Tani Yutaka: ‘Yakuza’ yang memeluk Islam selepas menetap lama di Tanah Melayu

Penjajahan Jepun di Tanah Melayu merupakan sebuah sejarah hitam yang sering diceritakan oleh masyarakat kita sehingga hari ini lebih-lebih lagi ketika Hari Kemerdekaan.

Namun, ramai tidak tahu bahawa pada abad ke-20 terdapat seorang rakyat Jepun membina sebuah kumpulan gangster yang digeruni di Tanah Melayu. Dengar cerita ketuanya ni pernah menjadi perisik untuk tentera Jepun, betul ke? Takpe, mari kami huraikan kisah seorang rakyat Jepun yang menubuhkan kumpulan gangster di Tanah Melayu.

Kisah bermula dari seorang pemuda Jepun iaitu…..

Tani Yutaka yang membuka kedai runcit di Kuala Terengganu

Tani Yutaka seorang rakyat Jepun yang bermastautin di Tanah Melayu. Imej dari Wikipedia.

Tani Yutaka dilahirkan pada 1910 di Minami-ku, Fukouka, Jepun tetapi belum umurnya cukup setahun, keluarganya telah berpindah ke Tanah Melayu. Bapanya juga telah membuka sebuah kedai gunting rambut di Terengganu.

Tani sangat suka memakai baju melayu, sampin serta bersongkok walaupun dia berbangsa Jepun, malah dia dan keluarga sangat fasih berbahasa Melayu. Bukan itu saja, mereka juga sangat menjaga hubungan dengan penduduk-penduduk Tanah Melayu.

Berdasarkan beberapa rujukan, dia telah memeluk agama Islam dan menukarkan namanya kepada Mohd. Ali bin Abdullah. Dia juga dikatakan telah mengahwini seorang wanita Melayu secara rahsia tetapi tak lama lepastu dia bercerai.

Semasa umurnya 21 tahun, Tani telah pulang ke Jepun untuk menyambung pengajian. Ada juga laporan mengatakan dia telah pulang ke tanah air kerana ingin memenuhi tanggungjawabnya sebagai anak Jepun iaitu perkhidmatan ketenteraan.

Selepas tamat pengajian, Tani telah pulang ke Tanah Melayu bagi menyambung legasi perniagaan keluarganya. Tapi, dia tidak menjalankan perkhidmatan gunting rambut bapanya sebaliknya, dia telah membuka kedai runcit yang bernama Yamada & Co.

Kedai runcit Tani Yutaka. Imej dari The Patriots.

Bagaimanapun, hidup Tani berubah selepas insiden hitam berlaku kepada adiknya dan menubuhkan sebuah…..

Kumpulan gangster yang diberi nama Harimau Malaya

Ahli keluarga Tani Yutaka. Imej dari Malaya Black & White.

Disebabkan Insiden Mukden pada 1931 iaitu tentera Jepun menyerang masyarakat Cina, orang Jepun yang tinggal di sekitar Tanah Melayu telah dipulaukan.

Kaum Cina yang memprotes telah menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap golongan minoriti penduduk Jepun sehingga memboikot syarikat perniagaan mereka dan membuat rusuhan di jalanan.

Pada 16 November 1932, sebuah kejadian tidak diingini berlaku kepada keluarga Yutaka di mana premis perniagaannya telah dibakar oleh kaum Cina yang memprotes manakala adiknya, Shizouka Yutaka, telah dirogol secara kejam. Selepas dirogol, kepala adiknya telah dipancung.

Disebabkan insiden itu, Tani telah menyimpan dendam terhadap golongan protes itu lalu menubuhkan sebuah kumpulan gangster bersama dengan penyamun-penyamun Melayu-Siam yang diberi nama Harimau Malaya. Ada juga sumber mengatakan nama kumpulannya Harimao. Kumpulan ini juga dikatakan mempunyai seramai 30,000 hingga 50,000 orang ahli.

Perghh! orang Jepun pakai baju melayu. Imej dari Malaya Black & White.

Sebenarnya bukan sebab insiden itu sahaja dia menyimpan dendam tetapi perogol adiknya itu telah dibebaskan oleh sistem pengadilan British.

Harimau Malaya memulakan gerakannya pada 1933 dengan merompak di sekitar Terengganu dan Kelantan. Mereka juga menyerang kumpulan gangster dan usahawan Cina yang bersekongkol dengan British. Ohh ye, mereka juga telah menyerang pihak British bagi membalas dendam terhadap adik Tani.

Namun, Harimau Malaya ini bukanlah kejam seperti korang sangka kerana mereka melakukan tindakan seperti Robinhood iaitu memberikan hasil rompakan kepada golongan miskin di luar bandar.

Harimau Malaya sangat digeruni oleh kaum Cina dan penjajah British pada masa itu dan lama-kelamaan gerakan mereka semakin berkembang sehingga ke Singapura.

Pernah bertugas sebagai ejen perisik bagi tentera Jepun

Selain menjadi gangster, Tani juga dikatakan menjadi agen perisik. Imej dari Amazon.

Kejayaan tentera Jepun menakluk Tanah Melayu pada 1941 adalah disebabkan oleh kepimpinan seorang Jeneral Tentera Imperial Jepun yang bernama Tomoyuki Yamashita. Mereka juga sangat hebat kerana dapat menjajah Tanah Melayu dalam 70 hari sahaja dan merupakan antara tragedi terburuk bagi British.

Bukan itu saja, kejayaan mereka ini juga disebabkan penubuhan sebuah agensi perisik yang bernama Fujiwara Kikan dan diketuai oleh Mejar Fujiwara Iwachi. Sebelum berlakunya penaklukan, Mejar Fujiwara telah mempengaruhi Sultan-sultan di Tanah Melayu untuk bekerjasama dengan tentera Jepun dalam menewaskan penjajah British.

Haaa Inilah Mejar Fujiwara. Imej dari Daily O.

Untuk pengetahuan korang, Tani merupakan ahli Fujiwara Kikan yang telah membantu Mejar Fujiwara dalam mengumpulkan maklumat serta melancarkan perang gerila dengan tentera British.

Semasa pengakhiran penaklukan Jepun, Tani telah menghidap penyakit demam malaria dalam hutan di Johor pada 1942. Pada 17 Mac 1942, dia telah meninggal dunia di Singapura. Namun, ada beberapa rujukan mengatakan dia telah terbunuh semasa misi sabotaj sebuah empangan di Johor.

Kehidupan Tani Yutaka pernah diadaptasikan dalam filem

Marai No Tora antara filem yang menceritakan kehidupan Tani Yutaka. Imej dari IMDb.

Kemungkinan Tani Yutaka ini tidak berapa popular di Malaysia tetapi dia sangat popular di Jepun sehingga namanya tertulis di Kuil Yasukuni, Tokyo, Jepun. Korang jangan pelik pulak walaupun namanya tertulis di kuil itu tapi dia masih beragama Islam.

Kisah hidup Tani ini juga pernah ditulis dalam sebuah artikel dari Yoshi Shimbun pada 3 April 1942. Kemudian satu agensi media Jepun, Shukan Asahi juga menulis pasal riwayat hidupnya pada 31 Mei 1942.

Disebabkan permintaan Mejar Fujiwara, sebuah syarikat perfileman Jepun, Daiei, telah bersetuju untuk menghasilkan sebuah filem mengenai riwayat hidup Tani Yutaka yang berjudul Marai no Tora. Korang kena tengok filem ini kerana mereka ada menyanyikan lagu Rasa Sayang versi Jepun.