Seni & Budaya

Ada satu kaum di Sabah ni renjis darah haiwan kat rumah pengantin. Untuk apa?

Negara Malaysia biasanya dikenali dengan pelbagai etnik dan kaum. Bayangkan, kita ada lebih daripada 80 etnik dengan 32 kaum dari Sabah manakala 28 lagi dari Sarawak. Belum tentu kita tahu semua dan biasa dengar kesemuanya sekalipun dah lama duduk bersama. Kalau pernah dengar pun, mungkin ada orang dari kaum tu yang popular. Contohnya macam Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar yang merupakan suku kaum Orang Sungai.

Sewaktu perdebatan dalam sidang parlimen Oktober lepas, berlaku perbahasan berkaitan pemansuhan Akta Berita Palsu. Ketika tu, Bung Mokhtar antara yang terlibat dalam perbahasan. Kemudian dia dah dicabar oleh seorang ahli parlimen kerajaan dengan satu gambar dia di kasino sedang bermain judi. Namun, dia membalas bahawa apa yang dikatakan itu berita palsu. Hingga keluar kata-kata,

“Jangan cabar saya, kau salah orang. Saya ni pendekar dari Sabah. Jangan main-main, orang Sungai. Minum darah.”- Bung Mokhtar, petikan dari Youtube Buana Studio

Haaa. Dia tunjuk kat korang tu! Imej dari WOB

Perkara ni dah membuatkan kami dari SOSCILI berminat sangat nak berkongsi kat korang mengenai budaya dan adat Orang Sungai di Sabah. Mungkin ramai tak tahu. Sebelum tu, macam mana boleh dapat nama Orang Sungai? Ini kisahnya…

Dulu The River People, kemudian jadi Orang Sungai (ada beza ke?)…

Sejarah kita memang jarang tak dikaitkan dengan orang British. Begitu jugalah, kisah nama kaum Orang Sungai diberi. Pada tahun 1881, residen pertama Sandakan, Sir William Pryer dah buat satu ekspedisi menyusuri sungai Kinabatangan hingga ke Kampung Labok ketika itu. Rombongan tu terserempak dengan masyarakat yang digelar The River People.

Kemudiannya, sewaktu pemerintahan Syarikat Borneo Utara British, nama itu ditukar kepada Orang Sungai. Kira terjemahkan ke Bahasa Melayu je lah kan. Mereka ini wujud sempena dengan nama tempat tinggal tradisi mereka iaitu pinggir sungai.

Kalau tak tahu lokasi Sungai Kinabatangan. Imej dari WonderfulMalaysia

Satu lagi yang menarik, mereka ni bukanlah terus jadi orang yang tinggal di pinggir sungai. Pada asalnya, mereka dalam kalangan orang Dusun. Namun, selepas ramai menganut Islam, ramai yang mula menetap di tepi sungai serta mengasingkan diri dari orang Dusun. Akhirnya, cara hidup dan pertuturan mereka berubah.

Untuk pengetahuan semua, kebanyakan Orang Sungai berada di daerah Kinabatangan, Beluran dan Tongod serta sebahagian kecil di daerah Kudat. Kajian pasal adat dan budaya Orang Sungai ni banyak yang menyentuh mengenai pantang larang kehidupan serta adat perkahwinan yang mereka jalankan. Dalam bab pantang larang ni, banyak juga yang unik. Antaranya…

Apabila bersin, hendaklah memanggil semangat…

Sebelum pergi ke situ, kami nak terangkan bahawa pantang larang kebiasaanya wujud dalam unsur ketakutan. Ia bagi menjadikan seseorang itu lebih berdisiplin serta patuh dengan amalan-amalan tradisional. Untuk Orang Sungai, pantang larang mereka ni ada beberapa kategori seperti berkaitan amalan harian, anak dara dan kanak-kanak.

Untuk amalan harian ada pantang larang macam apabila seseorang tu bersin, dia kena panggil semangatnya dengan seruan “baliklah semangat kau ke dalammu semula”. Dalam adat kaum ni juga, tak dibenarkan budaya siku-menyiku sesama mereka kerana dipercayai ia perbuatan menyumpah dan boleh memendekkan umur.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Keluarkan stress di otak…

Macam budaya kaum lain, ada juga pantang larang untuk kanak-kanak. Contohnya, kanak-kanak tak dibenarkan main api, nanti dah besar jadi pencuri. Ini lebih kurang macam kata-kata orang tua yang biasa kita dengar, “kalau menipu, lama-lama jadi pencuri”. Pantang larang ni bagi Orang Sungai ada maksud tersirat. Orang kaum ni dulu guna pelita atau lampu dari minyak tanah, jadi untuk elak berlakunya kebakaran, pantang larang ni diperkenalkan.

Cuma kami tertanya-tanya, apa maksud di sebalik pantang larang mengenai kalau kanak-kanak yang belum tumbuh gigi, jangan letak di kepala, sebab nanti dipercayai akan tumbuh gigi bertingkat-tingkat. Kami rasa mungkin nak elak orang dewasa dari letak bayi kecil ni atas kepala sebab bahayakan.

Dalam pantang larang mereka, ada juga yang khas untuk anak dara dan wanita. Macam dalam kebanyakan kaum juga. Antara pantang larang yang ada macam anak dara jangan menyanyi sambil masak, nanti dapat jodoh orang tua. Tersiratnya nak kita fokus masak untuk elak makanan hangus dan berlaku kebakaran. Macam pernah dengarkan pantang larang ni.

Namun, dalam semua pantang larang ni, perkara yang menjadi kajian dan perbincangan ramai pakar adalah adat dan pantang larang perkhawinan bagi Orang Sungai. Memang mendebarkan kalau baca…

Renjis darah haiwan dikeliling rumah pengantin

Ini acara merenjis yang normal. Imej dari Eksosalon

Dalam kebanyakan adat dan pantang larang, hal berkaitan perkahwinan Orang Sungai dah dibincang panjang dalam beberapa kajian. Dalam struktur adat untuk berkahwin, laluannya tak lari jauh dari adat orang Melayu. Mereka ada jarum-jarum (merisik), menawo (meminang), mengassur (majlis hantaran), gabbpie tullau (majlis malam berinai), nagnikah (majlis nikah kahwin), nagsanding (majlis bersanding) serta tingkuang (majlis sambut menantu).

Apa yang menarik untuk dibincangkan kat sini adalah adat dan pantang larang luar biasa yang jarang diketahui umum. Contohnya, sewaktu majlis nikah kahwin, selepas adat suap-menyuap antara pengantin dan juga keluarga, pengantin dibaringkan serentak sebanyak 3 kali berturut-turut di atas katil. Kemudian, barulah pengantin dikeluarkan dari bilik untuk majlis bersanding.

Dalam majlis bersanding, mereka juga mengamalkan acara merenjis tanda merestui perkahwinan tu. Acara merenjis ni akan diulangi pada malam ketiga dan ketujuh. Sebelum sampai hari ketujuh, pengantin dilarang untuk memijakkan tanah kerana itu adalah pantang larang.

Ni kira kuda ke orang yang kena bencana kalau langgar pantang larang?

Apa yang menarik, pantang larang ni perlu dijaga oleh pasangan pengantin bukan sahaja untuk elak bencana kepada diri sendiri, malah untuk orang dan keadaan kampung juga. Antara bencana yang boleh menimpa adalah ribut, banjir besar, kekurangan makanan kerana tanaman tidak berhasil.

Ya lah, tak semua manusia sempurnakan, kadang-kadang tu terlanggar juga. Jika perlanggaran terjadi, dalam adat Orang Sungai ada cara untuk pulihkan keadaan balik. Jadi, Orang Sungai perlu lakukan ‘Sogit’. Apa benda tu? Ia adalah tradisi menyembelih ayam atau babi, kemudian darah sembelihan tu akan direnjiskan ke kawasan rumah pengantin dan daging pula dibahagikan kepada tetamu.

Tapi, kebanyakan adat perkahwinan ni dah mula tak diamalkan kerana pengaruh modenisasi serta ada yang tidak bertepatan dengan agama Islam atau pun Kristian yang mereka anuti. Bukan sahaja adat dan pantang larang tidak lagi menjadi ikut,an malah perjanjian dengan buaya oleh nenek moyang mereka juga tidak lagi dipatuhi. Biar betul?

Orang Sungai buat perjanjian dengan buaya

Ni dah tahap sayang menyayang dengan buaya. Imej dari Netralnews

Dalam kalangan Orang Sungai memang ada mitos janji dengan buaya yang dipanggil ‘gegejanji gunai boya’ dalam bahasa mereka. Semuanya bermula di Sungai Segama apabila seekor raja buaya, Aki Torunggari meminta bantuan nenek moyang Orang Sungai yang merupakan seorang bomoh, Odu Sebulig-bulig.

Aki Torunggari ni sebenarnya dah tercedera kerana ditombak oleh seorang putera bernama Tadtak. Tadtak ni marah pasal buaya jadian ni menyamar jadi bengkarung serta masuk ke kolam dan bawa lari adiknya, Darupak. Buaya ni bawa lari sebab nak kahwin dengan Darupak. Begitulah kisahnya. Berbalik kepada buaya minta bantuan bomoh, Odu Sebulig-bulig.

“Odu Sebulig-bulig bersetuju merawat Aki Torunggari, namun membuat perjanjian agar keturunan Orang Sungai tidak akan diganggu sampai bila-bila, apa lagi dibaham reptilia itu dengan syarat mereka tidak kempunan (menunaikan apa-apa hasrat) sebelum turun ke sungai.”- Petikan dari Berita Harian

Syarat lain yang perlu keturunan Orang Sungai patuhi adalah tidak mengasah parang sebab bunyinya boleh menjadikan buaya semakin ganas. Selain tu, tak dibenarkan basuh kelambu di sungai kerana ia menarik perhatian buaya. Sekarang ni, dua pantang larang ni tak lagi diendahkan oleh masyarakat Sungai. Tapi…mereka masih berpegang teguh dengan kemestian menjamah makanan sebelum turun ke sungai.

Aku terasah parang pulakkkk. Lariiiii…

Ini kerana ada beberapa kejadian buaya membaham Orang Sungai kerana memudik sungai kerana kempunan.

Adat sekalipun tidak mahu diamalkan, jangan lupa daratan

Dalam mengejar kemajuan, ramai anak muda yang semakin melupakan adat dan budaya asal mereka. Ini bukan sahaja berlaku di negara kita, malah seluruh dunia. Namun, ada adat dan budaya perlu dikekalkan kerana ia menjadi identiti dan bukti asal usul kita.

Relax je pakai pakaian tradisi. Imej dari Alovelifejunkie

Kemajuan yang kita kecapi kadang kala bermula dari nilai baik yang datang dari disiplin yang diperkenalkan dalam adat dan budaya. Jadi, ambil masa, kenali adat dan budaya orang lain serta berkongsi-kongsi nilai baik antara kita.

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend