Agama

Kecoh! Kisah Perak dan Johor RAYA AWAL sebelum negeri-negeri lain

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 1 Jun 2019, tetapi telah diolah pendahuluannya mengikut suasana semasa. 

_____________________

Korang pun dah tahu kan yang satu Malaysia PKP dari 12 Mei hingga 7 Jun, masa tu pulak Hari Raya Aidilfitri. Jadi, nak tak nak kita beraya di rumah jela bersama keluarga. Kalau yang tinggal jauh dari keluarga tu, korang kena beraya juga ye! Jangan lupakan sambutan kemenangan kita ni walaupun tahun ni ia sangat boring.

Oh ye, bagi menubati rindu korang terhadap raya sebelum pandemik, mungkin kita boleh menyingkap kembali sejarah yang pernah atok nenek dan mak ayah kita lalui dulu. Ini kerana, kalau sekarang ni sambutan Aidilfitri disambut di seluruh negara, keadaan sebenarnya agak berbeza suatu masa dulu – sebab pernah terjadi apabila…

Orang Johor dan Perak dah makan rendang, negeri lain masih berpuasa?!

Pada 13 Jun 1983, akhbar Utusan Malaysia dah menyiarkan satu berita bertajuk “KEADAAN SERBA SALAH DI JOHOR DAN PERAK”. Berita ni muncul kerana umat Islam di dua negeri ni dah sambut Ramadan lebih awal dari negeri-negeri lain iaitu pada 12 Jun 1983.

Sedangkan, di peringkat kebangsaan, awal Ramadan ditetapkan pada 13 Jun 1983. Keadaan ni menunjukkan adanya percanggahan tarikh antara negeri-negeri di Malaysia dalam memulakan 1 Ramadan 1403H.

Disebabkan hal ni, Mohd Khir Taib, seorang profesor falak, dah menulis satu surat kepada Ketua Pengarah Pusat Islam bagi menjelaskan kenapakah polemik tersebut berlaku.

Imej dari gifimgs.com

Ini kerana, kalau ikut syarat falak dan kiraan, 1 Ramadan sepatutnya jatuh pada 13 Jun 1983 dan bukannya 12 Jun 1983.  Dengan kata lain, negeri Johor dan Perak tak mematuhi syarat-syarat kriteria yang dah diputuskan. Namun akhirnya, dia mengakui keputusan Perak dan Johor tu tak salah, sebab anak bulan dah dilaporkan kelihatan di Pelabuhan Ratu dan Purwakarta, Jawa Barat.

Disebabkan dua negeri ni berpuasa lebih awal, dah sah-sahlah diorang akan sambut Hari Raya Aidilfitri lebih awal sehari dari negeri-negeri lain. Ini dah menjadi antara satu peristiwa bersejarah di Malaysia, bila ada orang dalam negara yang sama dah makan rendang dengan ketupat, tapi orang di negeri lain pula masih lagi tunggu waktu berbuka puasa.

Nasib baik tak kecoh, Utusan Malaysia bertarikh 14 Julai 1983. Imej dari Utusan.

Tapi mesti kita tertanya-tanya tentang kaedah apa yang digunakan untuk menentukan permulaan bulan-bulan Islam. Dan itu membawa kita kepada…

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Ada 3 kaedah yang ditetapkan, berdasarkan hadis Rasulullah SAW

Pada asasnya, bila bercakap soal menentukan tarikh bermulanya bulan-bulan Islam, antara yang disebut adalah tentang anak bulan. Anak bulan disebut dalam al-Quran, yang bermaksud:

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: (Peredaran) Anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat haji…” – Surah al-Baqarah:189.

Dr Zulkifli masa masih menjadi Mufti Wilayah Persekutuan tengah mencerap anak bulan. Imej dari Utusan.

Selain tu, terdapat juga beberapa hadis yang menceritakan tentang penetapan bulan – bulan Islam, seperti satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan dan berbukalah (berhari raya) sekiranya melihat anak bulan. Sekiranya mendung, maka sempurnakanlah 30 hari Syaaban.” – Hadis riwayat Bukhari

Kedua, dari Ibn Umar, bahawa Rasullah SAW bersabda:

“Jangan kamu berpuasa sehingga kamu melihat anak bulan dan jangan kamu berbuka sehingga kamu melihat anak bulan. Sekiranya mendung, maka taqdirkanlah ia.” – Sahih Bukhari.

Ketiga, diriwayatkan juga oleh Ibn Umar:

“Sesungguhnya kami umat yang buta huruf, tidak tahu menulis dan tidak tahu mengira, bulan adalah sekian sekian, iaitu sesekali 29 hari dan sesekali 30 hari.” – Sahih Bukhari.

Berdasarkan hadis ni, cendikiawan Islam, Dr Yusuf al-Qaradawi dah menjelaskan tiga cara untuk menentukan awal bulan:

  1. Kaedah rukyah – Cara cerapan anak bulan.
  2. Kaedah istikmal – Bila kita tak nampak anak bulan, jadinya disempurnakan bulan tu kepada 30 hari (contoh: cukup 30 hari Ramadan, maka esoknya raya).
  3. Kaedah hisab – Buat kiraan astronomi.

Menurut Qaradawi, kaedah rukyah dan istikmal masih lagi terdedah dengan keraguan dan kadang-kadang tu boleh dipertikaikan. Makanya, kaedah yang paling baik dan tepat adalah dengan cara hisab. Hujah ni diperkuatkan dengan membawa pandangan dari ulama – Taqi al-Din al-Subki.

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi, bekas pengerusi Majlis Ulama Dunia. Imej dari TRT World.

Menurut al-Subki, penampakan anak bulan dengan mata kasar boleh diperkuatkan dengan hisab. Bagaimanapun, kalau penampakan tu bercanggah dengan hisab, maka ia akan tertolak sebab rukyah bersifat sangkaan, tapi hisab bersifat tepat. Jadi, macam mana dengan Malaysia?

Kalau ikut sejarahnya, aktiviti melihat anak bulan secara rasminya dilakukan oleh Syed Alwi Tahir al-Haddad di menara Masjid Abu Bakar, Johor pada tahun 1934. Seterusnya, pada tahun 1970-an, anak bulan dilihat dengan menggunakan teodolit, melibatkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). 

Alwi bin Thahir al-Haddad – pernah jadi Mufti Johor. Imej dari Wikipedia.

Malaysia ambil keputusan gunakan cara rukyah dan hisab

Imej asal dari suarabanyuurip.com

Bila Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam ditubuhkan pada tahun 1970, jawatankuasa -jawatankuasa rasmi dah dilantik untuk melihat anak bulan Ramadan dan Syawal, di Teluk Kemang, Negeri Sembilan, Johor Baru dan Kampung Pulau Sayak, Kedah.

Pada tahun 1978, dah diadakan satu persidangan negara-negara Islam di Istanbul, Turki bagi membincangkan isu anak bulan. Akhirnya, satu deklarasi dah dipersetujui iaitu anak bulan dikira dah wujud dan boleh dilihat, bila ketinggian anak bulan selepas matahari terbenam tak kurang di atas ufuk dan jarak lengkung bulan dan matahari tak kurang 8°

Kemudian pada tahun 1992, penyelerasan dah dibuat di antara negara Malaysa, Brunei, Indonesia dan Singapura untuk menetapkan permulaan bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah. Kriteria tu dinamakan sebagai Kriteria Imkanur Rukyah, iaitu anak bulan dianggap kelihatan bila:

  1. Ketika matahari terbenam, ketinggian anak bulan di atas ufuk tidak kurang daripada 2° dan jarak lengkung bulan – matahari tidak kurang daripada 3°, atau
  2. Ketika bulan terbenam, umur anak bulan tidak kurang dari 8 jam.

Oleh itu, Malaysia sampai hari ni gunakan kaedah rukyah dan hisab berpandukan kriteria imkanur rukyah. Sejak ia diamalkan di serata Malaysia, dah takde lagi masalah ada negeri yang sambut Ramadan/Syawal sehari awal atau sehari lewat.

“Perbezaan penentuan tarikh hari raya di antara negara-negara Islam berlaku kerana wujudnya perbezaan matlak iaitu perbezaan terbit dan terbenamnya hilal (anak bulan). Ia juga bergantung pada penentuan pihak berkuasa agama di negara masing-masing sama ada menggunakan kaedah rukyah sahaja, hisab sahaja atau rukyah dan hisab.” – Kenyataan Media Ketua Pengarah JAKIM, 01 November 2011.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 30 Oktober 1982. Imej dari Utusan.

Macam mana pula bentuk anak bulan ni?

Biasanya ada tiga alat yang digunakan untuk mencerap anak bulan di Malaysia, iaitu teleskop, kamera DSLR dan komputer riba. Kalau imej anak bulan berjaya dilihat melalui teleskop dan kamera DSLR, maka anak bulan pun akan kelihatan dalam skrin komputer riba.

Jadinya, pencerap kena tengok imej dalam komputer tu, untuk tentukan sama ada betul atau tak ada anak bulan.

“Kriteria teoritikal yang dihasilkan mengambil kira beberapa pemboleh ubah seperti jarak bulan dan matahari, kelebaran anak bulan, keamatan cahaya anak bulan, kecerahan langit, kesan bayang gunung-gunung di bulan dan peranan mata manusia dalam cerapan anak bulan.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaya (UM).

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mencerap anak bulan di Pantai Pasir Panjang Segari, Perak. Imej asal dari smartkomunitimpm.blogspot

Tapi, ada juga kadang-kadang tu yang anak bulan tak dapat dilihat atas faktor cuaca, macam – awan tebal atau kabus di kaki bukit. Dalam hal inilah, hisab digunapakai untuk menentukan awal bulan.

“…ilmu hisab bagi penentuan awal bulan terbukti dapat mengatasi masalah cerapan di negara berawan tebal seperti negara ini.” – Ahmad Irfan Ikmal Hisham, Universiti Malaysia Pahang (UMP). Dipetik dari BH Online.

Itulah anak bulan. Korang nampak tak? Imej dari Jurnal Fiqh, No. 11 (2014) 55-74.

Mencerap anak bulan, Islam angkat ilmu  astronomi

Dalam hal mencerap anak bulan, ada pengkaji yang mengatakan, langit Semenanjung Tanah Arab di zaman Nabi dulu masih lagi belum tercemar dengan pencemaran cahaya dan kurang berawan. Kerana itulah, diorang mudah mencerap anak bulan dengan mata kasar.

Selepas tu, ilmu astronomi terus berkembang, terumatanya cukup subur dalam tamadun Islam. Kitab al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah karya al-Khawarizmi dah menjadi buku rujukan utama ahli-ahli astronomi dunia.

Imej dari edu.glogster

Astronomi pada zaman tamadun Islam juga dah menjadi pemangkin kepada astronomi moden, apabila ia memperbetulkan astronomi Greek. Dari situ jugalah, matematik digunakan untuk menjelaskan pergerakan objek di langit, selain melakukan cerapan bersistematik pada zaman kegemilangan tamadun Islam.

Perkembangan ilmu astronomi ini juga tak dapat dinafikan berlaku kerana peranan al-Quran dan Rasulullah SAW melalui hadis-hadis baginda. Makanya, ia membukti Islam mengangkat kedudukan ilmu di tahap yang tinggi. Bukannya hanya menjadi umat yang tertutup minda dan membincangkan perkara sia-sia.

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend