Sejarah & Politik

Loteri UMNO Malaya: Judi yang cuba ‘dihalalkan’ untuk membantu orang Melayu

Dalam kehidupan ni, ada macam-macam hiburan yang kita boleh buat. Malah, kadang-kadang hiburan tu boleh jana keuntungan sama ada untuk seseorang, organisasi, mahupun bagi tujuan kebajikan. Cumanya, ia boleh menimbulkan perdebatan sekiranya hiburan tu dilihat bertentangan dengan ajaran agama atau adat, walaupun mempunyai tujuan yang baik.

Jadinya, salah satu hiburan yang boleh bawa keuntungan dan kerugian yang pernah terkenal di Tanah Melayu suatu ketika dulu adalah loteri. Punyalah terkenal loteri ni, sampaikan wujudnya…

Loteri UMNO Malaya: Diperkenalkan untuk membantu masyarakat Melayu

Juga dikenali sebagai Loteri Kebajikan UMNO. Imej dari malaysiawaves.net

Jangan terkejut, sebab memang benar perkara ni terjadi dan tercatat dalam sejarah Malaysia. Berdasarkan sebuah jurnal yang diterbitkan oleh Journal of History Department, University of Malaya ada diceritakan tentang penganjuran Loteri UMNO Malaya atau dikenali juga sebagai Loteri Kebajikan UMNO yang mula diperkenalkan pada tahun 1950-an.

Seperti mana yang kita tahu, sejak sebelum merdeka dan di awal kemerdekaan – UMNO menjadi sebuah parti politik dominan orang Melayu, sekaligus menjadi tempat berharap orang Melayu. Dalam masa sama, suasana sebelum merdeka memperlihatkan keadaan UMNO yang tidaklah sekaya sekarang. Dananya cuma dikutip melalui derma dan majlis kebajikan yang dianjurkan. Tapi, masalah mula timbul bila derma tu pula tak seberapa dan tak begitu membantu kewangan UMNO.

Cadangan ni mendapat sokongan daripada Presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman. Imej dari FMT.

Jadinya, menjelang September 1946 seorang wakil Kesatuan Melayu Kedah, Haji Rejab Kedah dah mencadangkan supaya diadakan loteri untuk menjaga kebajikan orang Melayu sebagai ganti derma yang tak memberangsangkan. Usul sama juga dinyatakan oleh Setiausaha Agung Perikatan Melayu Perak, Mohd Hashim Dris apabila dia memaklumkan kepada UMNO bahawa usaha mereka untuk buat loteri tu tak dapat kelulusan dari Jabatan Agama Perak.

Menurut mereka, walaupun ada ulama yang mengharamkan loteri – tapi ia boleh dibuat memandangkan keadaan ekonomi masyarakat Melayu yang cukup teruk ketika itu. Hujah mereka lagi, pelaksanaan loteri tu hanya untuk kebajikan orang Melayu dan dengan niat baik untuk membantu mereka yang berada dalam kesempitan.

Hal ni kemudiannya mendapat perhatian UMNO pusat sehingga ia akhirnya diterima dan muncullah Loteri UMNO Malaya buat kali pertamanya pada 19 Jun 1953.

Setiap pembelian tiket loteri yang tak berjaya dianggap sebagai derma

Tiket Loteri Kebajikan pada tahun 1958. Imej dari sharuddin58.blogspot

Sebenarnya idea Loteri UMNO ni diperkenalkan bertitik tolak dengan usaha MCA yang mewujudkan Loteri MCA sejak awal tahun 1950-an lagi. Tujuannya juga sama iaitu untuk membantu kebajikan masyarakat Cina. Pada asalnya, UMNO nak lancarkan loteri ni secara besar-besaran pada 7 Jun 1953. Tapi disebabkan masa tu bulan puasa, ia ditangguhkan ke 19 Jun 1953.

Pelaksanaan loteri ni mensasarkan penganjuran empat kali setahun dan berpusat di Johor Bahru. UMNO juga ada tubuhkan Jawatankuasa Kerja Loteri UMNO yang terdiri enam orang ahli. Jawatankuasa ni lah yang bertanggungjawab mengawal dan mengurus segala isu berbangkit, dari soal cetakan tiket, hadiah sampailah ke isu tiket hilang.

“Setiap satu tiket loteri dijual dengan harga $1. Oleh itu setiap ejen loteri akan diberikan komisyen sebanyak 7% daripada hasil jualan. Contohnya ejen yang jualannya mencapai 100 helai tiket loteri akan diberikan komisyen sebanyak $7.00.” – Dipetik dari jurnal tulisan Abu Hanifah Jamil.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Bila pembaca berita pun beli. Imej dari Giphy.

Berikut adalah hadiah untuk para pemenang dari 4 Jun – 20 Julai 1953:

  1. Hadiah pertama: $18,340.66
  2. Hadiah kedua: $5,502.20
  3. Hadiah ketiga: $1,834.06
  4. Hadiah ke-empat (2 orang): $366.80
  5. Hadiah ke-lima (6 orang): $183.41

Apa yang pasti, setiap pembelian tiket loteri yang tak berjaya akan dianggap sebagai derma:

“Jika tuan tidak mendapat hadiahnya, maka tuan sifatkan sahajalah yang tuan telah menderma.” – Pengarang Suara UMNO, dipetik dari jurnal tulisan Abu Hanifah Jamil.

Selain tu, seperti mana tujuan asalnya…

Keuntungan loteri digunakan untuk kemudahan UMNO dan kebajikan masyarakat Melayu

Bangunan lama UMNO di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Chow Kit setahun sebelum merdeka. Imej dari Astro Awani.

Disebabkan loteri ini dilancarkan secara besar-besaran, banyak juga masalah yang timbul lepas tu. Antaranya bila ramai dilaporkan hilang tiket. Salah satu kes direkodkan adalah yang menimpa Cikgu Salleh yang HILANG 104 TIKET masa naik bas di Tanjung Kling, Melaka. Ada juga kes cubaan menipu yang dapat dikesan.

“Pernah dilaporkan bahawa seorang pekedai berbangsa Cina yang bernama Cheok Lay Lock telah didatangi oleh seorang wakil penjual tiket Loteri UMNO pada tarikh 20 Mei 1953 yang menawarkan kepada beliau keahlian UMNO dan menjanjikan keistimewaan apabila membeli tiket Loteri UMNO Malaya.” – Dipetik dari jurnal tulisan Abu Hanifah Jamil.

Kalau dulu ancaman ulat tiket loteri, sekarang ulat tiket bas. Imej dari perisikrimba.blogspot

Berikutnya, hasil dari loteri ini disumbangkan kepada masyarakat yang memerlukan. Antara mereka yang menerimanya termasuklah: mangsa tahanan, ahli keluarga tahanan, rumah-rumah sakit dan pusat pendidikan. Kalau korang nak tahu, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) juga tersenarai sebagai penerima bantuan hasil Loteri UMNO. Bahkan, pejuang kiri – Ahmad Boestamam turut dilaporkan menerima bantuan sebanyak $20 semasa ditahan pihak British.

Dalam masa sama, hasil loteri turut digunakan untuk kemudahan UMNO seperti pembinaan Rumah UMNO di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan, selain untuk pembinaan balai raya, dewan dan pelbagai lagi kebajikan awam. UMNO pun ada anjurkan fun fair sebagai salah satu cara mengumpul dana dan ada yang dirasmikan sendiri oleh Tunku Abdul Rahman.

Namun begitu, seperti mana yang kita dapat agak – perdebatan tentang hukum pelaksanakan loteri ni terus diperdebatkan di kalangan para ulama ketika itu.

Ada ulama yang kata ‘boleh’ dan ada juga yang kata ‘haram’

Sheikh Abdullah Fahim dengan tegas mengharamkan perbuatan itu. Imej dari Melaka Kini.

Bila ia mula diperdebatkan, maka ketika itu muncullah fatwa yang pernah dikeluarkan oleh seorang ulama Mesir Shaikh Rahman Isa yang berkata penjualan, pembelian dan penerimaan hadiah loteri adalah diizinkan, jika ia dilakukan atas tujuan kebajikan.

Fatwa sama juga dikeluarkan oleh Mufti Terengganu, Tuan Yusof Al-Zawawi yang berpendapat penggunaan wang loteri adalah halal. Fatwa beliau itu seterusnya disokong oleh Jabatan Agama Johor yang membenarkan penggunaan wang loteri untuk tujuan membantu umat Islam seperti membina surau dan seumpamanya.

Akan tetapi, masih ramai ulama yang membantah dan menfatwa Loteri UMNO tu sebagai haram. Salah seorangnya ulama di Singapura, Tuan al-Shaikh bin Shaikh Bafagih yang mengecam keras kenyataan Shaikh Rahman Isa. Katanya, itu bukan fatwa sebaliknya hanya pandangan peribadi Rahman.

“Sa-bagai saorang manusia yang selalu di-suroh berfikir, janganlah kita menganggap apa yang datang bukan sahaja dari Azhar tetapi dari mana sekali pun baik semuanya.” – Al-Shaikh bin Shaikh Bafagih, dipetik dari jurnal tulisan Abu Hanifah Jamil.

Pengharaman sama turut dimaklumkan oleh Majlis Ulama Perak, selain Mufti Pulau Pinang, Sheikh Abdullah Fahim yang secara tegas mengharamkan Loteri UMNO. Keputusan beliau itu diambil selepas berbincang dengan 50 orang ulama yang dipengerusikan olehnya.

Laporan akhbar tentang pengharaman loteri. Imej dari malaysiawaves.net

Bila dapat tahu fatwa pengharaman tu, Setiausaha Loteri UMNO pun maklumkan kepada Bendahari UMNO. Cumanya, aduan tu tak dilayan sama sekali dan loteri lepas tu terus menjadi antara sumber dana utama parti. Malah, Tunku Abdul Rahman ketika itu tampil menempelak pihak yang menuduh Loteri UMNO sebagai haram, sedangkan dalam masa sama tak menyumbang sebarang usaha:

“Sayang sekali ketika UMNO ingin mengadakan loteri, orang-orang kami mengatakan bahawa loteri kami adalah haram dari segi agama. Sebenarnya, semuanya haram bagi mereka. Mereka adalah orang yang tidak dapat menyumbang walaupun $1“. – Tunku Abdul Rahman, dipetik dari The Straits Times, 5 Ogos 1952.

Walaupun penuh kontroversi, tak dapat dinafikan ia membantu meringankan kesusahan masyarakat

Poster Loteri Kebajikan Masyarakat pada tahun 1984. Imej dari Xplorasi Destinasi.

Apa yang dilakukan oleh UMNO ni memang mendapat batahan ramai pihak, khususnya PAS yang ketika itu menganggap ramai orang Islam dah musyrik sepanjang loteri dijalankan. Apa yang pasti, pelaksanaan loteri akhirnya ditamatkan pada penghujung tahun 1980-an dan kini dah takde lagi mana-mana pihak politik yang melaksanakannya.

Walaupun begitu, banyak juga hasil pembangunan di negara ini yang sebenarnya menggunakan dana Loteri UMNO seperti Sekolah Mahat Sollehuddin Abdul Aziz Shah Batu 38, Sabak Bernam, sebuah masjid di Rapat Setia, Perak, Dewan Bandaran di Sungai Siput, bangunan rumah UMNO dan sebagainya.

“Hasil perolehan loteri memperlihatkan pelbagai bantuan sosial dapat disalurkan kepada masyarakat Melayu antaranya bantuan terhadap para tahanan, kesihatan, pendidikan dan sebagainya. Justeru, bantuan kewangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan kesusahan yang ditanggung oleh masyarakat Melayu sekitar pertengahan abad ke-20.” – Dipetik dari jurnal tulisan Abu Hanifah Jamil.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend