Skandal jual nombor plat kereta. Duit bukan masuk poket JPJ tapi…

(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)

Pernah tak korang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan cakap dengan cermin pandang belakang,

“Kalau kereta aku boleh terbang kan bagus?” – monolog rakyat marhaen pada dirinya sendiri.

Sebenarnya tak mustahil tau sebab dah ada syarikat dari Belanda yang berjaya menghasilkan kereta terbang! Diorang dah ambil pra-pesanan dan akan mula hantar pada tahun depan. Nak? Tak mahal pun sebuah dalam RM1.5 juta je. Huhu.

Selamat tinggal rakyat marhaen! Imej dari Bold Business.

Tapi serius cakap, masa korang membontoti kereta dalam kesesakan trafik, perasan tak ada kereta yang nombor plat dia pelik-pelik? Ada BAMbee, PATRIOT, SUKOM dan bermacam lagi. Macam mana diorang dapat nombor plat ni? Berapa harga dia? Boleh tak nak buat nombor plat nama sendiri? Takpe mari kitorang tolong jawabkan.

Setiap nombor plat adalah unik tapi ada yang RM300, ada yang RM1,000,000!

Kalau korang beli kereta atau kapcai, sebelum boleh memandu di jalan, mesti kena daftar dulu dengan JPJ. Masa ini la korang boleh pilih nombor plat korang. Selalunya, abang JPJ ni akan paparkan nombor plat yang ada dan huruf pertama nombor plat tu akan menunjukkan dekat mana korang daftar kenderaan korang tu.

Contohnya kereta pertama di Perak yang didaftarkan mestilah ditulis A 1 pada nombor platnya, diikuti oleh kenderaan lain sampailah A 9999. Nombor plat dari A 1 sampai A 9999 ni kita panggil sebagai satu siri. Selepas habis satu siri, kenderaan seterusnya akan didaftarkan di bawah siri baru. Jadi lepas A, akan ada AA, AB, AC sampailah AYY. Tapi lain sikit di Langkawi, Sabah dan KL sebab diorang ada satu huruf selepas nombor plat.

Putrajaya punya F tapi kami tak muat nak letak lol. Imej dari CILISOS.

Tapi macam watak dalam drama, ada sesetangah yang kita suka lebih dari yang lain. Jadi untuk elakkan orang berebut, JPJ akan siarkan nombor-nombor ni untuk dilelong. Siapa yang bida paling tinggi, dialah empunya nombor plat tersebut.

Harga minima untuk dibida juga berbeza mengikut kategori: nombor premium (dari 1 sampai 10) yang minimumnya RM10,000 dan nombor yang lain minimumnya hanya RM300. Siapa yang obses sangat sampai sanggup bayar mahal-mahal untuk nombor plat ni?! Nombor tak cantik pun, kereta boleh gerak juga kan?

Sultan Johor memang dikenali sebagai peminat tegar kereta telah memenangi bidaan untuk nombor plat WWW 1, F 1 dan V 1 yang masing-masing bernilai RM520k, RM836k dan RM990k! JPJ Perlis juga dilaporkan mendapat hampir RM7 juta untuk penjualan siri nombor plat RM dan RR, serta siri plat nombor V dan F dibeli dengan jumlah keseluruhan RM40 juta. Di Perak pula, siri nombor plat AKU dibeli dengan RM3.5 juta termasuk AKU 1 yang dibeli dengan nilai RM207,898. Siapa sangka jual nombor plat ni boleh jadi kaya raya?

Biar kereta biasa, tapi nombor plat luar biasa! Imej dari CILISOS.

Rupa-rupanya, penjualan nombor plat ni dah jadi macam satu industri di mana ada geng ni digelar mafia nombor akan beli nombor-nombor cun dari JPJ dan kemudian akan jual semula dengan harga yang lebih tinggi. Tapi ada juga yang menjual nombor plat eksklusif ni untuk mendapatkan dana kebajikan atau untuk buat acara yang besar.

Lee Chong Wei jual siri nombor plat G untuk tolong atlet muda!

Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) telah menjual siri nombor plat PERFECT untuk menampung kos ketika menjadi hos Kejohanan Ping Pong Perfect 2016. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga telah memperkenalkan siri nombor plat RIMAU untuk memperingati acara Sukan SEA pada tahun 2017. Yayasan Lee Chong Wei juga ada menjual siri nombor plat G untuk membantu atlet-atlet muda yang berpotensi untuk mewakili negara.

Roar! Eh tu singa eh? Imej dari Berita Harian

Badan Pelancongan Negeri Pahang juga ada buat siri nombor plat VIP, Pergerakan Belia 1 Malaysia ada buat siri nombor plat IM4U, Pertubuhan Transformasi Anak Muda Malaysia dengan siri T1M-nya dan banyak lagi yang kalau kami cerita sampai boleh sejuk teh tarik korang tu.

Cara diorang menjual siri nombor plat ni adalah dengan meminta izin JPJ untuk menjual nombor plat, membayar yuran dalam lebih kurang RM1 juta. Organisasi ni kemudian boleh membuka nombor plat diorang ni untuk bidaan dan untung tu diorang ambil lah untuk buat acara yang diorang nak buat tu.

Disebabkan ianya terhad, kebanyakan nombor plat ni selalunya mahal sedikit dari yang nombor plat biasa. Setakat ni, nombor plat paling mahal ialah PATRIOT 1 yang dijual oleh Yayasan Patriot Negara (YPN), yang telah dibeli pada harga RM1,308,000 oleh pembida yang dirahsiakan identitinya. Walaupun tujuannya adalah untuk menggunakan duit tersebut untuk mempromosikan semangat patriotisme, ada yang tak puas hati sebab…

Kaw mampoo??!! Imej dari sumberberitasemasa.

Pengerusi kebanyakan organisasi ni adalah ahli politik, tapi Anthony Loke nak ubah semua ni!

JPJ mendapat kritikan apabila memberikan kebenaran untuk beberapa organisasi menjual siri nombor plat PATRIOT, PERFECT dan NAAM (Gerakan Afirmatif Baharu) sebab urusan berlaku secara perbincangan terus dan bukan melalui tender terbuka. Lagi orang tak puas hati sebab kebanyakan organisasi ini diterajui oleh ahli politik. NAAM diasaskan oleh Datuk M Saravanan, bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan manakala YPN pula dipengerusikan oleh Brig-Gen (B) Husainy Hasim, yang merupakan bekas Setiausaha Kerja UMNO.

Dalam erti kata lain, ada kebimbangan yang amalan ini adalah untuk mengkayakan kroni kerajaan. Ong Kian Ming juga merasakan ini tidak adil sebab JPJ hanya berikan kelebihan ini kepada organisasi yang pro kerajaan Barisan Nasional, dan tidak kepada organisasi yang lain.

Imej dari Meme Generator.

Anthony Loke ketika baru menjadi Menteri Pengangkutan berazam untuk menghentikan amalan ini, di mana dia berkata,

“Saya telah mengarahkan (kementerian) untuk menghentikan amalan ini. Setiap pembidaan plat kereta haruslah melalui JPJ… Saya tahu yang menteri (pengangkutan) boleh meluluskan outsourcing plat kereta tapi saya takkan benarkan.

JPJ tidak boleh buat sebarang pengecualian. Semua pendapatan dari (penjualan) plat kereta harus pergi ke tabung kerajaan.” – Sumber dari Malaysia Kini.

Tapi ini tidak bermakna kerajaan PH akan menghentikan pengeluaran plat kereta eksklusif ni. Malah mereka sedar ini boleh menjadi satu sumber hasil yang lumayan (RM280 juta pada tahun lepas), jadi….

Tun M dah cop dulu nombor plat MALAYSIA 2020!

Selari dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-61, proses pembidaan siri nombor plat MALAYSIA telah bermula pada 2 Julai dan akan tamat pada tengah hari 15 Ogos. Untuk memohon, boleh dapatkan borang secara percuma di mana-mana pejabat JPJ negeri, isi borang tersebut, bayar separuh jumlah bidaan korang dan bagi semula pada diorang. Kalau nak senang, muat turun saja borang secara online! 

Korang dah bida belum? Imej dari Berita Harian.

Untuk siri ni, korang boleh mohon semua nombor kecuali MALAYSIA 2020, sebab Tun M dah cop dulu! Ketua Pengarah JPJ, Shaharuddin Khalid menjangkakan lelongan siri ini boleh mencecah RM20 juta, dan duit ini akan dimasukkan ke dalam dana kerajaan.

“Kerajaan memerlukan hasil yang lebih tinggi dan dari segi pengangkutan, saya sebagai menterinya, boleh bertanya kepada kabinet untuk dana yang lebih sekiranya JPJ boleh meningkatkan hasil.

Jadi ini satu bentuk bantuan bersilang. Kalau kita boleh naikkan hasil, kita juga boleh minta lebih banyak dana untuk pengangkutan.” – Anthony Loke, seperti dilaporkan di Malaysia Kini.

Kalau korang rasa nombor plat Malaysia ni tak ada apa sangat, korang boleh la beli yang lain, sebab kementerian bercadang nak kenalkan siri nombor plat eksklusif mengikut negeri. Tak best jugak? Okay mereka juga bercadang untuk memperkenalkan nombor plat peribadi.

Agak-agak apa nombor plat kereta Bung Mokhtar? Imej dari mae.

“Nombor plat peribadi memang wujud di negara lain. Kami sedang mengkaji, dan kalau tak mustahil, kami akan kenalkannya pada masa akan datang.” – Anthony Loke, seperti dilaporkan oleh PaulTan.

Haaaaa jadi jangan terkejut kalau ada nampak Ferrari nombor plat dia SOSCILI 1! 

About Afiq Jamsari 11 Articles
Hotel yang sama, Harga yang sama?