Kemanusiaan

Kisah kewujudan pusara Melayu di tengah perkuburan Shinto, Hiroshima dan Kyoto

Pada 6 dan 9 Ogos lalu, telah genaplah 75 tahun peristiwa jatuhnya bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun. Dinamakan sebagai Little Boy (di Hiroshima) dan Fat Man (di Nagasaki), kedua-dua bom ni dijatuhkan oleh Amerika Syarikat (AS) yang ketika itu di bawah pimpinan Presiden Harry S.Truman semasa Perang Dunia Kedua (WWII).

Letupan bom atom di Hiroshima & Nagasaki menjadi lambang kekejaman perang. Imej dari History.com

Akibatnya, dianggarkan 66,000 mangsa terkorban di Hiroshima dan 39,000 di Nagasaki. Ini membuatkannya sebagai salah satu serangan paling banyak membunuh manusia dalam satu masa dan sekaligus menewaskan Jepun dalam WWII. Malah, pada 1 Januari 1946, Maharaja Hirohito mengisytiharkan dirinya bukan lagi dewa seperti mana yang dipercayai dalam tradisi negara matahari terbit itu.

Tapi, korang tahu tak ketika bom atom dijatuhkan di Hiroshima – terdapat tiga orang pemuda Tanah Melayu berada di sana?

Tiga orang anak Melayu yang diterima masuk ke Universiti Hiroshima

Dari kiri: Nik Yusof, Syed Omar dan Abdul Razak. Imej dari Hiroshima Study Abroad Ambassador.

Antara sumber utama yang kita boleh dapat tentang mereka bertiga adalah melalui Datuk Abdul Razak Hamid (allahyarham) yang melanjutkan pelajaran ke Jepun pada 1943. Di sana, dia dan dua lagi rakyat Tanah Melayu – Nik Yusof Nik Ali (dari Kelantan) dan Syed Omar Al-Sagoff (dari Johor) telah diterima masuk ke Universiti Hiroshima. Seorang lagi orang Melayu di universiti sama adalah Pengiran Yusuf (dikenali sebagai Yura Halim) dari Brunei.

Bagaimanapun, sesampainya mereka di sana – keadaan taklah begitu baik kerana Jepun ketika tu masih lagi berperang dengan Pihak Berikat yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS). Menurut Razak, sepanjang mereka berada di sana, bandar tu jarang didatangi pesawat musuh.

Pengiran Yusuf kemudiannya menjadi Menteri Besar Brunei (1967 – 1972), selain menjadi diplomat dan penulis lirik lagu kebangsaan Brunei – “Allah Peliharakan Sultan”. Imej dari bruneiresources.blogspot

Sehinggalah pada suatu hari apabila bunyi siren kedengaran yang mencemaskan Razak dan Pengiran Yusuf. Mereka kemudiannya masuk ke dalam air-raid shelter bersama pensyarah mereka untuk menyelamatkan diri. Tapi, tak lama lepas tu mereka kembali ke bilik kuliah untuk meneruskan pengajian.

Masa dalam bilik kuliahlah mereka disambut dengan satu cahaya silau, diikuti dengan bunyi seakan ribut petir. Ketika itu, bom atom jatuh di bumi Hiroshima

“Selepas itu, saya tidak ingat apa-apa.” – Razak, katanya dipetik dari New Straits Times.

Pesawat yang menjatuhkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki. Imej dari Business Insider.

Sedar selepas letupan, Razak dapati dirinya tertimbus di bawah timbunan debu dan serpihan bangunan universiti. Tak lama kemudiannya, pensyarahnya dan Pengiran Yusof pun keluar dari timbunan serpihan bangunan dan mereka diminta keluar untuk tengok apa yang jadi.

“Semuanya rata… Seolah-olah ribuan ribut taufan melanda seluruh negeri. Saya kemudian tertanya-tanya, adakah dunia ini telah berakhir.” – Razak, katanya dipetik dari New Straits Times.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Razak menambah, ketika itu dia dan Pengiran Yusuf mendengar rintihan, jeritan dan tangisan dari setiap sudut dengan pemandangan mayat yang bergelimpangan. Hiroshima ketika itu tak ubah umpama neraka dunia!

Gambaran kesan letupan bom atom dalam filem animasi: Barefoot Gen (1983). Imej dari Cool Anime YT.

Diceritakan, ramai mangsa ketika itu merintih supaya diberikan air. Mendengar rayuan itu, Razak dan Pengiran Yusuf pun ambil air di sungai dan bagi mereka minum. Malangnya, sejurus saja mereka minum – mereka pun mati. Diberikan kepada yang lain, tetap sama – mereka akan mati.

“Selepas itu saya enggan memberikan air-air kepada orang lain, tetapi orang-orang meminta air itu memujuk kami, biarlah mati dapat minum dari mati kehausan.

___

Rupanya dari penyelidikan yang dilakukan, orang-orang yang terkena radioaktif itu merasa begitu hangat. Apa yang tidak kami sedari juga, air dan bahan-bahan yang kami makan itu juga telah terkena radioaktif.” – Razak dipetik dari Mastika (tersiar di laman web: Pusat Racun Negara).

Nik Yusof dan Syed Omar terkorban di Hiroshima

Bayang-bayang manusia yang tertekap di tangga, akibat kesan panas letupan atom. Imej dari Universal History Archive.

Manakala, dikhabarkan yang Nik Yusof ketika itu berada di asrama pelajar yang terletak 900 meter dari pusat jatuhnya bom. Nik Yusof dikatakan dapat keluar dari runtuhan bangunan dan cuba pergi ke Itsukaichi, Tokyo. Bagaimanapun, kecederaannya yang parah akibat melecur anggota badan tak dapat menyelamatkannya dan meninggal dunia sebelum sempat sampai ke Itsukaichi.

Menurut laporan, ribuan mayat kemudiannya diangkut dan dibawa ke tempat pembakaran di kuil dan ia termasuklah jenazah Nik Yusof. Tapi, jenazah Nik Yusof dapat dikenal pasti kerana nama yang tertera di bajunya.

“Mayat itu dibakar, tetapi tulang temulang Nik Yusof dikumpul dan dimandikan secara Islam oleh penduduk yang beragama Islam. Selepas itu, tulang temulang itu ditanam.” – Dipetik dari Pusat Racun Negara.

Kini, kubur Nik Yusof masih berada di tanah perkuburan Kuil Kozenji, Hiroshima yang terletak kira-kira 10km dari Atomic Bomb Dome, Hiroshima. Kubur allahyarham menjadi satu-satunya kubur orang Islam di tengah tanah perkuburan Shinto di kuil berkenaan. Pusara tu dapat dikenal pasti kerana mempunyai ciri-ciri Islam di batu nisannya – iaitu dengan lambang bulan bintang, selain namanya, yang tertulis dalam rumi.

Pusara Nik Yusof di tanah perkuburan Kuil Kozenji. Imej dari zulheimymaamor.blogspot

Selain itu, Syed Omar juga terselamat dari letupan tu pada mulanya, dan dia kemudian cuba pergi ke Tokyo. Tapi, kesihatannya semakin merosot akibat kesan radioaktif sehingga membuatkannya terkandas di Kyoto dan akhirnya meninggal dunia pada 3 September 1945 (tak sampai sebulan selepas letupan) di sebuah hospital bandar berkenaan. Jenazah allahyarham disemadikan di tanah perkuburan, Kuil Enkoji, Kyoto.

“Menurut doktor yang menjaganya di Kyoto, lima hari dia (Syed Omar) sakit, dagingnya pecah dan merekah. Mereka cuba menyelamatkannya dengan memberi darah mereka sendiri tetapi tidak berjaya.” – Dipetik dari Mastika (tersiar di laman web: Pusat Racun Negara).

Di atas batu nisannya, tercatat puisi dari penyair Jepun, Saneatsu Mushanokoji berbunyi:

“Saudara Omar, kau datang ke Hiroshima dari Tanah Melayu untuk belajar, tetapi yang menyambut kau adalah bom atom.”

Pusara Syed Omar di tanah perkuburan, Kuil Enkoji. Imej dari The Asahi Shimbun.

Dilaporkan, sekitar 1,760 orang asing yang terselamat dari letupan bom itu dan Razak adalah salah seorang darinya.

Razak-sensei mainkan peranan besar dalam hubungan Malaysia – Jepun

Datuk Abdul Razak, terus menyumbang kepada negara sehingga ke akhir hayatnya. Imej dari The Star.

Sekembali ke Tanah Air pada 1946, Razak memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris (1955 – 1960) dan Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai dari tahun 1960 – 1965. Perkara itu dah membuatkannya dipanggil sebagai Cikgu Razak (Razak-sensei) oleh rakan-rakan dan anak-anak didiknya.

Dalam masa sama, Razak juga selama bertahun-tahun mengajar Bahasa Melayu kepada kakitangan Kedutaan Jepun di Malaysia. Menjelang tahun 1982, Razak diberikan kepercayaan oleh Dr Mahathir (PM masa tu) apabila diamanahkan untuk mengetuai Program Dasar Pandang Ke Timur. Pada tahun 1995, Razak menerima Japan Foundation Special Prize yang turut dihadiri oleh Maharaja dan Maharani Jepun di majlis tersebut.

Razak meninggal dunia pada 18 Julai 2013 pada usia 88 tahun. Manakala, rakannya Pengiran Yusuf menghembuskan nafas terakhir pada 11 April 2016.

“Saya tidak mempunyai mimpi buruk, tetapi saya membencinya ketika seseorang menyebut tentang perang. Saya membencinya kerana saya melihat kesan perang.” – Razak, dipetik dari The Star.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend