Selalu dapat panggilan spam? Ini cara nak hentikannya guna Akta 709

Kami rasa ramai pernah dapat panggilan spam dari bank suruh daftar kad kredit, takpun dari telemarketer yang nak jual produk. Menyampah betul kan?

Jangan risau, sebab ada satu akta yang boleh tolong korang hentikan panggilan spam ni, dan juga beberapa masalah lain berkenaan dengan data peribadi korang, iaitu Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709].

Tadaaa!! GIF dari Tenor

Tapi, kita ni bukan peguam, susah juga nak faham kegunaan akta tu dalam kehidupan seharian. Jadi, kami bersembang dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) supaya korang faham macam mana nak gunakan Akta 709 untuk tangani isu-isu seperti:

  1. Pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) meletakkan data peribadi korang di papan notis.
  2. Telemarketer yang tak berhenti call.
  3. Syarikat yang menyalahgunakan data perbadi korang.

Jom, kita mulakan dengan…

JMB tak boleh letak maklumat peribadi di notis pembayar ingkar

Selalunya, Badan Pengurusan Bersama (JMB) akan letak senarai pembayar ingkar di lif atau papan kenyataan:

Contoh senarai pembayar ingkar.

Tahu tak, sebenarnya pihak pengurusan tak boleh pamerkan data peribadi korang seperti nombor telefon dan nombor IC. Jadi, kalau senarai tu mengandungi butiran selain nama, nombor unit dan jumlah hutang, korang boleh minta diorang keluarkan maklumat tersebut menggunakan klausa Seksyen 42, Akta 709:

Satu lagi, pak guard di kawasan perumahan korang masih lagi minta simpan MyKAD atau lesen pelawat masa diorang datang menziarah ke? Haaa… sebenarnya diorang tak berhak simpan MyKAD atau lesen orang tau, diorang hanya boleh tengok dan catat butiran je. Jadi, kalau perkara ni masih berlaku, korang boleh bawakan isu ni kepada JMB dan minta diorang tukar SOP.

Menghentikan panggilan telemarketer

Menyampah kan? GIF dari Tenor.

Sebenarnya, ada 4 klausa Akta 709 yang boleh bantu korang menangani telemarketer dan panggilan spam (bukan scammer ye). Sebelum tu, jom kita tengok jap macam mana telemarketer ni boleh dapat nombor telefon korang.

Selalunya, bila kita menandatangani dokumen seperti dokumen bank atau syarikat telco, akan ada notis kecil yang mengandungi maklumat tentang cara data korang dikumpul, digunakan dan dihantar kepada pihak lain bagi tujuan promosi. Jadi, kemungkinan besar, kita sendiri yang bagi kebenaran kepada syarikat-syarikat ni untuk call kita.

Takpe, terlajak perahu boleh diundur. Ini 4 hak yang boleh digunakan (3 & 4 paling berguna):

1) Korang ada hak untuk semak info peribadi yang disimpan oleh syarikat tersebut

Kalau korang cuma nak tau, apakah data-data peribadi korang yang dimiliki oleh syarikat yang asyik call tu, korang boleh buat permintaan bertulis (contohnya e-mel) dan minta diorang kongsikan semua butiran berkenaan. Dalam e-mel tu, korang boleh petik klausa Seksyen 30, Akta 709: Hak untuk mengakses data peribadi.

Dari situ juga, korang boleh la tengok sama ada:

  1. Betul, memang korang sendiri bagi kebenaran untuk diorang call, atau
  2. Korang tak pernah bagi kebenaran pun, atau
  3. Nombor telefon tu betul, tapi data lain seperti e-mel dan nama salah (sebab Malaysia kan kitar semula nombor telefon).

Kalau situasi nombor 3 tu berlaku, korang boleh…

2) Suruh pihak syarikat betulkan data

Jika syarikat telemarketer ada data peribadi yang salah, korang boleh guna Seksyen 34, Akta 709: Hak untuk membetulkan data peribadi. Tapi, ni cuma bermanfaat kalau korang masih nak diorang simpan data perbadi korang la.

Tapi, kalau tak nak diorang call korang lagi…

3) Boleh minta telemarketer untuk keluarkan nama korang dari senarai panggilan

Haaa, kalau dah fed-up dengan semua panggilan tu, korang boleh tulis e-mel/surat untuk minta telemarketer keluarkan nama korang dari senarai panggilan. Korang boleh guna klausa Seksyen 43 (1), Akta 709, iaitu:

Kalau tu tak cukup lagi, korang juga boleh…

4) Tarik balik kebenaran untuk menggunakan data

Kalau sebelum ni korang pernah bersetuju untuk terima panggilan atau e-mel promosi, korang masih boleh tarik balik persetujuan tu di bawah Seksyen 38, Akta 709.

Mengikut klausa ni, korang boleh buat permintaan bertulis kepada syarikat tu. Tapi, mengikut salah seorang bekas staf Soscili, dia selalu cakap je kat telemarketer: Jangan call saya dah, saya nak nama saya dikeluarkan dari senarai panggilan korang mengikut Seksyen 43 Akta 709, dan saya tarik balik kebenaran untuk contact saya mengikut Seksyen 38, Akta 709. Kalau tak, saya akan buat laporan”.

Berdasarkan pengalaman dia, selalunya telemarketer takkan call lagi selepas kena sound macam tu. Tapi, memandangkan benda ni tak tertulis dalam akta rasmi, anggap jela sebagai khabar angin. Nak rasmi, kena buat permintaan bertulis. 😬

Kalau diorang masih keras kepala dan abaikan permintaan korang, boleh guna langkah seterusnya iaitu…

Laporkan syarikat tu kepada JPDP

Macam ni, korang dah minta untuk hentikan panggilan, tapi syarikat tu buat tak tahu je. Baik, ini langkah yang boleh dilakukan, dan apa tindakan JPDP seterusnya:

  1. Buat laporan terus kepada JPDP melalui laman web.
  2. Lepas laporan dibuat, pasukan penguatkuasaan mereka akan buat siasatan.
  3. Pasukan kerja perundangan mereka boleh bertindak untuk merampas dokumen dan mesin yang digunakan dalam penyalahgunaan data, dan mereka juga boleh menangkap orang.
Pergi je laman web JPDP kalau nak buat aduan. Imej dari JPDP.

Hukuman maksimum yang diorang boleh kenakan adalah denda RM 500k, penjara 3 tahun, atau kedua-duanya. Ye, hukuman memang berat sebab penyalahgunaan data ni adalah kes jenayah! JPDP juga ada kongsikan beberapa syarikat yang pernah kena, antaranya syarikat penerbangan dan telco. Dalam kes-kes yang diorang kongsikan, syarikat-syarikat tu dikenakan tindakan sebab diorang takde langkah keselamatan yang cukup ketat untuk pastikan data korang tak terbocor.

Walaupun JPDP boleh ambil tindakan yang keras, namun diorang tak boleh cover semua benda, sebab bidang kuasa Akta 709 terbatas untuk transaksi komersial sahaja.

Akta 709 tak boleh diguna untuk kes bukan komersial

Akta ni asalnya digubal untuk mengawal selia pengguna data, yang merujuk kepada perniagaan atau organisasi yang mengumpul, memproses dan menggunakan data orang awam.

Jadi, JPDP tak boleh ambil tindakan ke atas isu bukan komersial, seperti scammer yang cakap korang ‘berhutang’ dengan LHDN, atau isu peribadi dan hal rumah tangga.

Ini antara perkara yang PDPA takleh cover. Imej dari Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Sembilan.

JPDP juga ada kongsikan satu benda menarik. Dalam kebanyakan kes di mana data peribadi kita bocor, bukannya syarikat komersial yang bocorkan data kita, tapi kita sendiri yang bocorkannya melalui media sosial.

Ramai rakyat Malaysia dah ada kesedaran, tapi ramai juga yang masih leka masa berkongsi maklumat peribadi di media sosial. Contohnya ada yang kongsi nombor telefon, resit bank selepas buat pembayaran, gambar tiket kapal terbang dengan QR code yang orang boleh scan, malah screenshot MySejahtera.” – Uma A/P Annamallai, Pengarah Dasar & Perancangan Strategik JPDP.

Senang kerja scammer nak contact korang

Kalau korang rasa korang adalah mangsa scammer, kena buat laporan kepada polis tau, sebab ni dah luar bidang kuasa JPDP.

Apa yang penting, Akta 709 berfungsi untuk pastikan data kita tak dibocorkan dalam transaksi komersial. Jadi, kalau korang rasa ada individu/syarikat yang menyalahgunakan data korang, sekurang-kurangnya tahulah macam mana nak takutkan diorang lepas ni 😉.