Ada nampak label MyKasih ni masa beli belah? Ini tujuannya.

Baru-baru ni, korang mungkin perasan kemunculan label MyKasih ni kat sesetengah pasar raya:

Dan mungkin korang nampak logi ni kat juruwang juga.

Amende ni? Haa, sebenarnya ini penanda sejenis bantuan untuk beli barang dapur, dan yang menariknya…

Penerima bantuan ni boleh bayar pakai MyKad!

Kalau korang tak pernah dengar sebelum ni, MyKasih adalah sebuah NGO yang bertujuan membantu keluarga dan pelajar miskin. Jadi logo MyKasih yang korang ternampak kat pasar raya adalah penanda untuk sejenis bantuan yang dinamakan Sumbangan Asas Rahmah, atau ringkasnya SARA di bawah inisiatif Belanjawan 2023.

Penerima SARA dipilih daripada mereka yang layak mendapat Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan tergolong dalam kategori miskin tegar, mengikut data e-Kasih. Di bawah SARA, penerima akan dapat RM100 setiap bulan untuk enam bulan (Julai – Disember 2023, berjumlah RM600) secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad untuk beli barang dapur bagi penerima di Semenanjung Malaysia.

Bagi penerima SARA di Sabah, Sarawak dan Labuan, mereka akan menerima bantuan RM600 sekaligus melalui pengkreditan ke akaun bank/secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara bermula awal Ogos ini.

Proses pembayaran di kaunter MyKasih. Imej daripada MyKasih.

Yang menariknya, berbeza daripada STR, penerima SARA tak dapat wang tunai: setiap bulan, MyKad mereka akan terima kredit sebanyak RM100, dan kredit ni cuma boleh digunakan untuk beli barang dapur daripada jenama tertentu, di beberapa pasar raya yang terlibat.

Jadi macam mana nak tahu apa yang boleh dibeli? Kat sinilah gunanya label MyKasih yang kita nampak. Pasar raya yang terlibat akan letak label MyKasih pada barang-barang yang boleh dibeli menggunakan MyKad, dan setelah pilih apa yang nak dibeli, penerima perlu pergi ke kaunter juruwang yang ada logo MyKasih juga.

Contoh barang dapur dan jenama di bawah SARA. Imej daripada MyKasih.

Proses pembelian lebih kurang macam pakai kad debit. Masa nak buat bayaran, masukkan MyKad dalam mesin, masukkan nombor PIN, dan jumlah harga barangan akan ditolak daripada kredit yang kita ada. Kalau terlebih, kena topup duit sendiri, tapi kalau kurang, baki yang ada boleh terus digunakan sampai akhir program (Disember 2023).

Penerima akan dapat resit MyKasih, di mana mereka boleh semak baki kredit yang ada. Mudah, bukan?

Semudah a b c! Imej daripada MyKasih.

Tapi lepas dengar semua ni, mungkin korang tertanya-tanya…

Kalau takde pasar raya SARA berdekatan, kan leceh?

Sebenarnya banyak je pasar raya yang turut serta – korang boleh semak senarai penuh kat pautan ni. Kat Perlis saja pun ada lima.

Kangaq pun dah ada Giant sekarang. Imej daripada MyKasih.

Semasa artikel ni ditulis, hanya penerima dari Kedah, Pulau Pinang, Selangor, KL, Putrajaya, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Terengganu sahaja yang telah menerima bayaran SARA pertama mereka (pada 17 Julai). Penerima dari Perlis, Perak, Pahang, Melaka dan Johor bakal menerima bayaran pertama pada 31 Julai, manakala penerima dari Sabah, Sarawak dan Labuan bakal menerima bayaran penuh pada 7 Ogos.

Sabar ye. Gif daripada Tenor.

Namun begitu, menurut MyKasih, setakat 20 Julai, seramai 16,000 penerima sudah mula menggunakan bantuan SARA mereka, iaitu lebih kurang 13% daripada keseluruhan 210,000 lebih penerima SARA. Nampaknya sambutan bagi SARA menggalakkan setakat ini.

Nak jugak? Korang boleh periksa sama ada korang adalah salah seorang penerima SARA di laman web MyKasih, tapi kalau korang tak layak, jangan putus asa! Banyak bantuan lain dah diumumkan dalam belanjawan yang lepas, jadi korang boleh cuba semak laman web Belanjawan 2023 untuk tengok jika ada bantuan yang layak korang dapat tapi terlepas pandang.

Selamat mencuba!