Mengasap selempang dengan kemenyan? Ini sejarah tertubuhnya Tentera Selempang Merah

Selepas tentera Jepun berundur dari Tanah Melayu maka, tentera komunis datang menguasai Tanah Melayu dan menyeksa ramai penduduk tempatan.

Kita mungkin selalu dengar pasal kekejaman komunis di Tanah Melayu, tetapi mesti tak pernah tahu mengenai Tentera Bintang Tiga yang mengganas di Johor sehingga sebuah angkatan tentera Melayu iaitu Tentera Selempang Merah ditubuhkan bagi menentang mereka. Takpe, mari kami huraikan mengenai kekejaman Tentera Bintang Tiga dan amalan yang dilakukan oleh Tentera Selempang Merah dalam menentang mereka.

Tentera Bintang Tiga yang menindas penduduk tempatan di Johor

Bendera dan tentera Bintang Tiga. Imej dari Bebas News.

Mesti ramai yang tanya siapa Tentera Bintang Tiga? Baiklah, mereka merupakan sebuah angkatan tentera yang ditubuhkan oleh Parti Komunis Malaya untuk menawan Tanah Melayu pada tahun 1945 selepas Jepun berundur dari Tanah Melayu.

Tentera Bintang Tiga atau nama lainnya Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) akan menyerang mana-mana tempat yang ada tentera Jepun atau masyarakat Tanah Melayu yang dituduh bersekongkol dengan Jepun.  Mereka juga akan merampas makanan-makanan orang kampung dan perbuatan-perbuatan kejam ini telah menyebabkan ramai orang takut dan cemas.

Dipercayai mereka menjadikan Bakeri Batu Enam Bukit Mor di Muar, Johor sebagai markas besar dan penduduk setempat memanggilnya “lubuk hitam“. Markas itu digunakan untuk menyeksa dan membunuh tahanan yang dituduh bersekongkol dengan Jepun.

Bukan itu sahaja, mereka juga telah menawan balai polis di Bandar Maharani dan Parit Jawa serta menaikkan bendera Bintang Tiga sebagai tanda kemenangan. Kejam gila mereka ni kerana sanggup menembak seorang inspektor polis, Encik Bujang, di balai polis Parit Jawa atas alasan bersekongkol dengan Jepun.

Orang-orang Melayu sangat marah dengan Tentera Bintang Tiga ni. Imej dari giphy.

Selepas itu, mereka cuba mendapatkan sokongan daripada penduduk Bandar Maharani dan Parit Jawa tetapi hanya penduduk Bandar Maharani sahaja yang sokong tetapi penduduk Parit Jawa sangat sangsi dan menentangnya. Penentangan dari penduduk Parit Jawa menyebabkan mereka marah lalu menyerang sesiapa sahaja tanpa belas kasihan.

Gila punya kejam mereka ini sampai sanggup mencemarkan kesucian agama Islam. Bayangkan, mereka menganggu orang-orang Melayu ketika melakukan ibadat puasa dengan melarang orang pergi ke masjid untuk menunaikan solat terawih atau aktiviti berjemaah.

Orang-orang Melayu sangat benci akan mereka ini sehingga menggelar mereka gatal “mengenyam seperti “ketembu gila”.

Pembentukan Tentera Selempang Merah yang mempunyai amalan-amalan tertentu

Kiai Salleh (tengah) antara pelopor utama dalam pembentukan Tentera Selempang Merah. Imej dari Demi Rakyat Johor.

Melihat kekejaman komunis ini, seorang ustaz yang bernama Haji Salleh bin Abdul Karim atau lebih dikenali sebagai Kiai Salleh dari Simpang Kiri, Johor telah menubuhkan Tentera Selempang Merah selepas mendapat seruan untuk membela kesucian agama Islam.

Seruan itu diterima ketika mengetuai bacaan doa dan bersembahyang di surau kampungnya. Semasa khusyuk membaca doa dan ayat-ayat Al-Quran, beliau terdengar suara halus di dalam hatinya:

“…kalau kamu tentang pencabulan ini, Tuhan akan berserta kamu, gunakanlah sebarang senjata yang ada pada kamu. Kalau kamu tidak menentangnya harus kamu habis ditindas.

_____

Bangunlah menentang di atas daya kamu dan gunalah ayat-ayat al-Quran yang tertentu sebagaimana yang digunakan zaman Rasulullah melawan kafir dahulu dan ayat-ayat yang digunakan dalam perang Sabil zaman Khalifah Islam dahulu.”

Selepas mendengar suara hati, beliau menubuhkan Tentera Selempang Merah dan menguatkan ilmu agama para tentera kerana itu syarat utamanya. Dalam angkatan tentera ini juga, mereka mempunyai tiga matlamat utama iaitu:

  • Mempertahankan Agama Islam dari dinodai oleh Tentera Bintang Tiga.
  • Membanteras kezaliman Tentera Bintang Tiga.
  • Menjaga maruah bangsa, hak dan agama Islam.
Inilah selempang merah (selempang ketiga) yang digunakan. Imej dari Berita Harian.

