Sebelum kedai mesin lumba kuda, dulu orang kita main ‘Kuda Longkang’

Dalam dunia serba moden ni, macam-macam jenis permainan yang menggunakan konsep judi sudah diperkenalkan. Jika dulu, semestinya yang paling terkenal adalah mempertaruhkan wang dalam perlumbaan kuda melibatkan jockey (penunggang kuda). Lama-kelamaan kaedah perlumbaan ini semakin moden yang kini hanya menggunakan mesin je untuk tengok kuda berlumba.

Konsepnya mudah, tikam kuda mana yang korang rasa boleh menang, nanti akan dapatlah durian runtuah dari wang taruhan tu. Tapi, sebenarnya pada zaman dulu, mesin kuda ni mungkin kurang popular dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana teknologi moden belum berkembang pesat.

Dalam sebuah filem pada tahun 80-an dulu ada tunjukkan satu babak berkaitan pertaruhan lumba kuda yang tak menggunakan mesin mahupun jockey. Sebaliknya menggunakan longkang. Biar betul? Filem yang dimaksudkan adalah Sikit Punya Gila arahan Raja Ismail.

Pemuda datang ke bandar untuk cari rezeki, tapi terjebak dengan ‘Kuda Longkang’

Sebelum ke cerita lumba kuda di longkang, elok kita tahu sikit latar belakang filem ni supaya kita dapatkan faham, kenapa orang dulu gemar sangat main benda ni. Ini pengetahuan semua, filem ini mengisahkan dua watak iaitu Hamid dan Dharma. Mereka merantau dari kampung ke bandar untuk mencari sumber kewangan.

Watak Hamid lakonan Hamid Gurkha merupakan seorang penjual jagung rebus menggunakan basikal sorong. Manakala, watak Dharma lakonan Dharma Harun Al-Rashid bekerja sebagai penjaga lif di sebuah bangunan yang terdapat kompleks membeli belah dan pejabat.

Mereka berdua ni tinggal di rumah sewa milik pasangan suami isteri, Pak Ibrahim dan Kak Yusni. Jiran mereka pula adalah awek cun, Nora yang bekerja sebagai penjaga kaunter pejabat dan Norlia yang merupakan pekerja tempat letak kereta. Maka, filem ini berkisar tentang watak-watak ini tadi.

Namun, Hamid dan Dharma ni hidup berdepan dengan hutang-piutang menyebabkan mereka mengalami masalah kewangan. Kesilapan mereka ini sekalipun bekerja kerana membelanjakan wang secara tak berhemah dan turut terlibat dalam pertaruhan wang melalui ‘Kuda Longkang’.

“Kalau kau nak gandakan duit kau. Besok hari minggu ikut aku. Kita pergi ‘nyikkkkk’ kuda.” – Dialog Hamid dalam filem Sikit Punya Gila

Sewaktu di tempat pertandingan kuda yang dimaksudkan, Dharma agak keliru dengan perlumbaan kuda tersebut.

“Hamid. Hoi! Mid. Ni kuda apa ni, jockey dia takde pun? – Dharma

“Inilah nama dia Kuda Longkang.” – Hamid

Mati-mati Dharma ingat ada kuda betul…

Kuda Longkang dulu sangat berleluasa di longkang-longkang besar Kuala Lumpur

KL dulu dulu. Imej dari Pinterest

Siapa sangka, permainan Kuda Longkang ini dilaporkan mendapat sambutan hangat dari penduduk Kuala Lumpur sejak pertengahan era 1960-an hingga awal 1980-an. Konsepnya sama sahaja seperti perlumbaan kuda oleh jockey (penunggang kuda), cumanya tempat dan alatan yang digunakan berbeza.

Perlumbaan akan dianjurkan di mana-mana longkang yang ada. Untuk kuda pula, seseorang tu memerlukan kuda longkang iaitu satu bentuk kepingan plastik ringan berbentuk bujur. Ia boleh terapung dan bergerak di atas permukaan air. Kuda longkang ni bukannya percuma, peserta perlu menyewanya dari pihak penganjur. Wang pertaruhan juga akan dikenakan untuk seseorang tu layak bertaruh dalam perlumbaan.

Proses menyewa kuda longkang dari penganjur. Sumber dari filem Sikit Punya Gila

Bagi mereka yang tak sertai perlumbaan, bolehlah sekadar jadi penonton atau pun bertaruh sesama rakan dengan meneka kuda mana yang akan sampai ke garisan penamat dahulu.

Suasana perlumbaan Kuda Longkang. Imej kami lukis sendiri

Semuanya bermula apabila pengadil A meletakkan kuda-kuda di atas sekeping papan sebagai garisan permulaan. Sebaik sahaja papan dimasukkan ke dalam air longkang, maka bermulalah perlumbaan kuda-kuda ni tadi apabila ditolak arus air longkang.

Semua yang mempertaruhkan wang, akan terus bersorak-sorak memberi sokongan kepada kuda masing-masing. Seterusnya, pengadil B akan bersiap sedia untuk mengutip kuda mana yang sampai dahulu hingga yang terakhir di garisan penamat.

Kuda siapa yang menang tu?

Berdasarkan cerita seorang penulis blog, ibunya mengakatan bahawa longkang di Kuala Lumpur sering dijadikan tapak perlumbaan kuda longkang. Lebih khusus lagi longkang besar berhampiran tapak pasar malam Kampung Baru.

Industri perjudian semakin licik, kehidupan pemain judi binasa

Macam yang kita sendiri perasan, permainan kuda longkang ni memang dah pupus. Mungkin kerana tidak sesuai lagi untuk bermain sebegitu di longkang zaman sekarang. Longkang zaman 1960-an hingga awal 1980-an dikatakan lebih bersih.

Dikatakan juga, tidak pernah ada operasi pembanterasan yang dijalankan oleh pihak polis atau jabatan agama ke atas judi lumba kuda longkang ini. Payah juga nak tangkap, sebab nampak macam tak berjudi, lagi-lagi kat tempat terbuka. Ditambah pula kesedaran masyarakat kita tentang kesan negatif bermain judi.

Namun, permainan judi semakin berevolusi dan licik dalam dunia moden ini. Terdapat banyak kedai-kedai mesin judi termasuk mesin lumba kuda di kawasan rumah kedai seperti didedahkan Asri Janggut, pengasas Hot Burger Malaysia. Mereka beroperasi sehingga lewat malam dan orang awam ramai yang terjebak.

Mesin bukan sebarang mesin. Imej dari Simplewebtoolbox

Pendedahan ini telah menyebabkan operasi pembersihan dan serbuan semakin rancak hingga tertangkapnya pegawai penguatkuasa yang melindungi kedai judi ini. Apa yang pasti, dikala kedai judi perlu dibanteras, orang ramai perlu tahu betapa ramainya mereka yang mengalami nasib malang kerana pernah terjebak permainan judi.

Antaranya ada yang terpaksa menjual dadah dan meminjam Ah Long  untuk membayar hutang judi. Ini membuktikan, permainan judi akan membawa seseorang ke arah membinasakan kehidupan seharian mereka.

 

 

 

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT