Kemanusiaan

Mereka dipamerkan seperti haiwan sarkas, ada dalam keadaan hampir bogel

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 26 Disember 2017

Tersebar berita mengenai sejarah orang kulit putih pernah jadikan kanak-kanak berkulit hitam sebagai umpan kepada Alligator. Banyak lukisan-lukisan cuba menggambarkan hal tersebut. Bukti sejarah untuk perkara ni masih diperdebatkan. Namun, ia mungkin berlaku dalam kes-kes terpencil.

Tapi korang tau tak, pada abad ke-19 dan ke-20 wujud zoo yang mempamerkan manusia di khalayak awam. Zoo dan pameran ni dikenali sebagai ‘pameran ethnologi’, ‘pameran manusia’ dan ‘Kampung Negro’ di mana orang dari benua Afrika, Asia, dan orang asli diletakkan dalam sangkar dan dipamerkan di ‘habitat semula jadi’ sementara. Pameran-pameran sebegini mendapat sambutan berjuta-juta orang Eropah dan Amerika Syarikat.

Sorang budak perempuan Afrika dipamerkan di ‘Kampung Congo’ di Brussels. Imej daripada dailymail.co.uk

Manusia yang diletakkan di dalam zoo ni dilayan seperti haiwan. Diorang diculik dan diletakkan untuk dipamerkan. Memang jadi kebiasaan mereka tersebut akan meninggal dunia dengan cepat. Malah,  ada yang baru setahun ditangkap, akhirnya meninggal dunia. Pertunjukan-pertunjukan yang tak berperikemanusiaan yang ada sekitar dunia barat ni diwujudkan untuk memberitahu perbezaan budaya antara orang-orang Eropah dan orang-orang yang dikatakan sebagai primitif itu.

Seorang perempuan Jawa dipamerkan di Chicago, Illinois. Imej daripada dailymail.co.uk

Di sini, kami senaraikan tiga kisah tragik tentang beberapa orang manusia yang pernah dijadikan pameran dan pertunjukan tak ubah seperti haiwan di zoo.

1. Bunuh diri sebab tertekan tak dapat pulang ke kampung halaman

Ota Benga lahir di Hutan Ituri daripada masyarakat Mbuti Pygmi. Masyarakatnya terdiri daripada ahli keluarga antara 15 hingga 20 orang. Diorang hidup berpindah-randah apabila tiba musim memburu. Dia berkahwin pada usia muda dan jadi ayah kepada dua orang anak. Semasa remaja, kawasan timur Congo berlaku perang menyebabkan berlakunya pengusiran beramai-ramai hamba-hamba Arab dan pencerobohan oleh Force Publique, iaitu tentera Belgium yang ditubuhkan untuk kuatkuasakan kuota getah.

Pada masa tu, Raja Leopold II dari Belgium beritahu yang dia berminat nak jadikan Congo ni lebih bertamadun. Padahal, niat dia adalah untuk menggunakan sumber alam Congo terutama getah. Pada masa tu industri getah berkembang hasil ciptaan tayar pneumatic oleh John Boyd Dunlop. Bila dia dapat kuasai getah di Congo, maknanya dia dapat bersaing dengan ladang-ladang getah yang ada di Amerika Selatan dan Asia Tenggara.

Maka, penduduk Congo ni dipaksa bekerja keras untuk kutip getah supaya capai kuota. Kalau tak, diorang akan dihukum kejam. Ada sesetengah kes, satu kampung kena bakar sebab tak dapat kumpul getah yang banyak.

Sama seperti tentera-tentera penjajah korup yang lain, Force Publique ni merogol dan membunuh penduduk kampung. Pada akhir tahun 1890-an, askar-askar Force Publique ni telah jumpa kem yang menempatkan keluarga Ota. Diorang bunuh semua keluarga Ota semasa dia tengah pergi memburu.

Penduduk Congo yang tak dapat penuhi kuota getah akan dipotong tangan. Imej daripada all-that-is-interesting.com

Tak lama kemudian, Ota diambil oleh pedagang hamba. Dia telah dirantai dan diheret keluar dari hutan – satu-satunya tempat tinggal yang dia tahu sepanjang hidupnya. Dia diarah untuk bekerja sebagai buruh kat sebuah kampung pertanian. Pada 1904, dia dijumpai oleh ahli perniagaan Amerika Syarikat yang juga pengembara amatur bernama Samuel Verner.


Tugas Verner adalah untuk cari beberapa orang pigmi Afrika (orang kerdil Afrika) untuk dipamerkan sebagai ‘rantaian yang hilang’ dalam evolusi manusia. Ota adalah orang yang dicari-cari apabila dia lihat Ota yang kurus, berkulit sangat gelap, sangat pendek dengan gigi yang telah diasah jadi taring.

Ota Benga yang comel. Imej daripada dailymail.co.uk

Pada 1904, seorang pengusaha pertunjukan antropogi bernama William McGee mencetuskan idea tentang zoo manusia untuk diadakan di St. Louis di Missouri, Amerika Syarikat. Zoo ni direka untuk dijadikan sebagai salah satu eksperimen saintifik terbesar yang pernah diadakan. Zoo ini juga akan menjadi hiburan kepada orang awam.

Ota dan lima orang pigmi yang lain dibawa ke St. Louis. Kat sana diorang jadi pameran terpenting di St. Louis World Fair. Iklan tentang Ota dan lima orang pigmi tersebut berbunyi lebih kurang begini:

“Mereka tinggal di dalam hutan dan sangat pemalu. Mereka makan daging haiwan liar dan membunuh dengan panah beracun. Mereka adalah kejam, mencari keseronokan dengan mendera haiwan. Mereka berkepala panjang, muka panjang dan mata merah yang kecil sama macam feret. Badan mereka sangat berbulu. Pigmi ini diketahui makan 60 biji pisang untuk sekali makan dan akan minta tambah lagi. Mereka dikawal oleh dorongan yang membuatkan mereka gembira dengan kekejaman. Kalau mereka ditangkap pada usia muda, mereka dikatakan dapat menjadi hamba yang sangat baik.” – St. Louis World Fair

Selama hampir setahun, Ota dan pigmi yang lain tinggal di Amerika sebagai pameran. Diorang bina rumah tradisional, buat persembahan tarian tradisional, hidup dengan berpakaian separuh bogel dan masak makanan autentik. Orang ramai membayar 25 sen untuk bergambar dengan Ota.

Pigmi-pigmi di pameran St. Louis sedang menari depan orang ramai. Imej daripada middled.blogspot.my

Selepas ditonton seramai 20 juta orang, akhirnya Verner bawa Ota dan pigmi-pigmi pulang semula ke Congo. Ota pernah plan nak join dengan suku dia, tapi dia dapat tahu yang suku dia yang lain diserang oleh tentera Belgium. Dia kemudiannya berkahwin dengan seorang perempuan daripada suku Batwa dan hidup di Afrika. Malangnya, isteri dia dipatuk ular dan mati. Jadi, suku Batwa reject dia dengan menganggap yang dia ni disumpah dan bertanggungjawab atas kematian isteri dia.

Kemudian, pada tahun 1906, dia ke Amerika Syarikat semula ikut Verner. Masa mula-mula sampai Amerika, dia diberikan bilik tambahan di American Museum of Natural History. Di sana, dia jadi tarikan pelawat dengan berlagak menjadi separuh manusia yang bercakap-cakap. Semua pelawat muzium suka pada Ota, tapi pengarah muzium tu tak nak bayar gaji yang Verner minta. Jadi, Verner dan Ota pun berpindah ke Zoo Bronx.

Artikel New York Times tentang pameran Ota di Zoo Bronx. Imej daripada pinterest.fr

Di Zoo Bronx, kira-kira 500 orang datang tengok Ota. Kanak-kanak dan orang dewasa ketawa dan seronok tengok Ota masa tu. Pihak zoo yang menjangkakan akan ramai lagi orang datang lepas Ota dapat publisiti daripada New York Times, dia kemudiannya dipindahkan ke sangkar cimpanzi yang lagi besar supaya lagi senang orang ramai nak tengok dia.

Pendeta kulit hitam tempatan terkejut dengan pameran Ota di zoo tersebut. Diorang menuntut supaya Ota dibebaskan. Sampaikan diorang lobi gabenor pada masa tu untuk paksa zoo tersebut hentikan pameran Ota. William Temple Hornaday yang merupakan pengasas dan kurator Zoo Bronx mempertahankan yang pameran Ota Benga adalah atas tujuan sains.

Ota Benga dengan seekor cimpanzi di Zoo Bronx. Imej daripada pinterest.fr

Ota akhirnya dibebaskan di bawah penjagaan James Gordon, paderi yang bertanggungjawab bebaskan dia. Dia kemudiannya dibawa tinggal dengan Gordon di sebuah rumah anak yatim kulit hitam. Walaupun begitu, Ota tak gembira duduk kat sana. Jadi, dia pindah pula kat Lynchburg, Virginia dan tinggal dengan kawan Gordon yang bernama McCrays.

Gordon masih lagi bertanggungjawab atas Ota yang masa tu dah berumur 27 tahun. Dia betulkan gigi dan hantar Ota masuk sekolah untuk kanak-kanak bukan kulit putih. Dia juga bagi Ota kerja di ladang tembakau. Di ladang tu, Ota jadi popular sebab dia ceritakan kisah hidup dia untuk dapatkan root beer percuma.

Reverend James Gordon yang bertanggungjawab bebaskan Ota. Imej daripada commons.wikimedia.org

Pada 1914, Ota bercadang nak pulang semula ke Afrika. Dia rasa Amerika ni tak sesuai dengan dia. Dengan duit yang dia dapat hasil bekerja di ladang tembakau, dia pun cari jalan ke pelabuhan terdekat untuk pulang ke kampung halaman. Tapi malangnya, Perang Dunia I tercetus menyebabkan kebanyakan kapal yang nak menyeberang Atlantik ditangguhkan.

Ditambah pula pendudukan Jerman ke atas Belgium secara tak langsung menyebabkan Congo juga dalam keadaan huru-hara. Tak ada siapa dibenarkan keluar masuk masa tu. Akhirnya, pada 20 Mac 1916, Ota Benga menembak dirinya sendiri di jantung kerana tertekan memikirkan yang dia tak dapat pulang semula ke kampung halamannya.

Ota Benga dalam kenangan. Arca oleh artis Amerika Syarikat. Imej daripada clevelandart.org

2. Wanita Afrika Selatan yang dipamerkan separuh bogel dalam sangkar

Sara ‘Saartjie’ Baartman dilahirkan pada 1789 di Sungai Gamtoos yang sekarang ni dikenali sebagai Cape Timur. Dia datang daripada suku Khoikhoi yang menjadi pengembala lembu. Sara membesar di kawasan ladang penjajah tempat keluarganya bekerja sebagai pembantu. Mak dia meninggal semasa dia umur dua tahun. Ayah dia pulak meninggal sewaktu dia remaja. Sara kahwin dengan lelaki daripada suku Khoikoi juga. Diorang ada seorang anak tapi meninggal dunia sebaik saja dilahirkan

Wanita daripada suku Khoikoi ini dikenali mempunyai warna kulit yang lebih cerah dan berpunggung besar. Bagi suku Khoikhoi, ia adalah satu bentuk kecantikan, tapi  bagi orang Eropah pula, berpunggung besar ni dianggap sebagai satu kecacatan fizikal dan merendahkan sesuatu kaum.

Inilah rupa wanita Khoikhoi. Imej daripada gettyimages.dk

Apabila Belanda meluaskan jajahannya, suku Khoikhoi pun terlibat sama dan diserap dalam sistem buruh. Masa umur dia 16 tahun, tunang Sarah telah dibunuh oleh penjajah Belanda. Lepas tu, dia dijual sebagai hamba oleh seorang pedagang bernama Pieter Willem Cezar. Pieter bawa Sara ke Cape Town dan jadikan dia hamba kepada abangnya, Hendrik. Masa tu la dia diberi nama ‘Saartjie’ yang bermaksud ‘Si Kecil Sarah’ dalam bahasa Belanda

Pada 29 Oktober 1810 Sara didakwa ‘menandatangani’ satu kontrak dengan seorang pakar bedah Inggeris bernama William Dunlop. William ni kawan kepada Pieter dan Hendrik. Kat dalam ‘kontrak’ tu tertulis yang Sarah kena travel dengan Hendrik dan William ke England dan Ireland untuk bekerja sebagai pembantu domestik. Dia juga akan dipamerkan atas tujuan hiburan. Sarah akan dapat sikit upah daripada pertunjukan tersebut dan dibenarkan untuk pulang ke Afrika Selatan lepas lima tahun.

Tapi ada dua sebab yang menjadikan kontrak yang ditandatangani Sarah tu nampak meragukan. Pertama, Sarah seorang yang buta huruf dan datang daripada tradisi budaya yang tak menulis dan simpan rekod. Kedua, keluarga Cezar mengalami masalah kewangan yang kronik. Jadi, kemungkinan besar diorang gunakan Sarah untuk dapatkan duit.

Imej daripada imgflip.com

Punggung Sarah yang besar dan warna kulitnya yang berbeza menjadikan dia dilihat sebagai objek yang ada daya tarikan kepada penjajah Eropah yang anggap diorang ni dari kaum yang lebih tinggi. William nakkan Sarah datang ke London untuk dijadikan objek pameran yang aneh. Dia dipamerkan di sebuah bangunan di Piccadilly yang menempatkan macam-macam jenis pameran aneh seluruh dunia.

Orang-orang Inggeris yang datang melawat akan membayar untuk tengok Sarah yang separuh bogel. Dia akan dipamerkan di dalam sangkar yang tingginya 1 ½ meter. Pameran tersebut berjaya menarik ramai orang di sekitar Eropah. Dia digelar ‘Hottentot Venus’. ‘Hottentot’ ialah nama yang diberi oleh orang yang ada lembu sebab suku dia pengembala lembu.

Poster tentang pertunjukan Sarah Baartman. Imej daripada theafricangourmet.com

Menurut Rachel Holmes, pengarang buku The Hottentot Venus: The Life and Death of Saartjie Baartman, pada masa tu orang perempuan memang teringin nak ada punggung besar dan ia dianggap sebagai satu fesyen. Jadi, diorang ni jealous la bila Sarah ada punggung besar semula jadi.

Pada 1810 di London, waktu Sarah baru berumur 16 tahun, William selalu buat hubungan seksual dengan dia. Masa tu Sarah ingat yang William ni cintakan dia. William berjaya buatkan Sarah percaya yang dia boleh jadi kaya kalau dia terus dedahkan tubuh badan dia di pertunjukan sekitar London dan Eropah.

William beritahu lagi yang wanita kulit putih tak ada tubuh badan unik macam Sarah dan sanggup bayar dia untuk tengok badan Sarah. Lelaki kulit putih pula akan gila dan akan guna kuasa diorang untuk sentuh seorang wanita kulit hitam. Bagi diorang, wanita kulit hitam adalah fantasi liar diorang. Sarah terima kata-kata William tu tanpa ragu-ragu lagi. Dia pamerkan tubuhnya mengikut segala arahan yang diberi di pertunjukan sekitar bandar di England dan Belanda.

Macam ni la suasana semasa pertunjukan Sarah. Imej daripada estahealth.org

Semasa di London, orang ramai membayar sebanyak 2 syiling untuk tengok Sarah dari pukul 1 p.m. – 5 p.m. Dia dipamerkan seperti haiwan eksotik dengan pakai skin-tight, pakaian yang serupa dengan warna kulit termasuklah dengan manik-manik dan bulu-bulu sambil menghisap paip. Para pelanggan yang kaya akan bayar untuk dapatkan demonstrasi secara peribadi kat rumah masing-masing. Masa tu, tetamu yang diundang bolehlah sentuh-sentuh Sarah ni.

Boleh sesuka hati sentuh Sarah. Imej daripada pinterest.com

Ada yang terpegun, terhibur, jijik dan tergamam tengok Sarah. Para doktor dan saintis datang tengok Sarah dengan keluarkan macam-macam teori untuk jelaskan pasal anatomi badan dia. Waktu tu memang nampak jelas yang diorang cuba merendah-rendahkan orang kulit hitam.

Bagi diorang, Sarah ni jadi mangsa kepada penyakit yang selalu menyerang kaumnya. Penyakit ni dipanggil steatopygy (tambahan tisu pada bahagian punggung dan paha). Memandangkan organ seksual Sarah berkembang secara tak normal, jadi diorang kata yang Sarah ni menghidap macronymphy walaupun sebenarnya karakteristik ni adalah normal untuk wanita kulit hitam.

‘Pakaian’ yang dipaksa pakai oleh Sarah. Imej daripada britishmuseum.org

Walaupun Empayar British masa tu dah hapuskan pemerdagangan hamba pada 1807, tapi perhambaan masih lagi dibenarkan. Jadi, ramai yang terkejut dengan layanan yang Sarah dapat masa di London sampaikan tuannya terpaksa ke mahkamah. Tapi Hendrik berjaya tunjukkan dokumen yang ditandatangani oleh Sarah yang menyatakan dia tak dilayan buruk oleh Hendrik. Walaupun begitu, kontraknya dipinda dan dia diberi hak untuk mendapat kehidupan lebih baik, dapat kongsi keuntungan yang lebih besar dan pakaian yang menghangatkan.

Lepas 4 tahun di London, pada September 1814 Sarah dibawa ke Perancis. Hendrik kemudian jual dia kepada Reaux, lelaki yang menjalankan pertunjukan haiwan. Dia mempamerkan Sarah ke seluruh Paris. Dari situ dia dapat faedah dari segi kewangan hasil orang ramai yang tertarik dengan tubuh Sarah. Kemudian, dia pamerkan Sarah dalam sangkar sekali dengan anak badak.

‘Pelatihnya’ akan bagi arahan untuk duduk atau berdiri sama seperti arahan yang diorang bagi pada haiwan-haiwan sarkas. Kadang-kadang Sarah dipertunjukkan dalam keadaan hampir bogel, hanya pakai sehelai kain kecil yang tutup alat kemaluannya. Itu pun atas desakan dia sebab kawasan tersebut adalah suci menurut budayanya. Dipercayai yang Sarah menjadi peminum dan perokok tegar untuk bertahan dengan penghinaan yang teruk itu.

Dilayan seperti haiwan untuk keuntungan orang lain. Imej daripada kentakepage.com

Pertunjukan Sarah mendapat perhatian George Cuvier, seorang naturalis. Reaux setuju untuk benarkan Cuvier mengkaji Sarah sebagai spesimen sains. Pada Mac 1815, dia telah dikaji oleh pakar anatomi, zoologi dan fisiologi dari Perancis.

Cuvier buat kesimpulan yang Sarah ni adalah rantaian antara haiwan dan manusia. Jadi, Sarah digunakan sebagai stereotaip yang menyatakan orang-orang Afrika ni mempunyai kehendak seks yang kuat dan kaum yang lebih rendah tahapnya. Akhirnya, Sarah terpaksa jadi pelacur di pesta dan keraian tertutup. Dia percaya dia boleh dapat wang jika menjadi objek seks.

Dibuat kajian atas tujuan sains. Imej daripada peacebenwilliams.com

Sarah meninggal pada 1816 semasa berumur 26 tahun atas sebab ‘penyakit keradangan dan letusan’ akibat daripada  pneumonia, sifilis atau alkoholisme. Lepas dia meninggal, tubuhnya dijadikan bahan kajian ‘saintifik’ dan ‘perubatan’ untuk mempromosikan stereotaip kaum.

Cuvier dapatkan mayat Sarah daripada polis dan buat acuan plaster tubuh Sarah sebelum mayatnya dibedah. Dia awet rangka Sarah atas nama sains. Otak dan alat kelamin Sarah pun diawet dan diletakkan dalam balang untuk dipamerkan di Musée de l’Homme (Muzium Manusia) sehingga tahun 1974. Cuvier beritahu yang pergerakan Sarah seperti seekor monyet dan alat kelaminnya seperti alat kelamin orang utan.

Acuan tubuh Sarah dipamerkan selepas kematiannya. Imej daripada pinterest.com

Presiden Nelson Mandela telah meminta kerajaan Perancis untuk pulangkan semula mayat Sarah supaya dia dapat bersemadi dengan aman. Proses tersebut mengambil masa 8 tahun sebab Perancis harus buat draf dengan teliti supaya tak ada negara lain yang nak claim Sarah daripada diorang. Akhirnya pada 6 Mac 2002, Sarah Baartman dibawa pulang ke Afrika Selatan. Pada 9 Ogos 2002 (Hari Wanita), Sarah dikebumikan di Hankey, Cape Timur.

Pengebumian Sarah Baartman di Afrika Selatan pada 2002. Imej daripada pinterest.com

3. Didakwa sebagai ‘Kanak-kanak Aztec’ dari sebuah kota yang hilang

Maximo dan Bartola pertama kali muncul pada 1848. Diorang menghidap microcephalic (otak tak dapat berkembang secara normal) dan berasal dari Kampung Decora di St. Salvador. Pasangan adik-beradik ni dilahirkan dengan kemampuan intelektual yang rendah dan perlukan penjagaan rapi. Ibu diorang, Marina Espina bagi kedua-dua anak dia kepada pedagang Sepanyol, Ramon Selva.

Ramon janji dengan Marina yang dia akan bawa Maximo dan Bartola ke Amerika untuk berubat. Tapi, Ramon pergi jual dua beradik tu kepada seorang promoter Amerika bernama Morris. Untuk perkenalkan Maximo dan Bartola ni kepada orang ramai, Morris telah reka cerita pasal diorang.

Maximo dan Bartola. Imej daripada sideshowworld.com

Pada waktu tu, Amerika pun beria-ia nak tahu pasal etnologi ni. Minat diorang pasal tamadun Mayan meningkat selepas beberapa siri penjelajahan dan penerbitan. Morris jual booklet setebal 48 muka surat sempena pameran Maximo dan Bartola yang dia adakan. Booklet tu berjudul Life of the Living Aztec Children yang kononnya beritahu pasal penemuan Maximo dan Bartola di sebuah kuil di kota yang hilang.

Dalam booklet tu, Maximo dan Bartola didakwa dijumpai sedang mencangkung. Diorang juga dikatakan adalah ahli kepada sekumpulan kaum suci yang dulunya pernah dipuja oleh penduduk kota. Untuk nampak lebih dipercayai, Morris pakaikan dua beradik ni dengan pakaian ala orang Aztec.

Rambut diorang pulak dibiarkan tumbuh lebat. Disebabkan diorang ni rendah dan kepala kecil, penampilan diorang nampak lagi pelik. Orang awam yang tengok diorang percaya bulat-bulat yang Maximo dan Bartola ni memang datang dari tamadun purba.

Maximo dan Bartola dalam pakaian Aztec. Imej daripada pinterest.com

Pertunjukan Maximo dan Bartola bukan saja dapat sambutan hangat daripada orang awam, tapi komuniti saintifik pun berminat untuk mengkaji diorang. Ada banyak kertas yang diterbitkan berkenaan Maximo dan Bartola termasuklah daripada American Journal of Medical Sciences. Keaadaan ni menyebabkan dua beradik tu jadi kesayangan orang ramai dan masyarakat kelas tinggi. Sampaikan diorang jadi tetamu Presiden Fillmore di White House.

Pada 1853 Morris bawa Maximo dan Bartola ke England. Diorang dipamerkan dan dipanggil ke Istana Buckingham. Semasa pameran awam diorang kat London, diorang berjaya tarik 3 ribu orang dalam masa dua hari. Pakar anatomi, Prof. Richard Owen yang melawat diorang mula berdebat dengan komuniti saintifik Eropah tentang apa itu ‘Kanak-kanak Aztec’.

Perdebatan diorang ni menaikkan populariti Maximo dan Bartola. Di mana saja yang diorang pergi, diorang akan jadi bahan kontroversi dan teka-teki. Diorang dianggap sebagai contoh kepada satu kaum yang tak dikenali. Diorang ialah ‘Kanak-kanak Aztec’ terakhir.

Poster pertunjukan Maximo dan Bartola di Istana Buckingham pada 1853. Imej daripada commons.wikimedia.org

Maximo dan Bartola kembali semula ke Amerika Syarikat. Kali ni untuk pertunjukan di Barnum’s American Museum. Barnum namakan semula diorang sebagai ‘The Aztec Wonders’ (Keajaiban Aztec). Kebanyakan gambar-gambar diorang yang wujud adalah dari era ini.

Tapi minat orang ramai terhadap dua beradik ni berakhir apabila para wartawan dan komuniti saintifik jumpa penemuan yang lebih sahih. Untuk dapatkan semula minat orang ramai, pada 7 Januari 1867 di London, Maximo dan Bartola dikahwinkan sesama sendiri.

Diorang dikahwinkan dengan guna nama Senior Maximo Valdez Nunez dan Senora Bartola Velasquez. Walaupun diorang ni adik-beradik, tapi didakwa kononnya mengikut ‘budaya Aztec’, perkahwinan sebegitu dibenarkan. Cubaan ini membawa kegagalan besar.

Kena kahwin dengan adik-beradik sendiri. Imej daripada pinterest.co.uk

Maximo dan Bartola hilang daripada rekod sejarah pada 1890, kecuali ada rekod pada 1901. Kematian diorang pun tak diketahui. Ada lagi beberapa pameran pada abad ke-19 dan ke-20 atas nama ‘Aztec’. Tapi kesemuannya disebabkan oleh penyakit microcephalic. Otak Maximo dan Bartola disamakan dengan otak kera. Daripada situ, dianggap yang diorang ni mungkin rantaian yang hubungkan kera dan manusia. Pendek kata, diorang ni dikatakan dari kaum yang separuh manusia-separuh kera.

Baby yang menghidap microcephalic. Imej daripada caribbean360.com

Tamadun lain ada yang wujud lebih lama sebelum kebangkitan orang kulit putih

Pada zaman dulu, kepercayaan tentang ketuanan orang kulit putih (white supremacy) adalah biasa. Orang yang datang daripada keturunan Eropah percaya yang diorang lebih berbudaya dan hebat dari segi moral. Jadi, diorang ‘lebih sesuai’ dari segi kapasiti fizikal dan intelektual berbanding orang Afrika Amerika, orang asli Amerika dan lain-lain. Melalui pertunjukan-petunjukan aneh (freak shows), penonton boleh bandingkan diri diorang lebih baik (ideal) daripada manusia-manusia yang dipamerkan tu

Freak shows di Coney Island, Amerika Syarikat. Imej daripada gettyimages.com

Tapi berdasarkan sejarah, tamadun Afrika sebenarnya wujud dulu sebelum kebangkitan bangsa kulit putih (caucasian). Walaupun begitu, ahli-ahli sejarah Euracentric akan selalu cuba jadikan orang Afrika dan kaum lain untuk nampak lebih rendah daripada caucasian. Kejayaan tamadun Mesir dan Nubian disembunyikan sampailah ahli sejarah seperti Cheikh Anta Diop, Ivan Sertima, Amiri Baraka, Molefi Kete Asante, Rashidi Runoko dan lain-lain datang membongkar sejarah tersebut kepada dunia.

Orang Afrika dan bangsa lain banyak menyumbang dalam bidang sastera, sains, astrologi, muzik dan bidang seni lain. Tapi, apabila bangsa caucasian naik, diorang lihat bangsa-bangsa lain terutama dari Afrika (kulit hitam) sebagai primitif dan samakan mental diorang seperti kera atau monyet.

Empayar Ghana pernah ada lombong emas yang sangat besar. Imej daripada listverse.com

To Top

Send this to a friend