- 1.0KShare sekarang!
- Email9
- Facebook1.0K
- Share
Kita semua sedia maklum yang bahasa Melayu ni ialah bahasa kebangsaan negara kita. Tujuan pemimpin zaman dulu jadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ni adalah untuk memupuk perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Perkara ni dah termaktub dalam perlembagaan persekutuan yang kita gunakakan lepas merdeka sampai sekarang.
Bahasa Melayu juga sebenarnya merupakan bahasa kelima terbanyak digunakan di seluruh dunia iaitu sebanyak 300 juta penutur setakat tahun 2014! Mana taknya, bahasa Melayu ialah bahasa pertuturan harian sebahagian besar penduduk kat Nusantara ni yang terdiri daripada Malaysia, Singapura, Indonesia, dan juga Brunei Darussalam. Tapi beza bahasa Melayu yang digunakan itu bergantung kepada tempat tertentu.
Menurut kajian, bahasa Melayu juga pernah menjadi satu perantara atau lingua-franca ketika zaman kegemilangan Melaka dulu, tapi semakin berubah dan berevolusi mengikut masa. Kalau kita tengok cerita zaman P. Ramlee dulu, bahasa Melayu mereka adalah lebih baku daripada sekarang. Disebabkan evolusi bahasa dan zaman, beberapa perkataan ditukarkan mengikut perkembangan bahasa semasa.
1. Kutub khanah atau perpustakaan
Selalunya, kita akan dengar orang panggil sama ada perpustakaan atau pusat sumber, tempat buku-buku dan jurnal diletakkan. Ianya juga merupakan koleksi sumber maklumat yang boleh diakses kepada masyarakat untuk tujuan rujukan atau pinjaman.
Pada zaman dulu, perpustakaan dipanggil sebagai ‘kutub khanah’ yang pada asalnya adalah daripada Bahasa Urdu yang bermaksud sebuah ruang yang mengandungi buku-buku dan bahan-bahan lain untuk bacaan, kajian ataupun pinjaman.
Khutub Khanah atau perpustakaan pertama yang pernah wujud di Malaysia ialah pada tahun 1959, iaitu Perpustakaan Negara. Perpustakaan ini diwujudkan bila adanya kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya mereka dari persatuan-persatuan dan pertubuhan professional.
Idea tersebut muncul daripada Malayan Library Group (MLG) apabila mereka menghantar memorandum Public Library Services for the Federation of Malaya setahun sebelum kemerdekaan Malaysia iaitu pada tahun 1956.
2. Ilmu hisab atau ilmu kira-kira
Rasa-rasanya kalau korang rajin tengok cerita P. Ramlee atau cerita-cerita zaman dulu, mungkin korang akan jumpa sesetengah perkataan yang pernah digunakan pada zaman dulu, dan mungkin takde langsung digunakan sekarang.
Contohnya macam ‘ilmu hisab’ atau ‘ilmu kira-kira’, yang bermaksud hitung atau kira. Tak ingat la pula cerita apa, tapi korang mesti akan terjumpa punya la kalau korang tengok cerita-cerita zaman dulu tu.
Ilmu hisab dan ilmu kira-kira bermaksud ilmu atau mata pelajaran matematik, arithmetic, perakaunan, dan mana-mana mata pelajaran yang ada kira-mengira ni. Selain tu juga, kali bermaksud darab, dan campur bermakna tambah. Rasa-rasanya kalau kita tanya budak-budak zaman sekarang, mesti diorang tercengang.
3. Ahli nujum atau tukang tilik
“Eh kau tengok betul-betul. Nampak tak nampak? Tengok. Siapa tak nampak, dia anak di luar nikah.”- sedutan daripada filem Nujum Pak Belalang.
Juga dipetik melalui filem P. Ramlee, iaitu Nujum Pak Belalang, yang juga bermaksud Pak Belalang Si Tukang Tilik. Menurut sebuah kajian tentang Pernujuman dan Pancaran Kecendekiaan Masyarakat, ‘ilmu nujum’ merupakan ilmu untuk meramal sesuatu. Ramalan itu lebih berdasarkan peredaran planet, khususnya bintang-bintang, sehingga ‘ilmu nujum’ ini boleh dikaitkan dengan astrologi.
Tapi ada beza antara ahli falak (astronomi) dan ahli nujum (tukang tilik) ni. Hal ni kerana ‘ahli nujum’ selalunya menilik nasib, menilik hati seseorang ataupun pasal tuah atau malang seseorang tu berdasarkan peredaran bintang. Ahli nujum juga dikatakan ada kebolehan untuk menilik mimpi, meramal jenis atau sifat seseorang dan sebagainya.
Tapi kalau dilihat dari sudut agama, menilik nasib ni adalah ditegah oleh Islam. Dari Abdullah bin Abbas, Rasulullah bersabda:
“Barangsiapa mempelajari salah satu cabang ilmu nujum maka ia telah mempelajari salah satu cabang ilmu sihir. Semakin bertambah ilmu nujum yang dipelajarinya, semakin bertambah pula ilmu sihir yang dimilikinya”
4. Ilmu falak atau ilmu kaji bintang
Ilmu astronomi ialah salah satu cabang ilmu yang berkaitan dengan objek-objek angkasa, ruang, dan alam semesta fizikal secara keseluruhannya. Kelab-kelab astronomi yang ada seluruh dunia juga rajin buat aktiviti yang dipanggil mencerap bintang untuk bagi pengetahuan dekat sesiapa yang berminat. Dulunya, ia dipanggil ilmu alam ataupun ilmu falak sebelum dikomersialkan sebagai ilmu astronomi.
Ahli falak Muslim memainkan peranan penting dalam perkembangan dan kemajuan ilmu ini. Mereka telah mengubah skop kajian ‘ilmu falak’ yang bercorak tradisi kepada saintifik. Pada zaman khalifah al-Makmum (813-833 M), beliau memerintahkan supaya ukuran lilitan bumi dibuat dengan menggunakan kaedah astronomi dan matematik.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Mufti adalah salah satu jabatan yang membuat penyelidikan dalam pembangunan ilmu falak di Malaysia. Disebabkan ‘ilmu falak’ juga la kita dapat mengetahui tempat-tempat melihat anak bulan bagi menentukan tarikh puasa dan hari raya pada setiap tahun.
Walaupun perkataan ahli falak atau ilmu falak jarang digunakan sekarang, Jakim masih lagi menggunakan nama tersebut iaitu E-FALAK untuk memberi maklumat kepada orang ramai untuk data takwim, waktu solat dan hasil kajian mereka sebagai rujukan kita.
Kalau nak tahu juga, salah seorang tokoh Ahli Falak di Malaysia adalah Sheikh Abdullah Fahim, iaitu datuk kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah). Tokoh tersebut juga la yang memilih tarikh yang bersesuaian untuk merdeka, iaitu pada 31 Ogos 1957.
Selain tu juga, ahli astronomi ni la yang banyak bagi info pasal bila gerhana jadi, bila kita boleh tengok planet dengan mata kasar ataupun guna teleskop, dan macam-macam lagi. Salah satu fenomena paling baru jadi kat Malaysia ialah Supermoon pada bulan November 2016, iaitu tahun lepas.
Apa yang menarik pasal Supermoon ni? Bulan tu sama je, cuma titik di orbit bulan tu adalah paling dekat dengan Bumi, menyebabkan bulan nampak 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah di langit.
Masa tu semua orang sibuk duduk post gambar dengan bulan walaupun dalam gambar tu nampak tak jauh beza pun dengan malam-malam yang lain. Tapi, korang jangan risau sebab ahli astronomi ni jangkakan yang kita akan tengok Supermoon sekali lagi pada 3 Disember 2017, iaitu tahun ni! Jadi, boleh la korang tanda kalendar siap-siap!
5. Mengaji bermaksud belajar
Contoh ayat: Lama tak nampak, kamu ‘mengaji’ kat mana sekarang?
Itulah soalan yang kita selalu dapat bila jumpa orang tua-tua dekat kampung. Maksud diorang bukan nak tanya mengaji kat mana, tapi belajar dekat mana.
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, definisi mengaji ni ialah membaca Al-Quran. Selain tu juga, maksud lain bagi mengaji ialah belajar atau menuntut.
Sebab perkataan ‘mengaji’ ni kami tak jumpa pula kesahihannya, tapi mungkin juga sebab orang-orang Melayu zaman dulu selalunya belajar ilmu agama di pondok-pondok sebab zaman dulu mana ada sekolah, jadi kebanyakan mereka cuma belajar mengaji Al-Quran.
Ianya masih digunakan lagi oleh orang tua-tua di kampung, yang maksud sebenarnya bukanlah mengaji iqra’ atau muqaddam atau Al-Quran, tetapi lebih kepada bermaksud belajar atau menuntut ilmu (apa-apa jenis ilmu).
6. Bilang bermaksud bagitahu
‘Bilang’ ni mungkin boleh digunakan sebagai membilang ataupun mengira, tapi kalau ikutkan bahasa Melayu zaman dulu, bilang tu bermaksud beritahu atau bagitahu. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, bilang atau berbilang maksudnya lebih dari satu atau beberapa, dan juga angka yang terkumpul.
Dekat Malaysia sekarang, kita selalu gunakan perkataan ‘bilang’ ni sebagai mengira. Tapi kalau dekat Singapura, diorang masih lagi kekalkan perkataan bilang untuk menyatakan sesuatu.
Contoh ayat: Aku dah bilang jangan main di tepi parit, nanti jatuh!
7. Terpemanai bermaksud banyak tak terkira
Contoh ayat: Awi Cakri nama panglimanya membawa rakyat terlalu banyak, tiada terpemanai lagi. -(dipetik di sites.google.com/sejarahmelayu)
Kalau nak diikutkan, perkataan ni boleh dijumpai dalam buku cerita rakyat melayu zaman dulu macam Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja Muda, dan beberapa hikayat cerita rakyat zaman dulu.
Bila kami periksa di DBP, maksud perkataan tersebut ialah terlalu besar, tidak terhitung, dan sangat banyak. Menurut sebuah buku bertajuk Istilah dan Konsep Pengukuran Tradisional Alam Melayu terbitan USM juga, maksud ‘terpemanai’ ialah tiada angka yang boleh dipadankan. Selain itu juga, ejaannya adalah ‘terpemanai’ dan ‘tepermanai’, bergantung kepada kamus yang digunakan.
8. Bumi Hijjaz merupakan nama Arab Saudi
Sebelum Arab Saudi diambil alih dan diperintah oleh keluarga As-Saud pada 23 September 1932, negara tersebut dipanggil sebagai Bumi Hijjaz. Daripada Bumi Hijjaz tu la namanya ditukarkan kepada Arab Saudi, yang berasal dari dinasti As-Saud.
Hijjaz sebenarnya sebuah wilayah, ianya terletak di sempadan Jordan di mana Mekah dan Madinah terletak dalam wilayah ni. Lepas keluarga As- Saud berjaya mengambil alih pemerintahan, Hijaz digabungkan dengan wilayah-wilayah lain maka dengan itu, terbentuklah Arab Saudi.
Kalau korang nak tahu lebih lanjut, korang boleh baca artikel kitorang pasal perpecahan dan penggabungan negara-negara Arab dekat sini.
Bumi Hijjaz juga disebut dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah, Nabi Muhammad (SAW) bersabda,
“Kiamat tidak berlaku sehingga keluar api dari bumi Hijjaz. Ia menerangi tengkuk-tengkuk unta di Busra” –(Hadis oleh Bukhari dan Muslim)
9. Sebelum Bajet diperkenalkan, ianya adalah Belanjawan
Pembentangan Bajet adalah satu rancangan yang kita selalu akan tunggu untuk tengok peruntukan kerajaan untuk tahun seterusnya. Tapi korang sedar tak yang sebelum ni ‘Pembentangan Bajet’ dipanggil sebagai ‘Pembentangan Belanjawan’.
Pada tahun 2016, kerajaan dah tukar perkataan ‘belanjawan’ tu kepada ‘bajet’. Nak moden lah kot? Sebelum ni, pembentangan belanjawan digunakan sejak tahun 1957 sehingga tahun 2015. Perkara ni sebenarnya dah menimbulkan perasaan kurang senang oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang kata, ianya boleh melenyapkan perbendaharaan Melayu dan juga jati diri bangsa.
Selain daripada tu juga, bajet juga digunakan oleh remaja zaman sekarang sebagai bahasa pasar yang bermaksud ‘berlagak’
Contoh ayat: “Dia tu bukannya kaya sangat pun, bajet je lebih”
10. Hari Puja Umur
Salah satu adegan dalam filem Tiga Abdul, korang akan nampak banner ni sebelum satu pesta bermula yang dinamakan ‘Hari Puja Umur’. Apa benda pula ‘Hari Puja Umur’ ni? Bila kami periksa dengan DBP lagi, ianya bermaksud pesta untuk memperingati hari jadi.
Ye, dulunya, majlis hari jadi dipanggil ‘Majlis Puja Umur’, bukan hari lahir mahupun hari jadi. Walaupun begitu, ianya masih digunakan dalam kalangan pihak istana di Brunei.
Selain tu juga, lagu “Selamat Hari Jadi’ dulunya dinyanyikan sebagai lagu ‘Allah Selamatkan Kamu”, macam filem Tiga Abdul ni.
Sedutan dari filem 3 Abdul.
Bahasa berevolusi mengikut keadaan
Setiap bahasa yang muncul di dunia adalah adaptasi evolusi, iaitu apabila penduduk mengalami perubahan dalam proses, dari masa ke masa, untuk lebih hidup. Ada sebabnya bahasa berevolusi, iaitu untuk memudahkan pemahaman orang ramai terhadap apa yang cuba disampaikan.
Sebagai contoh pada 20 tahun yang lalu, perkataan ‘mat rempit’ tak pernah wujud dan tak relevan untuk digunakan. Bagaimanapun, kita di Malaysia sekarang tahu yang mat rempit bermaksud penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram menggunakan motorsikal.
Macam tu juga dengan perkataan Inggeris seperti ‘selfie’ dan ‘hashtag’ yang mula wujud beberapa tahun baru-baru ni, iaitu selepas wujudnya media sosial dan telefon pintar, di mana evolusi bahasa berjalan seiring dengan kemajuan teknologi.
“Banyak perkataan baru ini menunjukkan kesan interaksi online dalam kehidupan kita”- Peter Sokolowski, Editor Besar untuk Merriam-Webster.
- 1.0KShare sekarang!
- Email9
- Facebook1.0K
- Share