpindah ke Tanah Melayu.

“Di sebaliknya Mahmud Manyideen berpandangan bahawa orang-orang Melayu Patani tidak lagi seperti datuk nenek mereka, dan mereka tentu sekali tidak akan berpindah ke Tanah Mdayu.” – Dipetik dari jurnal terbitan Persatuan Sejarah Malaysia.

Maka, begitulah perjuangan Tengku Mahmud yang tak berkesampaian dalam cadangan masa depan Tanah Melayu dan perjuangan Patani.

Tengku Mahmud bertindak menggugurkan gelaran ‘Tengku’ pada namanya

Sebuah makalah tentang kehidupan Tengku Mahmud tulisan Nik Anuar Nik Mahmud. Klik imej atau sini (PDF) kalau nak baca.

Bagaimanapun, Tengku Mahmud tetap mendapat perhatian pihak British apabila beliau dilantik sebagai anggota Majlis Mesyuarat Pusat pada Ogos 1949. Dua tahun kemudian, beliau dilantik pula sebagai anggota Dewan Mesyuarat Negeri Kelantan.

Selain itu, beliau turut dilantik dalam pelbagai lagi jawatan seperti:

  1. Anggota Penasihat Pusat Hal Ehwal Pelajaran
  2. Anggota Badan Keretapi Tanah Melayu
  3. Anggota Majlis Kerja Persatuan Sejarah Tanah Melayu

Tapi, ada satu perkara yang kita kena tahu tentang Tengku Mahmud – sebabnya dalam catatan-catatan dokumen atau sejarah, nama beliau selalunya disebut sebagai Mahmud Mahyideen saja. Hal ni kerana, beliau sebenarnya dah pun menggugurkan gelaran ‘Tengku’ pada namanya.

Menurut sejarawan, Prof Dr Nik Anuar Nik Mahmud, kurang jelas kenapa beliau bertindak demikian dan ia  dikatakan atas sebab peribadi. Manakala menurut sumber dari buku: Bangsa Melayu – ia dikatakan atas faktor pemodenan.

Apa yang pasti, Tengku Mahmud tetap memainkan peranan besar dalam perjuangan Tanah Air, khususnya ketika Perang Dunia Kedua (WWII) dan perjuangan Melayu Patani. Akan tetapi, tokoh ini tidak sempat melihat Tanah Melayu merdeka apabila pergi mengadap ilahi pada 12 Februari 1954 pada usia 49 tahun.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.