Alam Sekitar

Kisah Bujang Senang & Indet Sanabong yang mematikan buaya dengan sekali tampar

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 18 November 2017 dan telah diolah mengikut perkembangan semasa. 

Bila bersembang pasal negeri Sarawak, selain dikenali sebagai bumi kenyalang, negeri ni juga terkenal dengan habitat buayanya yang banyak. Antara sungai yang terkenal adalah sungai Batang Lupar yang menyimpan pelbagai kisah dan rahsia. Di sini jugalah, kita diingatkan dengan kisah si Bujang Senang, seekor buaya ‘gergasi’ yang pernah mengganas suatu masa dulu.

Beberapa hari lalu, kita ada dilaporkan tentang sepasukan anggota Bomba yang memindahkan buaya seberat 800kg dan sepanjang lima meter yang ditangkap di parit di Taman Perumahan St Edmund Limbang, Sarawak. Sebenarnya, dah berlaku banyak serangan membabitkan haiwan itu sejak dulu lagi. Malah, pada 2017 seorang lelaki maut selepas dibaham buaya ketika sedang memancing Sungai Kuala Besar.

Bukan main besar Sang bedal yang dipindahkan oleh anggota Bomba di Limbang ni. Imej dari Harian Metro.

Kalau korang nak tahu, pada tahun 2014 – Sarawak mencatatkan serangan buaya tertinggi di negara ini. Seperti yang kami cakap tadi, antara peristiwa yang susah dilupakan adalah kisah serangan buaya ganas si Bujang Senang. Sebenarnya, ada kisah mistikal di sebalik buaya lagenda ini, kerana ada yang berpendapat buaya ini berasal dari…

Sumpahan pahlawan Iban – si pemotong kepala

Imej dari BH Online.

Sebahagian masyarakat Iban di Sarawak percaya yang buaya raksasa Bujang Senang berasal dari seorang manusia yang disumpah. Ini kerana, menurut legendanya – buaya ni berasal dari seorang pahlawan Iban bernama Simalungun. Dikatakan Simalungun ni sangat terkenal sebagai seorang pahlawan di zaman mengayau (potong kepala) dan musuh-musuhnya memang takde can nak kalahkan dia. Ada juga yang kata kehebatan tu jadi sebab Simalungun ni ada ilmu kebal, jadi senjata tak akan lut kat badannya.

Disebabkan tu ramai musuh-musuhnya yang berusaha nak patahkan ilmu ni. Sebab diorang tahu walau sehebat mana pun ilmu Simalungun, mesti ada pantang larang yang Simalungun tak boleh langgar.

“Berikutan kehebatannya, musuh pahlawan terbabit menculik isterinya untuk membalas dendam dan memaksa wanita itu membocorkan rahsia kekebalan suaminya.” – Dipetik dari BH Online.

Jadi Simalungun pun naik angin dan pergi jumpa dengan orang yang culik isterinya. Tapi malangnya, bila isterinya tu baru je dibebaskan, tiba-tiba pihak musuh baling tombak sehingga membunuh isteri Simalungun. Lepas tu mengamuklah Simalungun. Tapi sebenarnya, masa tu musuh dah tahu pantang larang ilmu kebal Simalungun iaitu tak boleh masuk dalam air sungai.

Jadinya musuhnya ni pun umpan Simalungun untuk masuk dalam sungai. Bila dah masuk dalam sungai, maka hilanglah ilmu kebal yang ada padanya. Masa ni lah Simalungun bertarung mati-matian, walaupun akhirnya pahlawan itu mati dibunuh. Mayat Simalungun dan isterinya kemudiannya dibiarkan tenggelam di dalam air Sungai Batang Lupar.

“Mengikut mitos itu lagi, mayat Simalungun dan isterinya kemudian disumpah menjadi buaya besar oleh `dewa’ dan haiwan jelmaan itu mula mengganas menghantui keturunan pembunuhnya sekitar Batang Lupar.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

____

Buaya jelmaan berkenaan akhirnya dikenali sebagai `Bujang Senang’ dan menjadi igauan ngeri penduduk sekitar Sungai Batang Lupar apabila dipercayai membaham lebih 14 penduduk Iban sejak 1940-an.” – Dipetik dari BH Online.

Imej dari Libur.

Masyarakat Iban masa tu pun menganggap yang Bujang Senang ni bukan buaya biasa tapi ‘Maharaja Buaya’ yang hidup di sepanjang Sungai Batang Lupar sampai ke Sungai Rejang. Kenapa dipanggil ‘Bujang’? Kalau diikutkan cerita Simalungun ni dah kahwin.

“Jolokan nama ‘bujang’ bermaksud orang yang jaguh, hebat, disegani dan gelaran terhormat bagi seorang lelaki. Jadi sinonimnya gelaran bujang yang diberi kepada reptilia ini kerana menghormati buaya buas.” – Indet Sanabong, Pawang Buaya. Dipetik dari Kosmo.

Bujang Senang sangat digeruni di Sungai Batang Lupar masa tu, sampaikan ada yang kata buaya itu sebesar bas! Malah ada juga yang kata kalau dia nak baham orang, dia boleh baham dengan sekali ngap je. Legenda turut mendakwa yang Bujang Senang ni ada tanda belang putih di belakang badannya. Itulah yang membezakannya dengan buaya-buaya lain.

Gambar buaya sepanjang 8.6 meter yang dikatakan berjaya dibunuh oleh pemburu di Quennsland, Australia pada 1957. Imej dari Utusan Malaysia.

Walaupun dikatakan Bujang Senang ni pernah mengganas pada tahun 1940-an tapi selepas tu kisah keganasannya mula reda. Bagaimanapun menjelang tahun 1980-an, kisah keganasan Bujang Senang kembali menghantui Batang Lupar.

Bujang Senang kembali mengganas dan tewas dengan peluru paku

Setelah sekian lama cerita Bujang Senang dikhabarkan sebagai legenda masyarakat Iban dan Sarawak. Bujang Senang nampaknya kembali memunculkan diri pada 1980-an. Mangsanya adalah Penghulu Bangan dari Rumah Panjang Pali di Sri Aman pada 1982.

Diceritakan yang Penghulu Bangan diserang ketika sedang menangguk udang di sungai. Masa adiknya nak selamatkannya, adiknya nampak ada belang putih di belakang badan buaya tu. Maka dia pun tahulah yang buaya tu adalah Bujang Senang, seperti mana yang diceritakan dalam legenda.

Imej dari robinsonmike.blogspot

Selepas tu, pihak polis pun melancarkan ‘Operasi Buaya Ganas’ di sungai-sungai besar di Sarawak. Tapi malangnya Bujang Senang  tak dapat dijumpai.

“Bujang Senang terus mengganas dan antara 1982 hingga 1991, dipercayai 13 orang menjadi mangsa buaya raksasa itu. Kemuncak keganasan Bujang Senang berlaku pada Mei 1992 apabila haiwan itu menyambar mangsa ke-14 iaitu Dayang anak Bayang, 20, ketika gadis Iban itu menyeberangi Sungai Pelaban bersama ibunya.” – Dipetik dari BH Online.

Makanya, penduduk dan polis pun terus memburu Bujang Senang lepas tu. Dalam masa 4 jam memburu, akhirnya Bujang Senang berjaya dikepung. Tapi cubaan membunuhnya dengan lembing dan peluru biasa gagal. Sehinggalah seorang pawang mencadangkan supaya paku diguna sebagai peluru. Akhirnya riwayat Bujang Senang tamat selepas kena 40 das tembakan (paku sepanjang 10cm).

Bujang Senang akhirnya tewas. Imej dari Libur.

Rupa-rupanya, memang ada belang putih di belakang badannya. Tapi, besar Bujang Senang taklah sebesar bas macam yang dikatakan. Besarnya adalah 5.46 meter panjang dan 2.12 meter lilitan perut.

Walaupun begitu, masih ada yang agak skeptikal dengan sejarah dan legenda Bujang Senang. Dalam masa yang sama, ada juga yang  percaya Bujang Senang masih lagi hidup dan apa yang ditangkap tu bukan Bujang Senang yang sebenar.

Walaupun begitu, bukan Bujang Senang je yang pernah mengganas

Sebabnya masih ada lagi beberapa buaya yang pernah menggemparkan penduduk Sarawak. Antaranya adalah Bujang Samarahan, Bujang Tisak, Bujang Belawai, Bujang Subis dan Bujang Seblak.

Bujang Belawai berjaya ditangkap. Imej dari plus.google.com

Pada tahun 2001, Bujang Subis akhirnya tumpas ditembak selepas membaham seorang budak berumur 10 tahun. Bapa mangsa lepas tu membelah perut buaya berkenaan dan jumpa kedua-dua belah tangan dan kaki anaknya. Apa yang lebih tragis, kepala dan bahagian badan mangsa yang lain dijumpai terapung di Taman Negara Niah.

Tangan dan kaki yang dijumpai dalam perut Bujang Subis. Imej dari Utusan Malaysia.

Pada tahun 2012 pula, negara digemparkan lagi dengan serangan buaya ganas, kali ni ia digelar sebagai Bujang Seblak. Buaya ni dah membaham seorang wanita penghuni Rumah Panjang di Sungai Anak, Sarawak bernama Siah Munsong. Pemburuan kemudiannya dilancarkan menggunakan cara moden dan tradisional.

“Bujang Seblak pula, walau diumpan tetapi ‘bijak’ melepas diri dari jerat, tetapi dua ekor buaya lain bersaiz sederhana telah sangkut. Dua ekor ini didakwa sebagai ‘konco-konco’.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Embol Asum (suami kepada mangsa yang dibaham Bujang Seblak) menyeluk tangan ke dalam mulut buaya yang dipercayai konco Bujang Seblak untuk melepaskan geram. Imej dari Utusan Malaysia.

Akhirnya setelah 14 hari membaham mangsanya, Bujang Seblak berjaya ditangkap oleh seorang pawang buaya. Bila ditimbang, berat buaya ni lebih dari 200kg. Apa yang membuktikan buaya itu sebagai Bujang Seblak adalah kesan dua tembakan pada mata dan rahangnya yang dilepaskan oleh penduduk kampung ketika ia sedang menggonggong mayat Siah.

Imej dari oldtraffords.com

Apa yang menakjubkan, Bujang Seblak terbunuh selepas kena tampar dengan pawang yang membaca mantera tertentu. 

Saya terpaksa menampar Bujang Seblak di bahagian kepala untuk membunuhnya serta-merta. Ia kerana Bujang Seblak cuba melawan selain memikirkan keselamatan kerana perahu yang saya naiki tidak dapat menampung beratnya.” – Indet Sanabong, Pawang Buaya. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Indet menunjukkan kesan tembakan di rahang Bujang Seblak. Imej dari Utusan Malaysia.

Itulah antara unsur-unsur mistik yang kita boleh nampak dalam usaha menangkap atau memburu buaya. Rasanya, elok juga kalau kita berkenalan dengan Indet Sanabong, seorang pawang buaya yang digeruni.

Indet Sanabong – Buaya tewas dengan tamparannya

Sapa masih ingat?

Indet Sanabong itulah nama pemburu buaya yang terkenal di Sarawak. Bila jadi je serangan buaya, maka dialah orang yang akan dicari. Indet jugalah orang yang berjaya menangkap Bujang Seblak dulu. Kalau nak ikut rekod, Indet dah tangkap berpuluh ribu buaya di seluruh sungai di Sarawak. Menurut Indet, dia belajar ilmu memburu buaya ni dari seorang guru di Sipitang, Sabah.

“Lima anak saya disekolahkan menggunakan duit upah menjual buaya kepada taman-taman buaya dan orang perseorangan. Tetapi apabila saya mengetahui tindakan saya itu menyalahi undang-undang saya berhenti.” – Indet Sanabong, Pawang Buaya. Dipetik dari Kosmo.

Bujang Seblak yang berjaya ditewaskan Indet. Imej dari Kosmo.

Menurut Indet, buaya biasanya tak serang orang sembarangan. Tapi sebaliknya hanya akan serang orang yang berada dalam keadaan puni atau punik. Apa puni ni?

“Mengikut masyarakat Iban puni bermaksud seakan-akan kempunan dalam budaya masyarakat Melayu, tetapi puni ini lebih kepada janji yang tidak ditepati oleh seseorang…

____

Seperti dia dipelawa untuk makan tetapi dia tidak menjamah makanan tersebut lalu melakukan pekerjaan lain maka orang itu berada dalam keadaan puni.” – Indet Sanabong, Pawang Buaya. Dipetik dari Kosmo.

Menurut Indet lagi, Puni pun boleh jadi kepada buaya yang pernah makan manusia. Sebabnya, kalau satu-satu buaya tu dah makan manusia, ia akan mula suka dengan daging manusia. Maka sebab itulah ia mengganas dan serang manusia. Jadinya, Indet kena tamatkan puni yang jadi pada buaya itu dengan bagi umpan yang dah dijampi.

Mata kail yang digunakan untuk memburu buaya. Imej dari Kosmo.

Tambah Indet, hanya buaya yang pernah makan manusia je yang akan makan umpan yang dijampi tu. Umpan tu pula adalah daging anjing putih yang diletakkan di tiga mata kail dan diikat pada tali rotan hidup. Menurutnya lagi, memang dah ada sumpahan pada buaya yang pernah makan manusia, walaupun tak makan umpan, buaya tu mesti akan mati juga.

“Pembunuhan itu tidak menggunakan senjata api atau senjata tajam sebaliknya hanya menggunakan tangan. Selepas membaca mantera, saya akan menampar kepala buaya dan ia mati serta-merta.” – Indet Sanabong, Pawang Buaya. Dipetik dari Kosmo.

Lesen tangkap buaya ada dikeluarkan, tapi masih ada pantang-larang

Jangan cuba aksi ni kat mana-mana sungai berdekatan. Imej dari Giphy.

Pada Oktober 2017, pihak Jabatan Hutan Sarawak (JHS) ada keluarkan 10 lesen menangkap buaya di negeri Sarawak. Kebanyakan yang dapat lesen tu datang dari kawasan Batang Lupar, sebab populasi buaya banyak sangat di sana.

Setakat tahun 2016 je, dianggarkan lebih 20 ribu ekor buaya liar yang bersaiz dewasa dilaporkan berada di seluruh Sarawak. 13 sungai juga dikenal pasti dengan populasi buaya tinggi iaitu purata 14 ekor untuk setiap kilometer sungai. Sebab tu lah, kerajaan kata 60% dari 20 ribu buaya di Sarawak boleh diburu.

Selain tu, Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Berhubung Flora dan Fauna Diancam Kepupusan (CITES) sebelum ni ada turunkan taraf buaya (dengan nama saintifik Crocodylus Porosu) dari Apendiks I ke Apendiks II.

“Kita telah berjaya menurunkan taraf buaya daripada Apendiks I kepada Apendiks II, maknanya spesies tersebut boleh diburu, dibunuh dan diperdagangkan kulit serta dagingnya ke pasaran global.” – Sapuan Ahamad, Pengarah JHS. Dipetik dari Utusan Borneo.

Steak buaya, sapa nak cuba? Imej dari fatg.com

Walaupun macam tu, usaha nak kurangkan populasi buaya ni tak berapa jalan dengan budaya dan kepercayaan masyarakat Sarawak (khususnya Iban). Ini kerana, sesetengah masyarakat Iban percaya yang buaya adalah jelmaan dewa sungai atau dikenali sebagai Ribai. Disebabkan itu, mereka cuba elak untuk bunuh buaya, sebab takut ditimpa binasa.

“Penduduk di kawasan pesisir sungai masih percaya bahawa membunuh buaya adalah satu pantang-larang yang tidak boleh dilanggar… Apa saja pegangan agama, penduduk lazimnya apabila berkaitan buaya, seboleh-bolehnya mereka tidak mahu membunuh reptilia itu kerana dikhuatiri nyawa mereka dalam bahaya ketika berada dalam sungai.” – Prof Madya Dr. Ruhana Hassan, Universiti Malaysia Sarawak. Dipetik dari Harian Metro.

Yang dia ni dah kenapa? Imej dari Giphy.

Pencemaran sungai juga jadi faktor serangan buaya

Walaupun pihak JHS ada keluarkan lesen memburu buaya, tapi dalam waktu sama, JHS juga ada galakkan orang Sarawak untuk usahakan ladang buaya. Kata JHS, buat ladang buaya ni bukan je untuk dapatkan kulit dan daging, tapi boleh juga jadi pusat pelancongan macam taman buaya. Contohnya macam Taman Buaya Miri yang dapat tarik hampir sejuta pelancong ke Miri, Sarawak.

Kat Taman Buaya Miri ni, penyambut tetamu dia pun buaya. Imej asal dari miricrocodilefarm.blogspot

Kebenaran kerajaan untuk pemburuan buaya ni boleh dikatakan sebagai usaha mengawal populasi haiwan terbabit yang boleh mengancam kehidupan manusia. Bagaimanapun, ada pengkaji yang kata serangan buaya ni sebenarnya disebabkan salah manusia sendiri. Antara puncanya adalah pencemaran sungai.

“Pencemaran sungai juga merupakan faktor serangan buaya. Banyak plastik ditemui dalam perut buaya (yang kami bedah). Kami dapati buaya tertarik dengan sampah yang dibuang kerana mereka menyangkakan ada makanan dalam bungkusan plastik.” – Christopher Kri Ubang, Pegawai Hidupan Liar Sarawak Forestry Corporation (SFC). Dipetik dari Utusan Borneo.

Menurut laporan media, keadaan sungai di negara ni makin tenat. Selain pencemaran sampah, sungai juga terdedah dengan sisa-sisa pencemaran kilang dan industri. Makanya, dah jadi tanggungjawab kita semua untuk menjaga alam sekitar.

Tengkorak kepala Bujang Senang. Imej dari ourplnt.com

Kesimpulannya, kisah Bujang Senang akan tetap dikenang sebagai legenda bumi Kenyalang yang akan terus diperdebatkan. Pada sesiapa yang nak tengok tengkorak kepala Bujang Senang, korang boleh la datang ke Muzium Sarawak.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend