Sejarah krisis MB Perak yang menyebabkan Sultan bernazar tak mahu cukur jambang

Kita baru saja dikejutkan dengan berita bahawa Menteri Besar (MB) Perak, Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. Ia terjadi selepas dewan mendapati Faizal hanya menerima 10 undi sokongan, berbanding 48 membantah dan satu berkecuali.

Keputusan ini sekaligus meletakkan Faizal tidak lagi layak menjawat kedudukan MB yang telah disandangnya sejak 2018. Faizal dalam kenyataan berkata, dia akan memaklumkan hal ini kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, selain menerima keputusan itu dengan hati terbuka bagi menjamin kestabilan negeri.

Muka muram Faizal lepas tahu keputusan ADUN. Imej dari Astro Awani.

Tapi, isu yang membabitkan MB Perak ni sebenarnya bukan kali pertama, dan ada lagi kisah yang lebih hangat keadaannya suatu ketika dahulu. Salah satunya termasuklah peristiwa di mana…

Sultan Perak bernazar tak mahu cukur janggut dan jambang, selagi MB tak letak jawatan

Bekas MB Perak, Ghazali Jawi (kanan), masa Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Tetap ASEAN . Imej dari 1foto.penerangan

Peristiwa ini bermula selepas terjadinya krisis antara MB Perak ketika itu, Tan Sri Ghazali Jawi (jadi MB Perak pada 1957) dengan Sultan Perak, Sultan Yussuff tentang isu pelantikan Raja Bendahara kepada Datuk Bendahara. Hal ini kemudiannya membuatkan Ghazali meletakkan jawatan pada tahun 1959.

Bagaimanapun, pada tahun 1974 – Ghazali sekali lagi dilantik sebagai MB Perak, apabila Perdana Menteri (PM) masa tu, Tun Abdul Razak memohon kepada baginda Sultan Perak, Sultan Idris untuk melantik Ghazali. Tapi ia datang dengan satu syarat iaitu pelantikan Ghazali hanya selama dua tahun saja dan lepas tu, baginda boleh melantik ADUN lain sebagai MB.

Isu ni mula menjadi hangat selepas dua tahun apabila Ghazali pula enggan melepaskan jawatan seperti yang pernah dijanjikan. Ia membuatkan berlakunya krisis antara Ghazali dan pihak istana, sehingga membuatkan Sultan Perak tak mahu hadir di mana-mana majlis yang ada Ghazali. Malah…

“Sultan mengambil tindakan bernazar dengan menyimpan janggut, misai dan jambang, iaitu selagi Haji Ghazali Jawi menduduki kerusi Menteri Besar, Baginda tidak bercukur.” – Mokhtar Petah, dipetik dari buku: Siapa Bakal Menteri Besar Perak.

Almarhum Sultan Idris Shah II, yang juga adalah Sultan Perak ke-33. Imej dari Orang Perak.

Akhirnya, selepas Tun Hussein Onn memegang jawatan Perdana Menteri, Ghazali dinasihat untuk meletakkan jawatan. Selepas itu, barulah Ghazali meletakkan jawatan pada tahun 1977 dan berakhirlah krisisnya dengan pihak istana. Sultan Perak juga selepas itu berkenan untuk bercukur janggut dalam satu upacara.

Mungkin kita juga masih ingat dengan krisis MB Perak pada 2009

Kekecohan di DUN Perak pada 2009. Imej dari mStar.

Kalau pada tahun 2009 pula, kita masa tu dihidangkan dengan berita krisis MB Perak melibatkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dengan Barisan Nasional (BN). Ia terjadi selepas empat orang ADUN PR bertindak keluar parti, jadi wakil bebas dan sokong BN. Ini menyebabkan PR hilang majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan MB masa tu, Nizar Jamaluddin minta supaya dewan dibubarkan.

Bagaimanapun, permintaan Nizar tu tak mendapat perkenan daripada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Nizar diarahkan untuk meletakkan jawatannya sebagai MB. Namun hal ni tak jadi, sebab Nizar tak mahu lepaskan jawatan, dan berlakulah kekecohan dalam DUN antara kedua-dua parti. BN dengan MB-nya, PR dengan MB-nya.

Isu ini kemudiannya ada dibawa ke mahkamah, tapi mula sejuk selepas beberapa bulan. Tak lama lepas tu, BN menerima mandat mentadbir Perak selepas menang majoriti pada PRU-13.

Situasi di Perak sekarang mungkin tak akan sekecoh dulu

Tu dia… Imej dari Tenor.

Dengan perkembangan baru yang menimpa Faizal Azumu, nampaknya kemungkinan ia tak akan sekecoh dulu sebab keadaan sekarang ni pun agak tak mengizinkan. Disebabkan dengan situasi ekonomi, pandemik dan sebagainya, kemungkinan isu peralihan jawatan MB tu nanti akan berjalan lancar seperti mana yang diingini semua pihak.

Faizal juga ada kata yang dia akan memastikan peralihan pentadbiran tu nanti berjalan baik, teratur dan lebih penting ia dilakukan dengan mendahului kepentingan rakyat. Tentang soal siapa akan jadi MB Perak yang baru, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Sultan Perak, untuk memutuskannya.

“Saya kira selepas itu Sultan Perak perlu membuat keputusan untuk memilih salah seorang daripada kami Ahli Dewan Undangan Negeri yang baginda percayai dapat memperolehi majoriti untuk menubuhkan kerajaan.” – Katanya dipetik dari Harian Metro.