Kemanusiaan

Maradona: Kenapa legenda ini digelar ‘dewa’ oleh penduduk bandar terpinggir di Itali?

Baru-baru ini, viral di seantero dunia tentang khabar berita seorang pemain bola sepak terkemuka dunia iaitu Diego Armando Maradona telah meninggal dunia pada 30 Oktober lepas di usia 60 tahun.

Mungkin ramai antara korang dah kenal dah pun siapa Maradona ni dalam bola sepak, tapi ramai tidak tahu sumbangan Maradona sebenarnya banyak lagi. Jadi hari ni kami nak ceritakan serba sedikit dekat korang pasal karier dia dan macam mana seorang yang bertubuh kecil seperti Maradona boleh menjadi pengaruh besar kepada ‘working class people’ di bandar Naples.

Mula menjadi pemain profesional seawal usia 14 tahun dan ambil keputusan berpindah ke kelab kecil Itali

Semasa Maradona bermain dengan Argentinos Junior. Imej dari Film Daily

Pada 1976, Maradona debut secara profesional dalam bola sepak bersama dengan pasukan Argentinos Junior pada usia 16 tahun di mana bakatnya dicungkil dari akademi pasukan itu sendiri seawal umur 8 tahun lagi. Sepanjang dia bersama Argentinos Junior, sebanyak 116 gol telah dijaringkan oleh Maradona dalam 166 perlawanan rasmi dan itu dianggap sangat hebat bagi seorang bakat muda pada masa itu.

Disebabkan pencapaian cemerlang Maradona, kelab bola sepak terkemuka Argentina iaitu Boca Juniors menyambar Maradona pada 1981 tapi sekejap je dia main kat situ sebelum berpindah ke Barcelona dengan rekod perpindahan bernilai 5 juta euro yang dianggap termahal di dunia pada masa itu. Di Sepanyol, tidak banyak yang dia boleh tunjuk walaupun telah memenangi 3 piala bersama Barcelona.

Hal ini kerana, terdapat pelbagai kontroversi yang berlaku di Sepanyol sampai Maradona terpaksa mengangkat kaki dari negara itu. Maradona terlibat dengan pergaduhan besar yang tercetus semasa perlawanan akhir Copa Del Rey 1984 menentang Athletic Bilbao yang pada masa yang sama perlawanan itu juga dihadiri Raja Sepanyol Juan Carlos.

Pergaduhan itu bagaikan memberi tamparan hebat kepada dia kerana ia tercetus susulan tackle keras oleh pemain Athletic Bilbao bernama Andoni Goikoetxea yang menyebabkan buku lali Maradona cedera dengan serius. Walaupun begitu, masanya bersama Barcelona masih dikira hebat walaupun hanya seketika.

Bandar Naples, bandar ketinggalan yang namanya melonjak selepas kedatangan Maradona

Sekitar bandar Naples (Napoli). Imej dari The Culture Trip

Pada 5 Julai 1984, Diego Armando Maradona diperkenalkan sebagai pemain Napoli FC disaksikan hampir 80,000 penonton di Stadium San Paolo dengan ada ‘banner’ yang tertulis ‘Maradona, the God’. Masa tu, Napoli FC bukan lah satu kelab yang besar sangat sebab Liga Itali ni didominasi oleh pasukan-pasukan bola sepak yang berada di ‘center of Italy’ seperti AC Milan, Internazionale (Inter Milan), Juventus dan AS Roma.

Napoli FC pula merupakan pasukan bola sepak yang berasaskan sebuah bandar di selatan Itali iaitu bandar Naples, bandar itu agak ketinggalan sikit la di belakang bandar-bandar utama kat Itali tu. Kat situ juga ada ‘vibe’ tradisional Itali oleh kerana mereka mengekalkan dan menjaga monumen-monumen lama kat situ.

Porta Capuana di Naples. Imej dari Trip Advisor

Pada masa itu, bandar Naples tidak lah dikira sebagai bandar yang maju kerana ia didiami oleh rakyat yang dikategorikan sebagai ‘working class’. Pasukan Napoli FC juga tidak berdiri di kalangan pasukan yang hebat dek kerana hanya menduduki tempat ke 12 atau pun 8 dalam liga dengan hanya mencatatkan 7 kemenangan sahaja sebelum kedatangan Maradona.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Selepas kedatangan Maradona, Napoli FC berjaya menjadi salah satu pasukan terbaik Eropah pada masa itu apabila dia mengetuai kelab untuk menjadi juara liga sebanyak 2 kali dan sentiasa konsisten berada di kelompok teratas liga selama 5 musim dia bermain di situ. Disebabkan kejayaan itu, orang ramai mula menumpukan mata mereka terhadap bandar Naples yang juga sinonim dengan ‘Bandar Maradona’.

Statistik sebelum dan selepas kedatangan Maradona. Imej dari Stadium Astro

Selepas tamatnya era Maradona di Napoli, dia masih dianggap dewa oleh peminat bola sepak di bandar Naples dengan masih adanya gambar dan mural dia terpampang di jalanan dan juga patung monumen Maradona didirikan untuk mengenang jasa seorang dewa yang memberi kemenangan ‘Scudetto’ pertama Napoli selepas 61 tahun tidak memenanginya. Yang menariknya, Napoli tidak pernah sekali pun menang Liga Itali lepas Maradona meninggalkan kelab itu.

Mengetuai kemenangan Argentina di Piala Dunia FIFA 1986 dan terpalit dengan kontroversi

Saat Maradona mengangkat Piala Dunia 1986. Imej dari These Football Times

Pada 1986, Maradona mengetuai Argentina untuk memenangi kejuaraan Piala Dunia. Mungkin korang terfikir, apa je yang dia buat sampai ada kontroversi besar kan? Sesuai dengan jolokannya sebagai dewa oleh peminat Napoli, Maradona telah menjaringkan gol menggunakan tangan semasa berdepan dengan England hingga insiden itu dikenali sebagai ‘Hand of God’.

Mungkin ada sorang la kot yang tak suka Maradona ni, penjaga gol England yang bermain masa tu adalah Peter Shilton dan dia ada mengeluarkan ‘unpopular opinon’ berkenaan Maradona sejurus selepas kematiannya. Shilton merupakan mangsa kepada insiden ‘Hand of God’ itu dan benda tu masih menghantui bukan hanya dirinya, malah kepada mereka yang mewakili skuad Piala Dunia 1986 England.

Gol ‘Hand of God’. Imej dari The Guardian

“Selepas dia menepis bola masuk ke dalam gawang gol menggunakan tangan, dia melihat pengadil dahulu sebelum meraikannya. Dia tahu apa yang dia dah buat, semua orang tahu. Dia merupakan seorang pemain yang hebat tetapi tidak ada semangat kesukanan,” – Peter Shilton (petikan dari DailyMail UK)

Walaupun dengan kontroversi tu, Maradona mengakhiri kempen Piala Dunia 1986 sebagai pemain terbaik dengan rekod 10 penglibatan gol (5 gol dan 5 bantuan gol) dalam 7 perlawanan Piala Dunia di mana sampai sekarang tak ada lagi pemain yang boleh memecahkan rekod itu.

Ketagihan dadah dan di ‘ban’ dari bermain bolasepak sebelum kembali ke Argentina untuk bersara

Maradona meraikan gol Messi seakan-akan tengah high. Imej Daily Express

Semasa menikmati zaman hebat bersama Napoli, Maradona sekali lagi mencipta kontroversi apabila gagal ujian dadah dan disahkan mempunyai ketagihan dadah jenis kokain. Betul kecoh Maradona ni sampai ketagih kokain.

Disebabkan perkara itu, dia diharamkan daripada bermain bola sepak selama 15 bulan sehingga memaksanya untuk keluar dari Napoli bagi mencari nafas baharu selepas sekian lama tidak bermain secara kompetitif. Maradona memilih untuk menyertai Sevilla sejurus selepas menjalani ‘ban’ itu.

Tak lama pun dia dekat Sevilla ni, setahun je dia lepak situ. Lepas tu dia berangkat ke Argentina kembali untuk menyertai pasukan Newell’s Old Boy di mana tempat Messi pernah berkelana dan dia kembali ke Boca Juniors untuk menghabiskan tahun-tahun terakhirnya sebagai pemain bola sepak sebelum bersara pada 1997.

Legenda yang penuh kontroversi, tapi tetap disanjungi

Maradona semasa menjadi jurulatih kelab Gimnasia y Esgrima di Argentina. Imej dari Sky Sports

Tiada pemain yang mampu mengubah budaya sesuatu bandar di mana kesannya boleh dilihat sehingga kini. Maradona juga mempunyai sifat yang ‘pro working class’ sebab dia sendiri dilahirkan di kawasan kejiranan yang miskin di Buenos Aires, jadi secara semulajadinya dia memilih Napoli sebagai pasukan pilihan dengan niat ingin menaikkan pasukan daripada selatan Itali yang dianggap miskin itu.

Maradona juga menetapkan pendiriannya sebagai seorang yang menyokong perjuangan Palestin hinggakan pernah tawarkan dirinya untuk melatih pasukan kebangsaan Palestin bagi mengharungi Piala Asia AFC 2015. Pada 2012, Maradona menyatakan yang diri dia sebagai peminat utama rakyat Palestin dan dia juga mengutuk sekeras-kerasnya apa yang Israel telah lakukan kepada rakyat Palestin.

“In my heart, I am Palestinian,” kata Maradona kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas (Petikan dari Al-Jazeera)

Imej dari TRT World Now

Jujur cakap, Maradona ni ibarat pemain yang tak boleh dibenci oleh sesiapa (kecuali Peter Shilton) sehinggakan kehilangannya memberi kesan yang amat mendalam kepada semua peminat bola sepak. Mungkin generasi baharu tidak pernah tengok Maradona beraksi tapi percayalah, dia merupakan antara pemain terbaik sepanjang zaman.

Dalam kenangan, DIEGO ARMANDO MARADONA.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend