Kisah wanita Minang pejuang kemerdekaan Indonesia & Malaya yang dibuang UMNO

Kita mesti selalu dengar mengenai tokoh-tokoh politik dari kalangan lelaki yang hebat-hebat seperti Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Dr Ismail, Dr. Abdul Rahman Talib dan Tun Abdul Razak. Mereka inilah antara orang yang penting dalam pembangunan Malaysia.

Bagaimanapun, kebanyakan masyarakat kita hanya mengenali tokoh-tokoh politik dari golongan lelaki sahaja. Mungkin kita terlupa atau tidak tahu bahawa ada seorang wanita yang berjuang untuk hak wanita dalam kalangan masyarakat dan politik. Wanita hebat itu ialah Khatijah Sidek dan mari kami huraikan perjuangan beliau yang mungkin membuatkan korang ternganga.

Khatijah Sidek pernah dibuang sekolah kerana agenda politik

Sumber: Memoir Khatijah Sidek Puteri Kasateria Bangsa

Inilah dia Khatijah Sidek. Imej dari Malaysians for Malaysia.

Che Khadijah binti Mohd Sidek atau dipanggil Khatijah Sidek, dilahirkan pada 1918 di Pariaman, Sumatera Barat, Indonesia dan beliau merupakan anak keempat dari sembilan adik-beradik.

Pada awal persekolahan, Khatijah telah menerima pendidikan awal di Sekolah Belanda kerana bapanya mahukan beliau masuk ke universiti. Mula-mula ibunya mahukan dia belajar di sekolah agama kerana ingin melihat Khatijah menjadi seorang pemimpin agama. Mana taknya, ibunya memberi nama Khatijah sempena nama isteri Rasulullah S.A.W.

Semasa di Sekolah Belanda, Khatijah merupakan pelajar cemerlang lebih-lebih lagi dalam ilmu matematik sampaikan ada seorang cikgu bernama Yuffrow Oesterhuis, sangat menyayangi beliau. Cikgu Yuffrow meminta izin kepada ibunya untuk membawa Khatijah ke rumahnya selepas sekolah kerana mahu mengajarnya lebih banyak lagi tentang bahasa Belanda, bahasa Melayu, sejarah, ilmu alam, ilmu kesihatan dan matematik.

Apabila Khatijah melangkah ke alam remaja, beliau tak layak ke sekolah menengah kerana dituduh gagal dalam peperiksaan akhir seperti yang dikatakan oleh guru besarnya, Encik Jensen. Dengan perasaan marah, beliau telah pergi ke rumah Encik Jensen bersama abangnya untuk membincangkan kenapa dia tak layak pergi ke sekolah menengah.

Tidak ada perkataan gagal dalam hidup Khatijah. Imej dari giphy.

Akhirnya, beliau mendapat kelayakan untuk pergi ke sekolah menengah di Padang selepas Encik Jensen berubah pendirian.

Kalau korang nak tahu, Khatijah ni sebenarnya pandai juga di sekolah menengah sampaikan ada seorang cikgu bernama Hans Kool sangat menyayanginya. Namun, semasa beliau menyertai Keputrian Indonesia di sekolah itu, beliau telah dibuang sekolah kerana persatuan itu mempunyai agenda politik dan membenarkan ahlinya untuk menyanyikan lagu Indonesia Raya (masa tu kan Indonesia dijajah oleh Belanda, itu pasal takleh nyanyi).

Punyalah hebat Khatijah ni, lepas beliau dibuang sekolah, dia menyambung semula pelajaran di sekolah normal dan menubuhkan sebuah persatuan penulis yang dipanggil Ardjasni bersama dengan lima orang kawannya.

Pernah dipenjara kerana dituduh cuba menggulingkan Kerajaan British

Sebuah keratan kertas yang menunjukkan gambar Khaitijah Sidek dipenjara. Imej dari Khadijah Sidek.

Semasa Jepun menduduki Indonesia pada 1942, Khatijah diarahkan untuk menjadi guru sekolah di Biruen, Aceh selama enam bulan, tetapi beliau pulang ke kampung halaman buat seketika kerana tidak tahan diganggu oleh Tentera Jepun.

Pada 1943, Khatijah ditugaskan untuk menjadi guru di Sekolah Nippon kerana pihak Jepun mahu beliau mengajar bahasa serta kebudayaan Indonesia kepada tentera dan Pegawai Tadbir Jepun.

Pada masa yang sama, Khatijah juga aktif dalam persatuan-persatuan yang menerapkan semangat anti-Jepun kepada rakyat Indonesia. Beliau telah dilantik sebagai Pegawai Penerangan Penubuhan Wanita (Hahanokai) dan Ketua Wanita Persatuan Pemuda di kampungnya.

Melihat tindakan Khatijah dalam Hahanokai, pihak Jepun telah menyedari tindakannya dan mengugut beliau jika dia tidak serahkan diri. Beliau membuat keputusan untuk melarikan diri ke Bukit Tinggi dan meminta bantuan dari adiknya Rahimiar yang juga Ketua Persatuan Wanita di situ. Beliau banyak kali cuba ditahan oleh tentera Jepun tetapi terlepas kerana menukarkan namanya kepada Aminah dan menyamar sebagai polis.

Licik juga Khatijah ni kan. Imej dari Meme Creator.

Semasa di Bukit Tinggi, Khatijah telah menubuhkan Puteri Kesateria (sukarela barisan tentera wanita) dan ia merupakan salah satu strategi dalam menentang Jepun.

Ahli-ahli Puteri Kesateria akan berlatih ilmu tentera selama enam bulan di situ. Selepas tamat latihan, mereka balik ke kampung dan diarahkan untuk menubuhkan angkatan tentera wanita. Setiap hari, mereka akan berbaris mengelilingi kampung dan memegang senjata kayu sambil menyanyikan lagu-lagu patriotik.

Kekalahan Jepun kepada Tentera British pada 1945 merupakan berita gembira buat Khatijah kerana penubuhan Puteri Kesateria bukanlah sia-sia. Walaupun Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan pada 17 Ogos 1945, tetapi Belanda tidak mengiktirafnya.

Kehebatan Khatijah dalam Puteri Kesateria sebenarnya dikagumi oleh dua orang nasionalis Tanah Melayu, Dahari Ali dan Haji Abdullah Senggora. Beliau telah dijemput oleh mereka untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan dan meninjau keadaan politik di Tanah Melayu. Beliau turut datang ke sini kerana ingin mengeratkan hubungan dengan golongan wanita.

Bagi Khatijah, kita semua serumpun. Imej dari giphy.

Khatijah juga menjadi Presiden Himpunan Wanita Indonesia Malaya (HWIM). Kepimpinan beliau membuatkan seorang pemimpin Lembaga Kesatuan Melayu Johor (LKMJ), Dr. Hamzah Taib telah jatuh cinta dan menyuntingnya sebagai isteri.

Tindakan Khatijah ini telah dintip oleh pihak British dan beliau telah dipenjara kerana dituduh cuba untuk menggulingkan Kerajaan British. Sebenarnya kehidupan beliau di penjara amat mencabar kerana ketika itu jugalah, beliau sedang mengandungkan anak pertamanya.

Dipecat dari Ketua Kaum Ibu UMNO kerana dituduh berfikiran radikal

Banyak juga rintangan yang dihadapi oleh Khatijah. Imej dari Gloviss.

Selepas Khatijah dibebaskan dari penjara, beliau mengikut suaminya tinggal di rumah ibu mertua tetapi beliau tidak tahan tinggal di situ. Hal ini kerana beliau sering diejek bekas banduan oleh jiran-jiran di situ dan dianggap sebagai bebanan untuk keluarga mertuanya. Jadi, mereka membuat keputusan untuk tinggal di Johor Bharu dan beliau menjadi Ketua Kaum Ibu Persatuan Melayu Semenanjung (PERMAS) tetapi tidak begitu lama kerana masalah kewangan dalam persatuan.

Tak lama kemudian, Khatijah telah dijemput oleh Tunku Abdul Rahman untuk menyertai Kaum Ibu UMNO. Sebenarnya kehadiran beliau dalam UMNO sangat tidak dipersetujui oleh ramai pihak, tetapi Tunku Abdul Rahman Berkata:

“Kita harus mengangkat tabik pada mereka yang masuk penjara kerana mereka berjuang untuk rakyat dan kemerdekaan. Kita patut berikan bintang kerana keberanian mereka” – Petikan dari Perjuangan Politik Khatijah Sidek.

Pada mulanya, Khatijah dilantik sebagai AJK Kaum Ibu UMNO dan disebabkan kehebatan beliau dalam memegang jawatan itu, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Penerangan Kaum Ibu UMNO. Beliau juga telah mengembara ke seluruh negeri dan kampung-kampung untuk menambahkan ahli UMNO dan memberikan kesedaran kepada kaum wanita supaya terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.

Pengaruh Khatijah sangat hebat kerana berjaya menambahkan bilangan ahli Kaum Ibu UMNO. Imej dari Meme Creator.

Setelah 10 bulan, Khatijah berjaya menambah keahlian UMNO sebanyak 10,000 ahli, maka beliau telah dinaikkan jawatan sebagai Setiausaha dan Pemangku Kaum Ibu UMNO. Selepas Ibu Zain (Ketua Kaum Ibu UMNO) bersara, beliau telah dipilih sebagai Ketua Kaum Ibu UMNO yang ketiga.

Dalam satu persidangan, Khatijah meminta wakil kaum ibu bertanding lima kerusi di Parlimen pada pilihanraya 1954 dan mendesak supaya menambahkan perwakilan wanita dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Jadi, beliau telah mengadakan lawatan ke seluruh Tanah Melayu untuk mendapatkan sokongan wanita.

Tindakan Khatijah ini dan sikapnya yang panas baran dalam menyuarakan hak keistimewaan wanita, menyebabkan beliau dianggap sebagai ahli politik yang mempunyai fahaman radikal. Pada 10 November 1956, beliau secara rasminya telah dibuang dari UMNO ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Senyuman Khatijah dihiasi dengan bunga di tangan. Imej dari Manis Madu.

Setelah dua tahun tidak menyertai mana-mana parti, Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah menjemput beliau untuk menyertai PAS. Beliau bersetuju dengan pelawaan itu kerana ingin menunaikan hasrat ibunya iaitu menjadi pemimpin agama.

Semasa Khatijah menyertai PAS, beliau berjaya memenangi pilihan raya 1959 dan menambah ahli Dewan Muslimat dari 700 ahli kepada 3000 ahli ketika menjadi Ketua Dewan Muslimat. Kemudian pada 1966, jumlah ahli semakin lama semakin meningkat kepada 8,454 ahli.

Khatijah juga seringkali menyuarakan pendapatnya mengenai dasar Kerajaan seperti meminta Kerajaan untuk mengambil berat mengenai pembelajaran wanita di luar bandar. Kelantanganya dalam berhujah menyebabkan beliau dipandang negatif sehingga orang mengejek dan mentertawakan pendapatnya.

Kekalahan Khatijah dalam pilihan raya 1964, menyebabkan beliau hilang minat untuk menaburkan bakti kepada PAS dan perbezaan pendapat dengan Dr. Asri Muda (Presiden PAS). Beliau akhirnya meninggalkan PAS kerana masalah itu dan kecewa kerana permohonan beliau untuk bertanding dalam pilihan raya di Kelantan tidak dilayan.

Selepas itu, Khatijah kembali ke pangkuan UMNO melalui cawangan Kampung Majidee Baru, Johor pada 1971. Tiga tahun kemudian, beliau menerima jawatan Naib Ketua Wanita UMNO cawangan Selayang Baru. Jawatan ini sebenarnya memberikan semangat untuk beliau terus berjuang dalam UMNO.

Akhir hayat Khatijah di kerusi roda kerana lumpuh dan penyakit Amenia

Walaupun terlantar di kerusi roda, ramai pemimpin datang menziarahi beliau. Imej dari Expat Go.

Khatijah semakin kurang melakukan aktiviti-aktiviti persatuan kerana beliau terpaksa menggunakan kerusi roda akibat kaki lumpuh dan penyakit Amenia. Ramai tokoh politik datang menziarahi beliau antaranya Fatimah Hasim dan Hajah Aishah Ghani.

Jasa Khatijah dalam politik di Tanah Melayu sentiasa diingati sampaikan UMNO ingin menghadiahkan beliau sebidang tanah di Kampung Dato’ Keramat. Bagaimanapun, beliau menolak hadiah itu kerana baginya, tujuan berpolitik bukan untuk tamak harta.

Pada 1982, Khatijah menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah bilik kecil bersama dengan anak-anaknya. Semangat beliau dalam memartabatkan hak keistimewaan wanita di Tanah Melayu perlu dicontohi oleh golongan wanita zaman sekarang.