Oleh sebab mereka tidak menerima bekalan senjata api untuk berperang, para tentera diberikan selempang merah yang bertuliskan aya-ayat suci Al-Quran dan petua perjuangan serta menggunakan senjata yang mereka ada sahaja seperti parang panjang, senapang patah, lembing, pedang, keris, sundang dan tombak. Pada kesuluruhannya, 80% menggunakan parang panjang, 10% menggunakan senapang patah dan 10% peratus lagi menggunakan lembing, pedang, keris, sundang dan tombak.

Selepas menerima selempang merah, para tentera perlu melakukan amalan kebatinan dan syarat-syarat untuk kekuatan diri, antaranya:

  • Membaca surah Yasin sebanyak 40 kali selepas isyak.
  • Membaca Ayat empat.
  • Sentiasa berwudhu.
  • Para tentera perlu mengasap selempang dengan kemenyan membaca takbir pada setiap petang Jumaat.
  • Tidak boleh berjudi, minum arak, berzina dan membuat sebarang maksiat.
  • Menunaikan solat lima waktu walau di mana berada.

Kiai Salleh telah menubuhkan beberapa pasukan perang yang ditugaskan untuk menjaga kawasan-kawasan di Johor. Haaa… mari kami tunjukkan pasukan perang itu:

Inilah pasukan-pasukan perang yang ditubuhkan oleh Kiai Salleh mengikut kawasan. Imej dari Jabatan Antropologi dan Sosio UKM.

Serangan maut Selempang Merah dan konflik antara pasukan perang

Parit Sulong merupakan kawasan orang yang bersekongkol dengan mereka. Imej dari Sejarah.my.

Tentera Selempang Merah melakukan serangan pertama yang diketuai oleh Kiai Salleh dan Kiai Mashhudi di Parit Sulong. Mereka menjadikan Parit Puasa Batu sebagai pusat pergerakan untuk menyerang orang-orang yang bersekongkol dengan Tentera Bintang Tiga.

Percaya atau tidak, mereka berjaya membunuh seramai 200 orang yang bersekongkol. Sejak itu, ramai orang menyertai Tentera Selempang Merah dan melakukan serangan dari sebuah kampung ke sebuah kampung dengan sangat strategik. Serangan ini juga telah memberikan kejutan kepada Tentera Bintang Tiga yang masih ada.

Apa yang lebih menarik, mereka ini hanya menggunakan senjata yang mereka ada sahaja (kami ada sebut di atas) semasa menyerang walhal orang-orang yang bersekongkol ini menggunakan senjata api moden yang dicilok dari tentera Jepun. Ramai yang berpendapat kejayaan serangan adalah disebabkan mengamal ayat-ayat Al-Quran dalam memerangi tentera kafir.

Haa berani lawan Tentera Selempang Merah! Imej dari Enter Meme.

Namun, semasa Kiai Mashhudi, Kiai Ijam, Kiai Miskam, Kiai Wak Joyo dan lain sedang bermesyuarat mengenai serangan di Parit Jawa, terdapat pertelingkahan berlaku. Semua orang bersetuju untuk menyerang kawasan itu pada hari sabtu tetapi Kiai Mashhudi berkeras mahu menyerang tempat itu pada hari Rabu.

Angkuh dan tidak setuju dengan keputusan mereka, Kiai Mashhudi melakukan serangan dengan pasukan sendiri di Parit Jawa. Musuh-musuh di Parit Jawa sudah mengetahui serangan dari pasukan perang Mashhudi dan mereka sudah bersiap sedia untuk berperang dengan menggunakan machinegun dan menjadikan tempat tinggi sebagai kubu pertahanan.

Malang bagi pasukan perang Kiai Mashhudi apabila mereka terpaksa berundur diri kerana tidak mampu menyerang dan ini semua disebabkan sikap angkuh dan degil.

Serangan Kiai Salleh dihentikan oleh Dato’ Onn Jaafar

Mesti korang pelik, kenapa Dato’ Onn Jaafar menghentikan serangan Tentera Selempang Merah? Imej dari UMNO.

Selepas kekalahan pasukan perang Kiai Mashhudi, orang-orang yang bersekongkol dengan Tentera Bintang Tiga melakukan serangan terhadap orang Melayu. Mereka telah membunuh ramai orang Melayu yang terdiri dari perempuan dan kana-kanak. Hal ini telah menimbulkan kemarahan kepada Tentera Selempang Merah dan telah melakukan serangan ganas terhadap orang-orang yang bersekongkol dan juga masyarakat Cina.

Sekali lagi, Tentera Selempang Merah mahu menyerang Parit Jawa tetapi mereka ingin menyerang kampung-kampung kecil. Serangan kali ini dikepalai oleh Kiai Salleh dan telah menyerang kawasan orang Cina di Semerah.

Semasa mereka tiba di Peserai, mereka ditahan oleh Dato’ Onn Jaafar kerana beliau mahu mencari jalan lain untuk berdamai dengan orang Cina. Beliau sendiri berkata serangan dari mereka ini sudah cukup untuk memberikan pengajaran kepada orang-orang yang bersekongkol.

Dato’ Onn Jaafar telah melakukan perdamaian antara masyarakat Melayu dengan orang Cina dan akhirnya ia menjadi. Sejak dari itu, semua orang bersatu padu dalam mengukuhkan perpaduan antara satu sama lain. Pada hari ke-14, amukan Tentera Bintang Tiga telah berkahir apabila pihak British datang ke Tanah Melayu dan memperkenalkan sistem pemerintahan British Millitary Administration (BMA).