Tan Seng Giaw: Bekas MP DAP yang tulis ucapannya dalam tulisan jaw…

Sekarang ni, kalau kita buka TV, FB, Twitter, surat khabar dan apa-apa media sekalipun, mesti ada cerita politik. Tambah-tambah lagi bila SPR dah pun umum bila tarikh PIlihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Jadinya, masa inilah parti-parti politik dan calon-calon pilihan raya nak mempromosikan manifesto dan janji masing-masing.

Dah ada kereta kebal bagai, kalau tak menang jugak, tak tahu lah. Imej dari inikalilahpru13.blogspot

Tapi mata rakyat Malaysia mestilah tertumpu dengan tiga kerjasama politik yang akan bertanding nanti – Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gagasan Sejahtera (GS). Walaupun macam tu, baru-baru ni kita ada dengar berita pasal tindakan DAP yang gugurkan nama salah satu orang kuatnya dari bertanding dalam PRU-14.

Orang yang dimaksudkan tu adalah Dr Tan Seng Giaw yang dah jadi Ahli Parlimen Kepong selama 8 penggal atau 36 tahun! Apa yang lagi menarik, Dr Tan juga…

Seorang ahli politik yang boleh menulis dan membaca tulisan jawi

Dr Tan dilahirkan kat Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1942 dan bersekolah di Kelantan dan Pulau Pinang. Lepas tu, dia melanjutkan pelajaran ke Plymouth College dan Leeds University, England. Disebabkan belajar dalam banyak aliran, Dr Tan fasih berbahasa Melayu Inggeris, Mandarin, malah boleh menulis dan membaca jawi.

Dr Tan Seng Giaw. Imej dari Malay Mail Online.

Menurut wartawan veteran Zin Mahmud, Dr Tan memulakan perjalanan politiknya dengan Parti Keadilan Masyarakat (PEKEMAS). PEKEMAS sebenarnya parti yang diasaskan Tan Sri Dr Tan Chee Khoon, seorang tokoh pembangkang yang juga adalah antara pengasas Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN).

Tapi, Tan Chee Khoon keluar dari GERAKAN bila parti tu ambil keputusan untuk masuk dalam Barisan Nasional (BN). Jadinya, Tan Chee Khoon pun tubuhkan PEKEMAS yang berfahaman sosialis.

“Akhbar parti PEKEMAS bernama Matahari. Tetapi jalur merah putih mata hari itu merujuk pada warna bendera Malaysia. Perkataan Keadilan Masyarakat atau Social Justice adalah nama lain bagi sosialisme. Pekemas adalah parti sosialis.” – Zin Mahmud, dipetik dari Facebooknya.

Dr Tan Chee Khoon (tengah) & Tunku Abdul Rahman. Imej dari The Star.

Masa Tan Chee Khoon tubuhkan PEKEMAS, dia dah bawa masuk Ahmad Boestamam dan Prof Syed Hussein Alatas sebagai antara pemimpin utama parti tu. Selain mereka, nama Dr Tan Seng Giaw juga melonjak naik dalam PEKEMAS, dan Dr Tan juga diharapkan sebagai bakal pengganti Dr Tan Chee Khoon.

Masa dalam GERAKAN, Tan Chee Khoon adalah wakil rakyat kawasan Batu, Kuala Lumpur. Tapi lepas tu, kawasan Batu diubah dan dipecahkan, maka lahirlah Kepong. Tan Chee Khoon kemudiannya jadi Ahli Parlimen Kepong. Tapi bila Tan Chee Khoon sakit, Dr Tan Seng Giaw gantikannya sebagai calon PEKEMAS kat Kepong dalam PRU-1978.

Prof Syed Hussein Alatas, masa bersama dengan GERAKAN, sebelum keluar dan masuk PEKEMAS. Imej dari Wikipedia.

Malangnya, Dr Tan Seng Giaw kalah dengan Dr Tan Tiong Hong dari GERAKAN. Bila PEKEMAS dibubarkan pada tahun 1982, Dr Tan Seng Giaw masuk DAP dan bertanding kat Kepong sekali lagi. Dia menang dan tak pernah kalah sampailah dalam PRU-13. Sehingga ke hari ni, Dr Tan masih lagi mengenang Dr Tan Chee Khoon sebagai mentornya.

“Dia lebih jujur dari kebanyakan orang lain. Chee Khoon buat banyak kerja di peringkat bawah dan dia menolong begitu ramai orang miskin.” – Dr Tan Seng Giaw, dipetik dari The Star.

Rahsia menang lapan kali berturut-turut dalam PRU

Seperti mana yang dibagitau tadi, Dr Tan dah jadi Ahli Parlimen Kepong sejak tahun 1982 lagi. Sejak PRU-6 sampailah PRU-13, Dr Tan tak pernah kalah kat Kepong. Untuk PRU-13, dia dah menang dengan majoriti lebih 40 ribu! Bila jadi macam ni, mesti ada yang tertanya-tanya apa rahsia dia dapat kekal dan begitu berpengaruh kat Kepong.

Dalam hal ni, seorang wartawan BERNAMA, Ali Imran ada jumpa dengan Dr Tan untuk tahu rahsia tu. Menurut Dr Tan, apa yang paling penting adalah orang Kepong dapat rasa yang dia ada bersama diorang.

“Macam mana mereka boleh tahu saya di sana? Awak tahu kereta saya (Toyota Hilux) ada pembesar suara di belakangnya. Kalau saya pergi ke Kepong, semua orang tahu. Saya tak payah cakap apa-apa, mereka akan tahu bila nampak kereta saya.” – Kata Dr Tan Seng Giaw, dipetik dari buku: No PC No Jolok.

Sejak kali pertama bertanding, PRU-13 Dr Tan dapat majoriti yang paling banyak. Imej dari SPR.

Dengan keretanya itulah Dr Tan akan bawa segala banyak dokumen dan borang-borang permohonan dari pelbagai pejabat dan jabatan. Lepas tu dia akan cakap dengan pembesar suara…

“Saya Ahli Parlimen di sini. Kalau ada sesiapa ada masalah, marilah sekarang jumpa saya.” – Kata Dr Tan Seng Giaw, dipetik dari buku: No PC No Jolok.

Selain tu, Dr Tan juga tak bagi janji-janji sembarangan kat orang yang datang mengadu, tapi sebaliknya dia akan kata yang masalah tu akan dirujuk kepada pihak berwajib untuk bertindak. Tak cukup dengan tu, Dr Tan juga gunakan teknologi macam SMS untuk berhubung dengan masyarakat Kepong.

“Dia tunjukkan kepada aku SMS yang beliau hantar kepada para pengadu tentang status aduan mereka yang beliau sudah naikkan kepada pihak berkuasa.” – Ali Imran, dipetik dari buku: No PC No Jolok.

Imej dari The Nut Graph.

Itulah antara rahsia macam mana Dr Tan dapat bertahan jadi Ahli Parlimen Kepong selama lapan penggal. Tapi nampaknya untuk pilihan raya yang akan datang ni, nama Dr Tan dah takde lagi dalam kertas undi. Dr Tan juga ada kata yang dia tak akan jadi calon bebas kat Kepong.

“…Dr Tan Seng Giaw yang bersuara nyaring. Ada kalanya beliau menulis ucapannya dalam tulisan jawi. Oleh itu, beliau juga membaca akhbar jawi Utusan Melayu.” – Zin Mahmud, wartawan veteran. Dipetik dari Facebooknya.

Ulasan Dr Tan pasal konflik Syria, yang tahu jawi tu dapat baca tak? Imej dari FB Dr Tan.

Ada cakap-cakap yang kata Dr Tan tak sebulu dengan pemimpin tertinggi DAP

Pengguguran Dr Tan dari calon pilihan raya ni dapat diketahui bila Setiausaha Agung DAP – Lim Guan Eng umumkan bekas MP Segambut, Lim Lip Eng jadi calon DAP untuk Parlimen Kepong. Bila pengumuman tu dibuat, maka muncullah cakap-cakap dan spekulasi kenapa Dr Tan digugurkan dari senarai.

Antaranya yang dikatakan adalah ia berpunca dari sengketa antara Dr Tan dengan Lim Guan Eng pasal kritikannya terhadap kepimpinan Guan Eng. Salah satunya bila Dr Tan kata yang kawasan Balik Pulau sekarang ni kurang kawasan hijau. Dalam reaksi Guan Eng, dia kata yang Dr Tan tak dapat dihubungi sejak awal tahun lepas (2017). Tapi Dr Tan ada jawab dakwaan ni…

“Susahkah untuk hubungi saya. Kamu dapat hubungi saya. Berapa kali kamu menelefon saya? Sekali, dan kamu dapat bercakap dengan saya. Saya tidak dapat lihat bagaimana saya tidak dapat dihubungi. Saya telah menjawab soalan kamu.” – Katanya kepada Astro Awani.

Mana nak beli telefon macam ni ye? Imej dari Giphy.

Selain tu, masa berlakunya kejadian tanah runtuh kat Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang mengorbankan 11 nyawa. Dr Tan ada lahirkan kekecewaannya dalam pantun yang bertajuk Tanah runtuh di lereng bukit.

Pantun ni dalam rumi ada, dalam jawi pun ada. Imej dari Utusan Malaysia.

Tapi, masih ada lagi isu yang dikaitkan dengan pengguguran Dr Tan ni, dan isu tu adalah pasal pandangannya pasal penglibatan Datuk Seri Najib dengan 1MDB. Semua ni mula bila Dr Tan jadi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menyiasat skandal 1MDB.

Dalam laporan PAC tu, dah dinyatakan yang Najib Razak tak ada kaitan dengan skandal 1MDB dan sampai hari ni, Dr Tan masih lagi mempertahankan laporan ni.

“Itu pandangan saya berdasarkan laporan PAC mengenai 1MDB. Saya berpendapat kamu perlu kemukakan bukti untuk kami mengaitkan pembabitan seseorang. Kegagalan berbuat demikian akan menjadikan (tuduhan) itu palsu.” – Dr Tan Seng Giaw, katanya kepada Malaysiakini.

https://www.youtube.com/watch?v=dwOEfpKtg2c

Itulah antara cakap-cakap dan spekulasi yang dikaitkan dengan penguguran Dr Tan dari senarai calon DAP untuk PRU-14 nanti. Tapi kita juga dapat maklumat yang Dr Tan tetap setia dengan DAP dan juga akan tolong Lim Lip Eng (calon DAP) mempertahankan kerusi Kepong.

Dr Tan kata – ‘Dr Mahathir tak pernah berubah’

Itulah komen Dr Tan yang juga adalah antara mereka ditahan tanpa bicara dalam ISA masa Operasi Lalang (Ops Lalang) dulu. Dr Tan dalam reaksinya ada kritik Dr Mahathir yang disifatkannya sebagai individu yang akan buat orang sekelilingnya rasa kecil.

“Hanya dia yang boleh bagi pendapat tentang sesuatu, yang lain tak kata apa-apa. Dia akan membuatkan orang lain rasa kecil, bungkus mereka, dan masukkan mereka dalam poketnya. Itulah dia Mahathir.” – Kata Dr Tan Seng Giaw kepada Sin Chew Daily.

Klik sini kalau nak baca.

Selain tu, Dr Tan juga kritik DAP yang ambil keputusan untuk guna logo PKR dalam PRU-14 nanti. Menurutnya, susah payah DAP berusaha selama 52 tahun, tapi tiba-tiba parti tu senang-senang je guna logo parti lain.

“Apakah simbol ini akan hilang selama-lamanya atau akan digunakan lagi. Kalau boleh ubah simbol sekelip mata, apa lagi tidak boleh dibuat di dalam negara. Benda yang terpenting pun boleh diubah dengan begitu sahaja, ini masalah apabila manusia pandai-pandai (buat keputusan).” – Katanya kepada Utusan Online.

Siapa sangka Dr Mahathir akan kibar ‘lambang mata’ Anwar? Imej dari FMT.

Bekas Menteri Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim yang sekarang jadi ahli DAP pun kata yang dia kecewa dengan pengguguran Dr Tan sebagai calon. Dalam masa sama, kita kena tahu yang Dr Tan sekarang dah pun 75 tahun, dan DAP adalah satu-satunya parti yang banyak calonkan orang muda kalau nak dibandingkan dengan parti-parti lain.

Kalau PRU-13 dulu ada ‘tsunami Cina’, kali ni akan ada ‘tsunami Melayu’?

Seperti yang dikatakan tadi, nampaknya DAP antara parti yang ke depan dalam menyenaraikan calon-calon muda berdasarkan PRU-PRU sebelum ni. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pulak dah namakan Ketua Pemudanya – Syed Saddiq (25 tahun) sebagai calon PH kat Parlimen Muar menentang Datuk Razali Ibrahim yang dah tiga penggal jadi MP Muar.

Bagaimanapun, muncul pertanyaan sama ada faktor umur ni boleh mempengaruhi pengundi muda? Menurut Hisommudin Bakar dari Ilham Centre, perkara tu tak betul dan pengundi muda sebenarnya tak kisah pun pasal umur calon, tapi apa yang diorang kisah adalah tawaran-tawaran yang calon-calon ni boleh bagi.

“Saya tak nampak hubung kait menampilkan calon muda untuk menarik pengundi. Ia bukan faktor yang semudah itu.” – Katanya kepada Malaysian Insight.

Semuanya umur-umur pencen.

Selain tu, kalau kita cakap pasal DAP, parti ni memang sinonim dengan masyarakat Cina, walaupun parti tu terbuka untuk semua kaum. Berdasarkan PRU-13 dulu, masyarakat Cina dah bagi sokongan kuat kat DAP, kalau nak dibandingkan dengan MCA dan GERAKAN. Jadinya, trend sokongan masyarakat Cina kat DAP ni dianggap akan berterusan dalam PRU-14 nanti.

Kalau dulu kita ada dengar pasal ‘tsunami Cina’, tapi kali ni ramai yang menjangkakan kita akan ada pulak ‘tsunami Melayu’. Menurut penganalisis politik, Wong Chin Huat tindakan ROS yang membubarkan BERSATU mungkin akan menimbulkan ‘tsunami Melayu’ dalam PRU-14 nanti.

“Dalam politik orang Melayu, ‘sifat macho’ dipandang tinggi. Orang Melayu mengagumi keberanian dan sangat benci kepada perbuatan pengecut.” – Wong Chin Huat, Penang Institute. Dipetik dari Free Malaysia Today.

Imej dari gifgifs.com

Walaupun macam tu, Datuk Seri Najib ada bagitau yang dia akan pastikan ‘tsunami Melayu’ tak akan jadi dalam PRU kali ni. Kesimpulannya, Dr Tan dah menunjukkan satu kualiti baik sebagai seorang wakil rakyat yang berkerja dan disenangi rakyat. Dia juga membuktikan prinsip dirinya sebagai seorang ahli politik tak pernah berubah. Bak kata Dr Tan…

“Tun Dr Mahathir Mohamad kata beliau mampu memenangi semua undi untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Tetapi, sebelum kotak undi dibuka, kita tidak tahu siapa akan menang. Nasihat saya kepada pengundi, buatlah pilihan bijak.” – Dr Tan Seng Giaw, katanya kepada Free Malaysia Today.

[Artikel ini ada merujuk buku: No PC No Jolok, terbitan DuBook Press yang memuatkan beberapa pengalaman wartawan-wartawan]

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.