Kenapa reka bentuk bendera Malaysia dan Amerika Syarikat hampir sama?

Isu sensitiviti seringkali berlaku dalam kalangan masyarakat kita, tidak kiralah apa-apa aspek sekali pun tetap menjadi isu. Pelbagai aspek sensitiviti seringkali disebut dalam perbualan masyarakat kita lebih-lebih lagi isu penyesuaian budaya iaitu mengadaptasikan budaya orang lain dari segi pemakaian atau penampilan yang boleh dianggap sebagai perampasan budaya.

Bukan itu sahaja, kalau korang lihat dari aspek sejarah pembentukan bendera Malaysia juga turut menimbulkan isu penyesuaian dan sensitiviti. Mesti korang terfikir bahawa pereka bendera Malaysia, Mohamed bin Hamzah, menggunakan unsur penyesuaian dan peniruan dalam mencipta bendera Malaysia iaitu menggunakan jalur merah putih yang juga ada pada bendera Amerika Syarikat.

Jadi, kami disini ingin membongkarkan tentang adakah bendera reka bentuk Malaysia mempunyai unsur penyesuaian dan peniruan?

Reka bentuk bendera Malaysia yang direka berdasarkan lambang Kerajaan Majapahit

Mohamed bin Hamzah merupakan pereka bendera Malaysia yang tidak boleh dilupakan. Imej dari Melakakini.

Majlis Raja-Raja Persekutuan Tanah Melayu telah menubuhkan satu jawatankuasa pada 1949 untuk membuat pengiktirafan berkenaan dengan bendera rasmi untuk Persekutuan Tanah Melayu. Selepas itu, satu pertandingan merekacipta bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada Mei 1948.

Seramai 373 peserta telah mengambil bahagian dalam pertandingan merekacipta itu dan semua reka bentuk bendera mereka dinilai melalui proses pertimbangan dan pemilihan. Pada 15 November 1949, terdapat hanya tiga reka bentuk bendera sahaja yang telah memasuki proses penilian terakhir.

Dalam 3 rekabentuk bendera itu, satu bendera telah dipilih berdasarkan undian majoriti dan persetujuan Majlis Raja-raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Satu reka bentuk itu merupakan hasil karya seni dari Mohamed bin Hamzah yang merupakan seorang Arkitek di Jabatan Kerja Raya Johor.

Reka bentuk ketiga merupakan hasil seni Mohamed Hamzah. Imej dari Shinichipedia.

Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah memperkenankan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara iaitu:

“Sebelas jalur mendatar bergantian berwarna merah dan putih, jalur paling atas berwarna merah, mempunyai suku biru dengan bintang sabit dan sebelas titik berwarna kuning yang bertumpu, ukuran bendera standard menjadi enam kaki dengan tiga kaki. “- dipetik dari Malaysiancoin.

Reka bentuk bendera itu telah diubah dengan menukar warna jalur kepada merah dan putih, bulan dan bintang kepada warna kuning untuk melambangkan warna kerabat diraja bagi raja-raja Melayu. Bucu bintang dan jalur juga ditambah kepada 11 untuk mengambil kira jumlah negeri yang ada dalam Persekutuan Tanah Melayu dan ia telah mendapat pengiktirafan dari King George VI pada 19 Mei 1950.

Pada September 1963, bucu bintang dan jalur di bendera Malaysia diubah menjadi bilangan 14 kerana Sabah dan Sarawak telah bersetuju untuk maju bersama dengan Malaysia.  Walaupun pada 9 Ogos 1965 Singapura telah berpisah dari Malaysia, reka bentuk masih dikekalkan kerana satu bintang dan jalur itu diganti dengan Wilayah Persekutuan yang terdiri dari tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan.

Ini merupakan bendera dari Kerajaan Majapahit. Imej dari Wikipedia.

Kalau korang nak tahu, sebenarnya hasil reka bentuk bendera oleh Mohamed Hamzah ini sebenarnya mempunyai asal-usul disebaliknya. Jalur merah dan putih yang korang tengok pada bendera Malaysia itu sebenarnya diambil dari lambang dan bendera kerajaan Majapahit. Tambahan pula, ramai pelaut dari Kepulauan Nusantara menggunakan lambang itu kerana menganggap kerajaan Majapahit sebagai kerajaan maritim yang hebat.

Dari segi reka bentuk bintang dan bulan pula, idea reka bentuk itu diambil dari bendera Negeri Johor yang dicipta oleh Sultan Abu Bakar pada 1871. Sebenarnya reka bentuk bintang dan bulan ini melambangkan hubungan yang rapat antara Turki Uthmaniyyah dengan Negeri Johor. Tambahan pula, Sultan Abu Bakar merupakan pemerintah pertama dari Kepulauan Nusantara yang berjumpa dengan Khalifah Abdul Hamid II.

Hasil karya seni bendera Amerika Syarikat dilhamkan dari bendera SHTI

Ini merupakan situasi “Boston Tea Party” berlaku. Imej dari Britannica.

Segalanya bermula dari sebuah syarikat British iaitu Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) yang merupakan pembekal barang-barang untuk Amerika Syarikat dan bendera SHTI menjadi popular dalam kalangan penduduknya dan pada waktu itu Amerika Syarikat merupakan jajahan British.

Pada zaman itu, terdapat satu tragedi yang berlaku terhadap SHTI di mana 342 peti teh milik SHTI dilemparkan dari kapal ke Pelabuhan Boston oleh pejuang kemerdekaan Amerika (Sons of Liberty) yang menyamar sebagai orang India Mohawk dan tragedi ini dinamakan sebagai “Boston Tea Party“. Pejuang kemerdekaan Amerika ini melakukan perkara sebagai protes terhadap cukai yang diperkenalkan dan monopoli yang dilakukan oleh SHTI.

Pejuang kemerdekaan Amerika ini telah menggunakan bendera SHTI ini sebagai panji mereka dan membuang bendera Great Britain sebagai tanda yang mereka tidak diiktiraf oleh Britain lagi. Pada asalnya bendera itu mempunyai sembilan jalur sahaja kemudian bertambah menjadi 13 jalur.

Menurut Sir Charles Fawcett, Ahli Sejarah dari Britain, menyatakan dua hujah mengenai bendera U.S yang mempunyai persamaan dengan bendera SHTI iaitu:

  1. Beliau berpendapat bahawa orang Amerika sudah biasa dengan reka bentuk bendera SHTI.
  2. Beliau mengusulkan bahawa mereka merasakan adanya kepentingan bersama dengan SHTI, yang mungkin mendorong mereka untuk menggunakan reka bentuk yang serupa untuk panji baru mereka.

Selepas Amerika Syarikat mendapat kemerdekaan, mereka menggunakan bendera pejuang kemerdekaan Amerika dan meletakkan petak biru serta 13 bintang yang merujuk kepada 13 negeri yang ada di Amerika Syarikat.

Kalau korang nak tahu, legenda menyatakan bahawa bendera Amerika Syarikat tercipta apabila George Washington (Presiden pertama Amerika Syarikat), Robert Morriss (bekas Senator Amerika Syarikat) dan George Ross (bekas Perwakilan ke Kongres Kontinental) telah datang ke rumah Betsy Ross yang merupakan pereka bendera Philadelphia, untuk membincangkan tentang reka bentuk bendera Amerika Syarikat.

Reka bentuk asalnya mempunyai bintang enam sisi yang mewakili tiga belas tanah jajahan di petak biru dengan jalur merah dan putih tetapi Betsy Ross mencadangkan bintang lima sisi sahaja. Pada 14 Jun 1777, Kongres Kontinental Kedua telah meluluskan akta bendera pertama. Akta ini secara rasmi menerima pakai “bintang dan jalur” sebagai bendera negara.

“Bendera Amerika Syarikat menjadi 13 jalur alternatif merah dan putih, bahawa Kesatuan menjadi 13 bintang putih dalam bidang biru mewakili buruj baru.”- Pihak Kongres Kontinental Kedua, dipetik dari Battlefields.

Ini merupakan lakaran mengenai situasi bagaimana Betsy Ross menjahit bendera Amerika Syarikat. Imej dari Britannica.

Pada tahun 1794, Akta Bendera Kedua telah ditandatangan. Dalam akta ini, dua bintang dan dua jalur lagi telah ditambah pada bendera, yang melambangkan penambahan negeri Vermont dan Kentucky. Bendera ini masih digunakan walaupun terdapat lima lagi negeri telah ditambah.

Pada tahun 1818, Akta Bendera Ketiga telah ditandatangani untuk menambah satu lagi bintang pada bendera selepas kemasukan setiap negeri. Di samping itu, akta ini telah mengurangkan bilangan jalur dari lima belas hingga tiga belas.

Selepas itu, bintang-bintang ini  semakin lama semakin bertambah apabila terdapat negeri baru muncul di Amerika Syarikat. Pada Julai 1960, bendera Amerika Syarikat mempunyai 50 bintang dan ia secara rasminya digunakan sehingga sekarang.

Tiada unsur penyesuaian dalam reka bentuk bendera Malaysia

Sedih betul orang yang pasang bendera terbalik ni. Imej dari memegenerator.

Apa yang korang dapat lihat, terdapat perbezaan antara sejarah pembentukan bendera Malaysia dan bendera Amerika Syarikat. Ini menunjukkan bahawa Mohamed bin Hamzah tidak menggunakan unsur penyesuaian dalam mencipta bendera Malaysia.

Kalau mahu menyatakan bahawa ada perbuatan meniru, banyak lagi bendera yang mempunyai reka bentuk yang sama. Contohnya, bendera Indonesia dan bendera Singapura mempunyai reka bentuk yang hampir sama. Korang sendiri boleh secara terang lagi bersuluh, Malaysia dan Amerika Syarikat mempunyai sejarah masing-masing.

Oleh itu, apa yang boleh dikatakan ialah hargailah bendera Malaysia kita kerana ia merupakan identiti untuk negara kita. Korang sendiri boleh lihat banyak isu yang melibatkan bendera terbalik antaranya isu sebuah lori yang dipasangkan bendera secara terbalik dan isu sebuah sekolah di Kluang, Johor yang juga memasang bendera terbalik.

Pemasangan bendera terbalik secara sengaja atau sekadar mempersenda dianggap sebagai perbuatan yang mengkhianati negara. Pihak berkuasa juga perlu memantau mana-mana individu atau kumpulan yang cuba untuk memasang bendera secara terbalik samada di premis atau rumah.

“Umum sedia maklum bahawa bendera adalah satu lambang kebesaran dan kedaulatan negara. Oleh itu janganlah kita ambil mudah terhadap pemasangan bendera terutamanya ketika bulan sambutan kemerdekaan negara.” – Rizam Ismail, Pemuda UMNO Selangor, dipetik dari Astro Awani.

Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia haruslah membendung gejala pemasangan bendera terbalik ini kerana ia boleh mencalarkan imej negara kita. Jadi, kibarkan jalur gemilang dan sambutlah hari kemerdekaan dengan penuh semangat patriotik.