Kemanusiaan

Sukar digambarkan! 100 tahun dulu bayi kulit hitam pernah dijadikan umpan alligator

Seperti yang kita semua dengar, dah terjadinya demonstrasi besar-besaran di Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa hari lalu, berikutan bantahan terhadap tindakan seorang anggota polis yang didakwa menyebabkan kematian seorang lelaki kulit hitam, George Floyd yang tak bersenjata. Kemarahan masyarakat semakin memuncak, apabila video memaparkan polis berkenaan menindih tengkuk Floyd dengan lutut selama lima minit sehingga mangsa tak sedarkan diri dan meninggal dunia.

Susulan demonstrasi besar-besaran itu, tiga kawasan di AS – Los Angeles, Philadelphia dan Atlanta telah diisytiharkan darurat bagi mengekang rusuhan yang semakin merebak. Sebenarnya, apa yang terjadi kepada Floyd ini bukanlah perkara baru dan banyak lagi kes penganiayaan terhadap minoriti kulit hitam dah dilaporkan sebelum ni.

SOSCILI juga pernah tulis satu kisah tentang Mumia Abu Jamal yang dijatuhi hukuman mati (tapi ditukar ke hukuman penjara seumur hidup) secara tak adil di sana. Malah, kita juga boleh baca tentang Zoo Manusia yang pernah ada suatu masa dulu dengan mempamerkan orang Afrika di dalam sangkar.

Mumia ada menulis buku tentang pengalamannya di penjara “Live from Death Row”. Nak baca kisahnya boleh klik sini. Imej dari Weltnetz.tv

Kalau korang rasa perkara ni cukup tak berperikemanusiaan – mungkin korang kena tarik nafas lagi. Sebabnya, ada satu dapatan baru sejak beberapa tahun kebelakangan ni tentang tindakan kejam terhadap golongan kulit hitam. Perkara itu adalah…

Kanak-kanak kulit hitam digunakan sebagai umpan alligator dan buaya?!

Poskad menggambarkan kanak-kanak Afrika-Amerika yang dijadikan umpan alligator. Imej dari Atlanta Black Star.

[Maklumat tambahan: Beza alligator dan buaya adalah rahang alligator selalunya berbentuk U, manakala buaya pula berbentuk V. Bebeza dengan alligator, buaya akan ada kelenjar masin di lidahnya dan itu membuatkannya dapat menyesuaikan diri dengan air masin. Manakala, alligator pula tak ada dan sebab itulah ia selalu kelihatan tinggal di sungai dan tasik sahaja.]

Sebenarnya, isu ni mula rancak diperdebatkan apabila beberapa media melaporkan tentang kemungkinan wujudnya tindakan menggunakan kanak-kanak kulit hitam sebagai umpan alligator dan buaya. Hal itu diambil kira berdasarkan beberapa laporan media dari tahun 1900  hingga 1920-an. Salah satunya adalah laporan dari Washington Times bertarikh 13 Jun 1908 yang bertajuk “Baits Alligators with Pickaninnies“. Perkataan “Pickaninnies” tu sebenarnya adalah gelaran perkauman terhadap kanak-kanak Afrika-Amerika.

Dalam laporan tu, dikatakan yang penjaga zoo di New York Zoological Gardens dah bertindak meletakkan dua orang kanak-kanak kulit hitam ke dalam kandang yang menempatkan lebih kurang 25 ekor buaya dan alligator. Kanak-kanak ini digunakan untuk mengumpan aligator dan buaya tadi keluar dari tempat musim sejuknya dan masuk ke tangki musim panas yang boleh dilihat pegunjung.

“Dua orang kanak-kanak ‘kulit berwarna’ kebetulan berada di rumah reptilia itu. Penjaga zoo binatang memaksa mereka untuk berkhidmat. Dia percaya bahawa buaya dan alligator mempunyai ‘selera kepada orang kulit hitam’.”  – Dipetik dari The Undefeated.

Laporan The Washington times. Imej dari Chronicling America.

Tak cukup dengan itu, pada tahun 1923 –  majalah Time pula melaporkan tentang kejadian bayi-bayi kulit hitam yang dijadikan sebagai umpan alligator di Chipley, Florida. Laporan itu berbunyi:

“Bayi itu dibenarkan bermain di perairan cetek sementara pakar penembak memerhati dari tempat persembunyiannya yang berdekatan. Ketika alligator itu mendekati mangsanya, ia akan ditembak oleh penembak.” – Dipetik dari The Undefeated.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Keadaan yang agak sama turut dilaporkan oleh Oakland Tribune pada 21 September 1923. Dalam akhbar itu, dilaporkan yang bayi kulit hitam akan diletakkan berhampiran tempat pemburuan alligator dan pemburu akan bersembunyi di belakang semak dengan senapangnya. Bila bayi tadi menarik perhatian serta alligator mula menunjukkan kepalanya – pemburu akan menembaknya dan akan terima hadiah. Berkenaan dengan keselamatan bayi itu, pembaca diberitahu:

“Pemburu buaya Florida tidak pernah terlepas dari sasaran (tembakannya). Setelah bayi itu  dikembalikan kepada ibunya, ibunya akan dibayar dengan harga yang ditetapkan iaitu sebanyak dua dolar (Villiers, 1923).” – Dipetik dari Snopes.

Penjajah juga didakwa pernah menggunakan kanak-kanak Sri Lanka sebagai umpan untuk memburu buaya. Imej dari Journal of Threatened Taxa.

Satu lagi kisah agak lebih kejam iaitu diceritakan oleh seorang lelaki di Sanford, Orlando kepada pengkaji. Lelaki itu berkata, dia pernah mendengar cerita dari datuknya tentang kanak-kanak kulit hitam yang dijadikan umpan untuk alligator. Menurut ceritanya, kanak-kanak ini akan diikat, dipasang tali di leher dan badan mereka. Mereka kemudiannya akan menangis dan selepas itu dibaham oleh alligator. Hanya selepas itu barulah alligator tadi dibunuh.

“Dia mengatakan yang anda tidak akan dapat melihat apa-apa kecuali tali! Ada yang bayi, ada yang berumur setahun dan kanak-kanak.” – Dipetik dari Miami New Times.

Walaupun kes-kes sebegini ada dilaporkan oleh akhbar ketika itu atau diceritakan kepada pengkaji, seperti mana yang dikatakan di awal tadi – ia masih diperdebatkan sehingga kini. Kerana…

Tak semua kisah ni diterima sebagai benar

Imej dari Giphy.

Namun begitu, kisah tentang kanak-kanak sebagai umpan alligator ni masih belum disahkan tentang ketulenan ceritanya atas pelbagai faktor. Salah satunya adalah tentang etika kewartawanan ketika itu yang dilihat tidak begitu ketat seperti hari ini. Oleh itu, ada kemungkinan wujudnya taktik dalam industri persuratkhabaran dengan menggunakan stereotaip perkauman bagi melariskan jualan akhbar.

Tentang laporan majalah Time pula, majalah itu kemudiannya menyatakan yang kisah itu tidak dapat disahkan kesahihannya. Malah, Chipley Chamber of Commerce selepas itu menyifatkan laporan itu sebagai “pembohongan bodoh, palsu dan tak masuk akal”.

Manakala, cerita seorang lelaki kepada pengkaji yang dilaporkan oleh Miami New Times juga tak dapat dijadikan sebagai hujah kerana ia kemungkinan hanya cerita yang ditokok tambah. Lebih-lebih lagi sumber cerita itu datang dari datuknya yang dah pun meninggal dunia – sehingga ia tak dapat disahkan kesahihannya.

Poskad yang tertulis: “Alligator preparing for lunch”. Imej dari The Authentic History Center.

Di samping itu, Patricia Turner yang banyak membuat kajian tentang umpan alligator juga pernah mengatakan tak ada pembuktian sahih tentang perkara itu benar-benar terjadi. Malah katanya:

“…akan menjadi lebih tidak mungkin sepanjang era perhambaan, ketika seorang kanak-kanak kulit hitam akan menjadi komoditi yang jauh lebih berharga daripada alligator.” – Katanya, dipetik dari Snopes.

Tak ada yang lebih baik dari nilai kemanusiaan

Pada sekitar tahun 1900 hingga 1920-an, istilah umpan alligator ni memang popular di AS, sehinggakan banyak poskad yang dibuat dengan memaparkan bukan saja imej kanak-kanak Afrika-Amerika, tapi juga orang dewasa sebagai mangsa alligator dan buaya. Malah, ada dua filem yang pernah diterbitkan dengan mengambil tema sama iaitu Alligator Bait (1900) dan The ‘Gator and the Pickaninny (1900).

Poskad yang memaparkan seorang dewasa Afrika-Amerika dan seekor elligator. Imej dari Florida Studies: Proceedings of the 2008 Annual Meeting of the Florida College English Association.

Akan tetapi, walaupun kejadian sebegini masih lagi diperdebatkan – ia tetap boleh dianggap sebagai sejarah pahit yang perlu ditelan oleh masyarakat AS dan dunia. Apa yang terjadi kepada George Floyd sedikit sebanyak membuka mata kita tentang pentingnya sifat kemanusian sesama insan. Perhambaan dan perkauman tidak akan mendatang sebarang kebaikan kepada mana-mana pihak sekalipun.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend