Sanggup mohon cuti sakit: Ini sejarah aktiviti lumba kuda di Tanah Melayu

Mungkin ada di antara kita yang tak pernah menunggang kuda, tapi hampir semua mesti pernah nampak kalendar kuda, kan? Kalendar ni lengkap dengan tarikh masihi, tarikh hijrah, cuti perayaan, cuti sekolah, zodiak Cina dan juga tarikh lumba kuda. Sebab itulah ia dipanggil kalendar kuda.

Kalendar kuda yang popular dalam masyarakat kita. Imej dari sistemguruonline.my

Kali ini SOSCILI nak tengok sikit tentang sejarah perkaitan masyarakat Melayu dan kuda di zaman sebelum penjajahan dan selepas penjahan. Pertama sekali…

Masih tak jelas tentang asal usul kewujudan kuda di Tanah Melayu

Sebuah keluarga Eropah sedang menunggang kereta kuda di Singapura sekitar tahun 1890-an. Imej dari National Museum of Singapore.

Berdasarkan kajian Dr Azharudin Dali dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), sehingga ke hari ini tak jelas tentang asal usul kewujudan kuda di Tanah Melayu. Bagaimanapun, dalam konteks Alam Melayu – dikatakan kuda dah digunakan di Pulau Jawa sejak abad ke-7 masihi lagi, yang dibawa dari China, India dan Burma. Kuda juga dikatakan ada di Sumatera dan berkemungkinan besar kuda-kuda itulah yang dibawa masuk ke Tanah Melayu.

Kaitan kuda dalam budaya masyarakat Nusantara dapat dilihat melalui wujudnya tarian Kuda Kepang di Pulau Jawa dan penggunaannya sebagai subjek pantun Melayu yang dianggap sebagai kearifan tempatan serta menggambarkan pandangan hidup orang Melayu. Antara pantun lama yang menggunakan subjek kuda adalah:

Orang Daik memacu kuda,
Kuda dipacu deras sekali;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali.
___
Apa malangnya membeli kuda,
Walaupun baik susah dikekang;
Ada malangnya berbini janda,
Walaupun cantik sisalah orang.
Kuda Kepang atau Kuda Lumping di Jogjakarta sekitar lebih 50 tahun lalu. Imej dari Wikimedia Commons.

Kewujudan kuda juga ada diceritakan dalam hikayat Melayu lama seperti Sejarah Melayu apabila diceritakan kuda milik Sultan Mansur Syah dah jatuh ke dalam perlimbahan, tapi diselamatkan oleh Hang Tuah.

Dalam Hikayat Hang Tuah pula, diceritakan yang Laksamana Melayu itu ada ilmu mengubati kuda yang berpenyakit. Kuda seterusnya menjadi haiwan penting menjelang abad ke-18 dan ke-19 iaitu di zaman penjajahan British di negeri-negeri Melayu.

Kuda menjadi hadiah dan kegunaan golongan bangsawan di Tanah Melayu

Loke Yew yang kini ada jalan bersempena namanya di Kuala Lumpur juga pernah menerima kuda sebagai hadiah. Imej dari Overseas Chinese in the British Empire.

Kalau korang nak tahu, bekas Leftenan Gabenor British, Stamford Raffles pernah menghadiahkan sebuah kereta kuda yang ditempah khas dari India kepada Sultan Husin. Manakala, seorang saudagar terkemuka di Kuala Lumpur, Loke Yew juga pernah menerima kuda sebagai hadiah daripada seorang pegawai British, J.H.M Robson.

“…namun tidak menyedari bahawa kuda itu mempunyai ‘baran’ yang sukar dikawal hingga pada suatu hari telah mematahkan lampu jalan.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaya.

Dalam catatan Isabella Bird yang pernah datang ke Tanah Melayu, dia menyatakan yang kuda di Tanah Melayu ketika itu terdiri daripada dua baka utama iaitu kuda padi (dibawa dari Sumatera) dan kuda yang dibawa dari Australia. Malah, pada tahun 1869, perdagangan kuda di Pulau Pinang sahaja dianggarkan bernilai $8,579.

Kuda padi yang digunakan sebagai pengangkutan. Imej dari National Archives of Singapore.

Kuda-kuda ini kebanyakannya digunakan untuk aktiviti lumba kuda dan pengangkutan (kuda padi). Ia juga menjadi sumber pengangkutan penting untuk golongan bangsawan dan pegawai kerajaan ketika itu. Sampaikan Kerajaan Negeri Selangor memberikan elaun khas sebanyak $20 sebulan kepada pegawai kerajaan bagi memastikan kuda mereka mendapat penjagaan yang baik.

Tapi, seperti mana dikatakan tadi, kuda-kuda ni kebanyakannya digunakan untuk tujuan…

Lumba Kuda menjadi antara aktiviti paling popular di Tanah Melayu

Lumba kuda dalam filem Ragam P. Ramlee.

Salah satu aktiviti yang dibawa oleh bangsa Eropah ke Tanah Melayu adalah aktiviti lumba kuda yang kemudiannnya menjadi antara aktiviti paling popular di kalangan masyarakat ketika itu. Kuda-kuda lumba ini selalunya dimiliki oleh golongan bangsawan seperti orang Eropah, saudagar Cina, bangsawan Melayu dan keluarga diraja.

Berdasarkan sumber, lumba kuda pertama diadakan di Tanah Melayu adalah pada Februari 1843 di Singapura, iaitu dengan tertubuhnya Singapore Turf Club setahun sebelum itu. Ia kemudiannya berkembang di bandar-bandar utama lain seperti di Pulau Pinang, Ipoh dan Kuala Lumpur. Aktiviti ini juga tak terlepas dari unsur perjudian, tapi tetap dijalankan oleh semua lapisan masyarakat (termasuk Islam) kerana kawalan yang longgar.

Dari tahun 1840-an hingga akhir 1930-an, lumba kuda sangat popular sampaikan bank pun ditutup pada hari perlumbaan – sebab pegawai bank akan dihantar ke sana untuk mengendalikan pertaruhan. Sebab itu jugalah munculnya kalender kuda bagi memudahkan orang ramai tahu bila ia akan diadakan.

“Tarikan perlumbaan ini telah menyebabkan kakitangan kerajaan membuat permohonan ‘cuti sakit’ untuk mendapatkan khidmat perubatan di Singapura pada hari perlumbaan diadakan.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaya.

Bagaimanapun, aktiviti ni mengalami kemerosotan apabila…

Berlakunya Perang Dunia Ke-2 yang melumpuhkan aktiviti lumba kuda

Walaupun tak sepopular dulu, lumba kuda masih mempunyai peminatnya yang tersendiri. Imej dari Insider.

Akibat penaklukan Jepun di Tanah Melayu pada 1941, keadaan sama sekali berubah apabila berlakunya krisis makanan dan pentadbiran. Hal ini sekaligus menyebabkan aktiviti lumba kuda lumpuh sama sekali. Namun, selepas kekalahan Jepun dan kembalinya British ke Tanah Melayu, aktiviti ni diteruskan kembali.

Pentadbiran British pada masa tu telah menetapkan pelbagai penambahbaikan seperti memperkenal peraturan baru. Seterusnya, populariti lumba kuda kembali meningkat dan menjadi sebahagian daripada aktiviti masyarakat di bandar-bandar.

“…aktiviti ini turut dilakukan oleh orang Islam sebagaimana yang digambarkan oleh filem Ibu Mertuaku arahan P. Ramlee.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaya.

Perdana Menteri kita yang pertama, Tunku Abdul Rahman juga seorang yang sangat meminati aktiviti lumba kuda. Namun, dengan perkembangan kesedaran semasa, kita dah tak nampak lagi aktiviti ini dilakukan secara terbuka dari kalangan orang Islam pada masa kini. Lumba kuda juga bukan lagi aktiviti popular seperti sebelumnya dan hanya diminati oleh pihak tertentu sahaja.

*Artikel ini banyak merujuk jurnal terbitan Universiti Malaya: Kuda Dalam Masyarakat Di Tanah Melayu Pada Era Sebelum Merdeka, tulisan Dr Azharudin Mohamed Dali. [Klik sini untuk PDF]

*Artikel ini pertama kali diterbitkan pada 24 September 2020.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.