Serangan Bukit Kepong: Pelan Chin Peng untuk mengambil alih Malaya

*Artikel ini pernah diterbitkan pada 23 Februari 2021*

Bila disebut pasal peristiwa Bukit Kepong, mungkin ramai dah boleh agak itu merupakan salah satu insiden yang perlu diingati oleh semua orang. Tapi, masihkah korang ingat apa sebenarnya yang terjadi pada masa itu? Mungkin ada juga yang sudah lupa tentang apa punca insiden di Bukit Kepong ini terjadi sampaikan ada yang masih mengagungkan ideologi komunisme itu,

Kali ni kitorang nak cerita kembali kisah disebalik peristiwa Bukit Kepong itu sendiri, ini juga boleh educate generasi baharu yang mungkin agak kabur tentang apa yang terjadi, macam mana ia boleh terjadi dan siapa yang bertanggungjawab. Kalau korang nak tahu dengan lebih lanjut, boleh teruskan membaca artikel ini.

Tragedi serangan Balai Polis di Bukit Kepong semasa darurat di Tanah Melayu

Anggota-anggota polis di Bukit Kepong. Imej dari Berita Harian

Untuk yang tak tahu langsung, peristiwa Bukit Kepong ni sebenarnya satu tragedi dahsyat yang berlaku pada 23 Februari 1950. Ia melibatkan sebuah Balai Polis di Bukit Kepong (dah jadi muzium), Muar yang diserang oleh Parti Komunis Malaya yang bertindak ganas semasa negara berada dalam keadaan darurat (Darurat Malaya) yang bermula pada 1948 hingga 1960.

Darurat itu diisytihar oleh pihak British selepas Parti Komunis Malaya dan juga Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) mengambil pendekatan lebih agresif untuk mendapatkan ‘kemerdekaan’ selepas baru sahaja dijajah oleh tentera Imperial Jepun. Dalam pada itu mereka merasakan yang mereka perlu berjuang untuk keluarkan diri mereka daripada cengkaman penjajahan British pula (tapi dengan cara yang agak tak elok).

Darurat Malaya (1948 – 1960). Imej dari Blogger

Kenapa tak elok? Sebab pegawai-pegawai polis yang diserang tu pun adalah orang tempatan dan bukan orang British pun. Walaupun pengganas komunis ni mempunyai niat nak mencapai kemerdekaan dengan memerangi British dari Malaya, ia tetap tidak masuk akal apabila yang jadi mangsa keganasan mereka tu adalah orang kita sendiri. Dalam pada itu, dikatakan juga mereka ni juga selalu mencetuskan huru-hara di kampung-kampung dan bandar terpencil (nak kemerdekaan tapi target orang kampung pula dah).

Tan Sri JJ Raj (Jr). Imej dari iTimes

“Kejadian serangan berkenaan disedari orang kampung (pada awalnya). Maklumat tersebut kemudian disampaikan ke Balai Polis Lenga dan akhirnya Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pagoh dimaklumkan mengenai kejadian itu. Semasa dalam perjalanan (ke Balai Bukit Kepong), kami melihat bot polis telah dibakar oleh pengganas komunis. Disebabkan itu, saya dan anggota terpaksa meredah hutan belantara selama empat jam sebelum sampai ke Bukit Kepong,” Tan Sri JJ Raj (Jr), Bekas Ketua Polis Daerah Pagoh, petikan dari Sinar Harian

Betul licik pengganas komunis ni, sampaikan ambil keputusan untuk bakar bot polis dulu supaya bantuan lambat sampai. Lagi satu zaman tu kan alat komunikasi ni terhad, susah untuk melaporkan tentang sesuatu perkara secara pantas. Balai lain dapat tahu pasal serangan tu pun melalui maklumat orang kampung je.

Chin Peng, bapak segala komunis di Malaya

Chin Peng. Imej dari The Rakyat Post

Untuk pengetahuan korang semua lah kan, insiden di Bukit Kepong tu takkan terjadi kalau seorang pengamal politik dengan ideologi komunisme seperti Chin Peng ni ada. Siapa Chin Peng ni? Chin Peng merupakan ketua gerila komunis atau lebih tepat lagi adalah antara pemimpin tinggi Parti Komunis Malaya ketika itu. Dia merupakan punca kepada Darurat Malaya pada 1948.

Ironinya, sebelum pemberontakan komunis yang dipimpin Chin Peng ni, dia merupakan liaison (orang yang mempunyai hubungan rapat) dengan pihak Komando British dan bersama-sama memerangi tentera Imperial Jepun. Disebabkan itu, Chin Peng telah dianugerahkan pingat Order of the British Empire (OBE) disebabkan keberaniannya itu, tapi macam mana dia boleh berpaling tadah daripada seorang liaison kepada pengganas pula kan.

Chin Peng ketika diberi pingat OBE. Imej dari The Rakyat Post

Dikatakan selepas sahaja British kembali mengambil alih Malaya, pihak British mengumumkan cadangan daripada Malayan Union untuk memberi kerakyatan pada kaum Cina Malaya ketika itu. Cadangan itu tidak berapa digemari oleh sebilangan besar populasi Melayu hingga memaksa British untuk menarik balik cadangan itu dan sekaligus perkara itu membangkitkan kemarahan Chin Peng dan PKM.

Pada 1948, Chin Peng yang berumur 24 tahun ketika itu dan juga menyandang jawatan Setiausaha Agung dalam Parti Komunis Malaya (PKM), dikatakan telah mengarahkan pemberontakan bersenjata terhadap pemimpin British di Malaya. Semua itu dimulakan dengan pembunuhan tiga orang pengurus ladang getah berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak, hingga memaksa British mengisytiharkan Darurat Malaya sejurus selepas berita pembunuhan itu yang berlarutan selama 12 tahun.

Perkara ini menjadi lebih parah apabila pengganas komunis mula membakar kampung-kampung, menyerang balai polis (salah satunya Balai Polis Bukit Kepong) dan merancang pembunuhan berprofil tinggi, ini termasuk pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Henry Gurney, pada tahun 1951. Dikatakan, lebih 10 ribu nyawa telah terkorban akibat daripada ‘perjuangan’ Chin Peng ni dan sebahagian besarnya adalah rakyat tempatan sendiri. Itu membuatkan British mengenakan bounty sebanyak 250,000 Straits Dollar kepada sesiapa yang dapat tangkap Chin Peng secara hidup-hidup.

PKM dalam peristiwa Bukit Kepong dan penglibatan dalam serangan yang lain

Balai Polis Bukit Kepong. Imej dari PeKhabar

Harus diingat bahawa PKM ni merupakan parti yang berbilang bangsa, dalam parti itu pun ramai orang Melayu yang bersama-sama memperjuangkan ‘kemerdekaan’ dengan cara yang salah. Dikatakan serangan bermula dalam pukul 4 pagi, ia diketuai oleh Mat Indera (komunis Melayu) bersama dengan Goh Peng Tun. Dikatakan sejumlah 180 orang komunis bersiap siaga dalam hutan dan mengepung sekitar Balai Polis itu bagi menjayakan serangan berkenaan.

“Saya meluangkan masa melakukan rondaan di pekan Bukit Kepong bersama Jamil (Sarjan Jamil Mohd Shah, Ketua Balai Polis Bukit Kepong), Ali (Penghulu Bukit Kepong) dan beberapa orang mata-mata (Polis) dengan menggunakan basikal. Namun, kami tidak menyedari bahawa seramai 180 anggota komunis sedang menyorok di sekitar kawasan itu. Saya tak sangka serangan Balai Polis Bukit Kepong berlaku selepas 15 jam saya tinggalkan tempat itu,” Tan Sri JJ Raj (Jr), Bekas Ketua Polis Daerah Pagoh, petikan dari Sinar Harian

Lukisan Balai Polis Kuala Krau yang menjadi sasaran pertama komunis. Imej dari Iluminasi

Peristiwa di Bukit Kepong bukan lah satu-satunya insiden yang melibatkan PKM ni, banyak lagi tempat yang telah diserang oleh mereka sepanjang Darurat Malaya. Semua serangan ni dilakukan bagi mencapai sasaran PKM itu sendiri iaitu menggoyahkan kedudukan British di Tanah Melayu dan juga mencapai ‘kemerdekaan’ mengikut cara mereka.

Dalam pada itu, pengganas PKM juga bertindak membakar berek dan balai polis sejurus selepas serangan mereka dan itu menyebabkan ahli keluarga anggota polis yang berjuang juga terkorban. Ini sekaligus melibatkan isteri dan anak-anak kecil yang tidak bersalah juga menjadi mangsa kepada komunis ni, itu merupakan antara kesalahan terbesar kalau nak ikut undang-undang perang.

Mengambil pengajaran dari peristiwa ini

Antara yang terkorban semasa peristiwa Bukit Kepong. Imej dari Utusan

Kesuluruhan angka korban di Bukit Kepong sangat lah menyedihkan, sebanyak 25 nyawa telah terkorban dan 17 daripadanya adalah polis yang merupakan warga tempatan, selebihnya adalah segelintir penduduk kampung dan ahli keluarga polis itu sendiri. Kesemua mereka yang terkorban bukan lah orang British pun.

Adakah itu menjadikan mereka (PKM) sebagai pejuang? Tidak sama sekali. Jika mereka hanya memerangi British, kenapa mereka perlu sampai melibatkan warga tempatan dalam penderitaan itu. Disebabkan itu, mereka yang mengatakan PKM ini merupakan pejuang tanah air sangatlah terpesong pemikirannya tentang cara mendapatkan keamanan.