Kenyataan-kenyataan dari menteri yang buat kita semua bingung

Kalau waktu sekolah dulu, apa alasan yang korang bagi kalau tertinggal buku di rumah atau tak siapkan kerja sekolah kepada cikgu? Selalunya mesti jawapannya:

  1. “Maafkan saya cikgu, saya tertinggal di rumah.”
  2. “Rumah saya banjir cikgu, air banjir hanyutkan kerja sekolah saya.”
  3. “Ada pencuri masuk rumah saya, lepastu dia curi kerja sekolah saya.”
  4. “Saya tak hadir la cikgu, masa cikgu bagi kerja sekolah.”

Kalau ini alasan yang korang bagi masa di sekolah dulu, korang memang legend! Tetapi kali ni bukan nak borak sangat pasal memori zaman sekolah ke apa.

GIF dari Imgflip.

Kerana kali ni kami ingin senaraikan kenyataan dan jawapan pelik dari para menteri kita, seperti…

1. DS Najib: “Kangkung dulu naik sekarang dah turun!”

Masihkah korang ingat dengan kenyataan DS Najib di Kemaman pada tahun 2014? Kalau nak tahu beliau ada menyatakan penurunan harga kangkung. DS Najib menyatakan banyak harga barang sudah naik, tapi ada barang yang harganya dulu naik tapi dah turun iaitu “KANGKUNG“. Beliau juga memarahi orang ramai kerana kenapa bila harganya turun tak puji kerajaan.

Cuba tengok video ni:

Disebabkan kenyataan itu, ramai orang jadikan ia sebagai bahan meme di seluruh media sosial. Pelbagai gambar-gambar kelakar mengenai DS Najib dengan kangkung. Contohnya yang ni:

Bukan KFC tapi KFB. Imej dari Tukar Tiub.

Oh ye, siapa masih ingat dengan video ni…

Memandangkan kita bincang pasal kangkung, kita pergi kepada ayam pula iaitu…

2. Datuk Hasan Malek: Makan benda lain kalau harga ayam naik

Terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab yang menaikkan harga ayam yang tak masuk akal semasa Hari Raya Aidilfitri pada 2013. Ia telah membuatkan ramai orang marah kerana pihak tersebut sengaja mengaut keuntungan memandangkan time raya ramai nak beli ayam untuk lauk raya.

Mungkin kita mengharapkan pihak atasan akan dapat bantu isu ini. Datuk Hasan Malek sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri pada masa itu tampil bagi menyelesaikan isu ini. Akan tetapi, ini apa yang beliau katakan:

“Pengguna perlu guna kuasa untuk ajar pihak tidak bertanggungjawab, kalau tengok harga naik jangan beli ayam tapi beli daging pula.” – Datuk Hasan Malek, dipetik dari mStar.

Imej dari Anak Sungai Derhaka.

Beliau menyuruh kita semua untuk menggantikan makanan lain selain daripada ayam iaitu daging atau ikan. Perkara ini telah menimbulkan kemarahan pengguna kerana sepatutnya beliau membanteras pihak yang tak bertanggungjawab menaikkan harga ayam bukan tukar makanan lain.

3. Ku Nan: Jangan beli rumah kalau harganya naik

Imej dari Briged Kibaran Bendera

Seperti yang kita tahu, harga rumah di sekitar Lembah Klang memang sangat mahal. Rata-rata kos harga untuk harga rumah di sekitar kawasan tersebut melebihi setengah juta ringgit ke atas.

Tapi jangan risau, kalau korang nak cari rumah dengan kos yang rendah di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur, boleh check-out laman web Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan boleh mohon Rumah Selangorku (untuk kawasan Lembah Klang) dan Rumawip (untuk kawasan Kuala Lumpur).

Ku Nan kata jangan merungut? Imej dari Malay Mail.

Baiklah kita berbalik semula kepada topik, semasa isu harga rumah naik, Datuk Seri Utama Tengku Adnan bin Tengku Mansor atau nama manjanya Ku Nan (Menteri Wilayah Persekutuan) menyatakan mereka yang merungut kenaikan harga hartanah tidak perlu membelinya jika berasakan pemaju menaikkan harga hartanah sesuka hati.

Beliau juga menyatakan harga rumah ditentukan mengikut pasaran dan orang ramai berhenti merungut.

“Kamu semua merungut. Semua harga naik sedih dan nak hidup yang senang … kadang-kala kita perlu bayar untuk menikmati semua ini.” – Ku Nan, dipetik dari Briged Kibaran Bendera.

4. DS Zahid Hamidi: Boleh keluar Malaysia kalau tak suka sistem politik kita

Imej dari New Mandala.

Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi mengatakan mana-mana rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan sistem politik Malaysia ini boleh meninggalkan negara ini. Beliau berkata rakyat harus setia dan menghormati kedaulatan undang-undang negara kita.

“Malaysia mewarisi sistem politik dari United Kingdom dan negara-negara Komanwel banyak juga menggunakannya di mana parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya itu hanya akan mempunyai seorang wakil di setiap kawasan dengan prinsip majoriti mudah undi.” – Datuk Seri Zahid Hamidi, dipetik dari Wanista.

Beliau juga berkata pemimpin pembangkang rata-rata dari PKR tak bertanggungjawab dalam mengelirukan pengundi berbangsa Cina dari kalangan pemuda serta pengikut mereka yang ‘buta politik’ berpakaian hitam untuk membantah keputusan PRU-13.

5. DS Ismail Sabri: Tanam sayur sendiri untuk jimat perbelanjaan dapur

Sebelum menjadi Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Kalau nak tahu lebih lanjut lagi mengenai biodata atau penglibatan beliau dalam kerajaan, korang boleh check out artikel kami di sini.

Baiklah, semasa DS Ismail Sabri menjawat jawatan menteri tersebut, kenaikan harga sayur mula menunjukkan taringnya. Ramai pengguna tidak berpuas hati dengan isu tersebut. Jadi, beliau mengeluarkan satu solusi iaitu ‘tanam sayur sendiri‘. Beliau turut berkata selain menjimatkan perbelanjaan dapur, ia secara tidak langsung dapat menurunkan harga sayur di pasaran kerana permintaan terhadapnya berkurangan.

“Melalui Kempen Tanam Sendiri Jimat Belanja yang dianjurkan oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Penguna Malaysia (FOMCA) yang dijalankan sejak tiga tahun lalu dapat membantu rakyat menjimatkan perbelanjaan harian.” – DS Ismail Sabri, dipetik dari FOMCA.

Imej dari Sinar Harian.

Pelbagai reaksi netizen mengenai kempen ini, ada yang mengatakan kempen ini bagus juga kerana menggalakkan orang ramai terlibat dalam sektor pertanian. Akan tetapi, ada juga mengatakan sepatutnya DS Ismail Sabri cari jalan lain yang betul untuk menurunkan harga sayur.

Adakah munculnya sudut positif dalam kenyataan-kenyataan di atas?

Sebenarnya bila difikirkan balik, ada juga kenyataan-kenyataan pelik dari mereka ni yang sebenarnya bernas dan bijak. Contohnya, kita boleh lihat dari kenyataan Ismail Sabri. Ye, memang kita akan fikir sepatutnya beliau seharusnya mencari jalan yang betul-betul bijak kalau nak turunkan harga sayur.

Akan tetapi, inisiatif menanam sayur sendiri di rumah juga boleh dikatakan bagus bagi menggalakkan lagi orang ramai terlibat dalam sektor pertaninan (macam kami cakap di atas haha).

Imej dari Imgflip.

Selain itu, kenyataan Datuk Hasan Malek juga ada sudut positifnya. Hmmm…bila fikirkan balik boleh je orang ramai menukar makanan lain selain daripada ayam. Namun, jika makanan lain itu jauh lebih murah daripada ayam, ia tak mengapa, tetapi kalau harganya sama atau lebih mahal daripada ayam, so, tak boleh juga la. Satu lagi, ayam ni boleh dianggap makanan ruji orang Malaysia la kerana hari-hari kita makan ayam.

Hmmm…mungkin agaknya artikel seterusnya kami boleh tulis kenyataan menteri yang mengubah sesuatu perkara?