Hanya terlewat 48 jam, Malaya gagal mencapai kemerdekaan pada 1945

Macam yang korang tahu, kita akan menyambut hari kemerdekaan pada setiap 31 Ogos kerana itu merupakan tarikh di mana Tunku Abdul Rahman melaungkan kemerdekaan sebanyak tiga kali. Pada malam sebelumnya,  detik-detik yang paling bersejarah di mana bendera Union Jack diturunkan dan bendera Malaysia dinaikkan sambil lagu Negaraku didendangkan.

Jika dilihat kembali pada sejarah yang lepas, usaha dan keringat untuk mencapai kemerdekaan dilakukan dan banyak juga pejuang-pejuang yang terkorban akibat dari serangan orang yang tiada hati perut, bermula dari tahun 1955 sehingga tahun 1957.

Namun, sebenarnya sebelum tempoh tahun kemerdekaan ini, Tanah Melayu sebenarnya pernah memperjuangkan kemerdekaan pada tahun 1945 selepas Jepun menyerah kalah akibat serangan bom yang dilancarkan dari Amerika Syarikat oleh Presiden Harry S. Truman. Jadi, mari kami bongkarkan tentangnya.

Kemunculan KRIS dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu

Ibrahim Yaakob merupakan orang penting dalam KRIS. Imej dari blog Asia Tenggara.

Pada awal zaman perang dunia kedua, Jepun merupakan sebuah negara yang mempunyai angkatan tentera yang hebat, tetapi empayar Jepun telah hancur apabila mengalami kekalahan di sekitar kawasan Lautan Pasifik pada tahun 1945. Kekalahan ini membuat mereka menubuhkan satu badan pertubuhan yang dipanggil “Hodosho” (persatuan etnik-etnik lain).

Kalau korang nak tahu, Jepun menubuhkannya atas dasar mengambil hati orang yang tinggal Tanah Melayu dan badan pertubuhan tersebut dianggotai oleh semua kaum di Malaysia.

Semasa Hodosho sedang giat dilaksanakan, Jepun di Tanah Melayu telah menyatakan hasratnya untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu bersama dengan Indonesia. Ini merupakan satu utusan yang baik kepada golongan nasionalis lebih-lebih lagi kepada Kekuatan Rakyat Istimewa Semenanjung (KRIS).

KRIS ini telah ditubuhkan oleh Ibrahim Yaacob dan Dr Burhanuddin AI-Helmy. Tujuan penubuhan kumpulan nasionalisme ini adalah untuk memperjuangkan kemerdekaan di Tanah Melayu.  KRIS ini juga mendapat sokongan dari Jepun serta mempunyai dasar yang menyerupai dasar Kesatuan Melayu Muda (KMM). Penubuhan kumpulan ini dipersetujui oleh Ibrahim Yaacob ketika mesyuarat Prof. Yoichi Itagaki bersama Ibrahim Yaacob menjadi Leftenan Kolonel dalam pasukan Giyun Gun.

Perlembagaan kemerdekaan Tanah Melayu yang dipanggil Piagam Taiping

Rombongan Soekarno di Lapangan Terbang Taiping. Imej dari Gagasan Insan Progresif.

Pada bulan Jun 1945, Jepun telah mula merasakan kekuatan pemerintahannya semakin lemah dan pengaruh dalam kalangan orang-orang Melayu mula berkurangan. Mereka juga merasakan perlu untuk mengambil semula hati rakyat terutama golongan nasionalis di Tanah Melayu dan Indonesia.

Oleh itu, Jepun di Indonesia telah bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Indonesia. Sementara itu, golongan nasionalis Tanah Melayu telah menuntut supaya Tanah Melayu juga turut dimerdekakan sebagai sebahagian daripada Indonesia. Pihak nasionalis Indonesia menyokong dengan cadangan itu dan pentadbiran  Jepun di Tanah Melayu telah menyatakan persetujuannya untuk memberikan kemerdekaan bersama kepada Tanah Melayu dan Indonesia.

Pada akhir bulan Julai 1945, persidangan kedua Setiausaha Agung Pentadbiran Tentera Jepun bagi Jawa, Sumatera, Sulawesi dan Tanah Melayu telah diadakan di Singapura bagi menetapkan tarikh kemerdekaan untuk Indonesia.

Pada 12 Ogos 1945, Mustapha Hussain dan Dr Burhanuddin Al Helmy kemudian telah berusaha untuk menggubal perlembagaan bagi mendapatkan kemerdekaan di Tanah Melayu. Penggubalan perlembagaan ini dihadiri oleh rombongan yang diketuai oleh Soekarno dan Mohd. Hatta.

Dalam kertas kerja yang telah diselenggara dan disiapkan dengan tekun di Sekolah St. George’s, tarikh kemerdekaan Malaya telah ditetapkan pada 17 Ogos 1945. Kertas kerja ini juga dikenali sebagai ‘Piagam Taiping‘ kerana perlaksanaan ini dilakukan di Taiping, Perak.

Semangat memperjuangkan kemerdekaan dari KRIS yang membawa kegagalan

Mustapha Hussain dikatakan jatuh sakit ketika menggubal perlembagaan. Imej dari Gagasan Insan Progresif.

Ibrahim Yaacob telah berjanji akan menghantar wakil Tanah Melayu seramai lapan orang ke Indonesia yang terdiri dari empat orang wakil pemimpin nasionalis dan empat orang wakil raja-raja Melayu. Ibrahim Yaacob pula telah membuat persiapan tertentu di Tanah Melayu dalam menghadapi kemungkinan kedatangan Indonesia ke Tanah Melayu apabila Jepun menyerah kalah.

Walau bagaimanapun, tarikh kemerdekaan Tanah Melayu bersamaan dengan tarikh kemerdekaan Indonesia, tetapi tujuan KRIS dalam perlembagaan Malaya Merdeka bukanlah untuk menyatukan Indonesia dan Malaya sekaligus, kerana undang-undang antarabangsa tidak membenarkan perkara itu berlaku.

“Buatlah seperti Abdul Karim (pemimpin Algeria), selesaikan satu dulu kemudian lagi satu pula, yang membawa maksud biarlah Indonesia yang merdeka dahulu, dan kemudian Malaya pula.”- Soekarno, Bekas Presiden Indonesia, dipetik dari Gagasan Insan Progresif.

Petikan di atas ini merupakan apa yang telah dikatakan oleh Soekarno kepada Ibrahim Yaakob. Akhirnya, Soekarno dan Hatta telah mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia tanpa menyebut nama Tanah Melayu sebagai sebahagian daripada Wilayah Indonesia Raya. Tanah Melayu telah ditinggalkan untuk berjuang bersendirian dan ini menyebabkan rancangan kemerdekaan Tanah Melayu bersama Indonesia gagal.

Lakaran sejarah ini merupakan satu kisah sedih buat penduduk Tanah Melayu ketika itu. Mustapha Hussain juga menyatakan bahawa beliau telah menangis selepas kemerdekaan di Tanah Melayu gagal dan apa yang lagi menyedihkan, pengisytiharaan kemerdekaan ini cuma tinggal lagi 48 jam sahaja.